Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 44

Adakah Anak Anda Akan Menyembah Tuhan apabila Mereka Dewasa?

Adakah Anak Anda Akan Menyembah Tuhan apabila Mereka Dewasa?

Yesus kian membesar dan kebijaksanaannya kian bertambah. Dia semakin disenangi oleh Tuhan dan manusia.”​LUK. 2:52.

LAGU 134 Anak-Anak Anugerah Tuhan

PENGENALAN *

1. Apakah pilihan terbaik yang dapat dibuat oleh seseorang?

PILIHAN ibu bapa sering mempengaruhi anak-anak untuk masa yang panjang. Jika ibu bapa membuat pilihan yang buruk, hal itu mungkin membawa masalah kepada anak mereka. Tetapi jika mereka membuat pilihan yang bijak, kemungkinan besar anak mereka akan hidup puas dan bahagia. Sudah pasti, untuk hidup bahagia, anak-anak juga perlu membuat pilihan yang bijak, dan pilihan terbaik yang dapat dibuat oleh seseorang adalah untuk menyembah Yehuwa, Bapa kita yang pengasih di syurga.​—Mzm. 73:28.

2. Apakah pilihan bijak yang dibuat oleh Yesus dan ibu bapanya?

2 Ibu bapa Yesus berazam untuk membantu anak-anak mereka menyembah Yehuwa, dan pilihan mereka membuktikan bahawa itulah matlamat utama kehidupan mereka. (Luk. 2:40, 41, 52) Yesus juga membuat pilihan yang bijak, yang membantunya melaksanakan kehendak Yehuwa baginya. (Mat. 4:1-10) Yesus telah menjadi orang dewasa yang baik hati, setia, dan berani. Sudah pasti, ibu bapa yang mengasihi Yehuwa akan sangat bangga dan gembira jika mereka mempunyai anak seperti Yesus.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan soalan-soalan berikut: Apakah pilihan bijak yang dibuat oleh Yehuwa sebelum mengutus Yesus ke bumi? Apakah yang dapat dipelajari oleh ibu bapa Kristian daripada pilihan yang dibuat oleh Yusuf dan Maria? Apakah yang dapat dipelajari oleh muda-mudi Kristian daripada pilihan yang dibuat oleh Yesus?

BELAJAR DARIPADA YEHUWA

4. Apakah pilihan penting yang dibuat oleh Yehuwa?

4 Yehuwa telah memilih ibu bapa yang paling sesuai untuk membesarkan Yesus. (Mat. 1:18-23; Luk. 1:26-38) Bagaimanakah kita tahu? Kata-kata Maria yang tercatat dalam Bible menunjukkan bahawa dia sangat mengasihi Yehuwa dan Firman-Nya. (Luk. 1:46-55) Reaksi Yusuf terhadap arahan Yehuwa pula menunjukkan bahawa dia takut akan Tuhan dan ingin menyenangkan hati-Nya.​—Mat. 1:24.

5-6. Adakah Yehuwa melindungi Yesus daripada semua cabaran hidup? Jelaskan.

5 Yehuwa tidak memilih ibu bapa yang kaya-raya untuk membesarkan Yesus. Kita tahu bahawa Yusuf dan Maria hidup miskin melalui korban yang dipersembahkan oleh mereka selepas kelahiran Yesus. (Luk. 2:24) Yusuf seorang tukang kayu, dan dia mungkin memiliki sebuah bengkel kecil di sebelah rumahnya di Nasaret. Meskipun begitu, kehidupan keluarga mereka pasti sangat sederhana kerana Yusuf dan Maria kemudiannya mendapat sekurang-kurangnya enam orang anak lagi.—Mat. 13:55, 56.

6 Yehuwa melindungi Yesus daripada sesetengah ancaman, tetapi Dia tidak melindungi Yesus daripada semua cabaran hidup. (Mat. 2:13-15) Misalnya, Yesus perlu berdepan dengan saudara-mara yang tidak beriman kepadanya. Pada mulanya, adik-adiknya juga tidak percaya bahawa dia ialah Mesias, dan hal itu pasti membuatnya kecewa. (Mrk. 3:21; Yoh. 7:5) Selain itu, Yesus perlu menghadapi kematian orang tersayang. Yusuf mungkin telah meninggal semasa Yesus masih muda, dan hal itu pasti membuatnya sangat sedih. Bukan itu sahaja, sebagai anak sulung, Yesus mungkin perlu mengambil alih perniagaan keluarga mereka. (Mrk. 6:3) Semasa Yesus membesar, dia perlu belajar menjaga keluarganya, dan dia juga perlu bekerja keras untuk menyara mereka. Jadi Yesus pasti memahami betapa letihnya seseorang setelah bekerja sehari suntuk.

