Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Bilakah Yesus menjadi Imam Agung? Adakah perjanjian baharu disahkan dan dirasmikan pada masa yang sama?

Yesus menjadi Imam Agung semasa dia dibaptis pada tahun 29 M. Apakah buktinya? Semasa dibaptis, Yesus menunjukkan bahawa dia sudi mengorbankan nyawanya di atas mazbah simbolik yang melambangkan “kehendak” Tuhan. (Gal. 1:4; Ibr. 10:5-10) Mazbah merupakan bahagian yang penting di dalam Rumah Tuhan. Oleh sebab mazbah simbolik sudah wujud sejak Yesus dibaptis, kita dapat menyimpulkan bahawa Rumah Rohani Tuhan, yang melambangkan aturan untuk menyembah Yehuwa berdasarkan korban tebusan Yesus, juga telah wujud sejak masa itu.​—Mat. 3:16, 17; Ibr. 5:4-6.

Rumah Tuhan perlu mempunyai imam agung. Begitu juga, seorang imam agung diperlukan di Rumah Rohani Tuhan. Oleh itu, Yesus telah diurapi dengan ‘kuasa suci Tuhan dan diberi kekuatan’ untuk memenuhi peranan itu. (Kis. 10:37, 38; Mrk. 1:9-11) Namun, bagaimanakah kita pasti bahawa Yesus dilantik sebagai Imam Agung sebelum dia mati dan dibangkitkan? Perhatikan apa yang dinyatakan dalam Hukum Musa tentang imam agung.

Hukum Musa menyatakan bahawa hanya imam agung yang dibenarkan memasuki Bilik Maha Suci. Bilik Maha Suci dipisahkan daripada Bilik Suci oleh sehelai tirai. Pada Hari Pengampunan Dosa, imam agung akan memasuki Bilik Maha Suci melalui tirai itu. (Ibr. 9:1-3, 6, 7) Sebagaimana Harun dan keturunannya perlu dilantik sebagai imam agung sebelum mereka melalui tirai dan memasuki Bilik Maha Suci, Yesus perlu dilantik sebagai Imam Agung sebelum dia mati dan kemudiannya “menembusi tirai, iaitu tubuhnya sendiri,” dan masuk ke syurga, iaitu Bilik Maha Suci di Rumah Rohani Tuhan. (Ibr. 10:20) Itulah sebabnya Rasul Paulus berkata bahawa Kristus datang “sebagai imam agung” dan kemudian masuk ke syurga melalui ‘khemah yang lebih penting dan lebih sempurna, yang tidak dibuat dengan tangan manusia.’​—Ibr. 9:11, 24.

Perjanjian baharu disahkan dan dirasmikan pada masa yang sama. Bagaimanakah kita tahu? Hal ini demikian kerana proses yang sama diperlukan untuk mengesahkan dan merasmikan perjanjian baharu. Terdapat tiga langkah yang terlibat dalam proses itu: (1) Yesus perlu menghadap Yehuwa, (2) Yesus perlu meminta Yehuwa menerima korbannya, dan (3) Yehuwa perlu menerima korban Yesus.

Setelah kembali ke syurga, Yesus telah melakukan dua langkah yang pertama, iaitu menghadap Yehuwa dan meminta Yehuwa menerima korbannya. Namun, agar perjanjian baharu dapat disahkan dan dirasmikan, langkah yang ketiga diperlukan.

Kita tahu bahawa Yesus telah kembali ke syurga 10 hari sebelum Pentakosta. (Kis. 1:3) Kita juga tahu bahawa dalam tempoh masa itu, dia telah menghadap Yehuwa dan meminta Yehuwa menerima korbannya. (Ibr. 9:12) Namun, Bible tidak menyatakan secara tepat bila Yehuwa menerima korban Yesus. Oleh itu, kita tidak dapat menyatakan secara tepat bila perjanjian baharu disahkan dan dikuatkuasakan. Namun, apa yang terjadi semasa Pentakosta membuktikan dengan jelas bahawa perjanjian baharu sudah disahkan dan dikuatkuasakan.​—Kis. 2:1-4, 32, 33.

Kesimpulannya, perjanjian baharu disahkan dan dirasmikan selepas Yehuwa menerima korban Yesus dan menerima kaum terurap untuk menjadi sebahagian dalam perjanjian itu. Sejak itu, perjanjian baharu berkuat kuasa, dan Yesus Kristus selaku Imam Agung merupakan Perantara perjanjian itu.—Ibr. 7:25; 8:1-3, 6; 9:13-15.