Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 32

Hidup dengan Rendah Hati Di Hadapan Tuhan

Hidup dengan Rendah Hati Di Hadapan Tuhan

“Hidup dengan rendah hati di hadapan Tuhan.”​—MI. 6:8.

LAGU 31 Berjalanlah dengan Tuhan!

PENGENALAN *

1. Apakah yang dikatakan Daud tentang kerendahan hati Yehuwa?

DAPATKAH kita mengatakan bahawa Yehuwa bersikap rendah hati? Sudah tentu. Daud berkata, “Ya Tuhan, Engkau memberi aku perisai-Mu untuk menyelamatkan aku, dan kerendahan hati-Mu menjadikan aku agung.” (2 Sam. 22:36; Mzm. 18:35) Barangkali Daud teringat bagaimana Yehuwa memilihnya sebagai raja Israel. Walaupun Daud merupakan anak bongsu, Yehuwa telah mengutus Nabi Samuel ke rumah bapanya untuk mengurapinya sebagai pengganti Raja Saul.​—1 Sam. 16:1, 10-13.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Daud pasti setuju dengan kata-kata di Mazmur 113 yang menyatakan, “Dia membongkokkan diri untuk melihat langit dan bumi. Dia mengangkat orang lemah dari debu; Dia meninggikan orang miskin . . . supaya mereka duduk bersama dengan bangsawan.” (Mzm. 113:6-8) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Yehuwa menunjukkan kerendahan hati dan bagaimana kita dapat meniru teladan-Nya. Selepas itu, kita akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari daripada Raja Saul, Nabi Daniel, dan Yesus.

APAKAH YANG DAPAT KITA PELAJARI DARIPADA YEHUWA?

3. Apakah yang dapat kita perhatikan daripada cara Yehuwa melayan kita? Jelaskan.

3 Cara Yehuwa melayan para penyembah-Nya yang tidak sempurna menunjukkan bahawa Dia sangat rendah hati. Dia bukan sahaja menerima ibadat kita, tetapi Dia juga menganggap kita sebagai sahabat-Nya. (Mzm. 25:14) Untuk membolehkan kita menjadi sahabat-Nya, Yehuwa telah mengambil inisiatif dengan memberikan Anak-Nya sebagai korban tebusan. Tidakkah anda setuju bahawa Yehuwa telah menunjukkan belas kasihan yang amat besar terhadap kita?

4. Yehuwa telah memberi kita apa, dan mengapa?

4 Perhatikan satu lagi cara Yehuwa menunjukkan kerendahan hati-Nya. Sebagai Pencipta, Yehuwa jauh lebih agung dan berkuasa daripada kita, maka Dia boleh mencipta kita tanpa memberi kita kebebasan untuk memilih haluan hidup kita. Tetapi Dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, Dia mencipta kita menurut gambaran-Nya dan memberi kita kebebasan untuk memilih. Dia ingin kita memilih untuk menyembah-Nya kerana kita mengasihi-Nya dan kerana kita sedar bahawa mematuhi-Nya membawa manfaat. (Ul. 10:12; Yes. 48:17, 18) Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa begitu rendah hati?

Yesus bersama kaum terurap di syurga. Mereka berdiri sambil memandang para malaikat yang bilangannya tidak terkira. Sesetengah malaikat diutus ke bumi untuk menjalankan tugas mereka. Yehuwa telah memberikan kekuasaan kepada semua makhluk dalam gambar ini (Lihat perenggan 5)

5. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kerendahan hati? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

5 Perhatikan beberapa lagi cara Yehuwa menunjukkan kerendahan hati. Pertama, walaupun Yehuwalah yang paling bijaksana di seluruh alam semesta, Dia rela mendengar cadangan orang lain. Misalnya, Yehuwa mengizinkan Anak-Nya membantu-Nya menciptakan segala sesuatu. (Ams. 8:27-30; Kol. 1:15, 16) Kedua, walaupun Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa, Dia rela mengagihkan tanggungjawab kepada orang lain. Sebagai contoh, Dia melantik Yesus sebagai Raja Kerajaan-Nya, dan Dia memberikan kuasa kepada 144,000 orang yang akan memerintah bersama Yesus. (Luk. 12:32) Yehuwa telah melatih Yesus untuk menjadi raja dan imam agung. (Ibr. 5:8, 9) Dia juga melatih mereka yang akan memerintah bersama Yesus, tetapi Dia tidak memberitahu mereka setiap langkah yang mesti diambil untuk menjalankan tugas mereka. Sebaliknya, Dia yakin bahawa mereka akan melaksanakan kehendak-Nya dengan baik. (Why. 5:10) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yehuwa?

