Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 30

Tetap Berjalan Mengikut Kebenaran

Tetap Berjalan Mengikut Kebenaran

“Tidak ada yang membuat aku lebih bersukacita daripada mendengar bahawa anak-anakku tetap berjalan mengikut kebenaran.”​—3 YOH. 4.

LAGU 54 “Inilah Jalannya”

PENGENALAN *

1. Menurut 3 Yohanes 3, 4, apakah yang membuat kita gembira?

BAYANGKAN betapa gembiranya Rasul Yohanes semasa mendapat tahu bahawa orang yang dibantunya untuk mengenali kebenaran terus menyembah Yehuwa dengan setia meskipun menghadapi banyak cabaran. Yohanes menganggap mereka seperti anak-anaknya, dan dia berusaha menguatkan iman mereka. Seperti Yohanes, kita sangat gembira apabila anak-anak kita atau pelajar Bible kita membaktikan diri kepada Yehuwa dan terus menyembah-Nya.​—Baca 3 Yohanes 3, 4.

2. Apakah tujuan surat-surat Yohanes?

2 Pada tahun 98 M, Yohanes mungkin tinggal di Efesus atau kawasan yang berdekatan. Barangkali dia berpindah ke situ selepas dibebaskan dari penjara di Pulau Patmos. Sekitar masa itu, kuasa suci Yehuwa telah mendorongnya untuk menulis tiga pucuk surat. Surat-surat itu bertujuan menggalakkan orang Kristian yang setia agar tetap beriman kepada Yesus dan tetap berjalan mengikut kebenaran.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?

3 Yohanes merupakan rasul yang terakhir, dan dia berasa risau kerana golongan murtad dan guru-guru palsu sedang menyesatkan sidang. * (1 Yoh. 2:18, 19, 26) Mereka mendakwa bahawa mereka mengenali Tuhan, tetapi mereka tidak mematuhi perintah-Nya. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan nasihat yang diberikan oleh Yohanes dan menjawab tiga soalan berikut: Apakah maksud berjalan mengikut kebenaran? Apakah yang dapat menghalang kita daripada berbuat demikian? Bagaimanakah kita dapat membantu satu sama lain untuk tetap berjalan mengikut kebenaran?

APAKAH MAKSUD BERJALAN MENGIKUT KEBENARAN?

4. Menurut 1 Yohanes 2:3-6 dan 2 Yohanes 4, 6, apakah yang perlu kita lakukan untuk berjalan mengikut kebenaran?

4 Untuk berjalan mengikut kebenaran, kita perlu mengenali kebenaran yang terkandung dalam Bible. Selain itu, kita perlu ‘mematuhi perintah Yehuwa.’ (Baca 1 Yohanes 2:3-6; 2 Yohanes 4, 6.) Yesus mematuhi perintah Yehuwa dengan sempurna. Jadi salah satu cara untuk mematuhi perintah Yehuwa adalah dengan mengikut jejak Yesus dengan teliti.​—Yoh. 8:29; 1 Ptr. 2:21.

5. Kita mesti yakin akan hal apa?

5 Untuk tetap berjalan mengikut kebenaran, kita mesti yakin bahawa Yehuwa sentiasa bercakap benar, dan bahawa segala yang difirmankan-Nya dalam Bible ialah kebenaran. Kita juga mesti yakin bahawa Yesus ialah Mesias yang dijanjikan. Hari ini, ramai orang tidak percaya bahawa Yesus sudah dilantik sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Hal itu berbahaya kerana Yohanes menulis, “Seseorang yang tidak percaya bahawa Yesus ialah Kristus merupakan seorang pendusta.” (1 Yoh. 2:22) Dia juga menyatakan bahawa jika kita tidak yakin sepenuhnya terhadap ajaran Bible tentang Yehuwa dan Yesus, kita mudah disesatkan oleh “banyak penipu.” (2 Yoh. 7-11) Oleh itu, kita mesti mengkaji Bible agar dapat mengenali Yehuwa dan Yesus. (Yoh. 17:3) Hanya dengan berbuat demikian, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa kita memiliki kebenaran.