Ibu bapa sekalian, bantulah anak-anak anda bersedia menghadapi realiti hidup dengan mengajar mereka untuk bergantung pada Firman Tuhan (Lihat perenggan 7) *

7. (a) Apakah soalan yang dapat difikirkan oleh ibu bapa? (b) Bagaimanakah ibu bapa dapat menggunakan nasihat di Amsal 2:1-6 semasa melatih anak mereka?

7 Jika anda sudah berkahwin dan ingin mendapat anak, tanyalah diri, “Adakah kami cukup rendah hati dan berfikiran rohani seperti Maria dan Yusuf, sehingga Yehuwa sudi memilih kami untuk menjaga cahaya mata?” (Mzm. 127:3, 4) Jika anda sudah bergelar ibu atau bapa, tanyalah diri, “Adakah saya mengajar anak-anak saya pentingnya bekerja keras?” (Pkh. 3:12, 13) “Adakah saya berusaha sedaya upaya untuk melindungi mereka daripada ancaman fizikal dan rohani dalam dunia Syaitan?” (Ams. 22:3) Memang benar, anda tidak mungkin dapat melindungi anak-anak anda daripada semua cabaran hidup. Tetapi anda dapat membantu mereka bersedia menghadapi realiti hidup. Bagaimana? Teruslah melatih dan mengajar mereka dengan penuh kasih supaya bergantung pada Firman Tuhan. (Baca Amsal 2:1-6.) Contohnya, jika seorang daripada saudara-mara anda meninggalkan Yehuwa, gunakanlah Bible untuk menunjukkan kepada anak-anak anda pentingnya untuk tetap setia kepada Yehuwa. (Mzm. 31:23) Atau jika seseorang yang dikasihi meninggal, gunakanlah Firman Tuhan untuk mengajar anak-anak anda cara mengatasi kesedihan dan mencari ketenangan.​—2 Kor. 1:3, 4; 2 Tim. 3:16.

BELAJAR DARIPADA YUSUF DAN MARIA

8. Menurut Ulangan 6:6, 7, apakah yang perlu dilakukan oleh Yusuf dan Maria?

8 Yusuf dan Maria berjaya membantu Yesus menjadi orang dewasa yang diperkenankan Tuhan, kerana mereka mematuhi arahan yang diberikan Yehuwa kepada ibu bapa. (Baca Ulangan 6:6, 7.) Yusuf dan Maria sangat mengasihi Yehuwa, dan matlamat utama mereka adalah untuk menanamkan kasih yang sama dalam hati anak-anak mereka.

9. Apakah pilihan yang dibuat oleh Yusuf dan Maria?

9 Yusuf dan Maria berusaha memastikan agar keluarga mereka mempunyai rutin rohani yang baik. Mereka pergi ke rumah ibadat di Nasaret setiap minggu, dan menghadiri Perayaan Paska di Yerusalem setiap tahun. (Luk. 2:41; 4:16) Mereka mungkin menggunakan kesempatan yang ada semasa dalam perjalanan ke Yerusalem untuk mengajar Yesus dan adik-adiknya tentang sejarah umat Yehuwa. Semasa dalam perjalanan, mereka juga mungkin melawat tempat-tempat bersejarah yang disebut dalam Ayat-Ayat Suci. Apabila keluarga mereka bertambah besar, memang tidak mudah bagi Yusuf dan Maria untuk meneruskan rutin rohani yang baik. Namun, mereka memilih untuk mengutamakan ibadat kepada Yehuwa, dan hasilnya keluarga mereka tetap sihat secara rohani.

10. Apakah yang dapat dipelajari ibu bapa Kristian daripada Yusuf dan Maria?

10 Apakah yang dapat dipelajari ibu bapa Kristian daripada Yusuf dan Maria? Yang terpenting, biarlah anak-anak anda melihat melalui kata-kata dan tindakan anda bahawa anda mengasihi Yehuwa secara mendalam. Bantulah mereka memupuk kasih terhadap Yehuwa, dan ajarlah mereka bagaimana mereka dapat mengkaji Bible, berdoa, menghadiri perjumpaan, dan menginjil secara tetap. Sebenarnya, itulah hadiah terbaik yang dapat anda berikan kepada mereka. (1 Tim. 6:6) Memang benar, anda harus menjaga keperluan fizikal anak-anak anda. (1 Tim. 5:8) Namun, ingatlah bahawa kunci untuk diselamatkan semasa dunia Syaitan dimusnahkan dan hidup di dunia baharu Tuhan, ialah hubungan yang akrab dengan Tuhan, bukannya wang atau harta benda. *​—Yeh. 7:19; 1 Tim. 4:8.