Kita meniru Yehuwa dengan melatih orang lain dan mengagihkan tanggungjawab kepada mereka (Lihat perenggan 6-7) *

6-7. Bagaimanakah ketua keluarga, penatua, dan ibu bapa, dapat meniru teladan Yehuwa?

6 Jika Bapa kita yang di syurga, yang tidak memerlukan apa-apa bantuan, pun rela mengagihkan tanggungjawab kepada orang lain, apatah lagi dengan kita! Jika anda ialah ketua keluarga atau penatua, tirulah teladan Yehuwa. Agihkanlah tugas kepada orang lain, dan lawanlah kecenderungan untuk mengawal cara mereka menjalankan tugas. Apabila anda meniru teladan Yehuwa, anda bukan sahaja dapat melatih orang lain untuk menyiapkan tugas mereka, tetapi juga akan menambahkan keyakinan mereka. (Yes. 41:10) Apakah hal lain yang dapat kita pelajari daripada Yehuwa?

7 Bible menyatakan bahawa Yehuwa ingin mendengar pendapat anak-anak-Nya di syurga. (1 Raj. 22:19-22) Ibu bapa sekalian, bagaimanakah anda dapat meniru teladan Yehuwa? Tanyalah anak-anak anda bagaimana suatu tugasan dapat dilakukan, dan jika sesuai, gunakanlah cadangan mereka.

8. Bagaimanakah Yehuwa bersabar dengan Abraham dan Sara?

8 Cara ketiga Yehuwa menunjukkan kerendahan hati adalah dengan bersikap sabar. Sebagai contoh, Yehuwa mendengar dengan sabar semasa Abraham menanyakan banyak soalan mengenai keputusan-Nya untuk membinasakan Sodom dan Gomora. (Kej. 18:22-33) Fikirkan juga bagaimana Yehuwa melayan Sara, iaitu isteri Abraham. Semasa Yehuwa berjanji bahawa Sara yang sudah lanjut usia akan mengandung, Sara tertawa dalam hatinya, tetapi Yehuwa tidak naik marah. (Kej. 18:10-14) Sebaliknya, Dia melayan Sara dengan hormat.

9. Bagaimanakah ibu bapa dan penatua dapat meniru teladan Yehuwa?

9 Ibu bapa dan penatua sekalian, bagaimanakah anda dapat meniru teladan Yehuwa? Fikirkan reaksi anda apabila anak-anak anda atau ahli sidang mempersoalkan keputusan anda. Adakah anda akan segera mempertahankan keputusan anda, atau adakah anda akan berusaha memahami pandangan mereka? Apabila ibu bapa dan penatua meniru teladan Yehuwa, keluarga dan sidang akan meraih manfaat. Setakat ini, kita sudah membincangkan cara untuk meniru kerendahan hati Yehuwa. Sekarang, mari kita lihat apa yang dapat kita pelajari daripada contoh watak-watak Bible.

APAKAH YANG DAPAT KITA PELAJARI DARIPADA WATAK-WATAK BIBLE?

10. Apakah satu lagi cara Yehuwa mengajar kita?

10 Sebagai “Pendidik Agung” kita, Yehuwa juga mengajar kita melalui watak-watak Bible. (Yes. 30:20, 21) Dalam Bible, terdapat kisah tentang orang yang menunjukkan sifat murni, seperti kerendahan hati, dan orang yang gagal menunjukkan sifat sedemikian. Mari kita merenungkan contoh beberapa watak Bible dan memperhatikan apa yang dapat kita pelajari daripada kisah mereka.​—Mzm. 37:37; 1 Kor. 10:11.

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan buruk Saul?

