Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 26

“Kembalilah kepada Aku”

“Kembalilah kepada Aku”

“Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu.”​—MAL. 3:7.

LAGU 102 “Membantu Mereka yang Lemah”

PENGENALAN *

1. Apakah perasaan Yehuwa apabila seseorang yang tidak aktif kembali kepada-Nya?

SEPERTI yang telah kita bincangkan dalam rencana sebelumnya, Yehuwa menyamakan diri-Nya dengan seorang gembala yang baik, yang menjaga setiap bebiri-Nya dengan penuh kasih. Dia juga mencari bebiri-Nya yang hilang. Yehuwa berfirman kepada orang Israel yang meninggalkan-Nya, “Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu.” Yehuwa tidak berubah, maka Dia masih mempunyai perasaan yang sama terhadap hamba-Nya yang tidak aktif pada hari ini. (Mal. 3:6, 7) Yesus berkata bahawa Yehuwa dan para malaikat sangat bersukacita apabila seorang hamba-Nya yang tidak aktif kembali kepada-Nya.​—Luk. 15:10, 32.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga perumpamaan Yesus yang mengajar kita cara untuk membantu orang yang tidak aktif. Kita akan mengenal pasti sifat-sifat yang kita perlukan untuk membantu bebiri yang hilang kembali kepada Yehuwa, dan kita juga akan membincangkan mengapa usaha kita berbaloi.

MENCARI WANG YANG HILANG

3-4. Mengapakah wanita yang disebut di Lukas 15:8-10 mencari wang peraknya dengan begitu teliti?

3 Kita perlu berusaha keras untuk mencari orang yang ingin kembali kepada Yehuwa. Perumpamaan Yesus yang tercatat dalam buku Lukas menggambarkan usaha yang dicurahkan oleh seorang wanita untuk mencari wang peraknya yang hilang.​—Baca Lukas 15:8-10.

4 Pada zaman Yesus, sesetengah ibu menghadiahkan satu set wang perak kepada anak perempuan mereka semasa anak perempuan mereka berkahwin. Set itu biasanya terdiri daripada 10 keping wang perak. Barangkali wanita dalam perumpamaan Yesus kehilangan salah satu daripada wang perak yang diberikan oleh ibunya. Dia berfikir bahawa wang peraknya mungkin jatuh di lantai. Jadi, dia menyalakan pelita dan cuba mencarinya. Tetapi, dia tidak menemuinya kerana wang peraknya kecil dan pelitanya tidak cukup terang. Oleh itu, dia menyapu seluruh rumahnya. Akhirnya, dalam timbunan habuk yang disapunya, dia menjumpai wang peraknya yang berharga itu. Alangkah gembiranya wanita itu! Dia segera memanggil kawan-kawan dan jiran-jirannya untuk mengongsi berita baik itu.

5. Mengapakah usaha keras diperlukan untuk mencari orang yang tidak lagi bergaul dengan sidang?

5 Perumpamaan Yesus menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk mencari sesuatu yang hilang. Begitu juga, usaha keras diperlukan untuk mencari orang yang tidak lagi bergaul dengan sidang. Mengapa? Mereka mungkin sudah tidak aktif selama bertahun-tahun. Ada yang sudah berpindah ke tempat lain, dan saudara saudari tempatan tidak mengenali mereka. Namun, ada antara mereka yang ingin kembali kepada Yehuwa dan menyembah-Nya bersama saudara saudari. Oleh itu, mereka memerlukan bantuan kita.

6. Bagaimanakah semua ahli sidang dapat membantu mencari orang yang tidak aktif?

6 Siapakah yang dapat membantu mencari orang yang tidak aktif? Semua orang dalam sidang, termasuk para penatua, perintis, penyiar, dan ahli keluarga orang yang tidak aktif. Adakah anda mempunyai sahabat atau saudara-mara yang tidak aktif? Adakah anda berjumpa dengan seseorang yang tidak aktif semasa menginjil dari rumah ke rumah atau menjalankan kesaksian awam? Jelaskan kepadanya bahawa jika dia sudi dikunjungi, anda boleh memberikan nombor telefon atau alamatnya kepada penatua di sidang.

7. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata seorang penatua yang bernama Thomas?

7 Apakah yang dapat dilakukan oleh para penatua untuk mencari orang yang ingin kembali kepada Yehuwa? Thomas, * seorang penatua dari Sepanyol yang pernah membantu lebih daripada 40 orang Saksi untuk kembali ke sidang, berkata, “Mula-mula, saya akan menanya ahli sidang jika mereka tahu di mana saudara saudari yang tidak aktif tinggal, atau jika mereka mengenali mana-mana penyiar yang tidak lagi menghadiri perjumpaan. Kebanyakan saudara saudari sangat bersemangat untuk menghulurkan bantuan kerana mereka pun ingin membantu mencari orang yang tidak aktif. Semasa saya melawat orang yang tidak aktif, saya akan bertanya tentang anak dan saudara-mara mereka. Ada antara mereka yang dahulunya membawa anak-anak mereka ke perjumpaan, dan anak-anak itu mungkin dahulunya penyiar. Anak-anak itu juga dapat dibantu untuk kembali kepada Yehuwa.”

MEMBAWA ORANG YANG TIDAK AKTIF KEMBALI KE SIDANG

8. Menurut Lukas 15:17-24, apakah reaksi bapa itu apabila anaknya bertaubat?

8 Apakah sifat-sifat yang kita perlukan untuk membantu orang kembali kepada Yehuwa? Perhatikan perumpamaan Yesus tentang anak yang sesat. (Baca Lukas 15:17-24.) Apabila anak itu akhirnya insaf dan pulang kepada bapanya, bapanya berlari ke arahnya dan memeluknya dengan erat untuk meyakinkan anak itu bahawa dia amat disayangi. Apabila anak itu berkata bahawa dia berasa sangat bersalah dan tidak layak lagi dilayan sebagai seorang anak, bapa itu mendengar luahannya dan cuba menyelami perasaannya. Kemudian, bapa itu memberi anaknya pakaian yang terbaik dan mengadakan jamuan untuk meyakinkan anaknya bahawa dia diterima kembali, bukan sebagai pekerja upahan, tetapi sebagai ahli keluarga yang tersayang.

9. Apakah sifat-sifat yang kita perlukan untuk membantu orang yang tidak aktif kembali kepada Yehuwa? (Lihat kotak “ Cara Membantu Mereka yang Ingin Kembali.”)

9 Yehuwa adalah seperti bapa dalam perumpamaan itu. Dia mengasihi saudara saudari kita yang tidak aktif dan ingin mereka kembali kepada-Nya. Dengan meniru Yehuwa dan menunjukkan kesabaran, empati, dan kasih, kita dapat membantu mereka. Mengapakah tiga sifat itu begitu penting? Bagaimanakah kita dapat menunjukkannya?

10. Mengapakah kita perlu bersabar semasa membantu seseorang pulih secara rohani?

10 Kita perlu bersabar kerana orang yang tidak aktif memerlukan masa untuk pulih secara rohani. Ramai orang yang dahulunya tidak aktif mengaku bahawa mereka terdorong untuk menyembah Yehuwa semula hanya selepas dikunjungi berulang kali oleh para penatua dan orang lain di sidang. Nancy, seorang saudari dari Asia Tenggara, menulis, “Seorang kawan baik di sidang banyak membantu saya. Saudari itu seperti seorang adik yang penyayang. Dia mengingatkan saya tentang pengalaman baik yang kami nikmati dahulu. Semasa saya meluahkan perasaan saya, dia akan mendengar dengan sabar. Dia juga tidak teragak-agak untuk menasihati saya apabila perlu. Dia memang sahabat sejati yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan.”

