Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 28

Yakinlah bahawa Anda Memiliki Kebenaran

Yakinlah bahawa Anda Memiliki Kebenaran

“Hendaklah kamu terus berpegang pada apa yang telah kamu pelajari dan apa yang telah kamu percayai selepas diyakinkan.”​—2 TIM. 3:14.

LAGU 56 Sebatikan Kebenaran dengan Hidupmu

PENGENALAN *

1. Apakah maksud istilah “kebenaran”?

“BAGAIMANAKAH kamu mendapat kebenaran?” “Adakah kamu dibesarkan dalam kebenaran?” “Sudah berapa lama kamu dalam kebenaran?” Anda mungkin pernah ditanya soalan ini, dan anda sendiri juga mungkin pernah menanya orang lain soalan ini. Sebenarnya, apakah maksud “kebenaran”? Kita biasanya menggunakan istilah ini untuk menggambarkan kepercayaan kita, cara kita beribadat, dan cara hidup kita. Orang yang “berada dalam kebenaran” mengetahui ajaran Bible dan hidup selaras dengannya. Oleh itu, mereka dibebaskan daripada ajaran palsu dan menikmati kebahagiaan meskipun hidup dalam dunia Syaitan.​—Yoh. 8:32.

2. Menurut Yohanes 13:34, 35, apakah yang mungkin membuat seseorang tertarik kepada kebenaran pada mulanya?

2 Apakah yang membuat anda tertarik kepada kebenaran pada mulanya? Barangkali anda melihat kelakuan baik umat Yehuwa atau memperhatikan kasih yang ditunjukkan oleh mereka. (1 Ptr. 2:12) Kasih itulah yang diperhatikan ramai orang semasa mereka menghadiri perjumpaan buat kali pertama, dan kasih itu meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam berbanding apa-apa yang disampaikan dari pentas. Memang benar, Yesus berkata bahawa kasih ialah tanda pengenal muridnya yang sejati. (Baca Yohanes 13:34, 35.) Tetapi untuk membina iman yang kuat, terdapat hal lain yang kita perlukan.

3. Apakah bahayanya jika iman kita dibina sepenuhnya berasaskan kasih yang ditunjukkan oleh saudara saudari?

3 Jika kasih dalam kalangan umat Tuhan menjadi satu-satunya asas bagi iman kita, hal itu tidak mencukupi. Mengapa? Katakan seorang rakan seiman, seorang penatua, atau seorang perintis, menyakiti kita atau melakukan dosa yang serius. Atau katakan seseorang menjadi murtad dan mendakwa bahawa kita tidak memiliki kebenaran. Adakah hal sebegini akan membuat kita tersandung lalu berhenti menyembah Yehuwa? Ingatlah, jika iman kita dibina sepenuhnya berasaskan perbuatan orang lain dan bukannya berasaskan hubungan kita dengan Yehuwa, iman kita tidak akan teguh. Untuk membina iman yang teguh, kita bukan sahaja memerlukan bahan-bahan yang lembut seperti perasaan dan emosi, tetapi juga bahan yang keras seperti fakta dan logik yang kukuh. Dalam kata lain, kita perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa Bible mengajarkan kebenaran tentang Yehuwa.​—Rm. 12:2.

4. Menurut Matius 13:3-6, 20, 21, apakah yang berlaku apabila iman sesetengah orang diuji?

4 Yesus berkata bahawa sesetengah orang akan menyambut kebenaran “dengan sukacita,” tetapi iman mereka akan menjadi lemah semasa mereka ditimpa cubaan. (Baca Matius 13:3-6, 20, 21.) Barangkali mereka tidak menyangka bahawa pengikut Yesus akan menghadapi cabaran, atau mereka mungkin berfikir bahawa setelah menjadi orang Kristian, Tuhan akan menghilangkan semua masalah mereka. (Mat. 16:24) Namun dalam dunia ini, kita pasti menghadapi cabaran. Keadaan kita mungkin berubah, dan hal itu mungkin menyebabkan kita kehilangan sukacita buat suatu ketika.​—Mzm. 6:6; Pkh. 9:11.

5. Bagaimanakah kita tahu bahawa kebanyakan saudara saudari kita yakin bahawa mereka memiliki kebenaran?

5 Bagaimanakah kita tahu bahawa kebanyakan saudara saudari kita yakin bahawa mereka memiliki kebenaran? Keyakinan mereka tidak tergoyah bahkan semasa rakan seiman menyakiti mereka atau terlibat dalam dosa yang serius. (Mzm. 119:165) Setiap kali mereka menghadapi ujian, iman mereka tidak menjadi lemah malah bertambah kuat. (Yak. 1:2-4) Bagaimanakah anda dapat membina iman sebegitu?

