Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Joseph F. Rutherford dan saudara-saudara yang melawat Eropah

1920—Seratus Tahun yang lalu

1920—Seratus Tahun yang lalu

PADA awal tahun 1920, umat Yehuwa telah mendapat semangat baharu untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Untuk tahun itu, mereka memilih ayat tahunan yang berbunyi, “TUHAN adalah kekuatan dan nyanyianku.”​—Mzm. 118:14, King James Version.

Pada tahun itu, bilangan peneraju, atau perintis, telah meningkat daripada 225 kepada 350 orang. Pada tahun itu juga, buat kali pertama, lebih daripada 8,000 orang penyiar telah menghantar laporan aktiviti penyebaran kepada ibu pejabat. Yehuwa telah menjadi sumber kekuatan mereka dan memberi mereka hasil yang memberangsangkan.

MENUNJUKKAN SEMANGAT YANG MEMBARA

Pada 21 Mac 1920, Joseph F. Rutherford, yang mengambil pimpinan dalam kalangan Pelajar Bible pada masa itu, telah memberikan ceramah yang bertajuk “Jutaan Orang yang Hidup Sekarang Tidak akan Mati.” Para Pelajar Bible telah berusaha sedaya upaya untuk menjemput orang mendengar ceramah itu. Mereka menyewa salah sebuah dewan yang terbesar di Bandar Raya New York dan mengedarkan kira-kira 320,000 helai jemputan.

Ceramah “Jutaan Orang yang Hidup Sekarang Tidak akan Mati” diiklankan dalam akhbar

Jemputan itu mendapat sambutan hangat. Sebanyak 7,000 orang yang datang tidak dapat mendengar ceramah itu, kerana dewan tersebut hanya dapat memuatkan 5,000 orang. Majalah The Watch Tower menyatakan bahawa perhimpunan itu merupakan “salah satu acara yang paling berjaya yang pernah diadakan oleh Pelajar Bible Antarabangsa.”

Para Pelajar Bible menjadi terkenal kerana mengumumkan berita bahawa “jutaan orang yang hidup sekarang tidak akan mati.” Pada masa itu, mereka belum faham bahawa berita tentang Kerajaan Tuhan perlu disebarkan dengan lebih meluas lagi. Meskipun begitu, mereka menunjukkan semangat yang membara. Ida Olmstead, yang mula menghadiri perjumpaan pada tahun 1902, berkata, “Kami tahu bahawa manusia akan menikmati berkat yang melimpah. Jadi kami berusaha mengongsi berita baik dengan orang yang kami jumpa.”

MENGHASILKAN BAHAN BACAAN DI BETHEL

Untuk memastikan agar saudara saudari mempunyai makanan rohani yang mencukupi, para saudara di Bethel telah membeli mesin cetak untuk menghasilkan bahan bacaan. Mesin itu dipasang di dalam sebuah bangunan yang disewa tidak jauh dari Bethel, iaitu di 35 Myrtle Avenue, Brooklyn, New York.

Leo Pelle dan Walter Kessler mula berkhidmat di Bethel pada Januari 1920. Walter berkata, “Sebaik sahaja kami tiba, penyelia percetakan memandang kami dan berkata, ‘Ada satu jam setengah lagi sebelum waktu makan tengah hari.’ Dia menyuruh kami mengangkat kotak-kotak berisi buku dari tingkat bawah tanah.”

Leo menceritakan apa yang berlaku pada keesokan harinya. Dia berkata, “Kami disuruh mencuci dinding di tingkat bawah bangunan. Saya tidak pernah mencuci tempat yang begitu kotor dalam hidup saya. Namun, kerja itu amat bermakna kerana kami melakukannya untuk Yehuwa.”

