Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 23

“Semoga Nama-Mu Disucikan”

“Semoga Nama-Mu Disucikan”

“Ya Yehuwa, nama-Mu akan kekal selama-lamanya.”​—MZM. 135:13.

LAGU 10 Pujilah Yehuwa, Tuhan Kita!

PENGENALAN *

1-2. Apakah topik-topik yang menarik minat Saksi-Saksi Yehuwa?

KITA berdepan dengan isu yang sangat penting, iaitu kedaulatan Tuhan dan penyucian nama-Nya. Topik-topik ini sangat menarik bagi kita sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Dua topik ini nampaknya berbeza, tetapi sebenarnya berkait rapat.

2 Kita semua telah belajar bahawa nama Tuhan mesti disucikan. Kita juga belajar bahawa kedaulatan Yehuwa mesti ditegakkan. Maksudnya, semua orang mesti sedar bahawa cara pemerintahan-Nya ialah cara yang terbaik. Kedua-dua isu ini sangat penting.

3. Nama Yehuwa merangkumi apa?

3 Nama Yehuwa merangkumi segala-galanya tentang Tuhan kita, termasuk cara Dia memerintah sebagai Pemerintah Tertinggi di alam semesta. Jadi, jika kita berkata bahawa penyucian nama Yehuwa ialah isu yang terpenting, kita juga sedang berkata bahawa semua orang mesti sedar bahawa cara Yehuwa memerintah ialah cara yang terbaik.​—Lihat kotak “ Hal-Hal Lain yang Terlibat.”

4. Bagaimanakah Mazmur 135:13 menggambarkan nama Tuhan? Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam rencana ini?

4 Nama Yehuwa sangat istimewa. (Baca Mazmur 135:13.) Mengapakah nama-Nya begitu penting? Bagaimanakah nama Tuhan dicela? Bagaimanakah Tuhan menyucikan nama-Nya? Bagaimanakah kita dapat membantu mempertahankan nama-Nya? Mari kita menjawab soalan-soalan ini.

MENGAPAKAH NAMA BEGITU PENTING?

5. Semasa mendengar bahawa nama Tuhan perlu disucikan, apakah yang mungkin difikirkan oleh sesetengah orang?

5 “Semoga nama-Mu disucikan.” (Mat. 6:9) Yesus berkata bahawa itulah hal utama yang harus kita mohon semasa berdoa. Tetapi, apakah maksud kata-kata itu? Menyucikan sesuatu bermaksud menjadikan hal itu kudus, bersih, atau murni. Namun, sesetengah orang mungkin bertanya, “Bukankah nama Yehuwa sudah suci, murni, dan bersih? Mengapakah nama-Nya perlu disucikan lagi?” Untuk menjawab soalan ini, kita perlu mengetahui apa yang terangkum dalam nama seseorang.

6. Mengapakah nama begitu penting?

6 Nama bukan sekadar perkataan yang ditulis atau diucapkan. Bible menyatakan, “Memilih nama baik lebih baik daripada memilih kekayaan yang melimpah.” (Ams. 22:1; Pkh. 7:1) Mengapakah nama begitu penting? Kerana nama melibatkan reputasi seseorang, iaitu pandangan dan perasaan orang lain terhadap individu yang menyandang nama itu.

7. Bagaimanakah orang mencela nama Tuhan?

7 Apabila orang mengatakan hal yang tidak benar tentang Yehuwa, mereka sedang mencuba merosakkan reputasi-Nya atau mencela nama-Nya. Kali pertama hal sebegini berlaku adalah semasa di Taman Eden. Mari kita perhatikan apa yang berlaku.

BAGAIMANA NAMA TUHAN DICELA

8. Apakah yang diketahui Adam dan Hawa? Apakah soalan-soalan yang timbul?

8 Adam dan Hawa mengetahui nama Yehuwa dan hal-hal yang penting tentang-Nya. Contohnya, mereka tahu bahawa Yehuwa ialah Pencipta yang memberi mereka nyawa, firdaus yang indah, dan pasangan hidup yang sempurna. (Kej. 1:26-28; 2:18) Namun, adakah mereka terus menggunakan minda mereka yang sempurna untuk merenungkan segala kebaikan Yehuwa terhadap mereka? Adakah mereka terus berusaha supaya kasih dan penghargaan mereka terhadap Yehuwa semakin bertambah? Mari kita lihat apa yang berlaku semasa musuh Tuhan menguji mereka.

