Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 20

Siapakah “Raja Utara” pada Zaman Ini?

Siapakah “Raja Utara” pada Zaman Ini?

“Penghujungnya akan tiba, dan tiada sesiapa pun yang akan membantunya.”​—DAN. 11:45.

LAGU 95 Cahaya Rohani Kian Terang

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

TERDAPAT bukti yang amat jelas bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir sistem dunia ini. Tidak lama lagi, Yehuwa dan Yesus Kristus akan membinasakan semua kerajaan yang menentang Kerajaan Tuhan. Namun sebelum itu, raja utara dan raja selatan akan terus bersaing dan terus menindas umat Tuhan.

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan nubuat di Daniel 11:40–12:1. Kita akan mengenal pasti identiti raja utara sekarang dan melihat sebabnya kita dapat menghadapi cabaran pada masa depan dengan yakin.

RAJA UTARA YANG BAHARU

3-4. Siapakah raja utara pada zaman ini? Jelaskan.

3 Selepas Kesatuan Soviet dibubarkan pada tahun 1991, umat Tuhan di negara-negara di bawah pemerintahannya mendapat “sedikit bantuan,” atau kebebasan buat suatu jangka masa. (Dan. 11:34) Mereka dapat menginjil dengan bebas, dan tidak lama kemudian, bilangan penyiar di negara-negara bekas Kesatuan Soviet meningkat menjadi beratus-ratus ribu orang. Kemudian, Rusia dan sekutu-sekutunya menjadi raja utara. Bagaimanakah kita tahu? Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, raja utara atau raja selatan mesti mempunyai tiga ciri berikut: (1) Mereka akan mempengaruhi umat Tuhan secara langsung, (2) mereka menunjukkan melalui perbuatan mereka bahawa mereka membenci Yehuwa dan umat-Nya, dan (3) mereka akan bersaing.

4 Perhatikan sebab-sebabnya kita dapat berkata bahawa raja utara pada zaman ini ialah Rusia dan sekutu-sekutunya. (1) Mereka mempengaruhi umat Tuhan secara langsung. Mereka mengharamkan kerja penyebaran dan menganiaya beratus-ratus ribu orang saudara saudari di negara mereka. (2) Perbuatan mereka menunjukkan bahawa mereka membenci Yehuwa dan umat-Nya. (3) Mereka bersaing dengan raja selatan, iaitu Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Mari kita lihat hal-hal ini dengan lebih lanjut.

RAJA UTARA DAN RAJA SELATAN TERUS BERSAING

5. Apakah jangka masa yang diliputi di Daniel 11:40-43, dan apakah yang berlaku sepanjang masa itu?

5 Baca Daniel 11:40-43. Nubuat ini menggambarkan persaingan yang berlaku antara raja utara dengan raja selatan sepanjang akhir zaman. Seperti yang dinubuatkan Daniel, raja selatan dan raja utara akan “saling berlawan,” atau “saling menolak.”​—Dan. 11:40; nota kaki.

6. Bagaimanakah dua raja itu saling berlawan?

6 Raja utara dan raja selatan terus bersaing untuk menjadi kuasa terbesar di dunia. Contohnya, fikirkan apa yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Apabila raja utara, iaitu Kesatuan Soviet dan sekutu-sekutunya, menguasai sebahagian besar Eropah, raja selatan pun terdorong untuk membentuk perikatan tentera antarabangsa yang dikenali sebagai NATO. Sampai sekarang, raja utara dan raja selatan saling berlumba untuk membentuk angkatan tentera yang paling kuat. Mereka juga bersaing dengan menyokong musuh satu sama lain dalam perang di Afrika, Asia, dan Amerika Latin. Baru-baru ini, Rusia dan sekutu-sekutunya menjadi sangat berpengaruh di pentas dunia. Mereka juga melawan raja selatan dengan menggunakan perang siber. Dua raja itu saling menuduh menggunakan program komputer untuk merosakkan sistem ekonomi dan sistem politik satu sama lain. Raja utara juga terus menyerang umat Tuhan seperti yang dinubuatkan oleh Daniel.​—Dan. 11:41.

RAJA UTARA MEMASUKI “TANAH YANG INDAH”

7. “Tanah yang Indah” merujuk kepada apa?

7 Menurut Daniel 11:41, raja utara akan memasuki “Tanah yang Indah.” Di manakah tanah itu? Pada zaman Bible, negeri Israel dianggap “tanah yang tercantik antara semua tanah.” (Yeh. 20:6) Namun sebab utama negeri Israel dianggap indah adalah kerana di situlah ibadat sejati dijalankan. Namun demikian, sejak Pentakosta 33 M, “Tanah yang Indah” tidak lagi merujuk kepada lokasi atau tempat tertentu kerana umat Yehuwa berada di serata dunia. Sebaliknya “Tanah yang Indah” merujuk kepada haluan hidup dan ibadat umat Yehuwa, yang merangkumi kegiatan seperti perjumpaan dan kerja penyebaran.

