Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 16

Tirulah Yehuwa semasa Melayan Saudara Saudari Kita

Tirulah Yehuwa semasa Melayan Saudara Saudari Kita

“Jangan lagi menghakimi orang berdasarkan penampilan luar, tetapi hakimilah orang dengan adil.”​—YOH. 7:24.

LAGU 101 Kita Bersatu, Sehati Sejiwa

PENGENALAN *

1. Daripada kata-kata Yehuwa kepada Samuel, apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa?

ADAKAH anda suka dihakimi berdasarkan warna kulit, bentuk muka, atau saiz badan anda? Tentulah tidak. Jadi, kita pasti bersyukur kerana Yehuwa tidak menghakimi manusia berdasarkan rupa luaran mereka! Contohnya, semasa Yehuwa memberitahu Samuel bahawa salah seorang anak Isai akan menjadi raja Israel, Samuel melihat Eliab, anak sulung Isai, lalu berfikir, “Sudah pasti dialah orang yang dilantik oleh Yehuwa.” Meskipun Eliab kelihatan tampan, Yehuwa berfirman kepada Samuel, “Janganlah perhatikan paras rupa dan ketinggiannya kerana bukan dia yang Aku pilih.” Jelaslah, cara Samuel menilai orang berbeza daripada cara Yehuwa. Yehuwa berfirman, “Manusia melihat rupa luaran sedangkan Yehuwa melihat hati orang.”​—1 Sam. 16:1, 6, 7.

2. Seperti yang dinyatakan di Yohanes 7:24, mengapakah kita tidak patut menghakimi orang berdasarkan penampilan mereka? Berikan contoh.

2 Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita semua cenderung menghakimi orang berdasarkan rupa luaran mereka. (Baca Yohanes 7:24.) Namun, kita tidak dapat mengenali seseorang dengan baik hanya dengan melihat penampilan mereka. Sebagai contoh, biarpun seorang doktor sangat mahir dan berpengalaman, jika dia sekadar memandang pesakitnya, dia tidak dapat memahami situasi pesakit itu dengan menyeluruh. Doktor itu mesti mendengar dengan teliti, barulah dia dapat mengetahui masalah kesihatan yang pernah dihadapi pesakit itu, keadaan emosinya, atau tanda-tanda lain. Doktor itu bahkan mungkin melakukan X-ray untuk melihat bahagian dalam tubuh pesakit. Jika dia tidak berbuat begitu, dia mungkin memberikan rawatan yang salah. Begitu juga, kita tidak dapat memahami saudara saudari kita dengan sepenuhnya jika kita hanya melihat rupa luaran mereka. Kita mesti berusaha melihat hati dan batin mereka. Sudah tentu, kita tidak dapat memahami mereka dengan begitu mendalam seperti Yehuwa, kerana kita tidak dapat membaca isi hati orang. Namun, kita masih dapat berusaha meniru Yehuwa. Bagaimana?

3. Apakah yang akan kita pelajari tentang Yehuwa daripada kisah-kisah dalam rencana ini?

3 Bagaimanakah Yehuwa melayan para penyembah-Nya? Dia mendengar luahan mereka, mengambil kira latar belakang mereka, dan berbelas kasihan terhadap mereka. Mari kita lihat bagaimana Yehuwa berbuat demikian terhadap Yunus, Elia, Hagar, dan Lot. Kemudian, kita akan membincangkan cara untuk meniru Yehuwa semasa melayan saudara saudari kita.

MENDENGAR DENGAN TELITI

4. Mengapakah kita mungkin berpandangan buruk terhadap Yunus?

4 Kita tidak mengetahui situasi Yunus dengan menyeluruh. Jadi kita mungkin berfikir bahawa Yunus tidak dapat dipercayai atau tidak setia. Yehuwa menyuruhnya untuk mengkhabarkan berita penghakiman-Nya di Niniwe, tetapi Yunus “melarikan diri daripada Yehuwa” dan menaiki kapal ke arah yang bertentangan. (Yun. 1:1-3) Kita mungkin tidak akan memberi Yunus peluang lagi, tetapi Yehuwa masih memberinya peluang untuk melaksanakan tugasnya. Mengapa?​—Yun. 3:1, 2.

5. Apakah yang anda pelajari tentang Yunus daripada doanya di Yunus 2:1, 2, 9?

5 Sifat Yunus yang sebenar dapat dilihat menerusi doa yang diucapkannya dari dalam perut ikan. (Baca Yunus 2:1, 2, 9.) Yunus tentu sering berdoa, tetapi doa itu membantu kita sedar bahawa walaupun dia telah melarikan diri daripada tugasnya, dia sebenarnya seorang yang rendah hati, tahu bersyukur, dan ingin mematuhi Yehuwa. Itulah sebabnya Yehuwa tidak berfokus kepada kesilapan Yunus, tetapi mengabulkan doanya dan terus menggunakannya sebagai nabi.