9. Menurut Kejadian 2:16, 17 dan 3:1-5, apakah perintah Yehuwa kepada pasangan manusia yang pertama? Bagaimanakah Syaitan memutarbelitkan kebenaran itu?

9 Baca Kejadian 2:16, 17 dan 3:1-5. Yehuwa mengizinkan Adam dan Hawa memakan buah daripada semua pokok di Taman Eden kecuali buah daripada satu batang pokok. (Kej. 2:9) Jelaslah, Yehuwa ialah Tuhan yang sangat murah hati. Namun, Syaitan memutarbelitkan kebenaran itu. Melalui seekor ular, dia bertanya kepada Hawa, “Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada semua pokok di taman ini?” Secara tidak langsung, Syaitan cuba menyebarkan dusta tentang Tuhan. Melalui soalan itu, Syaitan cuba membuat Hawa berfikir bahawa Tuhan sangat kedekut dan menahan sesuatu yang baik daripadanya.

10. Bagaimanakah Syaitan mencela nama Tuhan secara terang-terangan? Apakah kesannya?

10 Semasa Syaitan menanyakan soalan itu, Hawa masih menganggap Yehuwa sebagai Pemerintahnya. Dia memberitahu Syaitan bahawa mereka tidak dibenarkan memakan buah daripada pokok itu dan bahkan dilarang menyentuh pokok itu. Hawa tahu bahawa jika dia melanggar perintah Tuhan, mereka akan mati. Tetapi, Syaitan menjawab, “Kamu pasti tidak akan mati.” (Kej. 3:2-4) Dengan berkata demikian, Syaitan secara terang-terangan mencela nama Tuhan. Oleh sebab dia memberitahu Hawa bahawa Yehuwa ialah pendusta, Syaitan menjadikan dirinya Iblis yang bermaksud “Pemfitnah.” Sedihnya, Hawa mempercayai dusta Syaitan. (1 Tim. 2:14) Dia lebih mempercayai Syaitan daripada mempercayai Yehuwa. Akibatnya, dia membuat keputusan yang bodoh dengan mudah sekali. Dia mula memakan buah larangan itu. Kemudian, dia juga memberikan buah itu kepada Adam.​—Kej. 3:6.

11. Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh Adam dan Hawa?

11 Fikirkan sejenak apa yang sepatutnya dikatakan oleh Hawa kepada Syaitan. Bayangkan jika Hawa berkata, “Saya tidak kenal kamu. Tetapi saya kenal Bapaku, Yehuwa, dan saya mengasihi-Nya dan mempercayai-Nya. Dia telah memberi Adam dan saya segala-galanya. Berani kamu bercakap buruk tentang-Nya! Pergi dari sini!” Jika Hawa berkata demikian untuk menunjukkan kasih dan kesetiaannya, Yehuwa pasti sangat gembira! (Ams. 27:11) Sedihnya, Adam dan Hawa tidak memiliki kasih setia terhadap Yehuwa. Akibatnya, mereka gagal mempertahankan nama Yehuwa ketika Syaitan memfitnah-Nya.

12. Bagaimanakah Syaitan membuat Hawa ragu-ragu terhadap Yehuwa? Apakah yang tidak dilakukan oleh Adam dan Hawa?

12 Seperti yang kita lihat tadi, semasa Syaitan mula mencela nama Yehuwa, dia cuba membuat Hawa ragu-ragu sama ada Yehuwa benar-benar ialah Bapa yang baik atau tidak. Oleh sebab Adam dan Hawa tidak mempertahankan nama Yehuwa, mereka terpengaruh dengan mudah lalu memberontak terhadap Bapa mereka. Hari ini, Syaitan menggunakan muslihat yang sama. Dia mencela nama Yehuwa dengan menyebarkan dusta tentang-Nya. Orang yang mempercayai dusta Syaitan akan terpengaruh dengan mudah lalu menolak pemerintahan Yehuwa yang adil.

