Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 22

Hargailah Kurniaan-Kurniaan yang Tidak Dapat Dilihat

Hargailah Kurniaan-Kurniaan yang Tidak Dapat Dilihat

‘Tumpukan perhatian kamu kepada hal-hal yang tidak kelihatan kerana hal-hal yang kelihatan hanyalah sementara, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan kekal selama-lamanya.’​—2 KOR. 4:18.

LAGU 45 Renungan Hatiku

PENGENALAN *

1. Apakah yang dikatakan Yesus tentang harta di syurga?

BUKAN semua kurniaan dapat dilihat. Sebenarnya, kurniaan yang paling bernilai tidak dapat dilihat. Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus menyebut tentang kurniaan, atau harta, di syurga yang jauh lebih unggul daripada harta di bumi. Kemudian, dia menambah, “Di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.” (Mat. 6:19-21) Maksudnya, jika kita sangat menghargai sesuatu, kita akan memandangnya seperti “harta” dan terdorong untuk mencapainya. Apakah “harta di syurga” yang ingin kita kumpulkan? Harta itu ialah nama yang baik di mata Tuhan. Jika kita berusaha mengumpulkan “harta” itu, kita tidak akan kehilangannya kerana Yesus berkata bahawa “harta” itu tidak dapat dibinasakan atau dicuri.

2. (a) Menurut kata-kata Paulus di 2 Korintus 4:17, 18, kita harus bertumpu kepada apa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Rasul Paulus menggalakkan kita agar “menumpukan perhatian kepada hal-hal yang tidak kelihatan.” (Baca 2 Korintus 4:17, 18.) Hal-hal yang tidak kelihatan itu merangkumi pelbagai kurniaan yang akan kita nikmati dalam dunia baharu Tuhan. Namun, dalam rencana ini, kita akan mengkaji empat kurniaan yang tidak dapat dilihat, yang dapat kita miliki sekarang juga, iaitu persahabatan dengan Tuhan, penghormatan untuk berdoa, bantuan kuasa suci Tuhan, dan sokongan dari syurga semasa kita menginjil. Kita juga akan melihat cara untuk menunjukkan bahawa kita menghargai kurniaan-kurniaan itu.

PERSAHABATAN DENGAN YEHUWA

3. Apakah kurniaan terbesar yang tidak dapat dilihat? Apakah yang membolehkan kita menikmati kurniaan ini?

3 Kurniaan terbesar yang tidak dapat dilihat ialah persahabatan dengan Yehuwa. (Mzm. 25:14) Bagaimanakah Tuhan yang suci dapat bersahabat dengan manusia yang berdosa? Dia dapat berbuat demikian kerana korban tebusan Yesus “menghapuskan dosa” manusia. (Yoh. 1:29) Bagaimana pula dengan orang yang hidup sebelum Yesus mengorbankan nyawanya? Mereka pun dapat menjadi sahabat Yehuwa, kerana awal-awal lagi, Yehuwa tahu bahawa Yesus pasti setia sampai mati dan menyelamatkan manusia, termasuk mereka yang hidup sebelum zaman Yesus.​—Rm. 3:25.

4. Berikan contoh sesetengah sahabat Tuhan yang hidup sebelum zaman Yesus.

4 Fikirkan contoh sesetengah sahabat Tuhan yang hidup sebelum zaman Yesus. Abraham ialah seorang yang sangat beriman. Lebih daripada 1,000 tahun selepas Abraham meninggal, Yehuwa masih memanggilnya “sahabat-Ku.” (Yes. 41:8) Jelaslah, maut pun tidak dapat memisahkan Yehuwa daripada sahabat-Nya. Abraham masih hidup dalam ingatan Yehuwa. (Luk. 20:37, 38) Ayub ialah seorang yang ‘setia dan tulus hati, takut kepada Tuhan, dan menjauhi kejahatan.’ (Ayb. 1:6-8) Semasa para malaikat berkumpul di syurga, Yehuwa memuji Ayub di depan mereka. Daniel pula menyembah Yehuwa dalam kalangan bangsa kafir selama kira-kira 80 tahun. Sebanyak tiga kali, malaikat memberitahunya bahawa dia sangat berharga di mata Tuhan. (Dan. 9:23; 10:11, 19) Sudah pasti, Yehuwa menanti-nantikan masanya Dia membangkitkan sahabat-sahabat-Nya yang tersayang.​—Ayb. 14:15.

