Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 33

Pembangkitan Menunjukkan Kasih, Kebijaksanaan, dan Kesabaran Tuhan

Pembangkitan Menunjukkan Kasih, Kebijaksanaan, dan Kesabaran Tuhan

“Tuhan akan membangkitkan orang.”​​—KIS. 24:15.

LAGU 151 Dia Akan Memanggil

PENGENALAN *

1. Mengapakah Yehuwa menciptakan makhluk hidup?

YEHUWA pernah hidup bersendirian buat suatu jangka masa. Tetapi Dia tidak berasa sunyi, dan Dia tidak memerlukan sesiapa pun agar dapat hidup bahagia. Meskipun begitu, Tuhan kita yang pengasih mula menciptakan makhluk hidup supaya mereka pun dapat menikmati kehidupan.​—Mzm. 36:9; 1 Yoh. 4:19.

2. Apakah perasaan Yesus dan para malaikat semasa Yehuwa menciptakan segala sesuatu?

2 Mula-mula, Yehuwa menciptakan anak sulung-Nya, iaitu Yesus. Kemudian, Dia bekerja bersama Yesus untuk menciptakan “segala sesuatu yang lain,” termasuk jutaan malaikat. (Kol. 1:16) Yesus pasti bersukacita kerana berpeluang untuk bekerja sebagai jurubina yang mahir di sisi Bapanya. (Ams. 8:30) Semasa para malaikat melihat Yehuwa dan Yesus menciptakan langit dan bumi, mereka “bersorak-sorak dengan gembira.” (Ayb. 38:7) Sudah pasti mereka terus bersukacita dan memuji Yehuwa semasa Dia menciptakan segala sesuatu di bumi, termasuk manusia. (Ams. 8:31) Sesungguhnya, setiap ciptaan Yehuwa menunjukkan kasih dan kebijaksanaan-Nya.​—Mzm. 104:24; Rm. 1:20.

3. Menurut 1 Korintus 15:21, 22, apakah manfaat yang diraih menerusi korban tebusan Yesus?

3 Yehuwa ingin umat manusia hidup selama-lamanya di bumi firdaus yang indah. Tetapi akibat pemberontakan Adam dan Hawa, manusia dibelenggu dosa dan kematian. (Rm. 5:12) Apakah reaksi Yehuwa? Dia segera menyatakan bagaimana Dia akan menyelamatkan umat manusia. (Kej. 3:15) Yehuwa berjanji untuk menyediakan tebusan supaya keturunan Adam dan Hawa dapat dibebaskan daripada belenggu dosa dan kematian. Dengan adanya tebusan, setiap orang berpeluang memilih untuk menyembah Yehuwa dan menerima kehidupan kekal.​—Yoh. 3:16; Rm. 6:23; baca 1 Korintus 15:21, 22.

4. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa soalan tentang harapan pembangkitan. Sebagai contoh, apakah yang mungkin akan berlaku semasa pembangkitan? Dapatkah kita mengenali orang tersayang yang dibangkitkan? Bagaimanakah pembangkitan akan membawa sukacita? Bagaimanakah pembangkitan membantu kita lebih menghargai kasih, kebijaksanaan, dan kesabaran Yehuwa?

APAKAH YANG MUNGKIN AKAN TERJADI SEMASA PEMBANGKITAN?

5. Mengapakah kita dapat percaya bahawa Yehuwa akan membangkitkan orang mati secara bertahap-tahap?

5 Nampaknya, pembangkitan akan berlaku secara bertahap-tahap. Mengapa? Jika jutaan orang mati dibangkitkan sekali gus pada masa yang sama, keadaan di bumi akan menjadi huru-hara. Namun, Yehuwa bukanlah Tuhan yang kacau-bilau. Dia pasti melakukan semuanya secara teratur agar kedamaian terpelihara. (1 Kor. 14:33) Yesus telah memperhatikan kebijaksanaan dan kesabaran Yehuwa semasa mereka berdua mempersiapkan bumi secara bertahap-tahap untuk didiami oleh manusia. Jadi, kita dapat yakin bahawa Yesus akan meniru sifat Bapanya sepanjang seribu tahun pemerintahannya. Selepas Armagedon, dia dan orang yang terselamat pun akan mempersiapkan bumi secara bertahap-tahap bagi mereka yang akan dibangkitkan.