YEHUWA MENYUCIKAN NAMA-NYA

13. Menurut Yehezkiel 36:23, apakah mesej utama Bible?

13 Adakah Yehuwa membiarkan nama-Nya dicela begitu sahaja? Tidak. Seluruh Bible mengisahkan bagaimana Yehuwa bertindak untuk menyucikan nama-Nya yang dicela di Taman Eden. (Kej. 3:15) Sebenarnya, inilah mesej utama seluruh Bible: Yehuwa akan menggunakan Kerajaan yang diperintah oleh Anak-Nya untuk menyucikan nama-Nya dan memulihkan keadilan dan kedamaian di bumi. Dengan membaca Bible, kita dapat memahami bagaimana Yehuwa menyucikan nama-Nya.​—Baca Yehezkiel 36:23.

14. Cara Yehuwa menangani pemberontakan di Taman Eden menyucikan nama-Nya. Jelaskan.

14 Syaitan telah menggunakan bermacam-macam cara untuk menggagalkan tujuan Yehuwa, tetapi dia tidak pernah berjaya. Catatan Bible tentang perbuatan Yehuwa membuktikan bahawa Yehuwa sesungguhnya Bapa yang pengasih dan Pemerintah yang terbaik. Memang benar, Yehuwa sangat sedih semasa Syaitan dan para penyokongnya memberontak. (Mzm. 78:40) Namun, cara Dia menangani masalah ini menunjukkan bahawa Dia ialah Tuhan yang bijaksana, sabar, adil, dan maha kuasa. Yang terpenting, segala perbuatan Yehuwa menunjukkan kasih-Nya. (1 Yoh. 4:8) Ya, sejak dahulu lagi, Yehuwa sentiasa bertindak untuk menyucikan nama-Nya.

Syaitan memfitnah Yehuwa semasa di Taman Eden. Sampai hari ini, dia masih mencela nama Tuhan (Lihat perenggan 9-10, 15) *

15. Hari ini, bagaimanakah Syaitan mencela nama Tuhan? Apakah kesannya jika orang mempercayai dusta Syaitan?

15 Hari ini, Syaitan masih mencela nama Tuhan. Dia menipu orang dan membuat mereka percaya bahawa Yehuwa bukanlah Tuhan yang berkuasa, adil, bijaksana, dan pengasih. Misalnya, Syaitan cuba membuat orang percaya bahawa Yehuwa bukanlah Pencipta. Bagi orang yang mempercayai kewujudan Tuhan, Syaitan cuba membuat mereka percaya bahawa Tuhan tidak adil dan hukum-Nya terlalu mengongkong. Dia bahkan mengajar orang bahawa Yehuwa kejam dan tidak berhati perut kerana akan membakar orang dalam api neraka. Jika orang mempercayai dusta sebegini, dengan mudah sekali mereka akan mengambil langkah yang seterusnya, iaitu menolak pemerintahan Yehuwa yang adil. Selagi Syaitan tidak dibinasakan, dia akan terus mencela nama Yehuwa, dan dia akan cuba mempengaruhi anda untuk meninggalkan Yehuwa. Adakah dia akan berjaya?

PERANAN ANDA DALAM ISU YANG TERPENTING

16. Apakah peluang yang anda miliki?

16 Yehuwa memberi manusia yang tidak sempurna peluang untuk membantu menyucikan nama-Nya. Dalam kata lain, anda berpeluang melakukan apa yang gagal dilakukan oleh Adam dan Hawa. Meskipun dunia ini penuh dengan orang yang mencela dan menghina nama Yehuwa, anda berpeluang untuk mempertahankan nama-Nya dan memberitahu orang kebenaran bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang suci, adil, baik, dan pengasih. (Yes. 29:23) Anda juga berpeluang menyokong pemerintahan Yehuwa dan membantu orang lain sedar bahawa pemerintahan Tuhan sahajalah yang benar-benar adil dan akan membawa kedamaian dan kebahagiaan kepada semua ciptaan-Nya.​—Mzm. 37:9, 37; 146:5, 6, 10.

