Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 35

Menghormati Setiap Orang dalam Sidang Yehuwa

Menghormati Setiap Orang dalam Sidang Yehuwa

“Mata tidak boleh berkata kepada tangan, ‘Aku tidak memerlukan kamu.’ Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, ‘Aku tidak memerlukan kamu.’”​—1 KOR. 12:21.

LAGU 124 Selalu Setia

PENGENALAN *

1. Apakah yang diberikan oleh Yehuwa kepada semua hamba-Nya yang setia?

YEHUWA mengasihi setiap hamba-Nya yang setia dan memberi mereka peranan yang berlainan dalam sidang. Tidak kira apa peranan kita, kita semua berharga bagi Yehuwa, dan kita memerlukan satu sama lain. Perhatikan bagaimana Rasul Paulus menegaskan hal ini.

2. Menurut Efesus 4:16, mengapakah kita perlu bekerjasama dan menghargai satu sama lain?

2 Seperti yang dinyatakan dalam ayat tema rencana ini, Paulus menegaskan bahawa kita tidak boleh berkata kepada mana-mana hamba Yehuwa, “Aku tidak memerlukan kamu.” (1 Kor. 12:21) Untuk memelihara kedamaian dalam sidang, kita mesti bekerjasama dan menghargai satu sama lain. (Baca Efesus 4:16.) Apabila kita bekerjasama dan bersatu padu, sidang akan menjadi teguh dan semua orang akan berasa dikasihi.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa cara untuk menunjukkan hormat kepada ahli sidang yang lain. Mula-mula, kita akan melihat bagaimana para penatua dapat menghormati satu sama lain. Kemudian, kita akan membincangkan bagaimana kita semua dapat menunjukkan bahawa kita menghargai saudara saudari yang bujang. Akhir sekali, kita akan mempelajari cara untuk menunjukkan hormat kepada ahli sidang yang belum fasih menuturkan bahasa kita.

PARA PENATUA HARUS SALING MENGHORMATI

4. Apakah nasihat di Roma 12:10 yang harus diikuti oleh semua penatua?

4 Setiap penatua mempunyai bakat dan kebolehan yang berbeza. (1 Kor. 12:17, 18) Sesetengah penatua mungkin kurang berpengalaman kerana baru dilantik. Yang lain pula mungkin tidak dapat memikul banyak tugas kerana faktor usia dan kesihatan. Namun, semua penatua dilantik oleh kuasa suci Yehuwa. Jadi, tiada penatua yang boleh berkata kepada penatua lain, “Aku tidak memerlukan kamu.” Sebaliknya, mereka semua harus mengikut nasihat Paulus di Roma 12:10.​—Baca.

Para penatua saling menghormati dengan sudi mendengar pendapat satu sama lain (Lihat perenggan 5-6)

5. Bagaimanakah para penatua menunjukkan bahawa mereka saling menghormati? Mengapakah mereka harus berbuat demikian?

5 Para penatua menunjukkan bahawa mereka saling menghormati dengan sudi mendengar pendapat satu sama lain. Hal ini penting khususnya semasa badan penatua bermesyuarat untuk membincangkan hal yang serius. Mengapa? Menara Pengawal terbitan 1 Oktober 1988 menyatakan, “Semasa badan penatua perlu menangani masalah atau membuat keputusan yang penting, mereka tahu bahawa kuasa suci Tuhan tidak dikhaskan untuk penatua tertentu sahaja. (Kis. 15:6-15) Mereka sedar bahawa Kristus dapat membimbing mana-mana penatua menerusi kuasa suci Tuhan untuk mengemukakan prinsip Bible yang sesuai.”

6. Bagaimanakah para penatua dapat bekerjasama dan bersatu padu? Apakah manfaatnya bagi sidang?

6 Semasa bermesyuarat, seorang penatua yang menghormati penatua lain tidak akan cuba untuk selalu menjadi orang pertama yang bercakap. Dia juga tidak akan asyik bercakap sehingga penatua lain tiada peluang untuk mengongsi pendapat mereka. Sebaliknya, dia mendengar komen penatua lain dengan teliti, mengutarakan pendapatnya dengan rendah hati, dan tidak berfikir bahawa pandangannya selalu benar. Yang terpenting, dia sudi berbincang tentang prinsip Bible dengan fikiran yang terbuka dan mematuhi arahan daripada “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45-47) Apabila para penatua menunjukkan kasih dan hormat semasa bermesyuarat, kuasa suci Tuhan akan menyertai mereka dan membimbing mereka untuk membuat keputusan yang dapat menguatkan sidang.​—Yak. 3:17, 18.