MEMPEROLEH “PENGETAHUAN YANG TEPAT TENTANG TUHAN”

6. Apakah asas iman orang Kristian abad pertama?

6 Orang Kristian abad pertama membina iman mereka berasaskan pengetahuan tentang Ayat-Ayat Suci dan ajaran tentang Yesus Kristus, iaitu “kebenaran berita baik.” (Gal. 2:5) “Kebenaran berita baik” merangkumi semua ajaran Kristian, termasuk fakta tentang korban tebusan dan pembangkitan Yesus. Rasul Paulus yakin bahawa ajaran itu ialah kebenaran. Bagaimanakah kita tahu? Dia “mengutip ayat-ayat untuk membuktikan bahawa Kristus harus menderita dan dibangkitkan daripada kematian.” (Kis. 17:2, 3) Orang Kristian pada abad pertama juga menerima ajaran itu dan bergantung pada bantuan kuasa suci Tuhan agar dapat memahami Ayat-Ayat Suci. Mereka membuat kajian untuk memastikan bahawa semua ajaran itu berdasarkan Firman Tuhan. (Kis. 17:11, 12; Ibr. 5:14) Iman mereka tidak dibina hanya berasaskan perasaan dan emosi, dan mereka tidak menyembah Yehuwa hanya kerana mereka suka bergaul dengan saudara saudari. Sebaliknya, iman mereka dibina berasaskan “pengetahuan yang tepat tentang Tuhan.”​—Kol. 1:9, 10.

7. Bagaimanakah iman kita terhadap kebenaran Bible dapat membantu kita?

7 Kebenaran dalam Firman Tuhan tidak berubah. (Mzm. 119:160) Kebenaran itu tetap sama bahkan sewaktu kita menghadapi masalah, atau semasa rakan seiman kita menyakiti kita atau melakukan dosa yang serius. Oleh itu, kita perlu mengenali ajaran Bible dengan baik dan yakin sepenuhnya bahawa ajaran Bible memang benar. Sebagaimana sauh dapat menstabilkan kapal sewaktu ribut melanda, iman kita yang teguh terhadap kebenaran Bible dapat membantu kita tetap setia sewaktu cubaan melanda. Bagaimanakah anda dapat menguatkan keyakinan anda bahawa anda memiliki kebenaran?

MEMPERCAYAI SELEPAS DIYAKINKAN

8. Seperti yang dinyatakan di 2 Timotius 3:14, 15, bagaimanakah Timotius membuktikan kepada dirinya bahawa dia memiliki kebenaran?

8 Timotius sangat yakin bahawa dia memiliki kebenaran. Mengapa? (Baca 2 Timotius 3:14, 15.) Pada mulanya, dia mempelajari “tulisan-tulisan suci” daripada ibu dan neneknya. Tetapi, dia sendiri juga meluangkan masa dan tenaga untuk membuat penyelidikan. Hasilnya, dia diyakinkan bahawa apa yang dipelajarinya ialah kebenaran. Kemudian, semasa Timotius, ibunya, dan neneknya, mempelajari ajaran Kristian, Timotius pasti sangat kagum dengan kasih dalam kalangan pengikut Yesus. Hal itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada Timotius sehingga dia ingin bergaul dengan saudara saudari dan membantu mereka. (Flp. 2:19, 20) Namun, Timotius tidak membina imannya berasaskan perasaannya terhadap manusia, tetapi berasaskan ajaran benar dalam Bible yang telah mendorongnya untuk menghampiri Yehuwa. Seperti Timotius, anda juga mesti mengkaji Bible dan membuktikan kepada diri sendiri bahawa apa yang anda pelajari tentang Yehuwa ialah kebenaran.

9. Apakah tiga kebenaran asas yang perlu anda selidiki?

9 Apakah yang perlu anda lakukan? Mula-mula, anda perlu menyelidiki tiga kebenaran asas. Pertama, Tuhan Yehuwa ialah Pencipta segala-galanya. (Kel. 3:14, 15; Ibr. 3:4; Why. 4:11) Kedua, Bible merupakan mesej Tuhan kepada manusia. (2 Tim. 3:16, 17) Ketiga, Yehuwa memiliki sekumpulan orang yang menyembah-Nya di bawah pimpinan Kristus, dan Saksi-Saksi Yehuwalah kumpulan itu. (Yes. 43:10-12; Yoh. 14:6; Kis. 15:14) Anda tidak perlu mengetahui segala sesuatu tentang Bible untuk yakin akan tiga kebenaran itu. Anda cuma perlu menggunakan “daya pemikiran” untuk membuktikan kepada diri sendiri bahawa anda memiliki kebenaran.​—Rm. 12:1.