Apakah sesetengah cara untuk menunjukkan bahawa kita menghargai kurniaan-kurniaan yang tidak dapat dilihat? (Lihat perenggan 5) *

5. Bagaimanakah kita dapat menjadi sahabat akrab Yehuwa?

5 Hari ini terdapat jutaan lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang menjadi sahabat akrab Yehuwa meskipun mereka tidak sempurna. Bagaimanakah kita tahu bahawa mereka ialah sahabat Yehuwa? Melalui kelakuan mereka. Bible menyatakan bahawa Yehuwa “akrab dengan orang yang melakukan apa yang benar.” (Ams. 3:32) Mereka beriman kepada korban tebusan Yesus, lalu membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Jika kita juga mengambil langkah-langkah itu, kita akan menyertai jutaan orang Kristian yang menikmati persahabatan yang akrab dengan Tuhan Yang Maha Agung di alam semesta.

6. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai persahabatan kita dengan Tuhan?

6 Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai persahabatan kita dengan Tuhan? Seperti Abraham dan Ayub yang tetap setia kepada Tuhan untuk lebih daripada 100 tahun, kita mesti tetap setia kepada Tuhan, tidak kira berapa lama kita sudah menyembah Tuhan dalam dunia Syaitan. Seperti Daniel, kita mesti menganggap persahabatan kita dengan Tuhan lebih bernilai daripada nyawa kita sendiri. (Dan. 6:7, 10, 16, 22) Yakinlah bahawa dengan bantuan Yehuwa, kita dapat menghadapi apa sahaja cubaan dan tetap akrab dengan-Nya.​—Flp. 4:13.

PENGHORMATAN UNTUK BERDOA

7. (a) Menurut Amsal 15:8, apakah perasaan Yehuwa tentang doa kita? (b) Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa kita?

7 Satu lagi kurniaan yang tidak dapat dilihat ialah penghormatan untuk berdoa. Sebagaimana sahabat akrab saling mengongsi fikiran dan perasaan, Yehuwa memberitahu kita perasaan dan fikiran-Nya melalui Bible, dan kita pula memberitahu-Nya fikiran dan perasaan kita yang terpendam melalui doa. Yehuwa, Sahabat kita yang pengasih, suka mendengar doa kita. (Baca Amsal 15:8.) Namun Dia bukan sekadar mendengar doa kita, Dia juga menjawab doa kita. Ada kalanya, Yehuwa segera menjawab doa kita, tetapi pada masa yang lain, Dia ingin kita terus berdoa dengan tekun. Tidak kira bila Yehuwa menjawab doa kita, kita yakin bahawa Dia pasti menjawab doa kita pada masa yang tepat dan dalam cara yang terbaik. Ingatlah juga bahawa Yehuwa mungkin menjawab doa kita dalam cara yang tidak kita sangkakan. Misalnya, Dia mungkin tidak menghilangkan cubaan kita, tetapi memberi kita kebijaksanaan dan kekuatan supaya kita dapat “menanggungnya dengan tabah.”​—1 Kor. 10:13.

(Lihat perenggan 8) *

8. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan untuk berdoa?

8 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan untuk berdoa? Kita patut berdoa dengan kerap setiap hari. Dengan itu, kita sedang mematuhi nasihat Yehuwa untuk ‘terus berdoa dengan tekun.’ (Rm. 12:12; 1 Tes. 5:17) Yehuwa tidak memaksa kita untuk berdoa, sebaliknya Dia menghormati kebebasan kita untuk memilih. Semasa berdoa, kita juga perlu ingat untuk mengucapkan syukur dan pujian kepada Yehuwa.​—Mzm. 145:2, 3.

9. Apakah perasaan seorang saudara tentang doa? Apakah perasaan anda tentang doa?

9 Semakin lama kita menyembah Yehuwa dan melihat bagaimana Dia mengabulkan permohonan kita, semakin dalam penghargaan kita terhadap penghormatan untuk berdoa. Chris, seorang saudara yang telah berkhidmat sepenuh masa selama 47 tahun, berkata, “Saya suka bangun awal pagi untuk berdoa kepada Yehuwa. Semasa melihat matahari terbit dan embun pagi yang berkilau-kilauan, saya terdorong untuk mengucapkan syukur atas semua kurniaan-Nya, termasuk penghormatan untuk berdoa. Selepas berdoa pada waktu malam, saya dapat melelapkan mata kerana memiliki hati nurani yang bersih.”

BANTUAN KUASA SUCI TUHAN

10. Mengapakah kita sangat menghargai kuasa suci Tuhan?

10 Kuasa suci Tuhan merupakan satu lagi kurniaan yang tidak dapat dilihat. Yesus menggalakkan kita agar terus meminta kuasa suci Tuhan. (Luk. 11:9, 13) Melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa dapat memberi kita “kuasa luar biasa” dan membantu kita menghadapi apa sahaja cubaan.​—2 Kor. 4:7; Kis. 1:8.

