Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 45

Cara Membantu Orang Lain Mentaati Perintah Kristus

Cara Membantu Orang Lain Mentaati Perintah Kristus

Maka, pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.’​MAT. 28:19, 20.

LAGU 89 Dengar, Patuh, dan Diberkati

PENGENALAN *

1. Apakah perintah Yesus yang tercatat di Matius 28:18-20?

SELEPAS Yesus dibangkitkan, dia menampakkan diri kepada murid-muridnya di Galilea. Dia ingin memberitahu mereka sesuatu yang penting. Apakah itu? Mari kita membaca kata-katanya di Matius 28:18-20.​—Baca.

2. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Semua hamba Tuhan dewasa ini juga perlu mematuhi perintah Yesus untuk menjadikan orang muridnya. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga soalan berkenaan perintah Yesus. Pertama, selain mengajarkan prinsip Bible kepada murid-murid baharu, apa lagi yang perlu kita lakukan? Kedua, bagaimanakah semua penyiar di sidang dapat membantu pelajar Bible maju secara rohani? Ketiga, bagaimanakah kita dapat membantu rakan seiman yang tidak aktif agar mereka bergiat semula dalam kerja menjadikan orang murid Yesus?

MENGAJAR MEREKA MENTAATI PERINTAH YESUS

3. Untuk mengikut arahan Yesus, apakah yang perlu kita lakukan?

3 Arahan Yesus sangat jelas. Kita mesti mengajar orang segala yang diperintahkannya. Namun, perhatikan bahawa Yesus tidak berkata, ‘Ajarlah mereka segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.’ Sebaliknya, dia berkata, “Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.” Maksudnya, untuk mengikut arahan Yesus, kita bukan sahaja perlu mengajar pelajar kita apa yang perlu dilakukannya, tetapi juga menunjukkan cara untuk melakukannya. Mengapakah kita perlu berbuat demikian?

4. Bagaimanakah kita dapat mengajar seseorang untuk mentaati apa yang diperintahkan oleh Kristus? Berikan contoh.

4 Untuk memahami bagaimana kita dapat mengajar seseorang untuk mentaati apa yang diperintahkan oleh Kristus, fikirkan contoh ini: Bagaimanakah seorang pengajar memandu mengajar pelajarnya untuk mematuhi undang-undang jalan raya? Mula-mula, dia mungkin menjelaskan undang-undang itu di dalam kelas. Tetapi untuk mengajar pelajarnya cara mematuhi undang-undang itu, terdapat satu hal lagi yang perlu dilakukannya. Dia perlu menemani pelajarnya semasa mereka memandu di jalan raya dan membimbing mereka supaya mereka mengamalkan apa yang dipelajari di dalam kelas. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh ini?

5. (a) Menurut Yohanes 14:15 dan 1 Yohanes 2:3, kita perlu mengajar pelajar kita untuk melakukan apa? (b) Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar kita menerapkan prinsip Bible?

5 Semasa mengadakan pembelajaran Bible, kita mengajar pelajar kita apa yang dikehendaki Tuhan. Namun selain itu, kita mesti mengajar mereka cara untuk menerapkan apa yang dipelajari mereka dalam kehidupan seharian. (Baca Yohanes 14:15; 1 Yohanes 2:3.) Melalui teladan kita, kita dapat menunjukkan kepada mereka cara menerapkan prinsip Bible semasa di sekolah, di tempat kerja, atau semasa berekreasi. Kita juga boleh mengongsi pengalaman kita tentang bagaimana nasihat Bible telah melindungi kita atau membantu kita membuat keputusan yang bijak. Selain itu, kita boleh berdoa kepada Yehuwa bersama pelajar kita dan memohon agar kuasa suci Yehuwa membimbingnya.​—Yoh. 16:13.

6. Apakah hal lain yang perlu kita lakukan untuk mengajar pelajar kita mentaati perintah Yesus?

6 Apakah hal lain yang perlu kita lakukan untuk mengajar pelajar kita mentaati perintah Yesus? Kita perlu membantunya memupuk keinginan untuk menjadikan orang murid Yesus. Sesetengah pelajar Bible mungkin berasa takut untuk menginjil. Jadi, kita perlu membantu mereka dengan sabar agar mereka lebih memahami kebenaran Bible dan membina iman yang lebih kuat. Dengan itu, hati mereka akan tersentuh dan mereka akan terdorong untuk menginjil. Apakah beberapa hal yang dapat kita lakukan untuk menguatkan keinginan pelajar kita untuk menginjil?

7. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar kita memupuk keinginan untuk mengongsi berita baik?

7 Kita boleh menanya pelajar kita soalan-soalan seperti: “Apakah manfaat yang kamu raih setelah menerapkan ajaran Bible? Pada pendapat kamu, adakah orang lain juga perlu mendengar kebenaran Bible? Bagaimanakah kamu dapat membantu mereka?” (Ams. 3:27; Mat. 9:37, 38) Kita boleh menunjukkan kepadanya risalah-risalah daripada Bahan Utama untuk Mengajar. Kemudian, kita boleh menanya dia risalah mana yang mungkin menarik minat saudara-mara, sahabat, atau rakan sekerjanya. Kita boleh memberinya beberapa helai risalah itu dan mengadakan sesi latihan untuk mengajarnya cara yang sesuai untuk menawarkan risalah. Setelah pelajar kita memenuhi syarat untuk menjadi penyiar yang belum dibaptis, kita ingin menginjil dengannya dan membimbingnya.​—Pkh. 4:9, 10; Luk. 6:40.

BAGAIMANA SIDANG DAPAT MEMBANTU PELAJAR BIBLE

8. Mengapakah pelajar kita perlu memupuk kasih yang mendalam terhadap Tuhan dan orang lain? (Lihat juga kotak “ Cara Menguatkan Kasih Pelajar Kita terhadap Tuhan.”)

8 Ingatlah bahawa Yesus menyuruh kita mengajar orang ‘mentaati segala yang telah diperintahkannya.’ Perintahnya merangkumi dua hukum yang terpenting, iaitu mengasihi Tuhan dan mengasihi orang lain. (Mat. 22:37-39) Kasih kepada Tuhan dan kasih kepada orang lain berkait rapat dengan kerja menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. Mengapa? Jika pelajar kita memiliki kasih yang mendalam terhadap Tuhan dan orang lain, mereka akan terdorong untuk menginjil. Memang benar, sesetengah pelajar Bible mungkin berasa takut untuk menginjil. Namun, kita ingin meyakinkan mereka bahawa dengan bantuan Yehuwa, mereka dapat beransur-ansur mengatasi rasa takut akan manusia. (Mzm. 18:1-3; Ams. 29:25) Kotak dalam rencana ini menjelaskan langkah yang dapat kita ambil untuk menguatkan kasih pelajar kita terhadap Tuhan. Namun, semua penyiar di sidang juga dapat membantu pelajar Bible agar menunjukkan kasih yang lebih mendalam. Bagaimana?

9. Bagaimanakah orang yang sedang belajar memandu dapat menjadi pemandu yang berhemat?

9 Fikirkan lagi contoh orang yang sedang belajar memandu bersama pengajarnya. Dia dapat mempelajari cara memandu dengan mendengar arahan pengajarnya dan dengan memperhatikan pemandu lain yang berhemat. Sebagai contoh, pengajarnya mungkin menghalakan perhatiannya kepada seorang pemandu yang memberikan laluan kepada pemandu lain, atau seorang pemandu yang memberikan isyarat sebelum membelok atau menukar lorong. Dengan memperhatikan pemandu lain, seorang pelajar dapat mempelajari banyak hal penting yang dapat membantunya menjadi pemandu yang berhemat.

10. Apakah yang dapat membantu pelajar Bible maju secara rohani?

10 Seperti orang yang baru belajar memandu, pelajar Bible yang mula menyembah Yehuwa bukan sahaja dapat belajar daripada gurunya, tetapi juga daripada teladan baik orang lain, iaitu saudara saudari di sidang. Maka, perjumpaan sangat penting untuk membantunya maju secara rohani. Apa yang didengarnya di perjumpaan dapat meningkatkan pengetahuannya, menguatkan imannya, dan memperdalam kasihnya terhadap Tuhan. (Kis. 15:30-32) Tambahan lagi, semasa di perjumpaan, kita dapat memperkenalkan pelajar kita kepada saudara saudari yang mempunyai banyak persamaan dengannya. Di sidang, pelajar kita juga dapat memperhatikan bagaimana saudara saudari menunjukkan kasih. Mari kita perhatikan beberapa contoh.

