Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Adakah kata-kata di Pengkhutbah 5:8 merujuk kepada pemerintah manusia sahaja atau kepada Yehuwa juga?

Ayat yang menarik ini berbunyi, “Janganlah hairan jika kamu nampak seorang pegawai tinggi menindas orang miskin dan tidak menegakkan keadilan dan kebenaran di wilayahmu. Pegawai tinggi itu diperhatikan oleh pegawai yang lebih tinggi, dan mereka diperhatikan oleh orang yang lebih tinggi lagi.”​—Pkh. 5:8.

Dari sudut pandangan manusia, ayat ini nampaknya hanya merujuk kepada pegawai-pegawai dalam kerajaan manusia. Namun, ayat ini sebenarnya mengandungi satu kebenaran tentang Yehuwa yang dapat melegakan hati kita.

Pengkhutbah 5:8 menggambarkan seorang penguasa yang menindas orang miskin dan tidak berlaku adil. Penguasa itu diingatkan bahawa dia sedang diawasi oleh pegawai yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi, dan pegawai itu pula mungkin diperhatikan oleh seseorang yang lebih berkuasa lagi. Sedihnya, pegawai dalam kerajaan manusia, tidak kira yang berpangkat rendah atau yang berpangkat tinggi, mungkin menyalahgunakan kuasa, dan rakyatlah yang harus menderita.

Biarpun masalah sebegini nampaknya mustahil diselesaikan, kita dapat berasa lega kerana Yehuwa sedang memerhatikan para pegawai dalam kerajaan manusia. Kita juga sedar bahawa “Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi untuk mencari orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati agar Dia dapat menunjukkan kekuatan-Nya kepada mereka.” (2 Taw. 16:9) Maka kita dapat memohon bantuan Tuhan dan melemparkan beban kita kepada-Nya.​—Mzm. 55:22; Flp. 4:6, 7.

Jadi, Pengkhutbah 5:8 mengajar kita bahawa dalam kerajaan manusia, pasti terdapat seseorang yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi. Namun, yang lebih penting, ayat itu mengingatkan kita bahawa Yehuwalah Pemerintah Yang Tertinggi, dan Dia memerhatikan segala-galanya. Kini, Kerajaan-Nya sedang memerintah, dan Dia telah melantik Anak-Nya Yesus Kristus sebagai Raja Kerajaan itu. Kita berasa lega kerana Yehuwa sentiasa adil dan saksama, dan kita yakin Anak-Nya pasti akan menunjukkan sifat yang sama.