Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 21

Adakah Anda Menghargai Kurniaan Tuhan?

Adakah Anda Menghargai Kurniaan Tuhan?

“Ya Yehuwa, Tuhanku, . . . Engkau telah melakukan banyak perkara yang menakjubkan bagi kami; Engkau telah melaksanakan tujuan-Mu yang mulia bagi kami.”​—MZM. 40:5.

LAGU 5 Perbuatan Tuhan yang Menakjubkan

PENGENALAN *

1-2. Menurut Mazmur 40:5, apakah kurniaan-kurniaan yang kita terima daripada Yehuwa? Mengapakah kita perlu mengkaji kurniaan-kurniaan itu?

TUHAN Yehuwa sangat murah hati. Fikirkan sesetengah kurniaan yang kita terima daripada-Nya: Bumi kita yang cantik dan istimewa, otak kita yang menakjubkan, dan Firman-Nya yang tidak ternilai. Melalui tiga kurniaan itu, Yehuwa memberi kita tempat tinggal, kebolehan untuk berfikir dan berkomunikasi, dan jawapan kepada soalan-soalan terpenting dalam hidup.​—Baca Mazmur 40:5.

2 Dalam rencana ini, kita akan mengkaji tiga kurniaan itu dengan lebih lanjut. Apabila kita merenungkan kurniaan-kurniaan itu, kita akan semakin menghargainya dan semakin bertekad untuk menggembirakan hati Yehuwa, Pencipta kita yang pengasih. (Why. 4:11) Kita juga boleh menggunakan maklumat dalam rencana ini untuk membantu orang yang telah disesatkan oleh ajaran evolusi.

PLANET KITA YANG ISTIMEWA

3. Mengapakah bumi sangat istimewa?

3 Cara bumi diciptakan jelas menunjukkan kebijaksanaan Tuhan. (Rm. 1:20; Ibr. 3:4) Walaupun terdapat planet-planet lain yang mengelilingi matahari, bumi sangat istimewa kerana mempunyai segala yang diperlukan untuk menampung kehidupan manusia.

4. Bagaimanakah cara bumi diciptakan menonjolkan kebijaksanaan Tuhan? Berikan contoh.

4 Bumi di angkasa lepas dapat disamakan dengan kapal di lautan luas. Namun, terdapat perbezaannya. Sebagai contoh, bayangkan sebuah kapal yang penuh dengan orang. Jika mereka perlu menghasilkan oksigen, makanan, dan air sendiri, dan jika mereka tidak dapat membuang apa-apa bahan buangan ke dalam laut, apakah yang akan terjadi? Dalam masa yang singkat, mereka pasti mati. Tetapi bumi dapat menghasilkan oksigen, makanan, dan air, yang diperlukan untuk menampung kehidupan berbilion-bilion makhluk, dan bekalannya tidak pernah habis. Bahan buangan dari bumi tidak dibuang ke angkasa lepas, tetapi bumi masih cantik dan dapat dihuni. Bagaimanakah hal itu dapat terjadi? Yehuwa menciptakan bumi dengan kebolehan untuk mengitar semula bahan buangan menjadi bahan yang berguna. Mari kita perhatikan dua kitaran yang diciptakan Tuhan, iaitu kitar oksigen dan kitar air.

5. Apakah itu kitar oksigen? Kitar oksigen membuktikan apa?

5 Oksigen amat diperlukan oleh sesetengah makhluk hidup, termasuk kita. Setiap tahun, hidupan di bumi menyedut banyak oksigen dan menghembuskan banyak karbon dioksida. Namun, oksigen dalam udara tidak pernah habis, dan udara juga tidak pernah mempunyai terlalu banyak karbon dioksida. Mengapa? Kerana Yehuwa juga telah menciptakan pelbagai jenis tumbuhan, daripada pokok yang amat besar sehingga alga yang amat kecil, untuk menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen. Ya, kitar oksigen membuktikan betapa benarnya kata-kata di Kisah 17:24, 25, “Tuhan . . . memberikan kehidupan dan nafas . . . kepada semua orang.”

6. Apakah itu kitar air? Kitar air membuktikan apa? (Lihat juga kotak “ Kitar Air​—Kurniaan daripada Yehuwa.”)

6 Air dapat wujud sebagai cecair di bumi kerana bumi berada pada jarak yang paling sesuai daripada matahari. Jika bumi berada dekat sedikit dengan matahari, semua air di bumi akan tersejat, dan bumi akan menjadi tempat panas yang tidak dapat didiami. Namun, jika bumi berada jauh sedikit daripada matahari, semua air di bumi akan membeku, dan seluruh bumi akan diliputi salji dan ais. Oleh sebab Yehuwa menempatkan bumi pada kedudukan yang paling sesuai, kitar air di bumi dapat berfungsi dan menampung kehidupan. Air laut dan air di permukaan bumi disejatkan oleh haba matahari lalu membentuk awan. Setiap tahun, air yang disejatkan oleh matahari adalah lebih banyak daripada air di dalam semua tasik di bumi. Air yang tersejat itu berada di langit selama kira-kira 10 hari sebelum turun kembali sebagai hujan atau salji. Akhirnya, air itu kembali ke laut, tasik, dan sungai, dan seluruh proses itu berulang lagi. Melalui kitaran ini, Yehuwa memastikan agar bumi sentiasa mempunyai bekalan air. Tidakkah hal ini membuktikan bahawa Yehuwa amat bijaksana dan berkuasa?​—Ayb. 36:27, 28; Pkh. 1:7.

7. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai kurniaan Tuhan yang disebut di Mazmur 115:16?

7 Apakah yang dapat kita lakukan supaya kita lebih menghargai bumi dan segala sesuatu di dalamnya? (Baca Mazmur 115:16.) Salah satu caranya adalah dengan merenungkan segala ciptaan Yehuwa. Hal itu akan mendorong kita untuk bersyukur kepada-Nya setiap hari atas kurniaan-Nya. Kita juga dapat menunjukkan penghargaan kita dengan menjaga kebersihan tempat tinggal kita.

OTAK KITA YANG MENAKJUBKAN

8. Mengapakah otak kita sangat menakjubkan?

8 Rekaan otak manusia sangat mengagumkan. Semasa kita di dalam rahim ibu, otak kita berkembang menurut “pelan” yang ditetapkan. Setiap minit, beratus-ratus ribu sel otak yang baharu terbentuk. Menurut anggaran, otak manusia dewasa terdiri daripada hampir seratus bilion sel yang dipanggil neuron, tetapi beratnya hanya sekitar 1.5 kilogram. Perhatikan beberapa kebolehan otak yang menakjubkan.

9. Apakah yang meyakinkan anda bahawa kebolehan untuk bercakap merupakan kurniaan Tuhan?

9 Kebolehan kita untuk bercakap. Fikirkan apa yang berlaku setiap kali kita bercakap. Bagi setiap perkataan yang kita ucapkan, otak kita perlu mengawal pergerakan kira-kira seratus otot dalam lidah, kerongkong, bibir, rahang, dan dada kita. Semua otot itu perlu bergerak pada masa yang tepat, supaya kata-kata kita dapat difahami. Hasil kajian yang diterbitkan pada tahun 2019 menunjukkan bahawa bayi yang baru dilahirkan dapat mengenal pasti perkataan yang diucapkan. Hasil kajian itu menyokong pendapat banyak penyelidik bahawa sejak lahir lagi, kita mempunyai kebolehan untuk mengenali dan mempelajari bahasa. Jelaslah, kebolehan untuk bercakap merupakan kurniaan Tuhan.​—Kel. 4:11.

10. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai kebolehan untuk bercakap?

10 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai kebolehan untuk bercakap? Salah satu caranya adalah dengan menjelaskan kepada orang yang mempercayai ajaran evolusi sebabnya kita percaya bahawa Tuhan menciptakan segala-galanya. (Mzm. 9:1; 1 Ptr. 3:15) Kita tidak menerima ajaran evolusi kerana menurut ajaran itu, bumi dan segala hidupan di bumi wujud secara kebetulan. Dengan menggunakan Bible dan maklumat dalam rencana ini, kita dapat mempertahankan Bapa kita yang di syurga dan menjelaskan sebabnya kita yakin bahawa Yehuwalah Pencipta langit dan bumi.​—Mzm. 102:25; Yes. 40:25, 26.

11. Apakah salah satu keistimewaan otak kita?

11 Kebolehan untuk menyimpan maklumat. Dahulu, seorang pengarang menganggarkan bahawa otak kita mampu menyimpan maklumat yang terkandung dalam 20 juta naskhah buku besar. Namun sekarang, para penyelidik berpendapat bahawa otak kita mampu menyimpan jauh lebih banyak maklumat daripada itu. Mengapakah kebolehan itu begitu istimewa?

12. Bagaimanakah kita berbeza daripada binatang?

12 Antara semua makhluk di bumi, hanya manusia yang mempunyai kebolehan untuk mengingat peristiwa lalu dan mengambil iktibar daripadanya. Hasilnya, kita dapat mengubah fikiran dan cara hidup kita lalu menjadi orang yang lebih baik. (1 Kor. 6:9-11; Kol. 3:9, 10) Kita juga dapat melatih hati nurani kita untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah. (Ibr. 5:14) Selain itu, kita dapat belajar untuk menunjukkan kasih dan belas kasihan, dan kita mampu meniru pandangan Yehuwa tentang keadilan.