KITA HARUS MENGHORMATI SAUDARA SAUDARI BUJANG

7. Apakah pandangan Yesus tentang kehidupan orang bujang?

7 Sidang Kristian bukan sahaja terdiri daripada keluarga dan pasangan suami isteri, tetapi juga terdiri daripada banyak saudara saudari yang bujang. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap mereka yang bujang? Fikirkan contoh Yesus. Sepanjang masa dia di bumi, Yesus hidup membujang dan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada tugasannya. Yesus tidak pernah mengajarkan bahawa seseorang mesti berkahwin atau mesti tetap membujang. Namun, dia menyatakan bahawa sesetengah orang Kristian akan memilih untuk tidak berkahwin. (Mat. 19:11, 12) Yesus menghormati orang yang bujang dan tidak menganggap mereka kekurangan sesuatu. Dia juga tidak berasa bahawa kehidupan orang bujang tidak sebaik kehidupan orang yang sudah berkahwin.

8. Menurut 1 Korintus 7:7-9, apakah yang digalakkan oleh Paulus?

8 Seperti Yesus, Rasul Paulus tetap membujang semasa berkhidmat kepada Tuhan. Tetapi dia tidak pernah mengajarkan bahawa orang Kristian tidak boleh berkahwin. Dia sedar bahawa hal itu merupakan keputusan peribadi. Namun, dia menggalakkan orang Kristian agar tetap membujang jika mereka mampu berbuat demikian. (Baca 1 Korintus 7:7-9.) Sesungguhnya, Paulus tidak memandang rendah terhadap orang Kristian yang bujang. Sebenarnya, dia telah memilih Timotius, seorang saudara muda yang bujang, untuk memikul tanggungjawab yang penting. * (Flp. 2:19-22) Jelaslah, kita tidak boleh menilai kelayakan seorang saudara hanya dengan melihat sama ada dia sudah berkahwin atau belum.​—1 Kor. 7:32-35, 38.

9. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap perkahwinan dan kehidupan membujang?

9 Yesus dan Paulus tidak mengajarkan bahawa orang Kristian mesti berkahwin atau mesti tetap membujang. Jadi, apakah sepatutnya pandangan kita terhadap perkahwinan dan kehidupan membujang? Menara Pengawal terbitan 1 Oktober 2012 menyatakan, “Perkahwinan dan kehidupan membujang merupakan kurniaan Tuhan. . . . Yehuwa tidak menganggap kehidupan membujang sebagai sesuatu yang memalukan atau menyedihkan.” Oleh itu, kita mesti menghormati saudara dan saudari bujang dalam sidang.

Jika kita menghormati perasaan saudara saudari yang bujang, apakah yang akan kita elakkan? (Lihat perenggan 10)

10. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati perasaan saudara saudari yang bujang?

10 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati perasaan saudara saudari yang bujang? Ingatlah bahawa ada antara mereka yang telah memilih untuk tidak berkahwin. Yang lain ingin berkahwin, tetapi belum menjumpai orang yang sesuai. Ada juga saudara saudari yang hidup membujang kerana pasangan hidup mereka telah meninggal. Tidak kira apa situasi mereka, perlukah ahli sidang menanya mereka, “Kenapa kamu belum berkahwin?” atau berkata, “Biar saya tolong kamu cari pasangan.” Memang tidak salah untuk membantu saudara saudari bujang mencari pasangan jika mereka meminta bantuan kita. Tetapi jika kita menawarkan bantuan padahal mereka tidak memintanya, apakah perasaan mereka? (1 Tes. 4:11; 1 Tim. 5:13) Berkenaan hal ini, mari kita lihat apa yang dikatakan oleh beberapa saudara saudari bujang yang setia.

11-12. Jika kita tidak berhati-hati, bagaimanakah kita mungkin membuat orang yang bujang berasa tawar hati?

11 Seorang penyelia litar yang bujang, yang melakukan tugasnya dengan baik, berkata bahawa kehidupan membujang membawa banyak manfaat baginya. Namun, dia mengatakan bahawa ada kalanya dia berasa tawar hati apabila saudara saudari yang berniat baik bertanya kepadanya, “Kenapa kamu belum berkahwin?” Seorang lagi saudara bujang, yang berkhidmat di pejabat cawangan, berkata, “Ada kalanya, sesetengah saudara saudari membuat saya rasa bahawa kehidupan membujang sangat menyedihkan. Sikap mereka membuat kehidupan membujang kelihatan seperti beban dan bukannya kurniaan.”