Kita sangat digalakkan apabila melihat ibu bapa Kristian membuat pilihan yang bijak demi kerohanian keluarga mereka! (Lihat perenggan 11) *

11. (a) Bagaimanakah nasihat di 1 Timotius 6:17-19 membantu ibu bapa membuat pilihan yang bijak semasa membesarkan anak-anak mereka? (b) Apakah matlamat rohani yang dapat anda pertimbangkan untuk keluarga anda? Apakah berkat yang mungkin anda raih? (Lihat kotak “ Keluarga Anda Ingin Mencapai Matlamat yang Mana?”)

11 Kita sangat digalakkan apabila melihat banyak ibu bapa Kristian membuat pilihan yang bijak demi kerohanian keluarga mereka! Mereka menyembah Yehuwa secara tetap bersama anak-anak mereka. Misalnya, mereka menghadiri perjumpaan dan konvensyen, dan menyertai kerja penyebaran. Sesetengah keluarga bahkan menginjil di kawasan yang jarang dikunjungi, melawat Bethel, atau membantu dalam projek-projek pembinaan teokratik. Untuk menyertai aktiviti sebegini, mereka perlu membelanjakan wang dan mungkin menghadapi cabaran, tetapi mereka dilimpahi banyak berkat. (Baca 1 Timotius 6:17-19.) Anak-anak dalam keluarga sebegini biasanya memiliki tabiat rohani yang baik sampai alam dewasa, dan mereka menghargai usaha yang telah dicurahkan oleh ibu bapa mereka. *​—Ams. 10:22.

BELAJAR DARIPADA YESUS

12. Apakah yang perlu dilakukan oleh Yesus apabila dia meningkat dewasa?

12 Bapa Yesus yang di syurga sentiasa membuat pilihan yang baik, dan ibu bapa Yesus di bumi juga berusaha membuat pilihan yang bijak. Namun, apabila Yesus meningkat dewasa, dia sendiri juga perlu membuat pilihan yang baik. (Gal. 6:5) Mengapa? Seperti kita, dia memiliki kebebasan untuk memilih. Jadi, dia boleh memilih untuk mengutamakan kepentingan dirinya sendiri, tetapi dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia memilih untuk memelihara hubungan yang baik dengan Yehuwa. (Yoh. 8:29) Bagaimanakah orang muda zaman ini dapat meniru teladannya?

Anak-anak muda, belajarlah daripada ibu bapa anda (Lihat perenggan 13) *

13. Apakah pilihan yang dibuat oleh Yesus semasa kecil?

13 Sejak kecil lagi, Yesus memilih untuk mematuhi ibu bapanya. Dia tidak pernah melawan cakap ibu bapanya dan berfikir bahawa dia lebih pandai daripada mereka. Sebaliknya, “dia terus taat kepada mereka.” (Luk. 2:51) Yesus juga memandang serius tanggungjawabnya sebagai anak sulung. Dia pasti telah berusaha untuk mempelajari kemahiran daripada Yusuf supaya dapat membantu menyara keluarga mereka.

14. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus sangat rajin mengkaji Firman Tuhan?

14 Kemungkinan besar, ibu bapa Yesus telah memberitahunya tentang kelahirannya dan apa yang dikatakan para malaikat tentangnya. (Luk. 2:8-19, 25-38) Namun, bagi Yesus, hal itu tidak mencukupi. Dia sendiri juga mengkaji Firman Tuhan dengan rajin. Bagaimanakah kita tahu? Semasa dia baru berusia 12 tahun, guru-guru di Yerusalem sudah sangat “kagum dengan daya pemahaman dan jawapannya.” (Luk. 2:46, 47) Ya, pada usia yang begitu muda, Yesus sudah menyelidiki Ayat-Ayat Suci dan membuktikan kepada dirinya sendiri bahawa Yehuwa ialah Bapanya.​—Luk. 2:42, 43, 49.

15. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia memilih untuk melakukan kehendak Yehuwa?

15 Setelah mengetahui peranannya dalam pelaksanaan tujuan Yehuwa, Yesus memilih untuk menerima tugasan yang diberikan oleh Yehuwa meskipun dia tahu bahawa dia akan dibenci oleh banyak orang. (Yoh. 6:38) Yesus memang tidak suka dibenci orang, tetapi dia masih memilih untuk mematuhi Yehuwa. Semasa Yesus dibaptis pada tahun 29 M, dia menjadikan kehendak Yehuwa sebagai tumpuan utama kehidupannya. (Ibr. 10:5-7) Bahkan sewaktu Yesus hampir mati pada tiang seksaan, dia masih mementingkan kehendak Bapanya.​—Yoh. 19:30.

