Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kawalan Diri—​Diperlukan untuk Mendapat Perkenan Yehuwa

Kawalan Diri—​Diperlukan untuk Mendapat Perkenan Yehuwa

“Semasa bergaduh dengan sepupu saya, saya mencekiknya dan ingin membunuhnya.”​—Paul.

“Di rumah, hal yang kecil pun boleh buat saya mengamuk. Saya akan menghempaskan perabot, mainan anak saya, dan apa-apa sahaja yang ada di tangan saya.”​—Marco.

Kita mungkin tidak akan melakukan hal yang begitu dahsyat. Namun dari masa ke masa, kita semua akan berasa susah untuk mengawal diri kerana kita mewarisi dosa daripada Adam. (Rm. 5:12) Sesetengah orang berasa susah untuk mengawal kemarahan, seperti Paul dan Marco. Ada pula yang berasa susah untuk mengawal fikiran. Contohnya, mereka mungkin asyik berfikir tentang hal-hal yang negatif atau hal yang menakutkan mereka. Yang lain pula mungkin berasa susah untuk melawan godaan untuk melakukan hal yang tidak bermoral, untuk mengambil dadah, atau menyalahgunakan alkohol.

Orang yang tidak mengawal fikiran, nafsu, dan tindakan mereka akan mengundang banyak masalah dalam kehidupan. Hal itu dapat dielakkan jika kita memupuk kawalan diri. Sekarang, mari kita membincangkan tiga soalan: (1) Apakah itu kawalan diri? (2) Mengapakah sifat ini penting? (3) Bagaimanakah kita dapat memupuk sifat ini yang merupakan sebahagian daripada “buah kuasa suci Tuhan”? (Gal. 5:22, 23) Kemudian, kita akan bincang apa yang dapat dilakukan jika kita gagal mengawal diri.

APAKAH ITU KAWALAN DIRI?

Orang yang tahu mengawal diri tidak bertindak sesuka hati. Sebaliknya, dia dapat menahan diri daripada mengatakan atau melakukan sesuatu yang tidak disukai Tuhan.

Yesus menunjukkan apa maksudnya memiliki kawalan diri

Yesus telah menunjukkan apa maksudnya memiliki kawalan diri. Bible menyatakan, “Semasa dia dihina, dia tidak membalas dengan hinaan. Semasa dia menderita, dia tidak mengancam orang, tetapi dia mempercayakan dirinya kepada Dia yang menghakimi dengan adil.” (1 Ptr. 2:23) Fikirkan bagaimana Yesus telah menunjukkan kawalan diri sedemikian. Semasa dia digantung pada tiang seksaan dan diejek oleh musuh-musuhnya, dia tidak membalas cemuhan mereka. (Mat. 27:39-44) Dia juga mengawal diri apabila para pemimpin agama menanyakan banyak soalan untuk memerangkapnya. (Mat. 22:15-22) Ketika orang Yahudi sangat marah terhadapnya dan ingin melemparkan batu kepadanya, Yesus tidak membalas kejahatan mereka. Sebaliknya, dia ‘menyembunyikan diri lalu meninggalkan Rumah Tuhan.’​—Yoh. 8:57-59.

Dapatkah manusia yang tidak sempurna meniru kawalan diri Yesus? Rasul Petrus menulis, “Kristus sendiri sudah menderita bagi kamu dan memberi kamu teladan agar kamu mengikut jejaknya dengan teliti.” (1 Ptr. 2:21) Jadi, walaupun kita tidak dapat meniru kawalan diri Yesus dengan sempurna, kita dapat mengikut jejaknya dengan teliti. Mengapakah kita perlu berbuat demikian?

MENGAPA KAWALAN DIRI PENTING

Kita perlu memiliki kawalan diri supaya diperkenankan Yehuwa. Biarpun kita sudah lama menyembah Yehuwa, jika kita tidak mengawal kata-kata dan perbuatan kita, persahabatan kita dengan-Nya mungkin terjejas.

Fikirkan contoh Musa, orang yang “paling rendah hati di seluruh bumi” pada zamannya. (Bil. 12:3) Selama puluhan tahun, dia bersabar dengan orang Israel yang suka bersungut-sungut. Tetapi, pernah sekali, dia tidak dapat mengawal kemarahannya. Apabila orang Israel bersungut-sungut lagi kerana kekurangan air, dia menjawab dengan kasar, “Dengarlah, hai pemberontak! Haruskah kami mengeluarkan air daripada bukit batu ini untuk kamu?”​—Bil. 20:2-11.

Musa gagal mengawal kemarahannya. Dia juga tidak memberikan pujian kepada Yehuwa kerana menyediakan air secara mukjizat. (Mzm. 106:32, 33) Akibatnya, Yehuwa tidak membenarkannya memasuki Tanah yang Dijanjikan. (Bil. 20:12) Barangkali, Musa menyesali perbuatannya sampai akhir hayatnya.​—Ul. 3:23-27.