(Lihat perenggan 11) *

11. Bagaimanakah kuasa suci Tuhan membantu kita?

11 Kuasa suci Tuhan dapat mengembangkan bakat kita dan meningkatkan kemahiran kita, supaya kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh Tuhan. Jadi, apabila kita meraih hasil yang baik, ingatlah bahawa kita hanya dapat melakukannya dengan bantuan kuasa suci Tuhan.

12. Menurut Mazmur 139:23, 24, kita boleh berdoa memohon apa?

12 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai bantuan kuasa suci Tuhan? Salah satu caranya adalah dengan berdoa agar Yehuwa memeriksa hati kita untuk melihat jika kita mempunyai kecenderungan atau keinginan yang salah. (Baca Mazmur 139:23, 24.) Jika kita berbuat demikian, Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu kita mengetahui keadaan hati kita. Jika kita menyedari bahawa terdapat kecenderungan atau keinginan yang salah dalam hati kita, kita patut berdoa agar kuasa suci Tuhan memberi kita kekuatan untuk melawannya. Dengan itu, kita menunjukkan bahawa kita enggan melakukan apa-apa yang akan menyebabkan Yehuwa berhenti memberi kita kuasa suci-Nya.​—Ef. 4:30.

13. Apakah yang dapat kita lakukan supaya kita lebih menghargai kuasa suci Tuhan?

13 Kita akan lebih menghargai kuasa suci Tuhan jika kita merenungkan apa yang dicapai melalui kuasa suci Tuhan pada zaman kita. Sebelum Yesus kembali ke syurga, dia memberitahu murid-muridnya, “Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku . . . sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Kata-kata itu sedang menjadi kenyataan pada zaman kita. Dengan adanya bantuan kuasa suci Tuhan, kira-kira 8.6 juta orang di serata dunia telah menjadi penyembah Yehuwa. Kita juga menikmati firdaus rohani, kerana kuasa suci Tuhan membantu kita memupuk sifat-sifat murni seperti kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, dan kawalan diri. (Gal. 5:22, 23) Tidakkah anda setuju bahawa kuasa suci Tuhan memang kurniaan yang berharga?

BANTUAN DARI SYURGA SEMASA KITA MENGINJIL

14. Apakah sokongan yang kita terima semasa kita menginjil?

14 Kita mempunyai satu lagi kurniaan yang tidak dapat dilihat, iaitu peluang untuk “bekerja bersama” Yehuwa dan bahagian organisasi-Nya yang di syurga. (2 Kor. 6:1) Paulus berkata bahawa mereka yang menyertai kerja penyebaran ialah “rakan sekerja Tuhan.” (1 Kor. 3:9) Jadi, setiap kali kita keluar menginjil dan menjadikan orang murid Yesus, kita sedang bekerja bersama Tuhan. Kita juga bekerja bersama Yesus semasa menginjil, kerana selepas Yesus menyuruh murid-muridnya ‘pergi kepada semua bangsa dan menjadikan mereka pengikutnya,’ dia berkata, “Aku akan sentiasa menyertai kamu.” (Mat. 28:19, 20) Semasa kita mengisytiharkan “berita baik yang kekal . . . kepada orang yang tinggal di bumi,” kita juga bekerja bersama para malaikat, kerana mereka membimbing kita dalam kerja ini.​—Why. 14:6.

15. Berikan contoh daripada Bible yang menunjukkan bagaimana Yehuwa membantu kita semasa kita melakukan kerja penyebaran.

15 Apakah yang dapat kita laksanakan dengan adanya sokongan dari syurga? Semasa kita menanam benih Kerajaan Tuhan, sesetengah benih jatuh di tanah yang subur lalu bertumbuh. (Mat. 13:18, 23) Siapakah yang menyebabkan benih kebenaran bertumbuh dan membuahkan hasil? Yesus menjelaskan bahawa tiada seorang pun yang dapat menjadi pengikutnya kecuali “Bapa . . . memimpinnya.” (Yoh. 6:44) Bible memberikan satu contoh tentang hal ini. Semasa Paulus memberikan kesaksian kepada sekumpulan wanita di luar kota Filipi, seorang wanita yang bernama Lidia juga berada di situ. Bible menyatakan bahawa “Yehuwa membuka hati Lidia dengan sepenuhnya agar dia dapat menumpukan perhatian kepada kata-kata Paulus.” (Kis. 16:13-15) Seperti Lidia, jutaan orang telah dipimpin oleh Yehuwa untuk menjadi murid Yesus.