Orang yang selamat mengharungi Armagedon akan mengajar orang yang dibangkitkan tentang Kerajaan Tuhan dan prinsip Yehuwa (Lihat perenggan 6) *

6. Menurut Kisah 24:15, siapakah yang akan dibangkitkan?

6 Orang yang selamat mengharungi Armagedon juga diberi satu tugas yang amat penting, iaitu mengajar orang yang dibangkitkan tentang Kerajaan Tuhan dan prinsip Yehuwa. Mengapa? Kerana kebanyakan antara mereka ialah “orang yang tidak baik,” yang belum mengenali Yehuwa. (Baca Kisah 24:15.) Mereka perlu diajar kebenaran tentang Yehuwa dan dibantu untuk membuat banyak perubahan, supaya mereka meraih manfaat daripada tebusan Kristus dan mendapat kehidupan kekal. Namun, adakah jutaan orang yang dibangkitkan akan mempelajari Bible secara perseorangan, sepertimana kita mengadakan pembelajaran Bible hari ini? Adakah mereka akan ditugaskan ke sidang-sidang dan dilatih untuk mengajar orang lain yang akan dibangkitkan? Kita perlu tunggu dan lihat. Namun kita tahu bahawa menjelang akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, “pengetahuan tentang Yehuwa akan memenuhi bumi.” (Yes. 11:9) Jadi sepanjang seribu tahun itu, kita akan sangat sibuk dan sangat gembira.

7. Mengapakah umat Tuhan pasti dapat menunjukkan simpati semasa mengajar orang yang dibangkitkan?

7 Sepanjang Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, para penyembah Yehuwa di bumi perlu terus membuat perubahan agar dapat menyenangkan hati-Nya dan diselamatkan. (Flp. 2:12) Jadi mereka pasti dapat menunjukkan simpati semasa membantu orang yang dibangkitkan untuk melawan keinginan yang berdosa dan hidup menurut piawaian Yehuwa. (1 Ptr. 3:8) Apabila orang yang dibangkitkan melihat umat Yehuwa bersikap rendah hati dan berusaha membuat perubahan, mereka juga akan terdorong untuk menyenangkan hati Yehuwa dan menyembah Yehuwa bersama umat-Nya.

DAPATKAH KITA MENGENALI ORANG YANG DIBANGKITKAN?

8. Mengapakah kita dapat percaya bahawa kita akan dapat mengenali orang tersayang yang dibangkitkan?

8 Terdapat beberapa sebab kita dapat percaya bahawa kita akan dapat mengenali orang tersayang yang dibangkitkan. Misalnya, kisah pembangkitan dalam Bible menunjukkan bahawa apabila Yehuwa membangkitkan seseorang, orang itu akan memiliki paras rupa, gaya percakapan, dan fikiran yang dimilikinya sebelum dia meninggal. Yesus berkata bahawa orang mati adalah seperti orang yang sedang tidur, dan orang yang dibangkitkan adalah seperti orang yang baru bangun daripada tidur. (Mat. 9:18, 24; Yoh. 11:11-13) Semasa seseorang bangun daripada tidur, rupa, suara, dan ingatannya adalah sama seperti sebelum dia tidur. Fikirkan contoh Lazarus. Dia sudah mati selama empat hari, jadi tubuhnya pasti sudah mula reput. Namun, semasa Yesus membangkitkannya, Marta dan Maria segera mengenalinya, dan Lazarus pun dapat mengingati mereka.​—Yoh. 11:38-44; 12:1, 2.

