Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

“Yehuwa Tidak Melupakan Saya”

“Yehuwa Tidak Melupakan Saya”

SAYA tinggal di Orealla, sebuah perkampungan orang Amerindian di Guyana, Amerika Selatan. Kampung kami mempunyai kira-kira 2,000 orang penduduk dan sangat terpencil sehingga hanya dapat dicapai dengan kapal terbang kecil atau bot.

Saya dilahirkan pada tahun 1983 dan menikmati zaman kanak-kanak seperti budak lain. Tetapi semasa saya berumur 10 tahun, seluruh badan saya mula terasa sangat sakit. Kira-kira dua tahun kemudian, saya bangun pada suatu pagi dan langsung tidak dapat menggerakkan kaki saya. Sejak hari itu, saya tidak dapat berjalan lagi, dan pertumbuhan saya juga terbantut. Sampai sekarang, saiz badan saya masih seperti budak kecil.

Beberapa bulan selepas saya jatuh sakit dan terkurung di rumah, dua orang Saksi datang ke rumah saya. Biasanya saya akan bersembunyi apabila ada orang datang, tetapi pada hari itu, saya mendengar apa yang dikatakan oleh dua orang saudari itu. Semasa mereka bercakap tentang Firdaus, saya teringat apa yang pernah saya dengar semasa saya berumur lima tahun. Pada masa itu, Jethro, seorang mubaligh di Suriname, datang ke kampung kami sekali sebulan untuk mengajar bapa saya tentang Bible. Saya sangat menyukai Jethro kerana dia sangat baik terhadap saya. Pada masa itu, datuk dan nenek saya juga ada kalanya membawa saya ke perjumpaan para Saksi di kampung kami. Jadi, apabila Florence, iaitu salah seorang saudari yang datang ke rumah saya pada hari itu, bertanya jika saya ingin belajar Bible, saya menjawab, “Ya.”

Florence telah mengunjungi saya bersama suaminya Justus, dan mereka mengajar saya Bible. Apabila mereka mendapati bahawa saya tidak pandai membaca, mereka mengajar saya membaca, dan tidak lama kemudian, saya sudah tahu membaca. Suatu hari, mereka memberitahu saya bahawa mereka ditugaskan ke Suriname. Sedihnya, tiada orang di Orealla yang dapat terus mengajar saya. Namun, saya bersyukur kerana Yehuwa tidak melupakan saya.

Tidak lama kemudian, seorang perintis yang bernama Floyd datang ke Orealla, dan dia menemui saya semasa dia menginjil dari rumah ke rumah. Apabila dia bertanya jika saya ingin belajar Bible, saya tersenyum. Jadi Floyd bertanya, “Mengapa kamu senyum?” Saya memberitahunya bahawa saya sudah habis belajar brosur Apakah yang Dikehendaki oleh Tuhan daripada Kita? dan sudah mula belajar buku Knowledge That Leads to Everlasting Life. * Saya juga menjelaskan sebabnya pembelajaran saya tidak dapat diteruskan. Dengan bantuan Floyd, saya telah mempelajari buku itu sehingga habis, tetapi kemudian dia juga ditugaskan ke tempat lain. Sekali lagi, saya tiada guru Bible.

Pada tahun 2004, dua orang perintis khas, iaitu Granville dan Joshua, ditugaskan ke Orealla. Semasa menginjil dari rumah ke rumah, mereka menemui saya dan bertanya jika saya ingin belajar Bible. Saya tersenyum dan berkata saya ingin belajar buku Knowledge dari mula. Saya ingin melihat jika mereka akan mengajar saya hal yang sama seperti yang diajarkan oleh guru-guru Bible saya sebelum ini. Kemudian, Granville memberitahu saya bahawa terdapat perjumpaan di kampung saya. Walaupun sudah hampir 10 tahun saya tidak keluar dari rumah, saya ingin menghadiri perjumpaan. Jadi Granville menggunakan kerusi roda untuk membawa saya ke Dewan Perjumpaan.

Kemudian, Granville menggalakkan saya untuk menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik. Dia berkata, “Kamu kurang upaya, tetapi kamu dapat bercakap. Suatu hari nanti, kamu akan beri ceramah umum. Kamu pasti dapat melakukannya.” Kata-katanya telah menggalakkan saya dan memberi saya keyakinan.

Saya mula menginjil bersama Granville. Namun, kebanyakan jalan di kampung tidak rata dan tidak sesuai untuk kerusi roda. Jadi saya meminta Granville memasukkan saya ke dalam kereta sorong supaya lebih senang baginya untuk menolak saya ke merata tempat. Pada bulan April 2005, saya dibaptis, dan tidak lama kemudian, saya dilatih untuk menjaga bahan bacaan dan sistem pembesar suara di sidang.

Sedihnya, pada tahun 2007, bapa saya meninggal akibat kemalangan bot. Kematiannya merupakan tamparan hebat kepada keluarga kami. Granville berdoa bersama kami dan mengongsi ayat-ayat Bible yang melegakan. Tetapi dua tahun kemudian, kami ditimpa satu lagi tragedi: Granville meninggal akibat kemalangan bot.

Sidang kecil kami sangat sedih atas kematian Granville. Kini, kami tiada penatua dan hanya mempunyai seorang pembantu sidang. Saya benar-benar merasai kehilangan Granville. Dia sahabat yang sangat setia, yang selalu membantu saya secara rohani dan fizikal. Semasa perjumpaan selepas kematiannya, saya ditugaskan sebagai pembaca Menara Pengawal, tetapi saya hanya dapat membaca dua perenggan yang pertama. Selepas itu, saya tidak dapat menahan air mata dan terus menangis sehingga saya terpaksa turun dari pentas.

Saya berasa lebih lega apabila saudara-saudara dari sidang lain datang ke Orealla untuk membantu kami. Pejabat cawangan juga menghantar seorang perintis khas yang bernama Kojo ke sidang kami. Saya juga sangat gembira kerana ibu dan adik lelaki saya mula belajar Bible dan kemudiannya dibaptis. Pada bulan Mac 2015, saya dilantik sebagai pembantu sidang, dan beberapa lama kemudian, saya memberikan ceramah umum saya yang pertama. Pada hari itu, saya tersenyum dan menitiskan air mata kerana terkenang kata-kata Granville, “Suatu hari nanti, kamu akan beri ceramah umum. Kamu pasti dapat melakukannya.”

Melalui program Siaran JW, saya belajar tentang Saksi lain yang kurang upaya seperti saya tetapi hidup bahagia dan dapat melakukan banyak hal. Walaupun saya tidak dapat berjalan, saya masih dapat melakukan sesetengah perkara. Saya ingin menggunakan semua tenaga yang saya miliki untuk berkhidmat kepada Yehuwa, jadi saya mula merintis. Pada bulan September 2019, saya mendapat berita yang tidak dijangkakan: Saya dilantik sebagai penatua dalam sidang kami yang mempunyai kira-kira 40 orang penyiar!

Saya sangat berterima kasih kepada saudara saudari yang mengajar saya Bible dan membantu saya untuk menginjil. Yang terpenting, saya amat bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia tidak pernah melupakan saya.

^ per. 8 Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi tidak dicetak lagi.