BERSEDIA UNTUK MEYAKINKAN ORANG LAIN

10. Selain mengetahui kebenaran, apakah yang perlu kita lakukan?

10 Setelah membuktikan kepada diri sendiri kebenaran asas tentang Tuhan, Bible, dan umat Tuhan, anda perlu menggunakan Bible untuk membantu orang lain mempercayai tiga kebenaran itu. Mengapa? Sebagai orang Kristian, kita bertanggungjawab mengajar orang lain kebenaran yang telah kita pelajari. * (1 Tim. 4:16) Apabila kita berusaha membantu orang lain mempercayai kebenaran Bible, kita sendiri pun akan bertambah yakin bahawa ajaran Bible ialah kebenaran.

11. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Rasul Paulus semasa mengajar?

11 Semasa mengajar orang, Rasul Paulus “menggunakan Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi untuk . . . meyakinkan mereka tentang Yesus.” (Kis. 28:23) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Paulus? Kita bukan sahaja perlu memberitahu orang fakta daripada Bible, tetapi juga perlu membantu mereka untuk mengkaji dan memikirkan apa yang dipelajari mereka, supaya mereka dapat menghampiri Yehuwa. Kita ingin mereka menerima kebenaran, bukan kerana mereka menghormati kita, tetapi kerana mereka sudah menyelidikinya dan benar-benar yakin bahawa apa yang dipelajari oleh mereka ialah kebenaran tentang Tuhan.

Ibu bapa, ajarlah anak-anak anda “kebijaksanaan Tuhan yang dalam” supaya mereka dapat membina iman yang teguh (Lihat perenggan 12-13) *

12-13. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka tetap berpegang pada kebenaran?

12 Ibu bapa sekalian, anda tentu ingin anak-anak anda terus berpegang pada kebenaran. Anda mungkin berasa bahawa jika mereka mempunyai kawan baik di sidang, mereka akan maju secara rohani. Namun, untuk meyakinkan anak-anak anda bahawa mereka memiliki kebenaran, sekadar memiliki kawan baik tidak mencukupi. Mereka sendiri perlu menjalin persahabatan dengan Tuhan dan benar-benar yakin bahawa ajaran Bible ialah kebenaran.

13 Untuk mengajar anak-anak anda kebenaran tentang Tuhan, anda sendiri mesti rajin mengkaji Bible dan membuat perenungan. Dengan itu, anda dapat mengajar mereka melalui teladan anda. Seperti yang dilakukan semasa mengajar pelajar Bible, anda perlu mengajar mereka untuk menggunakan alat penyelidikan Bible. Apabila anda berbuat demikian, mereka akan menghargai Yehuwa dan “hamba yang setia dan bijaksana,” yang bertanggungjawab menyediakan makanan rohani. (Mat. 24:45-47) Ibu bapa, janganlah sekadar mengajar anak anda kebenaran Bible yang asas. Ajarlah mereka juga “kebijaksanaan Tuhan yang dalam” menurut usia dan kemampuan mereka, supaya mereka dapat membina iman yang teguh.​—1 Kor. 2:10.

MENGKAJI NUBUAT BIBLE

14. Mengapakah kita patut mengkaji nubuat Bible? (Lihat juga kotak “ Dapatkah Anda Menjelaskan Nubuat-Nubuat Ini?”)

14 Nubuat dalam Bible sangat penting dan dapat menguatkan iman kita terhadap Yehuwa. Apakah nubuat yang telah meneguhkan iman anda? Anda mungkin terfikir nubuat tentang “hari-hari terakhir.” (2 Tim. 3:1-5; Mat. 24:3, 7) Namun, sebenarnya terdapat banyak nubuat Bible lain yang dapat menguatkan keyakinan anda. Misalnya, fikirkan nubuat di Daniel bab 2 dan 11. Dapatkah anda menjelaskan bagaimana nubuat itu sudah dan sedang menjadi kenyataan? * Apabila anda membina iman anda berasaskan Bible, iman itu akan menjadi sangat teguh. Fikirkan saudara saudari kita di Jerman yang dianiaya dengan teruk semasa Perang Dunia Kedua. Mereka tidak memahami sepenuhnya nubuat Bible tentang hari-hari terakhir, tetapi mereka sangat beriman terhadap Firman Tuhan.

Jika kita mengkaji Bible dan nubuat Bible, kita dapat tetap teguh semasa menghadapi cubaan (Lihat perenggan 15-17) *

15-17. Apakah yang membantu saudara saudari kita tetap teguh semasa dianiaya oleh kuasa Nazi?