17. Bagaimanakah Yesus membuat nama Bapanya nyata?

17 Apabila kita mempertahankan nama Yehuwa, kita sedang meniru teladan Yesus Kristus. (Yoh. 17:26) Yesus membuat nama Bapanya nyata, bukan sahaja dengan menggunakan nama Bapanya, tetapi juga dengan mengajarkan kebenaran tentang Yehuwa. Contohnya, orang Farisi sering membuat Yehuwa kelihatan seperti Tuhan yang zalim, terlalu tegas, jauh daripada manusia, dan tidak berbelas kasihan. Tetapi Yesus membantu orang sedar bahawa Bapanya sebenarnya munasabah, sabar, pengasih, dan rela mengampuni. Dia juga membuat nama Bapanya nyata menerusi cara hidupnya, kerana dia sentiasa mencerminkan sifat-sifat Bapanya dengan sempurna.​—Yoh. 14:9.

18. Bagaimanakah kita dapat membantu menyucikan nama Yehuwa?

18 Bagaimanakah manusia yang tidak sempurna seperti kita dapat meniru Yesus dan menyucikan nama Yehuwa? Salah satu cara adalah dengan memberitahu orang lain apa yang kita ketahui tentang Yehuwa. Apabila kita mengajar orang bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih dan baik hati, kita sedang menyucikan nama Yehuwa yang dicela dan membantu orang lain untuk mengenali dan menghormati nama suci-Nya. Cara yang kedua adalah dengan meniru sifat-sifat Yehuwa. (Ef. 5:1, 2) Apabila kata-kata dan perbuatan kita membantu orang lain mengenali keperibadian Yehuwa yang sebenar, kita sedang membantu menyucikan nama-Nya. Kita juga menyucikan nama Yehuwa apabila kita membuktikan bahawa orang yang tidak sempurna pun dapat tetap setia kepada-Nya.​—Ayb. 27:5.

Kita mahu membantu pelajar Bible kita untuk memahami bahawa Yehuwa amat baik hati dan pengasih (Lihat perenggan 18-19) *

19. Bagaimanakah Yesaya 63:7 membantu kita memahami tujuan utama kita mengajar orang?

19 Terdapat satu lagi cara untuk menyucikan nama Yehuwa. Semasa kita mengajar orang tentang kebenaran Bible, kita sering menyebut tentang kedaulatan Tuhan dan menegaskan bahawa Yehuwa berhak untuk memerintah alam semesta. Membantu orang mengenali hukum Tuhan memang penting, tetapi ingatlah bahawa tujuan utama kita adalah untuk membantu orang mengasihi Yehuwa dan tetap setia kepada-Nya. Untuk berbuat demikian, kita perlu menonjolkan sifat-sifat Bapa kita yang murni dan membantu orang mengenali keperibadian-Nya. (Baca Yesaya 63:7.) Jika kita berbuat demikian, orang lain akan mengasihi Yehuwa dan mentaati-Nya kerana mereka ingin tetap setia kepada-Nya.

20. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Bagaimanakah kita dapat memastikan agar kelakuan dan cara kita mengajar memuliakan nama Yehuwa dan membuat orang lain ingin menghampiri-Nya? Rencana seterusnya akan menjawab soalan ini.

LAGU 2 Yehuwalah Nama-Mu

^ per. 5 Apakah isu besar yang dihadapi semua manusia dan malaikat? Mengapakah isu itu begitu penting, dan bagaimanakah kita terlibat dalam isu itu? Jawapan kepada soalan-soalan ini dapat menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa.

^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Si Iblis memfitnah Tuhan dan memberitahu Hawa bahawa Tuhan ialah pendusta. Selama ribuan tahun, Syaitan menyebarkan ajaran palsu, seperti Tuhan itu kejam dan bukan Pencipta manusia.

^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Semasa mengadakan pembelajaran Bible, seorang saudara menonjolkan keperibadian Tuhan.