Jika kita mengetahui apa yang sebenarnya terjadi, kita akan lebih berbelas kasihan (Lihat perenggan 6) *

6. Mengapakah usaha kita untuk mendengar dengan teliti memang berbaloi?

6 Untuk mendengar dengan teliti, kita mesti sabar dan rendah hati. Terdapat tiga sebab mengapa usaha kita berbaloi. Pertama, kita tidak akan bersangka buruk terhadap orang lain. Kedua, kita akan lebih berbelas kasihan setelah memahami perasaan dan niat hati rakan seiman kita. Ketiga, kita mungkin dapat membantu rakan seiman kita mengenali dirinya dengan lebih baik. Ada kalanya kita perlu meluahkan perasaan kita kepada seseorang, barulah kita memahami emosi kita sendiri. (Ams. 20:5) Seorang penatua di Asia mengaku, “Saya pernah tersilap kerana bercakap sebelum mendengar. Pernah sekali, saya beritahu seorang saudari bahawa dia perlu meningkatkan mutu komennya. Kemudian, barulah saya tahu bahawa dia tidak pandai membaca, dan dia perlu berusaha keras untuk beri komen.” Ya, semua penatua harus mendengar sebelum memberikan nasihat!​—Ams. 18:13.

7. Apakah yang anda pelajari daripada cara Yehuwa melayan Elia?

7 Sesetengah saudara saudari berasa susah untuk meluahkan perasaan mereka kerana latar belakang, budaya, atau keperibadian mereka. Apakah yang dapat kita lakukan supaya mereka berasa lebih selesa untuk mencurahkan isi hati mereka? Ingatlah teladan Yehuwa. Setelah Elia melarikan diri daripada Izebel, dia memerlukan masa berhari-hari sebelum dapat mencurahkan isi hatinya kepada Bapanya yang di syurga. Yehuwa telah mendengar dengan teliti, lalu menggalakkan Elia dan memberinya tugas yang penting. (1 Raj. 19:1-18) Begitu juga, saudara saudari kita mungkin memerlukan masa untuk mempercayai kita dan meluahkan isi hati mereka yang terpendam. Tetapi jika kita bersabar seperti Yehuwa, mereka akan berasa lebih selesa untuk memberitahu kita perasaan mereka. Semasa mereka ingin meluahkan perasaan mereka, dengarlah dengan teliti.

KENALI SAUDARA SAUDARI ANDA

8. Menurut Kejadian 16:7-13, bagaimanakah Yehuwa membantu Hagar?

8 Hagar, iaitu hamba perempuan kepada Sarai, telah bertindak bodoh selepas menjadi isteri Abram. Apabila Hagar mengandung, dia mula memandang rendah terhadap Sarai yang mandul. Hubungan mereka berdua menjadi begitu teruk sehingga Hagar melarikan diri. (Kej. 16:4-6) Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita mungkin berfikir bahawa Hagar sangat sombong dan patut dihukum. Tetapi itu bukanlah pandangan Yehuwa. Dia mengutus malaikat-Nya kepada Hagar untuk membetulkan sikapnya dan memberitahunya bahawa Tuhan akan memberinya keturunan yang sangat banyak. Apabila Hagar sedar bahawa Yehuwa sedang memerhatikannya dan mengetahui situasinya, dia amat terharu sehingga berkata, “Engkaulah Tuhan yang memperhatikan orang.”​—Baca Kejadian 16:7-13.

9. Apakah yang difikirkan Yehuwa semasa melayan Hagar?

9 Apakah yang diketahui Yehuwa tentang Hagar? Dia tahu benar latar belakang dan kisah silamnya. (Ams. 15:3) Hagar seorang wanita Mesir yang tinggal bersama keluarga Ibrani. Adakah dia kadangkala berasa terpinggir? Adakah dia merindui keluarga dan kampung halamannya? Tambahan lagi, dia bukanlah satu-satunya isteri Abram. Pada zaman dahulu, lelaki yang menyembah Yehuwa mempunyai lebih daripada seorang isteri. Memandangkan itu bukanlah aturan Yehuwa pada asalnya, tidak hairanlah aturan sedemikian menimbulkan rasa dengki dan dendam. (Mat. 19:4-6) Sudah pasti, Yehuwa tidak setuju dengan sikap Hagar terhadap Sarai, tetapi Dia mengambil kira latar belakang dan situasi Hagar, lalu melayannya dengan baik hati.