Apakah pengajarannya? Biarpun kita sudah lama dalam kebenaran, kita tidak patut bercakap kasar semasa orang lain membuat kita marah atau semasa kita perlu menegur orang yang berbuat salah. (Ef. 4:32; Kol. 3:12) Memang benar, apabila usia kita meningkat, kita mungkin berasa semakin susah untuk bersabar dengan orang lain. Namun, ingatlah apa yang berlaku kepada Musa. Setelah berkhidmat dengan setia selama bertahun-tahun, kita tidak mahu merosakkan nama baik kita di depan Yehuwa semata-mata kerana kita gagal mengawal diri. Jadi, bagaimanakah kita dapat memupuk sifat yang penting ini?

CARA MEMUPUK KAWALAN DIRI

Berdoa meminta kuasa suci Tuhan. Mengapa? Kawalan diri merupakan salah satu aspek buah kuasa suci Tuhan, dan Yehuwa akan memberikan kuasa suci kepada orang yang meminta daripada-Nya. (Luk. 11:13) Melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa dapat memberi kita kekuatan untuk menunjukkan kawalan diri. (Flp. 4:13) Dia juga dapat membantu kita memupuk aspek lain buah kuasa suci Tuhan, seperti kasih, yang dapat membantu kita menunjukkan kawalan diri.​—1 Kor. 13:5.

Jauhi apa-apa sahaja yang dapat melemahkan kawalan diri kita

Jauhi apa-apa sahaja yang dapat melemahkan kawalan diri kita. Kita mesti menjauhi semua perkara yang dapat menggoda kita untuk berbuat salah. (Ams. 22:3; 1 Kor. 6:12) Maka, elakkanlah laman web dan hiburan yang memaparkan perbuatan yang salah. (Ef. 5:3, 4) Selain itu, jika seseorang mudah tergoda untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, dia mungkin perlu mengelakkan buku atau wayang yang romantik sama sekali.

Memang bukan senang untuk menerapkan nasihat itu. Tetapi jika kita berusaha melakukannya, Yehuwa akan memberi kita kekuatan yang diperlukan agar kita dapat mengawal fikiran, kata-kata, dan perbuatan kita. (2 Ptr. 1:5-8) Dengan bantuan Yehuwa, Paul dan Marco yang disebut tadi berjaya mengawal kemarahan mereka. Fikirkan juga contoh seorang saudara yang sering naik marah semasa memandu dan bahkan pernah bergaduh dengan orang lain. Apakah yang dilakukannya? Dia berkata, “Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh setiap hari. Saya kaji rencana tentang kawalan diri dan hafal ayat Bible yang dapat membantu saya. Saya sudah berbuat demikian selama bertahun-tahun, tetapi saya masih mengingatkan diri setiap pagi agar tetap tenang. Jika saya ada janji temu, saya akan bertolak lebih awal agar tidak perlu tergesa-gesa.”

JIKA KITA GAGAL MENGAWAL DIRI

Ada kalanya, kita akan gagal menunjukkan kawalan diri. Ketika itu, kita mungkin berasa malu untuk berdoa kepada Yehuwa. Namun, ingatlah bahawa itulah masanya kita paling memerlukan bantuan-Nya. Maka, kita perlu berdoa dengan segera untuk meminta bantuan dan pengampunan daripada Yehuwa. Kita mahu bertekad agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. (Mzm. 51:9-11) Apabila kita berdoa dengan ikhlas untuk memohon belas kasihan Yehuwa, Dia tidak akan memandang hina doa kita. (Mzm. 102:17) Rasul Yohanes mengingatkan kita bahawa darah anak Tuhan “membersihkan kita daripada semua dosa.” (1 Yoh. 1:7; 2:1; Mzm. 86:5) Ingatlah bahawa Yehuwa ingin kita semua terus rela mengampuni, maka sudah pasti Dia juga akan rela mengampuni kita.​—Mat. 18:21, 22; Kol. 3:13.

Yehuwa tidak senang hati dengan Musa semasa Musa gagal menunjukkan kawalan diri di padang belantara. Namun begitu, Yehuwa telah mengampuninya. Dalam Firman Tuhan, Musa digambarkan sebagai orang yang sangat beriman yang patut diteladani. (Ul. 34:10; Ibr. 11:24-28) Walaupun Yehuwa tidak membenarkan Musa memasuki Tanah yang Dijanjikan, Dia akan membangkitkan Musa di bumi firdaus dan memberinya harapan untuk hidup selama-lamanya. Jika kita berusaha memupuk sifat kawalan diri, kita pun dapat menikmati masa depan yang cerah itu.​—1 Kor. 9:25.