HALANGAN-HALANGAN YANG KITA HADAPI

6. Apakah salah satu halangan yang dihadapi oleh orang Kristian yang muda?

6 Semua orang Kristian, khususnya orang muda, mesti berwaspada agar tidak disesatkan oleh falsafah manusia. (1 Yoh. 2:26) Alexia, * seorang saudari dari Perancis yang berumur 25 tahun, berkata, “Semasa saya lebih muda, ajaran dunia, contohnya teori evolusi dan falsafah manusia, membuat saya meragui kebenaran. Ada kalanya ajaran dunia nampak menarik, tetapi saya berasa saya tidak patut menerima bulat-bulat ajaran di sekolah tanpa membandingkannya dengan ajaran Yehuwa.” Alexia telah mengkaji buku “Penciptaan” (Life​How Did It Get Here? By Evolution or by Creation?). Dalam masa beberapa minggu, keraguannya hilang sama sekali. Alexia berkata, “Saya telah membuktikan kepada diri sendiri bahawa Bible mengandungi kebenaran, dan saya sedar bahawa jika saya hidup mengikut prinsip Bible, saya akan hidup tenang dan gembira.”

7. Apakah tekanan yang mesti kita lawan, dan mengapa?

7 Orang yang disesatkan oleh falsafah manusia cenderung hidup bermuka dua. Namun, semua orang Kristian, tidak kira tua atau muda, mesti melawan tekanan untuk hidup bermuka dua. Yohanes menyatakan bahawa kita tidak boleh berjalan mengikut kebenaran dan hidup tidak bermoral pada masa yang sama. (1 Yoh. 1:6) Untuk mendapat perkenan Tuhan sekarang dan pada masa depan, kita mesti ingat bahawa Yehuwa dapat melihat segala perbuatan kita dan tiada apa-apa pun yang dapat disembunyikan daripada-Nya.​—Ibr. 4:13.

8. Apakah yang mesti kita tolak?

8 Kita mesti menolak pandangan dunia tentang dosa. Yohanes menulis, “Jika kita berkata, ‘Kita tidak mempunyai dosa,’ kita sedang menipu diri sendiri.” (1 Yoh. 1:8) Golongan murtad pada zaman Yohanes berkata bahawa orang yang sengaja berdosa masih boleh menjadi sahabat Tuhan. Hari ini, ramai orang mempunyai pandangan yang sama. Mereka berkata bahawa mereka percaya kepada Tuhan, tetapi mereka tidak menerima pandangan-Nya tentang dosa, khususnya dalam soal seks. Perbuatan yang dianggap berdosa oleh Yehuwa dianggap oleh mereka sebagai pilihan peribadi atau gaya hidup alternatif.

Anak-anak muda, teguhkanlah keyakinan anda bahawa prinsip moral Bible memang benar. Dengan itu, anda dapat mempertahankan kepercayaan anda (Lihat perenggan 9) *

9. Apakah manfaatnya jika orang muda berpegang teguh pada prinsip Bible?

9 Orang Kristian yang muda mungkin menghadapi tekanan daripada rakan sekolah atau rakan sekerja yang tidak menghormati prinsip Bible tentang seks. Itulah yang berlaku kepada Aleksandar. Dia berkata, “Beberapa orang gadis di sekolah cuba mendesak saya untuk mengadakan hubungan seks dengan mereka, tetapi saya menolak. Oleh sebab saya menolak desakan mereka dan saya tiada teman wanita, mereka kata saya ini gay.” Jika anda menghadapi cabaran sebegini, ingatlah bahawa jika anda berpegang teguh pada prinsip Bible, anda akan melindungi maruah diri anda, kesihatan fizikal dan emosi anda, dan hubungan anda dengan Yehuwa. Selain itu, setiap kali anda berjaya menolak godaan, anda akan berasa lebih senang untuk melakukan apa yang benar pada masa depan. Ingatlah juga bahawa pandangan dunia tentang seks sebenarnya berasal daripada Syaitan. Jadi apabila anda menolak pandangan dunia, anda sedang “mengalahkan Si Jahat.”​—1 Yoh. 2:14.