11 Fikirkan contoh Raja Saul. Semasa muda, dia seorang yang rendah hati. Dia bahkan berasa bahawa dia tidak layak memikul lebih banyak tanggungjawab kerana dia sedar akan keterbatasannya. (1 Sam. 9:21; 10:20-22) Namun, tidak lama selepas menjadi raja, Saul menjadi sombong dan bertindak melampaui batas kuasanya. Pernah sekali, semasa menunggu kedatangan Nabi Samuel, Saul hilang sabar dan mempersembahkan korban bakar walaupun dia tidak berhak berbuat demikian. Oleh sebab Saul tidak rendah hati dan tidak yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa mampu menyelamatkan umat-Nya, dia kehilangan perkenan Yehuwa dan ditolak sebagai raja. (1 Sam. 13:8-14) Contoh Saul mengingatkan kita agar tetap rendah hati dan tidak bertindak melampaui batas kuasa kita.

12. Bagaimanakah Daniel menunjukkan kerendahan hati?

12 Fikirkan contoh Nabi Daniel pula. Seumur hidupnya, Daniel tetap rendah hati dan sentiasa memohon bimbingan Yehuwa. Misalnya, semasa Yehuwa menggunakannya untuk mentafsirkan mimpi Nebukadnezar, Daniel bersikap rendah hati dan menghalakan semua pujian kepada Yehuwa. (Dan. 2:26-28) Apakah pengajarannya bagi kita? Jika saudara saudari memuji kita kerana memberikan ceramah yang baik, atau jika kita meraih hasil yang baik dalam kerja penyebaran, ingatlah bahawa kita harus menghalakan segala pujian kepada Yehuwa. Kita harus bersikap rendah hati dan sedar bahawa kita tidak dapat melakukan semua itu tanpa bantuan Yehuwa. (Flp. 4:13) Apabila kita berbuat demikian, kita sedang meniru teladan Yesus. Mengapakah kita dapat berkata demikian?

13. Bagaimanakah kata-kata Yesus di Yohanes 5:19, 30 menunjukkan bahawa Yesus rendah hati?

13 Meskipun Yesus ialah Anak Tuhan yang sempurna, dia bergantung pada Yehuwa. (Baca Yohanes 5:19, 30.) Dia tidak pernah mencuba untuk merampas kuasa Bapanya. Filipi 2:6 menyatakan bahawa Yesus “tidak pernah berfikir untuk merebut kedudukan Tuhan agar menjadi setara dengan-Nya.” Sebaliknya, Yesus sedar akan keterbatasannya. Dia juga tunduk kepada Bapanya dan menghormati kekuasaan Bapanya.

Yesus tidak bertindak melampaui bidang kuasanya (Lihat perenggan 14)

14. Semasa diminta melakukan sesuatu yang melampaui bidang kuasanya, apakah reaksi Yesus?

14 Fikirkan reaksi Yesus semasa Yakobus, Yohanes, dan ibu mereka, memintanya melakukan sesuatu yang melampaui bidang kuasanya. Yesus segera memberitahu mereka bahawa hanya Bapanya yang berhak untuk menentukan siapa yang akan duduk di sebelah kanan atau kirinya dalam Kerajaan Tuhan. (Mat. 20:20-23) Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa dia rendah hati dan tidak melampaui batas kuasa yang ditentukan oleh Yehuwa. (Yoh. 12:49) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan baik Yesus?

Bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati Yesus? (Lihat perenggan 15-16) *

15-16. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat Bible di 1 Korintus 4:6?

15 Kita meniru kerendahan hati Yesus dengan menerapkan nasihat di 1 Korintus 4:6 yang menyatakan, “Janganlah lakukan sesuatu yang melebihi apa yang tertulis.” Jadi semasa orang lain meminta nasihat kita, kita tidak mahu memberikan nasihat tanpa berfikir panjang, dan kita juga tidak mahu memaksa mereka menerima pandangan kita. Sebaliknya, kita harus menghalakan perhatian mereka kepada nasihat yang terdapat dalam Bible dan bahan bacaan kita. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita bersikap rendah hati dan sedar bahawa kita tidak mengetahui segala-galanya. Kita mengakui bahawa nasihat Yehuwa jauh lebih baik daripada nasihat kita.​—Why. 15:3, 4.