16. Siapakah yang harus dipuji semasa kita meraih hasil yang baik dalam kerja penyebaran?

16 Siapakah yang harus dipuji jika kita meraih hasil yang baik dalam kerja penyebaran? Jawapannya terdapat dalam surat Paulus kepada sidang di Korintus: “Aku menanam, Apolos menyiram, tetapi Tuhanlah yang menyebabkannya terus bertumbuh. Jadi orang yang menanam atau orang yang menyiram tidaklah penting. Yang penting ialah Tuhan yang menyebabkannya bertumbuh.” (1 Kor. 3:6, 7) Seperti Paulus, setiap kali kita meraih hasil yang baik dalam kerja penyebaran, kita harus memuji Yehuwa.

17. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan untuk “bekerja bersama” Tuhan, Kristus, dan para malaikat?

17 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan untuk “bekerja bersama” Tuhan, Kristus, dan para malaikat? Kita dapat berbuat demikian dengan mencari peluang untuk mengongsi berita baik dengan orang lain. Terdapat pelbagai cara untuk berbuat demikian, contohnya dengan menginjil “di depan umum dan dari rumah ke rumah.” (Kis. 20:20) Ramai saudara saudari juga suka membuat kesaksian tidak formal. Semasa mereka berjumpa dengan seseorang yang tidak dikenali, mereka menyapanya dan cuba berbual dengannya. Jika orang itu sudi berbual, mereka akan mencari peluang yang sesuai untuk bercakap tentang Kerajaan Tuhan.

(Lihat perenggan 18) *

18-19. (a) Bagaimanakah kita menyiram benih kebenaran? (b) Ceritakan satu pengalaman yang menunjukkan bagaimana Yehuwa membantu seorang pelajar Bible.

18 Sebagai “rakan sekerja Tuhan,” kita bukan sahaja menanam benih kebenaran, tetapi juga menyiramnya. Setelah bertemu dengan seseorang yang berminat, kita ingin berusaha sedaya upaya untuk mengunjunginya lagi, atau mengaturkan supaya orang lain menghubunginya dan memulakan pembelajaran Bible dengannya. Apabila orang itu terus mempelajari Bible, Yehuwa dapat membantunya mengubah fikiran dan perasaannya. Semasa melihat hal itu berlaku, kita tentu amat bersukacita.

19 Fikirkan contoh seorang saudara di Afrika Selatan yang dahulunya seorang bomoh. Dia sangat suka mempelajari Bible, tetapi dia berasa susah untuk menerima ajaran Bible bahawa kita tidak boleh berhubung dengan nenek moyang yang sudah meninggal. (Ul. 18:10-12) Namun, dia membiarkan Yehuwa membentuk fikirannya secara beransur-ansur. Akhirnya, dia berhenti menjadi bomoh, walaupun itulah mata pencariannya. Kini, dia sudah berumur 60 tahun, dan dia berkata, “Saya sangat berterima kasih kepada Saksi-Saksi Yehuwa kerana memberi saya banyak bantuan, seperti membantu saya mencari kerja. Yang terpenting, saya bersyukur kepada Yehuwa kerana membantu saya mengubah kehidupan saya. Sekarang, saya dapat menjadi Saksi-Nya yang terbaptis dan menyertai kerja penyebaran.”

20. Apakah tekad anda?

20 Dalam rencana ini, kita sudah membincangkan empat kurniaan yang tidak dapat dilihat. Antara empat kurniaan itu, kurniaan yang terbesar ialah penghormatan untuk menjadi sahabat karib Yehuwa. Persahabatan itu membolehkan kita menikmati kurniaan-kurniaan yang lain, iaitu penghormatan untuk berdoa, bantuan kuasa suci Tuhan, dan bantuan dari syurga semasa kita menginjil. Semoga kita bertekad untuk semakin menghargai kurniaan-kurniaan itu, dan semoga kita terus mengucapkan syukur kepada Yehuwa, Sahabat terbaik kita.

LAGU 145 Firdaus yang Dijanjikan Tuhan

^ per. 5 Rencana sebelumnya telah membincangkan beberapa kurniaan Tuhan yang dapat dilihat. Rencana ini pula akan membincangkan beberapa kurniaan Tuhan yang tidak dapat dilihat, dan cara kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargainya. Rencana ini juga akan memperdalam penghargaan kita terhadap Yehuwa, Sumber segala kurniaan itu.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: (1) Semasa melihat ciptaan Yehuwa, seorang saudari memikirkan persahabatannya dengan Yehuwa.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: (2) Saudari itu meminta kekuatan daripada Yehuwa untuk memberikan kesaksian.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: (3) Kuasa suci Tuhan memberi saudari itu keberanian untuk memberikan kesaksian tidak formal.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: (4) Saudari itu mengadakan pembelajaran Bible dengan orang yang dijumpainya. Saudari itu mendapat sokongan para malaikat semasa dia menginjil dan membantu orang menjadi murid Yesus.