12 Seorang saudari bujang yang berkhidmat di Bethel berkata, “Sesetengah penyiar berfikir bahawa semua orang bujang ingin mencari pasangan. Mereka juga berfikir bahawa orang yang bujang menganggap setiap peluang untuk bergaul bersama-sama sebagai kesempatan untuk mencari pasangan. Pernah sekali, saya diberi tugasan di luar negeri, dan saya tinggal bersama seorang saudari. Apabila saya tiba, dia memberitahu saya bahawa pada malam itu akan ada perjumpaan, dan di sidangnya ada dua orang saudara yang sebaya dengan saya. Saudari itu berkata bahawa dia bukannya ingin membantu saya mencari pasangan, tetapi sebaik sahaja kami tiba di Dewan Perjumpaan, dia segera menarik saya untuk berjumpa dengan dua orang saudara itu. Kami bertiga berasa sangat kekok.”

13. Bagaimanakah contoh beberapa orang perintis bujang menggalakkan seorang saudari bujang?

13 Seorang lagi saudari bujang di Bethel berkata, “Saya mengenali beberapa orang perintis bujang yang lebih tua. Mereka matang, bertumpu kepada matlamat mereka, sudi membuat pengorbanan, dan hidup bahagia. Mereka tidak berasa bahawa mereka kekurangan sesuatu atau lebih istimewa daripada orang lain kerana mereka tetap membujang. Mereka sesungguhnya berkat kepada sidang.” Ya, apabila semua ahli sidang sedar bahawa mereka dan saudara saudari mereka mempunyai peranan masing-masing dalam sidang, semua orang akan berasa dikasihi dan dihargai.

14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati saudara saudari yang bujang?

14 Saudara saudari kita yang bujang akan bersyukur jika kita menghargai mereka kerana sifat-sifat baik mereka. Mereka juga akan berterima kasih jika kita tidak mengasihani mereka kerana mereka hidup membujang. Kita sepatutnya menghargai kesetiaan mereka dan bukannya menganggap keadaan mereka menyedihkan. Dengan itu, saudara saudari kita yang bujang tidak akan berasa bahawa kita sedang berkata, “Aku tidak memerlukan kamu.” (1 Kor. 12:21) Sebaliknya, mereka akan diyakinkan bahawa kita menghormati mereka dan menghargai peranan mereka dalam sidang.

KITA HARUS MENGHORMATI MEREKA YANG BELUM FASIH MENUTURKAN BAHASA KITA

15. Apakah perubahan yang perlu dilakukan oleh sesetengah penyiar agar dapat meluaskan khidmat mereka?

15 Beberapa tahun belakangan ini, banyak penyiar memutuskan untuk mempelajari bahasa baharu agar dapat meluaskan khidmat mereka kepada Yehuwa. Untuk berbuat demikian, mereka perlu membuat banyak perubahan. Mereka perlu meninggalkan sidang yang menggunakan bahasa ibunda mereka dan berpindah ke sidang bahasa asing yang memerlukan lebih banyak bantuan. (Kis. 16:9) Mereka mungkin memerlukan masa bertahun-tahun untuk menguasai bahasa baharu, tetapi sifat-sifat baik dan pengalaman mereka membantu menguatkan dan menstabilkan sidang. Tidakkah kita menghargai pengorbanan mereka?

16. Kelayakan seorang saudara untuk dilantik sebagai penatua atau pembantu sidang harus dinilai berdasarkan apa?

16 Badan penatua tidak akan berfikir bahawa seorang saudara tidak layak disyorkan sebagai penatua atau pembantu sidang semata-mata kerana dia belum fasih menuturkan bahasa yang digunakan dalam sidang. Mereka akan menilainya berdasarkan syarat Bible bagi penatua dan pembantu sidang, bukannya berdasarkan tahap penguasaan bahasanya.​—1 Tim. 3:1-10, 12, 13; Tit. 1:5-9.