16 Jika kita rendah hati, kita bukan sahaja dapat memuliakan Yehuwa, tetapi juga akan meraih banyak manfaat lain. Sekarang, mari kita lihat bagaimana sifat ini dapat membawa sukacita dan membantu kita menikmati hubungan yang baik dengan orang lain.

MANFAAT BERSIKAP RENDAH HATI

17. Mengapakah orang yang rendah hati biasanya lebih gembira?

17 Orang yang rendah hati biasanya lebih gembira. Mengapa? Jika kita sedar akan keterbatasan kita, kita akan bersyukur dan bersukacita semasa menerima bantuan orang lain. Fikirkan 10 orang pesakit kusta yang disembuhkan oleh Yesus. Hanya seorang daripada mereka yang kembali untuk mengucapkan terima kasih kepada Yesus. Lelaki itu sedar bahawa dia tidak mungkin sembuh tanpa bantuan Yesus. Oleh sebab dia bersikap rendah hati, dia bersyukur atas bantuan yang diterimanya dan memuliakan Tuhan.​—Luk. 17:11-19.

18. Bagaimanakah sifat rendah hati membantu kita menikmati hubungan yang baik dengan orang lain? (Roma 12:10)

18 Orang yang rendah hati juga biasanya menikmati hubungan yang baik dengan orang lain dan memiliki sahabat rapat. Mengapa? Mereka mempercayai orang lain dan mengakui bahawa setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing. Orang yang rendah hati akan tumpang gembira semasa orang lain berjaya melakukan tugasan mereka. Mereka juga menghormati orang lain dan tidak kedekut untuk memberikan pujian.​—Baca Roma 12:10.

19. Apakah ciri-ciri orang yang sombong?

19 Orang yang sombong pula selalu ingin dipuji tetapi kedekut memuji orang lain. Mereka suka membandingkan diri dengan orang lain dan suka bersaing. Mereka juga tidak sudi memberikan latihan dan tanggungjawab kepada orang lain kerana mereka berfikir bahawa selain mereka, tiada orang yang dapat melakukan suatu tugasan dengan baik. Orang yang sombong juga suka meninggikan diri dan berasa iri hati semasa melihat orang lain berjaya. (Gal. 5:26) Orang sebegini jarang dapat menjalin persahabatan yang berkekalan. Oleh itu, jika kita mendapati bahawa benih kesombongan mula bercambah dalam diri kita, kita perlu merayu kepada Yehuwa agar Dia membantu kita ‘mengubah fikiran kita.’ (Rm. 12:2) Dengan itu, sifat buruk ini tidak akan berakar umbi dalam diri kita.

20. Mengapakah kita harus bersikap rendah hati?

20 Kita sudah melihat bagaimana Yehuwa menunjukkan kerendahan hati semasa melayan hamba-hamba-Nya, dan kita juga telah melihat contoh watak-watak Bible yang hidup dengan rendah hati di hadapan Tuhan. Marilah kita berusaha untuk meniru teladan Yehuwa dan contoh-contoh baik dalam Bible. Selain itu, semoga kita memberikan segala pujian dan kemuliaan kepada Yehuwa. (Why. 4:11) Dengan berbuat demikian, kita dapat menjadi sahabat Yehuwa buat selama-lamanya, kerana Dia mengasihi orang yang rendah hati.

LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia

^ per. 5 Orang yang rendah hati akan berbelas kasihan terhadap orang lain. Oleh itu, kita dapat berkata bahawa Yehuwa rendah hati. Rencana ini akan menjelaskan bagaimana kita dapat meniru kerendahan hati Yehuwa. Kita juga akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari daripada Raja Saul, Nabi Daniel, dan Yesus.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua meluangkan masa untuk melatih seorang saudara yang lebih muda untuk mengurus peta kawasan penyebaran. Tetapi penatua itu tidak mengawal cara saudara itu melaksanakan tugasnya.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari menanya seorang penatua jika dia boleh menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan di gereja. Penatua itu tidak menjawab berdasarkan pendapatnya sendiri tetapi mengongsi prinsip Bible yang berkenaan.