10. Bagaimanakah kata-kata di 1 Yohanes 1:9 membantu kita untuk menyembah Yehuwa dengan hati nurani yang bersih?

10 Kita mengakui bahawa Yehuwa berhak menentukan apa yang betul dan salah, dan kita berusaha untuk menjauhi perkara yang dibenci-Nya. Jika kita tersilap langkah, kita akan berdoa untuk mengakui dosa kita, dan jika dosa kita serius, kita akan meminta bantuan para penatua, yang dilantik oleh Yehuwa untuk menjaga kita. (Baca 1 Yohanes 1:9; Yak. 5:14-16) Namun, kita tidak patut dibelenggu rasa bersalah atas dosa lampau. Mengapa? Kerana Bapa kita yang pengasih telah menyediakan korban tebusan Anak-Nya, dan Dia telah berjanji untuk mengampuni pendosa yang bertaubat. Dengan adanya korban tebusan, kita dapat menyembah Yehuwa dengan hati nurani yang bersih.​—1 Yoh. 2:1, 2, 12; 3:19, 20.

11. Bagaimanakah kita dapat melindungi diri kita daripada ajaran yang dapat merosakkan iman kita?

11 Kita mesti menolak ajaran orang murtad. Sejak sidang Kristian diasaskan, Si Iblis sering menggunakan penipu untuk melemahkan iman hamba-hamba Tuhan. Maka kita perlu mengetahui cara untuk membezakan maklumat yang benar daripada maklumat yang palsu. * Para penentang mungkin menyebarkan maklumat palsu melalui Internet atau media sosial untuk menghakis iman kita terhadap Yehuwa dan untuk melemahkan kasih kita terhadap saudara saudari. Namun, ingatlah siapa dalang di sebalik maklumat sedemikian, dan tolaklah semua dusta itu!​—1 Yoh. 4:1, 6; Why. 12:9.

12. Mengapakah kita harus menguatkan keyakinan kita terhadap kebenaran yang telah kita pelajari?

12 Untuk melawan serangan Syaitan, kita perlu menguatkan iman kita terhadap Yesus dan peranannya dalam pelaksanaan tujuan Tuhan. Kita juga perlu percaya kepada hamba yang setia dan bijaksana dan yakin bahawa mereka sahajalah yang digunakan oleh Yehuwa untuk membimbing organisasi-Nya. (Mat. 24:45-47) Oleh itu, kita perlu mengkaji Bible secara tetap agar iman kita menjadi mantap seperti pokok yang mempunyai akar yang dalam. Paulus juga menasihati sidang di Kolose agar menguatkan iman mereka. Dia menulis, “Kamu sudah menerima Kristus Yesus, Tuan kita. Oleh itu, teruslah hidup bersatu dengannya. Hendaklah kamu berakar umbi dan dibina dalamnya. Hendaklah kamu memantapkan iman kamu.” (Kol. 2:6, 7) Jika kita berusaha menguatkan iman kita, Syaitan dan konco-konconya tidak dapat melakukan apa-apa pun untuk menghalang kita daripada tetap berjalan mengikut kebenaran.​—2 Yoh. 8, 9.

13. Kita perlu bersedia menghadapi apa, dan mengapa?

13 Kita mesti bersedia untuk menghadapi kebencian dunia. (1 Yoh. 3:13) Yohanes mengingatkan kita bahawa “seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.” (1 Yoh. 5:19) Apabila akhir semakin dekat, kemarahan Syaitan akan semakin membara. (Why. 12:12) Dia tahu bahawa masanya untuk menghentikan kerja penyebaran dan merosakkan iman kita tinggal sedikit. Oleh itu, dia tidak sekadar menyerang kita secara tidak langsung, contohnya menggoda kita dengan perbuatan yang tidak bermoral atau menyesatkan kita dengan dusta orang murtad. Dia juga menyerang kita secara terang-terangan, contohnya dengan menggunakan penganiayaan. Jadi kita tidak berasa hairan apabila kerja kita disekat atau diharamkan di sebilangan negara. Meskipun begitu, saudara saudari di negara-negara itu tetap menyembah Yehuwa dengan setia. Ketabahan mereka membuktikan bahawa tidak kira apa yang dilakukan oleh Syaitan, kita dapat tetap setia.

BANTU SATU SAMA LAIN TETAP BERJALAN MENGIKUT KEBENARAN

14. Apakah salah satu cara kita dapat membantu saudara saudari kita untuk tetap berjalan mengikut kebenaran?

14 Untuk membantu saudara saudari tetap berjalan mengikut kebenaran, kita mesti menunjukkan belas kasihan. (1 Yoh. 3:10, 11, 16-18) Kita mesti saling mengasihi, bukan sahaja pada waktu senang, tetapi juga pada waktu susah. Contohnya, adakah anda mengenali seseorang yang kehilangan orang tersayang dan perlu dilegakan atau dibantu? Atau adakah anda mengenali rakan seiman yang menjadi mangsa bencana alam dan memerlukan bantuan untuk membina semula Dewan Perjumpaan atau rumah mereka? Kita mesti menunjukkan kasih dan belas kasihan kita melalui kata-kata dan terutamanya melalui perbuatan kita.