9. Mengapakah orang yang dibangkitkan tidak akan menjadi sempurna dengan serta-merta?

9 Yehuwa telah berjanji bahawa tiada orang di bawah pemerintahan Kristus yang akan berkata, “Aku sakit.” (Yes. 33:24; Rm. 6:7) Maka, orang yang dibangkitkan akan memiliki tubuh yang sihat. Namun mereka tidak akan menjadi sempurna dengan serta-merta, supaya mereka masih dapat dikenali oleh orang tersayang mereka. Nampaknya, semua manusia akan menjadi sempurna secara beransur-ansur sepanjang Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Pada akhir seribu tahun itu, Kerajaan Tuhan akan melaksanakan semua kehendak Tuhan, termasuk membantu manusia menjadi sempurna. Selepas itu, Yesus akan menyerahkan Kerajaan itu kepada Tuhan.​—1 Kor. 15:24-28; Why. 20:1-3.

BAGAIMANAKAH PEMBANGKITAN AKAN MEMBAWA SUKACITA?

10. Apakah perasaan anda semasa melihat orang mati dibangkitkan?

10 Bayangkan perasaan anda apabila anda bertemu lagi dengan orang tersayang yang dibangkitkan. Adakah anda akan ketawa atau menangis kerana terlalu gembira? Adakah anda akan melaungkan pujian kepada Yehuwa? Tidak kira apa reaksi anda, anda pasti akan lebih mengasihi Yehuwa dan Anak-Nya kerana mengurniakan harapan pembangkitan.

11. Berdasarkan kata-kata Yesus di Yohanes 5:28, 29, apakah berkat yang menantikan mereka yang hidup menurut piawaian Tuhan?

11 Jika orang yang dibangkitkan berusaha menanggalkan keperibadian lama dan hidup menurut piawaian Tuhan, mereka akan menikmati kehidupan kekal. Bayangkan betapa besarnya sukacita mereka pada masa itu! Namun, jika mereka enggan berubah, Tuhan tidak akan membenarkan mereka terus hidup di firdaus supaya kedamaian di firdaus tidak terganggu.​—Yes. 65:20; baca Yohanes 5:28, 29.

12. Bagaimanakah semua orang di bumi akan diberkati oleh Yehuwa?

12 Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, semua penyembah Yehuwa akan melihat kata-kata di Amsal 10:22 menjadi kenyataan: “Berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya, dan berkat-Nya tidak disertai kepedihan hati.” Dengan adanya bantuan kuasa suci Yehuwa, umat-Nya akan menjadi kaya secara rohani. Bagaimana? Mereka akan dapat meniru sifat-sifat Yesus dengan semakin baik dan beransur-ansur menjadi sempurna. (Yoh. 13:15-17; Ef. 4:23, 24) Setiap hari, mereka akan menjadi semakin sihat dan memiliki keperibadian yang semakin baik. (Ayb. 33:25) Ya, harapan pembangkitan akan membawa sukacita yang besar pada masa hadapan! Namun, apakah manfaatnya sekarang jika kita merenungkan harapan pembangkitan?

MENGHARGAI KASIH YEHUWA

13. Seperti yang dinyatakan di Mazmur 139:1-4, bagaimanakah harapan pembangkitan menunjukkan bahawa Yehuwa mengenali kita secara mendalam?

13 Seperti yang telah dibincangkan tadi, orang yang dibangkitkan oleh Yehuwa akan memiliki ingatan dan keperibadian yang dimiliki mereka sebelum mereka meninggal. Jadi, jika Yehuwa perlu membangkitkan anda, Dia perlu mengingati semua fikiran, perasaan, kata-kata, dan perbuatan anda. Tidakkah hal itu menunjukkan bahawa Yehuwa amat mengasihi anda? Raja Daud menyatakan bahawa Yehuwa mengenali kita secara mendalam. (Baca Mazmur 139:1-4.) Bagaimanakah hal itu patut mempengaruhi kita?