Kenalilah saudara saudari anda dengan lebih baik (Lihat perenggan 10-12) *

10. Bagaimanakah kita dapat mengenali saudara saudari kita dengan lebih baik?

10 Kita dapat meniru Yehuwa dengan berusaha mengenali saudara saudari kita. Untuk berbuat demikian, berbuallah dengan mereka sebelum dan selepas perjumpaan, menginjil bersama mereka, dan jika dapat, jemputlah mereka untuk makan bersama-sama. Anda mungkin mendapati bahawa seorang saudari yang nampaknya tidak ramah sebenarnya pemalu, seorang saudara yang kaya-raya sebenarnya tidak mencintai wang, tetapi sangat murah hati, atau seorang saudari dan anak-anaknya yang selalu datang lewat ke perjumpaan sebenarnya sedang menghadapi tentangan. (Ayb. 6:29) Sudah tentu, kita tidak patut “campur tangan dalam urusan orang lain.” (1 Tim. 5:13) Namun, kita perlu mengenali saudara saudari kita dan latar belakang mereka. Dengan itu, kita akan lebih memahami mereka.

11. Mengapakah para penatua perlu mengenali saudara saudari dengan baik?

11 Para penatua khususnya perlu mengetahui latar belakang saudara saudari di sidang mereka. Perhatikan contoh Artur, seorang penyelia litar. Dia dan seorang penatua mengunjungi seorang saudari yang nampaknya pemalu dan suka menyendiri. Setelah mengunjunginya, Artur berkata, “Kami dapati suaminya meninggal beberapa tahun selepas mereka berkahwin. Walaupun hidupnya susah, dia telah mendidik dua orang anak perempuannya untuk menjadi orang Kristian yang matang secara rohani. Kini, penglihatannya semakin teruk, dan dia juga menghadapi masalah kemurungan. Tetapi kasih dan imannya kepada Yehuwa tetap kuat. Saudari ini memang teladan baik untuk kami.” (Flp. 2:3) Penyelia litar ini memang mengikut teladan Yehuwa. Yehuwa mengenali kawanan-Nya dan tahu benar kesakitan mereka. (Kel. 3:7) Penatua yang mengenali saudara saudari dengan baik dapat memberikan bantuan yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.

12. Apakah manfaat yang diraih Yip Yee setelah berusaha mengenali seorang saudari di sidangnya?

12 Apabila anda berusaha mengetahui latar belakang seorang rakan seiman yang anda rasa menjengkelkan, anda mungkin akan lebih memahaminya. Fikirkan contoh Yip Yee dari Asia. Dia berkata, “Di sidang saya ada seorang saudari, bila dia bercakap suaranya sangat kuat. Jadi saya rasa dia tidak sopan. Tetapi semasa menginjil bersamanya, barulah saya tahu dulu dia tolong ibu bapanya jual ikan di pasar. Jadi dia perlu berteriak untuk menarik pelanggan.” Yip Yee menambah, “Saya belajar bahawa untuk memahami saudara saudari saya, saya perlu mengetahui latar belakang mereka.” Memang benar, usaha diperlukan untuk mengenali saudara saudari kita. Tetapi apabila kita mengikut nasihat Bible dan membuka hati kita lebar-lebar, kita sedang meniru Yehuwa yang mengasihi “segala macam orang.”​—1 Tim. 2:3, 4; 2 Kor. 6:11-13.

BERBELAS KASIHAN

13. Seperti yang tercatat di Kejadian 19:15, 16, apakah yang dilakukan malaikat-malaikat semasa Lot berlambat-lambat? Mengapa?

13 Pada saat yang genting dalam kehidupan Lot, dia berlambat-lambat mematuhi arahan Yehuwa. Dua malaikat datang kepada Lot dan menyuruhnya membawa keluarganya keluar dari Sodom. Mereka memberitahunya, “Kami akan memusnahkan tempat ini.” (Kej. 19:12, 13) Tetapi keesokan paginya, Lot sekeluarga masih di rumah. Dua malaikat itu menggesanya untuk bertindak, tetapi “Lot berlambat-lambat.” Kita mungkin berfikir bahawa Lot bersikap acuh tak acuh atau enggan mematuhi Yehuwa. Namun, Yehuwa masih cuba menyelamatkannya. “Oleh sebab Yehuwa mengasihaninya,” malaikat-malaikat itu memegang tangan Lot, isterinya, dan kedua-dua orang anak perempuannya, lalu membawa mereka ke luar kota.​—Baca Kejadian 19:15, 16.