11. Mengapakah sifat empati diperlukan untuk mengubati hati yang terluka?

11 Sifat empati sangat berkesan untuk mengubati hati yang terluka. Sesetengah orang menjadi tidak aktif kerana disakiti oleh seorang ahli sidang bertahun-tahun yang lalu. Mereka mungkin berasa susah untuk kembali kepada Yehuwa kerana mereka masih tersinggung dan berfikir bahawa mereka dilayan dengan tidak adil. Oleh itu, mereka memerlukan seseorang yang sudi mendengar luahan mereka dan menyelami perasaan mereka. (Yak. 1:19) María, yang pernah menjadi tidak aktif, berkata, “Saya memerlukan seseorang yang sudi mendengar luahan saya, melegakan saya, membantu saya, dan menasihati saya.”

12. Mengapakah kasih Yehuwa bagaikan tali? Berikan contoh.

12 Bible menggambarkan kasih Yehuwa terhadap umat-Nya seperti seutas tali. Melalui Nabi Hosea, Yehuwa berfirman, ‘Dengan penuh kasih, Aku membimbing mereka [orang Israel yang menjauhi-Nya] kepada-Ku dengan menggunakan tali.’ (Hos. 11:4, nota kaki) Mengapakah kasih Tuhan bagaikan tali? Bayangkan anda hampir lemas di laut yang bergelora dan seseorang melemparkan pelampung kepada anda. Anda pasti bersyukur kerana pelampung itu dapat memastikan agar anda tidak tenggelam. Namun, sekadar memiliki pelampung tidak cukup. Anda juga memerlukan tali supaya orang di dalam bot penyelamat dapat menarik anda ke arah mereka. Hari ini, ramai orang yang tidak aktif hampir lemas dalam masalah dan kekhuatiran mereka. Mereka memerlukan “tali,” iaitu kasih Yehuwa, agar dapat kembali kepada-Nya. Yehuwa ingin mereka merasai kasih-Nya, dan Dia dapat menggunakan anda untuk berbuat demikian.

13. Ceritakan sebuah pengalaman yang menunjukkan bagaimana kasih kita dapat membantu orang yang ingin kembali kepada Yehuwa.

13 Kita perlu meyakinkan orang yang tidak aktif bahawa Yehuwa dan saudara saudari mengasihi mereka. Hal ini sangat penting. Pablo, yang disebut dalam rencana sebelum ini, telah menjadi tidak aktif untuk lebih daripada 30 tahun. Dia berkata, “Satu pagi, semasa saya hendak keluar dari rumah, seorang saudari tua yang baik hati dan pengasih datang dan bercakap kepada saya. Saya menangis teresak-esak. Saya memberitahunya bahawa saya rasa Yehuwa telah mengutusnya untuk bercakap kepada saya. Pada saat itu saya memutuskan untuk kembali kepada Yehuwa.”

MENYOKONG ORANG YANG LEMAH DENGAN PENUH KASIH

14. Menurut perumpamaan di Lukas 15:4, 5, apakah yang dilakukan gembala itu setelah menemui bebirinya yang sesat?

14 Orang yang tidak aktif memerlukan sokongan yang berterusan. Seperti anak yang sesat dalam perumpamaan Yesus, mereka mungkin mempunyai luka emosi yang dalam. Oleh sebab mereka sudah lama berada dalam dunia Syaitan, mereka mungkin lemah secara rohani. Jadi, kita perlu membantu menguatkan iman mereka terhadap Yehuwa. Dalam perumpamaan tentang bebiri yang sesat, Yesus menceritakan bagaimana seorang gembala meluangkan banyak masa dan tenaga untuk mencari bebirinya yang sesat. Setelah menemuinya, gembala itu mendapati bahawa bebiri itu terlalu lemah, maka dia memikul bebiri itu dan membawanya kembali ke kawanan.​—Baca Lukas 15:4, 5.