13. Seperti yang dinyatakan di Mazmur 77:11, 12, bagaimanakah kita patut menggunakan kebolehan kita untuk menyimpan maklumat?

13 Salah satu cara kita menunjukkan bahawa kita menghargai kebolehan untuk menyimpan maklumat adalah dengan berusaha mengingati segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk membantu dan melegakan kita. Dengan itu, kita akan bertambah yakin bahawa Dia pasti akan membantu kita pada masa depan. (Baca Mazmur 77:11, 12; 78:4, 7) Satu lagi cara kita dapat menunjukkan penghargaan adalah dengan mengenang budi orang lain dan berterima kasih atas bantuan mereka. Menurut kajian, orang yang tahu bersyukur biasanya lebih bahagia. Kita juga dapat meniru cara Yehuwa menggunakan daya ingatan-Nya. Contohnya, Yehuwa mampu mengingati segala-galanya, tetapi jika kita bertaubat, Dia memilih untuk mengampunkan dan melupakan kesilapan kita. (Mzm. 25:7; 130:3, 4) Jadi, apabila orang lain melukai perasaan kita dan meminta maaf, Dia juga mahu kita memaafkan dan melupakan kesilapan mereka.​—Mat. 6:14; Luk. 17:3, 4.

Kita menunjukkan bahawa kita menghargai otak kita dengan menggunakannya untuk memuliakan Yehuwa (Lihat perenggan 14) *

14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai otak yang dikurniakan oleh Tuhan?

14 Kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai otak yang dikurniakan oleh Tuhan dengan menggunakan otak kita untuk memuliakan-Nya. Sesetengah orang menggunakan otak mereka demi kepentingan diri sendiri. Mereka ingin menentukan bagi diri sendiri apa yang benar dan salah. Namun, oleh sebab Yehuwalah yang menciptakan kita, sudah pasti piawaian-Nya jauh lebih baik daripada piawaian yang kita tetapkan. (Rm. 12:1, 2) Jika kita hidup menurut piawaian-Nya, kita akan menikmati kedamaian. (Yes. 48:17, 18) Selain itu, kita akan mempunyai tujuan hidup yang bermakna, iaitu untuk memuliakan Pencipta kita dan membuat Bapa kita bangga dengan kita.​—Ams. 27:11.

BIBLE​—FIRMAN TUHAN YANG TIDAK TERNILAI

15. Bagaimanakah Bible membuktikan bahawa Yehuwa mengasihi manusia?

15 Bible merupakan kurniaan daripada Tuhan kita yang pengasih. Bapa kita yang di syurga mengilhami orang untuk menulis Bible kerana Dia sangat menyayangi kita. Melalui Bible, Yehuwa menjawab soalan-soalan yang terpenting bagi kita seperti: Apakah asal usul kita? Apakah tujuan hidup kita? Apakah masa depan kita? Yehuwa ingin semua anak-Nya mengetahui jawapan kepada soalan-soalan itu, maka Dia telah menggerakkan orang untuk menterjemahkan Bible ke dalam banyak bahasa. Kini, seluruh atau sebahagian Bible terdapat dalam lebih daripada 3,000 bahasa! Bible merupakan buku yang diterjemahkan ke dalam paling banyak bahasa dan yang diedarkan dengan paling meluas. Walaupun orang tinggal di pelbagai tempat dan menuturkan pelbagai bahasa, kebanyakan daripada mereka berpeluang membaca Bible dalam bahasa mereka sendiri.​—Lihat kotak “ Menterjemahkan Bible ke dalam Bahasa-Bahasa Afrika.”

16. Berdasarkan Matius 28:19, 20, bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai Bible?

16 Kita menunjukkan bahawa kita menghargai Bible dengan membacanya setiap hari, merenungkan ajarannya, dan berusaha menerapkannya. Selain itu, kita juga ingin berusaha sedaya upaya untuk mengongsi ajaran Bible dengan seberapa ramai orang yang mungkin.​—Mzm. 1:1-3; Mat. 24:14; baca Matius 28:19, 20.

17. Kurniaan-kurniaan apakah yang telah kita bincangkan dalam rencana ini? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana yang seterusnya?

17 Setakat ini, kita telah membincangkan tiga kurniaan Tuhan, iaitu bumi kita, otak kita, dan Bible. Namun, terdapat kurniaan-kurniaan lain daripada Yehuwa yang tidak dapat dilihat. Rencana seterusnya akan membincangkan kurniaan-kurniaan itu.

LAGU 12 Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa

^ per. 5 Maklumat dalam rencana ini akan membantu kita menghargai Yehuwa dan tiga kurniaan-Nya. Maklumat ini juga akan membantu kita menjelaskan kepercayaan kita kepada orang yang meragui kewujudan Tuhan.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari mempelajari bahasa baharu supaya dapat mengajarkan kebenaran Firman Tuhan kepada pendatang asing.