14. Mengapakah Yehuwa berbelas kasihan terhadap Lot?

14 Terdapat beberapa sebab mengapa Yehuwa berbelas kasihan terhadap Lot. Lot mungkin keberatan untuk meninggalkan rumahnya kerana takut kepada orang di luar kota. Selain itu, Lot mungkin tahu bahawa terdapat banyak lubang tar di lembah yang berdekatan, dan pernah ada dua orang raja yang terjatuh ke dalamnya, jadi dia risau akan keselamatan keluarganya. (Kej. 14:8-12) Tambahan lagi, Lot seorang yang kaya, dan dia mungkin memiliki rumah yang mewah di Sodom. (Kej. 13:5, 6) Sudah pasti, Lot tidak patut menggunakan hal-hal itu sebagai alasan untuk berlambat-lambat. Namun, Yehuwa tidak bertumpu kepada kesilapan Lot. Sebaliknya, Dia menganggap Lot sebagai seorang “lelaki yang baik.”​—2 Ptr. 2:7, 8.

Apabila kita mendengar dengan teliti, kita mungkin dapat mengetahui cara untuk menunjukkan belas kasihan (Lihat perenggan 15-16) *

15. Daripada menghakimi perbuatan seseorang, apakah yang patut kita lakukan?

15 Daripada menghakimi seseorang berdasarkan perbuatannya, cubalah memahami perasaannya. Itulah yang dilakukan Veronica, seorang saudari dari Eropah. Dia berkata, “Ada seorang saudari yang anginnya selalu tidak baik. Dia asyik menjauhi orang lain, dan ada kalanya saya pun takut nak bercakap dengannya. Tetapi saya fikir, ‘Kalau saya ialah dia, saya perlukan kawan.’ Jadi saya bertanya khabar kepadanya, dan dia mula memberitahu saya perasaannya! Sekarang saya lebih memahaminya.”

16. Mengapakah kita perlu memohon bantuan Yehuwa untuk memupuk sifat empati?

16 Yehuwa sahajalah yang benar-benar memahami kita. (Ams. 15:11) Maka mohonlah bantuan-Nya supaya anda dapat melihat orang lain dari sudut pandangan-Nya, dan supaya anda mengetahui cara untuk berbelas kasihan terhadap mereka. Doa telah membantu seorang saudari yang bernama Anzhela untuk menunjukkan sifat empati. Di sidangnya terdapat seorang saudari yang susah didekati. Anzhela mengaku, “Memang mudah untuk mengkritik saudari itu dan menjauhinya. Tetapi saya meminta Yehuwa untuk membantu saya memahami saudari itu.” Adakah Yehuwa menjawab doa Anzhela? Ya. Anzhela berkata, “Selepas menginjil bersama saudari itu, kami berbual selama berjam-jam. Saya mendengar dan cuba memahaminya. Sekarang saya lebih mengasihinya, dan saya bertekad untuk menolongnya.”

17. Apakah seharusnya azam kita?

17 Janganlah berfikir bahawa saudara atau saudari tertentu sahaja yang layak dikasihani. Seperti Yunus, Elia, Hagar, dan Lot, mereka semua menghadapi masalah, dan ada kalanya, masalah mereka disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Namun, ingatlah bahawa kita pun pernah melakukan kesilapan yang sama. Itulah sebabnya Yehuwa ingin kita menunjukkan simpati terhadap satu sama lain. (1 Ptr. 3:8) Dengan mentaati Yehuwa, kita menyumbang kepada perpaduan keluarga sedunia kita yang beraneka ragam. Semoga kita berazam untuk mendengar dengan teliti, mengenali saudara saudari kita, dan menunjukkan belas kasihan.

LAGU 87 Dapatkanlah Kesegaran Rohani!

^ per. 5 Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita cenderung membuat kesimpulan tentang orang lain dan niat hati mereka secara terburu-buru. Tetapi Yehuwa “melihat hati orang.” (1 Sam. 16:7) Rencana ini akan membincangkan bagaimana Tuhan kita yang pengasih telah berbuat demikian semasa Dia melayan Yunus, Elia, Hagar, dan Lot. Kita juga akan mempelajari cara untuk meniru Yehuwa semasa melayan saudara saudari kita.

^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang lebih tua berasa geram apabila seorang saudara muda datang lewat ke perjumpaan, tetapi kemudian dia mendapat tahu bahawa saudara muda itu terlibat dalam kemalangan.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Pada mulanya, penyelia kumpulan berpendapat bahawa seorang saudari suka menyendiri, tetapi dia kemudiannya mendapati bahawa saudari itu sebenarnya pemalu dan berasa kurang selesa semasa bersama orang yang tidak rapat dengannya.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari menyangka bahawa seorang saudari yang baru ditemuinya di Dewan Perjumpaan tidak ambil peduli tentang orang lain dan selalu bermuka masam. Tetapi setelah meluangkan masa bersama saudari itu, dia mendapati bahawa sangkaannya itu salah.