16. Apakah yang dapat dipelajari anak-anak daripada Yesus?

16 Patuhilah ibu bapa anda. Seperti Yusuf dan Maria, ibu bapa anda juga orang yang tidak sempurna. Namun, Yehuwa telah memberi mereka tanggungjawab untuk melindungi, melatih, dan membimbing anda. Jika anda menghormati ibu bapa anda dan menghargai nasihat mereka seperti yang dilakukan Yesus, anda akan “hidup sejahtera.”​—Ef. 6:1-4.

17. Menurut Yosua 24:15, apakah keputusan yang perlu dibuat oleh orang muda?

17 Pilihlah siapa yang akan anda sembah. Anda perlu benar-benar mengetahui siapa Yehuwa, apa tujuan-Nya, dan bagaimana anda dapat melakukan kehendak-Nya. Anda juga perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa apa yang dinyatakan Bible tentang hal-hal ini memang benar. (Rm. 12:2) Dengan berbuat demikian, anda dapat membuat keputusan yang terpenting dalam kehidupan anda, iaitu keputusan untuk menyembah Yehuwa. (Baca Yosua 24:15; Pkh. 12:1) Jika anda membaca dan mengkaji Bible secara tetap, kasih dan iman anda terhadap Yehuwa akan bertambah kuat.

18. Apakah pilihan yang perlu dibuat oleh orang muda? Pilihan itu akan membawa berkat apa?

18 Pilihlah untuk mengutamakan kehendak Yehuwa dalam kehidupan anda. Dunia Syaitan mendakwa bahawa jika anda menggunakan bakat anda demi kepentingan diri anda sendiri, anda akan bahagia. Namun hakikatnya ialah orang yang mengejar kekayaan akan “menikam diri dengan banyak kesakitan.” (1 Tim. 6:9, 10) Sebaliknya, jika anda mematuhi Yehuwa dan memilih untuk mengutamakan kehendak-Nya, hidup anda akan berjaya, dan anda akan “bertindak dengan bijak.”​—Yos. 1:8.

APAKAH PILIHAN ANDA?

19. Apakah yang perlu diingati oleh ibu bapa?

19 Ibu bapa sekalian, berusahalah sedaya upaya untuk membantu anak-anak anda menyembah Yehuwa, dan bergantunglah pada Yehuwa supaya Dia membantu anda membuat keputusan yang bijak. (Ams. 3:5, 6) Ingatlah bahawa tindakan anda akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam berbanding kata-kata anda. Oleh itu, buatlah keputusan yang dapat membantu anak-anak anda mendapat perkenan Yehuwa.

20. Apakah berkat-berkat yang menantikan orang muda yang memilih untuk menyembah Yehuwa?

20 Anak muda sekalian, ibu bapa anda dapat membantu anda agar anda membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan. Namun, anda sendiri harus memilih untuk menyembah Bapa anda yang di syurga dan mendapat perkenan-Nya. Jika anda meniru teladan Yesus, anda akan menikmati kehidupan yang penuh dengan aktiviti yang bermakna dan menggembirakan pada masa sekarang. (1 Tim. 4:16) Bukan itu sahaja, anda akan menikmati kehidupan yang paling memuaskan pada masa depan!

LAGU 133 Sembah Yehuwa semasa Muda

^ per. 5 Ibu bapa Kristian ingin anak-anak mereka terus menyembah Yehuwa dengan gembira apabila mereka dewasa. Apakah pilihan yang dapat dibuat oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka mencapai matlamat itu? Apakah pilihan yang dapat dibuat oleh muda-mudi Kristian untuk meraih kejayaan yang sejati dalam hidup? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut.

^ per. 11 Lihat kotak Mereka Orang Tua yang Terbaik Bagikudalam Sedarlah! terbitan Oktober 2011, ms. 20, dalam bahasa Indonesia, dan rencana Sepucuk Surat Istimewa kepada Orang-Tua Merekadalam Sedarlah! terbitan 8 Mac 1999, ms. 25, dalam bahasa Indonesia.

^ per. 66 KETERANGAN GAMBAR: Maria telah menanamkan kasih terhadap Yehuwa dalam hati Yesus. Para ibu hari ini juga dapat menanamkan kasih terhadap Yehuwa dalam hati anak-anak mereka.

^ per. 68 KETERANGAN GAMBAR: Yusuf membawa keluarganya ke rumah ibadat secara tetap. Para bapa hari ini juga dapat berusaha membawa keluarga mereka ke perjumpaan secara tetap.

^ per. 70 KETERANGAN GAMBAR: Yesus telah mempelajari kemahiran daripada bapanya. Anak-anak muda hari ini juga dapat mempelajari kemahiran daripada bapa mereka.