8. Bagaimanakah raja utara memasuki “Tanah yang Indah”?

8 Sepanjang hari-hari terakhir, raja utara telah memasuki “Tanah yang Indah” berulang kali. Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua, ketika Nazi Jerman merupakan raja utara, raja itu telah memasuki “Tanah yang Indah” dengan menganiaya dan membunuh umat Tuhan. Selepas Perang Dunia Kedua, apabila Kesatuan Soviet menjadi raja utara, raja itu juga memasuki “Tanah yang Indah” dengan menganiaya umat Tuhan dan mengusir mereka ke negeri lain.

9. Beberapa tahun belakangan ini, bagaimanakah Rusia dan sekutu-sekutunya memasuki “Tanah yang Indah”?

9 Beberapa tahun belakangan ini, Rusia dan sekutu-sekutunya juga memasuki “Tanah yang Indah.” Bagaimana? Pada tahun 2017, kerajaan Rusia mengharamkan kerja umat Yehuwa di Rusia dan memenjarakan beberapa orang saudara saudari kita. Kerajaan itu juga mengharamkan bahan bacaan kita, termasuk Bible Terjemahan Dunia Baharu, dan merampas pejabat cawangan, Dewan Perjumpaan, dan Dewan Perhimpunan kita di Rusia. Selepas kerajaan Rusia mengambil tindakan sedemikian, pada tahun 2018, Badan Pimpinan menyatakan bahawa Rusia dan sekutu-sekutunya ialah raja utara. Meskipun umat Yehuwa dianiaya dengan teruk, mereka enggan menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan manusia atau membawa perubahan politik. Sebaliknya, umat Tuhan mengikut nasihat Bible untuk berdoa bagi “semua yang berkedudukan tinggi,” khususnya apabila mereka akan membuat keputusan yang mempengaruhi kebebasan beribadat.​—1 Tim. 2:1, 2.

ADAKAH RAJA UTARA AKAN MENGALAHKAN RAJA SELATAN?

10. Adakah raja utara akan mengalahkan raja selatan? Jelaskan.

10 Sebahagian besar nubuat di Daniel 11:40-45 adalah tentang raja utara. Adakah hal ini bermaksud raja utara akan mengalahkan raja selatan? Tidak. Raja selatan masih akan wujud semasa Yehuwa dan Yesus memusnahkan semua kerajaan manusia dalam perang Armagedon. (Why. 19:20) Mengapakah kita begitu pasti akan hal ini? Mari kita perhatikan nubuat dalam buku Daniel dan buku Wahyu.

Semasa Armagedon, Kerajaan Tuhan, yang digambarkan oleh batu besar, akan mengakhiri pemerintahan manusia, yang digambarkan oleh patung besar (Lihat perenggan 11)

11. Apakah yang kita pelajari daripada Daniel 2:43-45? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

11 Baca Daniel 2:43-45. Dalam sebuah penglihatan, Daniel nampak sebuah patung besar yang diperbuat daripada pelbagai jenis logam. Bahagian-bahagian patung itu melambangkan kerajaan-kerajaan manusia yang mempengaruhi umat Tuhan. Bahagian kaki patung itu, yang diperbuat daripada besi bercampur tanah liat, melambangkan kerajaan manusia yang terakhir, iaitu Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Maksudnya, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerikalah yang sedang memerintah apabila Kerajaan Tuhan memusnahkan semua kerajaan manusia.

12. Apakah yang dilambangkan oleh kepala ketujuh binatang buas itu? Mengapakah maklumat ini penting?

12 Rasul Yohanes juga diberi penglihatan tentang kuasa-kuasa dunia yang mempengaruhi umat Yehuwa. Kuasa-kuasa itu digambarkan sebagai seekor binatang buas berkepala tujuh. Kepala yang ketujuh melambangkan Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Maklumat ini penting kerana Bible tidak menyatakan bahawa ada kepala lain yang muncul selepas kepala yang ketujuh. Maksudnya kepala ketujuh ini sedang memerintah apabila Kristus dan para malaikat datang untuk memusnahkannya dan binatang buas itu. *​—Why. 13:1, 2; 17:13, 14.

APAKAH YANG AKAN DILAKUKAN OLEH RAJA UTARA TIDAK LAMA LAGI?

13-14. Siapakah “Gog dari tanah Magog”? Mengapakah Gog ingin menyerang umat Tuhan?

13 Melalui sebuah nubuat yang dicatatkan oleh Yehezkiel, kita dapat mengetahui apa yang mungkin terjadi sebelum raja utara dan raja selatan dibinasakan. Jika kita menganggap bahawa nubuat di Yehezkiel 38:10-23; Daniel 2:43-45; 11:44–12:1; dan Wahyu 16:13-16, 21, menggambarkan tempoh masa dan peristiwa yang sama, kita dapat menjangkakan perkembangan yang berikut.