15. Seperti yang dinyatakan di 1 Yohanes 4:7, 8, apakah yang perlu kita lakukan?

15 Apabila kita saling mengasihi, kita sedang meniru Bapa kita yang penyayang. (Baca 1 Yohanes 4:7, 8.) Satu cara yang penting untuk menunjukkan kasih adalah dengan memaafkan satu sama lain. Misalnya, apabila seseorang menyakiti kita, kita dapat memaafkannya dan melupakan kesilapannya. (Kol. 3:13) Seorang saudara yang bernama Aldo berasa tersinggung semasa seorang saudara yang dihormatinya bercakap buruk tentang bangsanya. Aldo berkata, “Saya terus berdoa kepada Yehuwa untuk membantu saya agar tidak berpandangan buruk terhadap saudara itu.” Bukan itu sahaja, Aldo menjemput saudara itu untuk menginjil bersamanya. Semasa mereka menginjil bersama-sama, Aldo memberitahu saudara itu bagaimana kata-kata saudara itu telah menyakitinya. Aldo berkata, “Saudara itu segera meminta maaf. Daripada nada suaranya, saya dapat lihat bahawa dia sangat menyesali kata-katanya. Kami melupakan peristiwa itu dan menjadi sahabat semula.”

16-17. Apakah tekad kita?

16 Nasihat Yohanes dalam tiga pucuk suratnya menunjukkan bahawa dia amat mengasihi saudara saudarinya dan mengambil berat tentang kerohanian mereka. Tidakkah kita berasa lega kerana lelaki dan wanita yang dipilih untuk memerintah bersama Kristus pun memiliki sifat yang ditunjukkan oleh Yohanes?​—1 Yoh. 2:27.

17 Semoga kita menghargai nasihat yang telah kita bincangkan dan bertekad untuk tetap berjalan mengikut kebenaran. Marilah kita berusaha untuk mematuhi Yehuwa dan hidup menurut piawaian moral-Nya dalam semua aspek kehidupan kita. Maka, marilah kita mengkaji Firman Tuhan agar keyakinan kita terhadap Bible semakin teguh dan iman kita terhadap Yesus semakin kuat. Semoga kita tidak menyerah kepada dosa dan menolak falsafah manusia, ajaran orang murtad, dan tekanan untuk hidup bermuka dua. Akhir sekali, marilah kita membantu saudara saudari kita untuk tetap teguh dengan memaafkan mereka yang menyakiti kita dan menolong mereka yang memerlukan bantuan. Jika kita berbuat demikian, kita akan terus berjalan mengikut kebenaran tidak kira apa pun cabaran yang kita hadapi.

LAGU 49 Menggembirakan Hati Yehuwa

^ per. 5 Kita hidup dalam dunia yang dikuasai Syaitan, iaitu bapa segala dusta. Maka kita mesti terus berjuang agar dapat tetap berjalan mengikut kebenaran. Orang Kristian pada akhir abad pertama Masihi juga menghadapi cabaran yang sama. Untuk membantu mereka, Yehuwa telah mengilhami Rasul Yohanes untuk menulis tiga pucuk surat. Surat-surat itu juga bermanfaat bagi kita kerana menjelaskan perkara-perkara yang dapat menghalang kita daripada tetap berjalan mengikut kebenaran dan cara kita dapat mengatasinya.

^ per. 6 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 11 Lihat rencana pembelajaran “Adakah Anda Mengetahui Faktanya?” dalam Menara Pengawal terbitan Ogos 2018.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Semasa di sekolah, seorang saudari muda sering terdedah kepada perkara yang membuat hubungan sejenis kelihatan seperti hal yang boleh diterima. (Dalam sesetengah budaya, warna pelangi ialah simbol hubungan sejenis.) Kemudian dia meluangkan masa untuk membuat penyelidikan supaya dia bertambah yakin bahawa prinsip moral Yehuwa memang benar. Hasilnya dia dapat membuat keputusan yang betul semasa menghadapi situasi yang mencabar.