14. Apakah sepatutnya perasaan kita apabila mengetahui bahawa Yehuwa mengenali kita dengan begitu baik?

14 Yehuwa mengenali kita dengan sangat baik, dan Dia sentiasa memperhatikan kita. Namun, adakah Yehuwa berbuat demikian kerana ingin mencari kesalahan kita? Tidak. Yehuwa berbuat demikian kerana Dia sangat mengambil berat terhadap kita. Dia mengetahui semua butiran tentang kita, termasuk apa yang kita lalui dalam kehidupan, kerana kita semua berharga di mata-Nya. Tidakkah kita berasa lega setelah merenungkan hal itu? Ya, ingatlah bahawa kita tidak pernah keseorangan. Yehuwa sentiasa bersama kita dan mencari peluang untuk membantu kita.​—2 Taw. 16:9.

MENGHARGAI KEBIJAKSANAAN YEHUWA

15. Bagaimanakah pembangkitan membuktikan kebijaksanaan Yehuwa?

15 Secara semula jadi, manusia memang takut akan kematian. Maka konco-konco Syaitan sering menggunakan rasa takut akan kematian untuk memaksa orang mengkhianati kawan mereka dan melakukan sesuatu yang salah. Namun, dengan adanya harapan pembangkitan, kita tidak takut akan ancaman maut. Kita tahu bahawa jika musuh membunuh kita, Yehuwa dapat membangkitkan kita. (Why. 2:10) Kita juga yakin bahawa musuh tidak dapat melakukan apa-apa pun untuk memutuskan hubungan kita dengan Yehuwa. (Rm. 8:35-39) Ya, harapan pembangkitan memberi kita keberanian untuk tetap setia kepada Yehuwa dan tidak gentar semasa diugut oleh para pengikut Syaitan. Tidakkah anda setuju bahawa pembangkitan membuktikan kebijaksanaan Yehuwa?

Adakah keputusan kita menunjukkan bahawa kita yakin Yehuwa pasti menjaga keperluan hidup kita? (Lihat perenggan 16) *

16. Apakah soalan-soalan yang patut kita fikirkan? Mengapakah soalan-soalan itu penting?

16 Jika musuh Yehuwa mengugut hendak membunuh anda, adakah anda percaya bahawa Yehuwa dapat membangkitkan anda? Bagaimanakah anda dapat tahu seberapa dalam kepercayaan anda terhadap Yehuwa? Salah satu caranya adalah dengan memikirkan soalan-soalan seperti, “Adakah semua keputusan saya, termasuk keputusan dalam hal-hal yang kecil, menunjukkan bahawa saya percaya kepada Yehuwa?” (Luk. 16:10) “Adakah cara hidup saya menunjukkan bahawa saya yakin Yehuwa pasti menjaga keperluan hidup saya jika saya mengutamakan Kerajaan-Nya?” (Mat. 6:31-33) Jika anda menjawab ya kepada soalan-soalan tadi, anda menunjukkan bahawa anda yakin kepada Yehuwa dan bersedia menghadapi apa jua cabaran.​—Ams. 3:5, 6.

MENGHARGAI KESABARAN YEHUWA

17. (a) Bagaimanakah pembangkitan menunjukkan kesabaran Yehuwa? (b) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai kesabaran Yehuwa?