17. Apakah keputusan yang perlu dibuat apabila sebuah keluarga berpindah ke luar negara?

17 Sesetengah keluarga Kristian berpindah ke luar negara untuk mencari pekerjaan atau kerana negara asal mereka dilanda masalah. Ibu bapa dalam keluarga sebegini mungkin perlu mempelajari bahasa tempatan supaya dapat mencari pekerjaan, dan anak-anak mereka mungkin menerima pendidikan dalam bahasa tempatan. Katakan terdapat kumpulan atau sidang bahasa ibunda mereka di kawasan tempatan. Apakah perjumpaan yang harus dihadiri oleh keluarga mereka? Patutkah mereka menghadiri perjumpaan dalam bahasa ibunda mereka atau perjumpaan dalam bahasa tempatan?

18. Seperti yang dinyatakan di Galatia 6:5, bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghormati keputusan ketua keluarga?

18 Setiap ketua keluarga mesti mempertimbangkan keperluan keluarganya dan membuat keputusan yang paling bermanfaat bagi mereka. (Baca Galatia 6:5.) Memandangkan hal ini merupakan keputusan peribadi, kita harus menghormati dan menerima keputusan ketua keluarga. Tidak kira apa keputusan mereka, ahli sidang harus menyambut mereka dengan mesra dan menunjukkan kasih kepada mereka.​—Rm. 15:7.

19. Ketua keluarga harus berdoa dan berfikir tentang apa?

19 Sesetengah keluarga mungkin menyertai sidang yang menggunakan bahasa ibunda ibu bapa. Namun anak-anak dalam keluarga itu mungkin tidak fasih menuturkan bahasa itu dan kurang memahami apa yang disampaikan semasa perjumpaan sehingga tidak dapat maju secara rohani. Mengapa? Anak-anak dalam keluarga itu mungkin menerima pendidikan dalam bahasa tempatan, dan kebanyakan orang di kawasan sidang mereka juga menuturkan bahasa tempatan. Jika begitu, ketua keluarga harus berdoa dan memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk membantu anak-anak mereka menghampiri Yehuwa dan umat-Nya. Mereka mungkin perlu membantu anak-anak mereka menguasai bahasa ibunda mereka, atau mereka mungkin perlu berpindah ke sidang yang menggunakan bahasa yang dapat difahami oleh anak-anak mereka. Tidak kira apa keputusan ketua keluarga, ahli sidang harus menunjukkan kasih dan hormat kepada dia dan keluarganya.

Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai mereka yang sedang mempelajari bahasa baharu? (Lihat perenggan 20)

20. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati saudara saudari yang mempelajari bahasa baharu?

20 Atas sebab-sebab yang telah dibincangkan, banyak sidang mempunyai saudara saudari yang sedang berusaha keras untuk mempelajari bahasa baharu. Ada kalanya, mereka mungkin berasa susah untuk menjelaskan apa yang hendak disampaikan oleh mereka. Namun, daripada bertumpu kepada tahap penguasaan bahasa mereka, bertumpulah kepada sifat-sifat baik mereka. Jika kita melihat kasih mereka untuk Yehuwa dan keinginan mereka untuk menyembah-Nya, kita akan menghargai dan menghormati mereka secara mendalam. Dengan itu, mereka tidak akan berasa bahawa kita sedang berkata, “Aku tidak memerlukan kamu.”

KITA BERHARGA DI MATA YEHUWA

21-22. Apakah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kita semua?

21 Kita amat bersyukur kerana Yehuwa telah memberi kita semua peranan yang penting dalam sidang-Nya. Tidak kira kita saudara atau saudari, bujang atau sudah berkahwin, tua atau muda, dan tidak kira kita fasih menuturkan suatu bahasa atau tidak, kita semua berharga bagi Yehuwa dan satu sama lain.​—Rm. 12:4, 5; Kol. 3:10, 11.

22 Kita telah memperoleh banyak pengajaran daripada perumpamaan Paulus tentang tubuh manusia. Semoga kita terus menerapkan apa yang kita pelajari. Dengan itu, kita akan mencari lebih banyak peluang untuk menunjukkan bahawa kita menghargai peranan kita dan peranan orang lain dalam sidang Yehuwa.

LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain

^ per. 5 Umat Yehuwa berasal daripada pelbagai latar belakang dan memainkan peranan yang berbeza-beza dalam sidang. Rencana ini akan menjelaskan mengapa kita harus menghormati setiap orang dalam sidang Yehuwa.

^ per. 8 Kita tidak pasti sama ada Timotius tetap membujang seumur hidupnya atau tidak.