15 Semasa pemerintahan Nazi di Jerman, ribuan saudara saudari kita dihantar ke kem konsentrasi. Hitler dan seorang pegawai tingginya yang bernama Heinrich Himmler membenci Saksi-Saksi Yehuwa. Menurut seorang saudari, Himmler pernah berkata kepada sekumpulan saudari di kem konsentrasi, “Yehuwa kamu mungkin berkuasa di syurga, tetapi kamilah yang berkuasa di bumi. Tengoklah siapa yang bertahan lebih lama, kamu atau kami!” Apakah yang membantu umat Yehuwa tetap setia?

16 Para Pelajar Bible pada masa itu tahu bahawa Kerajaan Tuhan sudah memerintah sejak tahun 1914. Maka mereka tidak terkejut semasa menghadapi tentangan yang kuat. Mereka juga yakin bahawa tiada kerajaan manusia yang dapat menghalang tujuan Tuhan. Mereka tahu bahawa Hitler tidak mungkin melenyapkan ibadat sejati atau mendirikan sebuah kerajaan yang lebih kuat daripada Kerajaan Tuhan. Saudara saudari kita yakin bahawa pemerintahan Hitler pasti berakhir.

17 Apa yang diyakini oleh mereka benar-benar berlaku. Beberapa tahun kemudian, pemerintahan Nazi berakhir, dan Heinrich Himmler, iaitu orang yang berkata, “Kamilah yang berkuasa di bumi,” terpaksa melarikan diri. Semasa melarikan diri, dia terserempak dengan Saudara Lübke, seorang bekas tahanan yang dikenalinya. Dengan nada suara yang kecewa, Himmler menanya Saudara Lübke, “Jadi, Pelajar Bible, apakah yang akan terjadi selepas ini?” Saudara Lübke menjelaskan kepadanya bahawa selama ini, Saksi-Saksi Yehuwa sudah tahu bahawa pemerintahan Nazi akan tamat, dan bahawa mereka akan dibebaskan. Sebelum itu, Himmler sering bercakap buruk tentang Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi pada masa itu dia terbungkam. Tidak lama kemudian, dia membunuh diri. Apakah pengajarannya? Jika kita mengkaji Bible dan nubuat Bible, iman kita terhadap Tuhan akan bertambah kuat dan kita akan tetap teguh semasa menghadapi cubaan.​—2 Ptr. 1:19-21.

18. Bagaimanakah Yohanes 6:67, 68 menegaskan pentingnya memiliki pengetahuan yang tepat dan daya pertimbangan yang baik?

18 Kita masing-masing harus menunjukkan kasih, kerana kasih ialah tanda pengenal orang Kristian sejati. Namun, kita juga memerlukan “pengetahuan yang tepat dan daya pertimbangan yang baik.” (Flp. 1:9) Jika tidak, kita mungkin diperdaya oleh ‘pelbagai ajaran palsu orang licik,’ termasuk ajaran orang murtad. (Ef. 4:14) Pada abad pertama, semasa ramai murid Yesus meninggalkan Yesus, Rasul Petrus berkata kepada Yesus dengan yakin, “Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal.” (Baca Yohanes 6:67, 68.) Ketika itu, Petrus belum lagi memahami semua butiran tentang ajaran Yesus, tetapi dia tetap setia kepada Yesus kerana dia memahami bahawa Yesus ialah Kristus. Jika anda mengukuhkan keyakinan anda bahawa ajaran Bible ialah kebenaran, iman anda akan tetap teguh tidak kira apa yang terjadi, dan anda juga dapat membantu menguatkan iman orang lain.​—2 Yoh. 1, 2.

LAGU 72 Menghebahkan Kebenaran Kerajaan Tuhan

^ per. 5 Rencana ini akan membantu kita untuk menghargai kebenaran dalam Firman Tuhan. Kita juga akan mempelajari apa yang dapat kita lakukan supaya kita bertambah yakin bahawa apa yang kita percayai ialah kebenaran.

^ per. 10 Untuk melihat cara menjelaskan ajaran asas Bible kepada orang lain, lihat siri rencana “Perbualan dengan Penghuni Rumah,” yang terdapat dalam Menara Pengawal tahun 2014. Topik-topik yang dibincangkan termasuk “Mengapakah Tuhan Mengizinkan Penderitaan?” dan “Bilakah Kerajaan Tuhan Mula Memerintah?

^ per. 14 Untuk maklumat lanjut tentang nubuat-nubuat ini, lihat Menara Pengawal terbitan 15 Jun 2012 dan Mei 2020.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Semasa penyembahan keluarga, ibu bapa membincangkan nubuat Bible tentang kesengsaraan besar bersama anak-anak mereka.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Semasa kesengsaraan besar, keluarga itu tidak terkejut dengan apa yang berlaku.