17 Yehuwa sudah menentukan waktu untuk mengakhiri dunia jahat ini. (Mat. 24:36) Namun, Dia tidak akan hilang sabar dan bertindak sebelum waktu itu tiba. Yehuwa sangat ingin membangkitkan orang mati, tetapi Dia menunggu dengan sabar sehingga masa yang ditentukan-Nya tiba. (Ayb. 14:14, 15; Yoh. 5:28) Mengapakah kita menghargai kesabaran Yehuwa? Fikirkan, oleh sebab Yehuwa bersabar, banyak orang, termasuk kita, “berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai kesabaran Yehuwa? Yehuwa ingin sebanyak orang yang mungkin untuk meraih kehidupan kekal. Jadi, kita dapat menunjukkan penghargaan kita dengan berusaha sedaya upaya untuk mencari orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal.” (Kis. 13:48) Kita ingin membantu mereka untuk mengasihi Yehuwa dan menyembah-Nya supaya mereka juga dapat meraih manfaat daripada kesabaran Yehuwa.

18. Mengapakah kita harus bersabar dengan orang lain?

18 Yehuwa hanya akan mengharapkan kesempurnaan daripada kita selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus berakhir. Sebelum masa itu tiba, Yehuwa sudi bersabar dengan kita dan mengampunkan dosa kita. Oleh itu, kita juga harus bertumpu kepada sifat-sifat baik orang lain dan bersabar dengan mereka. Fikirkan contoh seorang saudari. Suaminya mengalami masalah kebimbangan yang melampau dan berhenti menghadiri perjumpaan. Saudari itu berkata, “Keadaan kami sangat mencabar. Kehidupan kami tunggang terbalik dan banyak rancangan kami terpaksa dibatalkan.” Namun, saudari yang pengasih itu bersabar dan tidak bertumpu kepada masalah suaminya. Dia bergantung pada Yehuwa dan tidak berputus asa. Seperti Yehuwa, dia bertumpu kepada hal-hal yang positif. Dia berkata, “Suami saya ada sifat-sifat yang baik, dan dia sedang berusaha untuk pulih secara beransur-ansur.” Pengalaman saudari ini menunjukkan pentingnya untuk bersabar dengan ahli keluarga atau ahli sidang yang sedang bergelut dengan masalah.

19. Apakah seharusnya tekad anda?

19 Yesus dan para malaikat bersukacita semasa bumi diciptakan. Namun, mereka pasti lebih bersukacita apabila bumi dipenuhi dengan manusia yang sempurna, yang mengasihi dan menyembah Yehuwa. Bayangkan betapa gembiranya kaum terurap yang memerintah bersama Yesus semasa mereka membantu umat manusia beransur-ansur menjadi sempurna. (Why. 4:4, 9-11; 5:9, 10) Bayangkan betapa gembiranya kita semasa penyakit, kesedihan, dan kematian, dilenyapkan buat selama-lamanya. (Why. 21:4) Namun sebelum masa itu tiba, bertekadlah untuk meniru teladan Bapa anda di syurga yang pengasih, bijaksana, dan sabar. Dengan itu, anda akan tetap bersukacita tidak kira apa cabaran yang anda hadapi. (Yak. 1:2-4) Tidakkah anda bersyukur atas harapan pembangkitan yang dijanjikan oleh Yehuwa?​—Kis. 24:15.

LAGU 141 Mukjizat Kehidupan

^ per. 5 Kita dapat melihat kasih, kebijaksanaan, dan kesabaran Yehuwa, menerusi cara Dia menciptakan segala sesuatu, dan menerusi janji-Nya untuk membangkitkan orang mati. Rencana ini akan membincangkan beberapa soalan tentang pembangkitan dan menjelaskan bagaimana kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai kasih, kebijaksanaan, dan kesabaran Yehuwa.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Seorang lelaki yang meninggal ratusan tahun yang lalu dibangkitkan di firdaus. Seorang saudara yang selamat mengharungi Armagedon mengajarnya apa yang perlu dilakukannya untuk meraih manfaat daripada tebusan Yesus.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara memberitahu majikannya bahawa pada hari-hari tertentu, dia tidak dapat bekerja lebih masa. Dia menjelaskan bahawa dia telah mengekhaskan hari-hari itu untuk beribadat kepada Yehuwa, tetapi dia sudi bekerja lebih masa pada hari-hari lain.