11. Apakah teladan saudara saudari yang mungkin diperhatikan oleh pelajar Bible, dan apakah kesannya?

11 Seorang pelajar Bible yang merupakan ibu tunggal melihat seorang saudari yang juga merupakan ibu tunggal. Hati pelajar itu tersentuh melihat usaha yang dicurahkan oleh saudari itu untuk membawa anak-anaknya yang masih kecil untuk menghadiri perjumpaan. Seorang pelajar Bible yang berasa susah untuk berhenti merokok diperkenalkan kepada seorang saudara yang pernah menghadapi cabaran yang sama. Saudara itu menceritakan bagaimana kasihnya terhadap Yehuwa telah mendorongnya untuk mentaati Yehuwa dan menghentikan tabiat buruknya. (2 Kor. 7:1; Flp. 4:13) Kemudian, saudara itu memberitahu pelajar tersebut, “Kamu juga dapat melakukannya.” Setelah mendengar kata-kata saudara itu, pelajar tersebut berasa lebih yakin bahawa dia juga dapat berhenti merokok. Seorang gadis muda yang belajar Bible melihat bahawa seorang saudari muda sangat menikmati kehidupannya sebagai seorang Saksi. Jadi, dia ingin mengetahui lebih lanjut mengapa saudari itu sering kelihatan gembira.

12. Jelaskan bagaimana semua saudara saudari dapat membantu pelajar Bible untuk maju secara rohani.

12 Melalui teladan saudara saudari yang setia, pelajar Bible dapat mengetahui bagaimana mereka dapat mematuhi perintah Kristus untuk mengasihi Tuhan dan orang lain. (Yoh. 13:35; 1 Tim. 4:12) Seperti yang dinyatakan dalam perenggan tadi, pelajar Bible yang sedang menghadapi cabaran juga dapat meraih manfaat daripada saudara saudari yang pernah mengatasi cabaran yang sama. Teladan mereka dapat meyakinkannya bahawa dia pun dapat membuat perubahan yang diperlukan untuk menjadi murid Kristus. (Ul. 30:11) Ya, semua saudara saudari di sidang dapat melakukan sesuatu untuk membantu pelajar Bible maju secara rohani. (Mat. 5:16) Apakah yang ingin anda lakukan untuk menggalakkan pelajar Bible yang menghadiri perjumpaan?

MEMBANTU MEREKA YANG TIDAK AKTIF UNTUK MENGINJIL SEMULA

13-14. Bagaimanakah Yesus melayan para rasulnya yang tawar hati?

13 Kita ingin membantu saudara saudari yang tidak aktif agar menginjil semula dan mematuhi perintah Kristus untuk menjadikan orang muridnya. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Perhatikan bagaimana Yesus melayan para rasulnya yang tawar hati.

14 Sejurus sebelum Yesus dihukum mati, para rasul “meninggalkannya lalu melarikan diri.” (Mrk. 14:50; Yoh. 16:32) Bagaimanakah Yesus melayan para rasulnya yang tawar hati itu? Tidak lama selepas dia dibangkitkan, dia memberitahu beberapa orang pengikutnya, ‘Janganlah takut! Pergilah dan beritahulah saudara-saudaraku [bahawa aku sudah dibangkitkan].’ (Mat. 28:10a) Ya, walaupun mereka pernah meninggalkan Yesus, dia masih mengambil berat terhadap mereka dan menganggap mereka saudara-saudaranya. Seperti Yehuwa, Yesus berbelas kasihan dan sudi mengampuni.​—2 Raj. 13:23.

15. Apakah perasaan kita terhadap mereka yang sudah berhenti menginjil?

15 Seperti Yesus, kita sangat mengambil berat terhadap mereka yang sudah berhenti menginjil. Mereka masih saudara saudari kita, dan kita amat mengasihi dan merindui mereka! (Luk. 15:4-7) Ada antara mereka yang sudah menyembah Yehuwa selama berpuluh-puluh tahun, dan kita masih ingat segala kerja keras mereka. (Ibr. 6:10) Bagaimanakah kita dapat meniru Yesus dan menunjukkan keprihatinan terhadap mereka?

16. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap saudara saudari yang tidak aktif?

16 Jemputlah mereka ke perjumpaan. Salah satu cara Yesus menggalakkan para rasulnya yang tawar hati adalah dengan menjemput mereka ke sebuah pertemuan yang diaturkannya. (Mat. 28:10b; 1 Kor. 15:6) Yesus pasti sangat gembira apabila murid-muridnya menerima jemputannya. (Mat. 28:16; bandingkan Lukas 15:6.) Dewasa ini, kita boleh menjemput mereka yang tidak aktif untuk menghadiri perjumpaan. Kita mungkin perlu menjemput mereka beberapa kali sebelum mereka sudi datang, tetapi kita pasti sangat gembira apabila mereka menghadiri perjumpaan.