14 Tidak lama selepas kesengsaraan besar bermula, “Gog dari tanah Magog” akan menyerang umat Tuhan. (Yeh. 38:2) Siapakah “Gog dari tanah Magog”? Gelaran ini merujuk kepada “raja-raja di seluruh bumi” yang bersekutu untuk menyerang umat Tuhan. (Why. 16:13, 14; 19:19) Mengapakah mereka melancarkan serangan? Mengenai masa ini, Rasul Yohanes bernubuat bahawa hujan batu yang dahsyat akan menimpa musuh-musuh Tuhan. Hujan batu itu mungkin melambangkan mesej penghakiman yang berat yang disampaikan oleh umat Yehuwa. Barangkali mesej inilah yang membuat Gog dari Magog naik marah dan ingin melenyapkan umat Tuhan.​—Why. 16:21.

15-16. (a) Daniel 11:44, 45 mungkin menggambarkan peristiwa apa? (b) Apakah yang akan berlaku kepada raja utara dan bangsa-bangsa lain yang bersekutu untuk membentuk Gog dari Magog?

15 Nampaknya Daniel 11:44, 45 juga menggambarkan mesej penghakiman yang berat dan serangan terakhir daripada musuh Tuhan. (Baca.) Dalam ayat-ayat ini, Daniel berkata bahawa “laporan dari timur dan utara” akan membuat raja utara gelisah, dan dia akan pergi dengan “penuh kemarahan” untuk “menghapuskan banyak orang,” yang mungkin merujuk kepada umat Yehuwa. * Barangkali Daniel sedang menggambarkan serangan terakhir yang akan dilancarkan oleh musuh ke atas umat Tuhan.

16 Apabila raja utara dan kerajaan-kerajaan lain menyerang umat Tuhan, mereka akan membangkitkan kemurkaan Tuhan Yang Maha Kuasa, lalu perang Armagedon akan bermula. (Why. 16:14, 16) Dalam perang itu, raja utara akan dilenyapkan dan “tiada sesiapa pun yang akan membantunya.” (Dan. 11:45) Bangsa-bangsa lain yang bersekutu untuk membentuk Gog dari Magog juga akan dibinasakan dalam perang itu.

Semasa perang Armagedon, Yesus Kristus dan angkatan tentera di syurga akan membinasakan dunia jahat Syaitan dan menyelamatkan umat Tuhan (Lihat perenggan 17)

17. Siapakah “pemimpin agung” Mikhael yang disebut di Daniel 12:1? Apakah yang dilakukannya sekarang, dan apakah yang akan dilakukannya pada masa depan?

17 Ayat seterusnya dalam catatan Daniel memberikan maklumat lanjut tentang bagaimana raja utara dan sekutu-sekutunya akan dibinasakan, dan bagaimana kita akan diselamatkan. (Baca Daniel 12:1.) Mikhael ialah nama lain bagi Raja kita, iaitu Yesus Kristus. Sejak dia menjadi raja di syurga pada tahun 1914, dia “bertindak bagi pihak” umat Tuhan. Tidak lama lagi, dia akan “bangkit” untuk membinasakan semua musuhnya semasa perang Armagedon. Perang ini merupakan peristiwa terakhir bagi “masa kesusahan” yang disebut oleh Daniel, dan peristiwa terakhir bagi “kesengsaraan besar” yang disebut oleh Yohanes.​—Why. 6:2; 7:14.

ADAKAH NAMA ANDA AKAN “TERTULIS DALAM KITAB”?

18. Mengapakah kita dapat menantikan masa depan dengan yakin?

18 Kita dapat menantikan masa depan dengan yakin kerana Daniel dan Yohanes menyatakan bahawa orang yang berkhidmat kepada Yehuwa dan Yesus akan diselamatkan semasa kesengsaraan besar. Daniel menyatakan bahawa nama mereka akan “tertulis dalam kitab.” (Dan. 12:1) Jadi apakah yang harus kita lakukan agar nama kita tertulis dalam kitab itu? Kita mesti menunjukkan dengan jelas bahawa kita beriman kepada Yesus, iaitu Anak Bebiri Tuhan. (Yoh. 1:29) Kita perlu membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis. (1 Ptr. 3:21) Selain itu, kita mesti menyokong Kerajaan Tuhan dengan melakukan apa yang kita mampu untuk mengajar orang lain tentang Yehuwa.

19. Apakah yang harus kita lakukan sekarang, dan mengapa?

19 Sekaranglah masanya untuk menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya. Sekaranglah masanya untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Dengan berbuat demikian, kita akan diselamatkan semasa Kerajaan Tuhan membinasakan raja utara dan raja selatan.

LAGU 149 Lagu Kemenangan

^ per. 5 Siapakah “raja utara” pada zaman ini, dan bagaimanakah dia akan dimusnahkan? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan menguatkan iman kita dan membantu kita bersedia menghadapi cubaan yang akan menimpa kita tidak lama lagi.