Mesin yang digunakan untuk mencetak The Watch Tower

Dalam beberapa minggu sahaja, para saudara yang bersemangat mula mencetak majalah The Watch Tower. Mereka telah menggunakan mesin cetak di tingkat satu untuk menghasilkan 60 ribu naskhah The Watch Tower terbitan 1 Februari 1920. Pada masa yang sama, mereka juga memasang sebuah mesin cetak yang dipanggil Battleship di tingkat bawah tanah, dan mereka mula menghasilkan majalah The Golden Age bermula dengan terbitan 14 April 1920. Jelaslah, Yehuwa telah memberkati usaha umat-Nya.

“Kerja itu amat bermakna kerana kami melakukannya untuk Yehuwa”

“MARILAH KITA HIDUP DENGAN DAMAI”

Selepas Perang Dunia I, umat Yehuwa bersatu semula dan bergiat semula dalam kerja penyebaran. Namun, antara tahun 1917 hingga 1919, sebilangan Pelajar Bible telah meninggalkan organisasi. Bagaimanakah mereka dapat dibantu?

The Watch Tower terbitan 1 April 1920 mengandungi sebuah rencana yang bertajuk “Marilah Kita Hidup dengan Damai.” Rencana itu menggalakkan para pembaca, “Kami yakin bahawa setiap orang yang memiliki kuasa suci Tuhan . . . akan sudi melupakan apa yang sudah berlaku, . . . bersatu dengan umat Tuhan, dan berganding bahu untuk melakukan kehendak Tuhan.”

Galakan itu telah mencapai hati banyak pembaca. Sepasang suami isteri menulis, “Kami sedar bahawa kami sudah silap kerana tidak menginjil untuk lebih daripada setahun. . . . Kami bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan ini lagi.” Para penyiar yang mendapat semangat baharu ini kini bersedia untuk melakukan banyak kerja yang menantikan mereka.

MENGEDARKAN “ZG”

Pada 21 Jun 1920, para Pelajar Bible melancarkan kempen secara besar-besaran untuk mengedarkan “ZG,” iaitu buku The Finished Mystery edisi berkulit lembut. * Organisasi mempunyai banyak bekalan buku ini kerana buku ini telah diharamkan pada tahun 1918.

Semua penyiar, bukan peneraju sahaja, dijemput untuk menyertai kempen itu. Sepucuk surat daripada organisasi menyatakan, “Semua orang yang sudah dibaptis dalam setiap sidang, yang dapat mengambil bahagian, harus melakukannya dengan rela. Semoga kata-kata ini menjadi tekad setiap orang: Saya mahu mengedarkan ZG.” Edmund Hooper menyatakan bahawa bagi banyak penyiar, kempen itu merupakan kali pertama mereka menyertai kerja penyebaran dari rumah ke rumah dalam cara sebegitu. Dia menambah, “Kami mula sedar apa yang terlibat dalam kerja penyebaran yang bakal berkembang luas.”

MENGATURKAN SEMULA KERJA DI EROPAH

Semasa Perang Dunia I, saudara-saudara di ibu pejabat tidak dapat menghubungi Pelajar Bible di negara-negara lain. Saudara Rutherford ingin menggalakkan mereka dan membantu mereka bergiat semula dalam kerja penyebaran. Maka pada 12 Ogos 1920, dia dan empat orang saudara telah melawat rakan seiman di Britain, Benua Eropah, dan Timur Tengah.

Saudara Rutherford di Mesir

Semasa Saudara Rutherford melawat Britain, Pelajar Bible di situ mengadakan tiga konvensyen dan 12 perhimpunan, dan jumlah hadirin untuk semua acara itu adalah kira-kira 50,000 orang. Apakah hasil lawatan itu? The Watch Tower menyatakan, “Saudara saudari disegarkan dan digalakkan. Mereka gembira kerana mereka lebih bersatu dan dapat menginjil bersama-sama.” Semasa di Paris, Saudara Rutherford memberikan ceramah yang bertajuk “Jutaan Orang yang Hidup Sekarang Tidak akan Mati” di sebuah dewan. Dewan itu penuh dengan orang, dan selepas ceramahnya, 300 orang telah meminta maklumat lanjut.