17. Apakah yang patut kita lakukan semasa orang yang tidak aktif menghadiri perjumpaan?

17 Sambutlah mereka dengan mesra. Semasa bertemu dengan murid-muridnya, Yesus menyambut mereka dengan mesra dan mengambil inisiatif untuk bercakap kepada mereka. (Mat. 28:18) Apakah yang patut kita lakukan semasa orang yang tidak aktif datang ke Dewan Perjumpaan? Kita perlu mengambil inisiatif untuk menyambut mereka dengan mesra. Pada mulanya, kita mungkin tidak tahu apa yang patut dikatakan, dan pada masa yang sama, kita pun tidak ingin membuat mereka berasa malu. Jadi, sekadar memberitahu mereka bahawa kita sangat gembira untuk melihat mereka sudah memadai.

18. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan penyiar yang tidak aktif?

18 Galakkanlah mereka. Murid-murid Yesus mungkin berasa bahawa mereka tidak mampu melaksanakan tugas untuk menginjil di serata dunia. Namun, Yesus menggalakkan mereka dengan berkata, “Aku akan sentiasa menyertai kamu.” (Mat. 28:20) Apakah kesan kata-kata itu terhadap mereka? Tidak lama kemudian, mereka tidak henti-henti “mengajarkan dan mengumumkan berita baik.” (Kis. 5:42) Penyiar yang tidak aktif juga memerlukan galakan. Mereka mungkin berasa takut untuk menginjil semula. Oleh itu, kita mahu meyakinkan mereka bahawa mereka tidak keseorangan dan memberitahu mereka bahawa kita akan menginjil bersama mereka apabila mereka sudah bersedia. Mereka pasti menghargai galakan dan sokongan sebegini. Ya, jika kita menunjukkan kepada penyiar yang tidak aktif bahawa kita masih menganggap mereka sebagai saudara saudari kita, mereka mungkin didorong untuk menjadi aktif semula, dan hal ini akan membawa sukacita kepada sidang.

KITA INGIN MENYELESAIKAN TUGAS YANG DIAMANAHKAN KEPADA KITA

19. Apakah yang rela kita lakukan? Mengapa?

19 Kita akan terus membantu orang menjadi murid Yesus sepanjang penghujung sistem dunia ini. (Mat. 28:20; lihat Kamus “Penghujung sistem dunia.”) Dapatkah kita menyelesaikan tugas ini? Semoga kita bertekad untuk berbuat demikian! Kita rela menggunakan masa, tenaga, dan wang kita, untuk mencari orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal.” (Kis. 13:48) Apabila kita berbuat demikian, kita sedang meniru teladan Yesus. Dia berkata, “Makananku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus aku dan menyelesaikan pekerjaan yang diberikan-Nya kepadaku.” (Yoh. 4:34; 17:4) Ya, kita juga ingin menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepada kita. (Yoh. 20:21) Selain itu, kita ingin membantu orang lain, termasuk mereka yang tidak aktif, untuk terus melakukan kerja ini bersama kita.​—Mat. 24:13.

20. Menurut Filipi 4:13, mengapakah kita pasti dapat menyelesaikan tugas yang diberikan oleh Yesus?

20 Memang tidak mudah untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Yesus. Namun, ingatlah bahawa kita tidak melakukannya seorang diri kerana Yehuwa dan Yesus akan membantu kita. Semasa membantu orang menjadi murid Yesus, kita merupakan “rakan sekerja Tuhan,” dan Yesus sudah berjanji untuk menyertai kita dalam kerja ini. (1 Kor. 3:9) Oleh itu, kita pasti dapat menyelesaikan tugas ini. Tidakkah kita berbesar hati untuk melakukan tugas ini dan membantu orang lain berbuat demikian juga?​—Baca Filipi 4:13.

LAGU 79 Ajarlah Mereka untuk Berteguh

^ per. 5 Yesus menyuruh para pengikutnya untuk menjadikan orang muridnya dan mengajar mereka mentaati segala yang telah diperintahkannya. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat melakukan apa yang disuruh oleh Yesus.

^ per. 66 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari menjelaskan kepada pelajar Biblenya langkah-langkah yang perlu diambil untuk memperdalam kasihnya terhadap Tuhan. Pelajar itu kemudiannya mengikut tiga langkah yang disebut oleh saudari itu.