15. Bagaimanakah kita dapat membantu orang yang ingin kembali kepada Yehuwa? (Lihat kotak “ Bahan yang Amat Berguna.”)

15 Untuk membantu orang yang tidak aktif mengatasi kelemahan mereka dan menyembah Yehuwa semula, kita mungkin perlu meluangkan banyak masa dan tenaga. Tetapi dengan adanya kuasa suci Yehuwa, Firman-Nya, dan bahan bacaan daripada organisasi-Nya, kita dapat membantu mereka pulih secara rohani. (Rm. 15:1) Seorang penatua yang berpengalaman berkata, “Kebanyakan orang yang tidak aktif, yang ingin kembali kepada Yehuwa, memerlukan pembelajaran Bible.” * Jadi, jika anda diminta mengadakan pembelajaran Bible dengan seseorang yang tidak aktif, lakukannya dengan rela hati. Penatua itu menambah, “Penyiar yang mengadakan pembelajaran Bible haruslah menjadi sahabat baik yang dapat dipercayai, yang sudi mendengar luahan hati orang yang tidak aktif itu.”

SUKACITA DI SYURGA DAN DI BUMI

16. Bagaimanakah kita tahu bahawa para malaikat sedang menyokong usaha kita untuk mencari orang yang tidak aktif?

16 Banyak pengalaman menunjukkan bahawa para malaikat sedang membantu kita mencari orang yang tidak aktif, yang ingin kembali kepada Yehuwa. (Why. 14:6) Fikirkan contoh Silvio dari Ecuador. Pada suatu hari, dia berdoa dan merayu agar Yehuwa membantunya kembali ke sidang. Semasa dia sedang berdoa, loceng rumahnya tiba-tiba berbunyi. Rupa-rupanya dua orang penatua datang melawatnya. Semasa lawatan itu, mereka sangat gembira kerana dapat membantunya kembali kepada Yehuwa.

17. Apakah berkat yang kita terima semasa membantu mereka yang tidak aktif?

17 Kita akan meraih sukacita yang besar semasa membantu seseorang kembali kepada Yehuwa. Salvador, seorang perintis yang berfokus untuk membantu orang yang tidak aktif, berkata, “Ada kalanya, semasa terfikir bagaimana Yehuwa menyelamatkan seekor bebiri-Nya daripada dunia Syaitan, saya begitu terharu sehingga menangis. Saya berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Yehuwa untuk membantu bebiri-Nya.”​—Kis. 20:35.

18. Jika anda ialah seorang penyiar yang tidak aktif, anda dapat yakin akan hal apa?

18 Jika anda ialah seorang penyiar yang tidak aktif, yakinlah bahawa Yehuwa masih mengasihi anda dan ingin anda kembali kepada-Nya. Memang benar, anda perlu mengambil langkah-langkah tertentu untuk kembali. Namun, ingatlah bahawa seperti bapa dalam perumpamaan Yesus, Yehuwa sentiasa menantikan kepulangan anda, dan Dia pasti menyambut anda dengan tangan terbuka.

LAGU 103 Gembala​—Kurniaan Tuhan

^ per. 5 Yehuwa menjemput mereka yang tidak aktif untuk kembali kepada-Nya. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat membantu dan menggalakkan mereka yang ingin menerima jemputan Yehuwa.

^ per. 7 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 15 Sesetengah orang yang tidak aktif dibantu setelah mempelajari bahagian-bahagian tertentu dalam buku Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan. Yang lain telah meraih manfaat daripada bab-bab tertentu dalam buku Hampirilah Yehuwa. Jawatankuasa Sidang akan memilih penyiar yang paling sesuai untuk mengadakan pembelajaran Bible dengan seseorang yang tidak aktif.

^ per. 68 KETERANGAN GAMBAR: Tiga orang saudara membantu seorang saudara yang ingin kembali kepada Yehuwa. Mereka terus mengunjunginya, meyakinkannya bahawa dia dikasihi, dan berusaha menyelami perasaannya semasa dia meluahkan isi hatinya.