Poster tentang ceramah Saudara Rutherford yang akan disampaikan di Royal Albert Hall, London

Dalam beberapa minggu berikutnya, Saudara Rutherford dan rakan-rakannya melawat Athens, Kaherah, dan Jerusalem. Untuk terus membantu orang yang berminat di tempat-tempat itu, Saudara Rutherford telah mengaturkan supaya sebuah pusat pengedaran bahan bacaan didirikan di Ramallah, berdekatan Jerusalem. Kemudian, dia kembali ke Eropah lalu membuka Pejabat Cawangan Eropah Tengah dan mengaturkan agar kerja percetakan dilakukan di situ.

MENDEDAHKAN KETIDAKADILAN

Pada September 1920, para Pelajar Bible telah mengeluarkan majalah The Golden Age No. 27. Terbitan istimewa itu bertujuan mendedahkan penganiayaan yang dilakukan terhadap Pelajar Bible pada tahun 1918. Mesin cetak Battleship telah beroperasi siang dan malam untuk menghasilkan lebih daripada empat juta naskhah majalah itu.

Gambar Emma Martin yang diambil oleh polis

Majalah itu menceritakan apa yang berlaku kepada Saudari Emma Martin, seorang peneraju di San Bernardino, California. Pada 17 Mac 1918, dia dan tiga orang saudara, iaitu Edward Hamm, Edward Julius Sonnenburg, dan Ernest Stevens, telah menghadiri perjumpaan Pelajar Bible.

Namun, dalam kalangan hadirin, terdapat seorang lelaki yang datang untuk tujuan yang lain. Lelaki itu dihantar oleh pendakwa raya untuk mendapatkan senaskhah buku The Finished Mystery sebagai “bukti” untuk menuduh Pelajar Bible. Beberapa hari kemudian, Saudari Martin dan tiga orang saudara itu ditangkap dan dituduh melanggar Akta Pengintipan kerana mengedarkan buku yang diharamkan itu.

Emma dan kawan-kawannya disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun. Meskipun mereka membuat rayuan berkali-kali, rayuan mereka ditolak. Maka pada 17 Mei 1920, mereka dipenjarakan. Namun, keadaan mereka berubah tidak lama selepas itu.

Pada 20 Jun 1920, semasa di sebuah konvensyen di San Francisco, Saudara Rutherford memberitahu para hadirin apa yang terjadi kepada empat orang Pelajar Bible itu. Para hadirin sangat terkejut lalu meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada Presiden Amerika Syarikat melalui telegram. Mereka mengutuk tindakan pihak kerajaan yang telah menyalahgunakan kuasa untuk memerangkap dan memenjarakan Saudari Martin.

Keesokan harinya, Presiden Woodrow Wilson mengarahkan agar hukuman yang dijatuhkan terhadap Saudari Martin dan tiga orang saudara itu dibatalkan dengan serta-merta.

Sepanjang tahun 1920, terdapat banyak hal yang telah membawa sukacita kepada Pelajar Bible. Kerja di ibu pejabat semakin berkembang, dan orang Kristian sejati semakin giat menyebarkan berita bahawa Kerajaan Tuhan merupakan satu-satunya penyelesaian kepada masalah manusia. (Mat. 24:14) Pada tahun berikutnya, tahun 1921, kebenaran tentang Kerajaan Tuhan diisytiharkan dengan lebih meluas lagi.

^ per. 18 The Finished Mystery merupakan jilid ketujuh dalam siri buku Studies in the Scriptures, dan “ZG” merupakan edisi berkulit lembut buku itu. “ZG” dicetak sebagai The Watch Tower terbitan 1 Mac 1918. Huruf “Z” dipilih untuk merujuk kepada Zion’s Watch Tower, manakala huruf “G” dipilih untuk merujuk kepada jilid ketujuh, kerana G ialah abjad ketujuh.