Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 50

“Bagaimanakah Orang Mati Akan Dibangkitkan?”

“Bagaimanakah Orang Mati Akan Dibangkitkan?”

Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?”​—1 KOR. 15:55.

LAGU 141 Mukjizat Kehidupan

PENGENALAN *

1-2. Mengapakah semua orang Kristian patut berminat untuk mengetahui lebih banyak tentang pembangkitan ke syurga?

KEBANYAKAN penyembah Yehuwa sekarang diberi harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi. Namun, sekumpulan kecil orang Kristian terurap diberi harapan untuk dibangkitkan ke syurga. Orang Kristian terurap memang berminat untuk mengetahui keadaan hidup mereka pada masa depan. Namun, orang yang diberi harapan untuk hidup di bumi juga patut berminat tentang hal itu. Mengapa? Kerana pembangkitan ke syurga akan membawa berkat kepada mereka yang akan hidup kekal di bumi. Jadi, tidak kira kita diberi harapan untuk tinggal di syurga atau di bumi, kita semua patut berminat untuk mengetahui lebih banyak tentang pembangkitan ke syurga.

2 Tuhan telah mengilhami sesetengah pengikut Yesus pada abad pertama untuk menulis tentang pembangkitan ke syurga. Rasul Yohanes menjelaskan, “Sekarang kita ialah anak-anak Tuhan, tetapi apa yang akan berlaku kepada kita kelak masih belum menjadi nyata. Kita tahu bahawa apabila Tuhan menunjukkan diri-Nya, kita akan menjadi seperti-Nya kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenar.” (1 Yoh. 3:2) Jadi, orang Kristian terurap tidak mengetahui bagaimana keadaan mereka semasa mereka dibangkitkan sebagai makhluk roh. Namun, mereka tahu bahawa mereka akan melihat Yehuwa apabila mereka dibangkitkan ke syurga. Bible tidak menyatakan semua butiran tentang pembangkitan ke syurga. Namun Rasul Paulus telah menyatakan beberapa perkara yang akan berlaku. Sebagai contoh, kaum terurap akan bersama dengan Kristus semasa dia “meniadakan semua kerajaan dan kuasa” dan melenyapkan “musuh terakhir,” iaitu kematian. Kemudian, setelah menjadikan segala sesuatu tunduk kepada Yehuwa, Yesus dan kaum terurap juga akan tunduk kepada Yehuwa. (1 Kor. 15:24-28) Dapatkah anda membayangkan betapa gemilangnya masa depan itu? *

3. Seperti yang dinyatakan di 1 Korintus 15:30-32, bagaimanakah harapan pembangkitan membantu Paulus?

3 Oleh sebab Paulus mempercayai harapan pembangkitan, dia dapat menghadapi pelbagai cubaan dengan tabah. (Baca 1 Korintus 15:30-32.) Dia memberitahu orang Kristian di Korintus, “Aku menghadapi maut setiap hari.” Dia juga menulis, “Aku melawan binatang buas di Efesus.” Apakah yang dimaksudkan Paulus? Dia mungkin pernah melawan binatang buas di gelanggang di Efesus. (2 Kor. 1:8; 4:10; 11:23) Paulus juga mungkin merujuk kepada para penentangnya yang bersifat seperti “binatang buas.” (Kis. 19:26-34; 1 Kor. 16:9) Tidak kira apa yang dimaksudkan Paulus, dia memang menghadapi ancaman yang besar. Namun, dia tetap yakin bahawa dia mempunyai masa depan yang cerah.​—2 Kor. 4:16-18.

Sebuah keluarga yang tinggal di negara yang menyekat kegiatan Kristian kita tetap menyembah Tuhan dengan setia. Mereka yakin sepenuhnya bahawa Tuhan akan memberi mereka masa depan yang lebih baik (Lihat perenggan 4)

4. Bagaimanakah harapan pembangkitan menguatkan orang Kristian zaman ini? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

4 Kita sedang hidup pada zaman yang penuh dengan bahaya. Ada antara saudara saudari kita yang menjadi mangsa jenayah. Yang lain menghadapi ancaman kerana hidup di tempat yang dilanda peperangan. Ada pula yang menyembah Yehuwa di negara yang menyekat atau mengharamkan kerja penyebaran. Namun saudara saudari kita tetap menyembah Yehuwa biarpun mereka mungkin dipenjarakan atau dibunuh. Mereka tidak takut kerana mereka tahu bahawa andai kata mereka kehilangan nyawa pada masa sekarang, Yehuwa sudah menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk mereka. Mereka sesungguhnya teladan baik untuk kita.

5. Pandangan apakah yang mungkin melemahkan iman kita terhadap harapan pembangkitan?

5 Paulus menyatakan bahawa sesetengah orang mempunyai pandangan salah ini: “Jika orang mati tidak akan dibangkitkan, maka ‘marilah kita makan dan minum kerana esok kita akan mati.’” Paulus mengingatkan orang Kristian agar menjauhi pandangan sebegini. Sebenarnya, pandangan sebegini sudah lama wujud sebelum zaman Paulus. Bagaimanakah kita tahu? Semasa menulis suratnya, Paulus mungkin telah memetik Yesaya 22:13 yang menggambarkan sikap orang Israel. Mereka tidak berusaha menghampiri Tuhan. Sebaliknya mereka sibuk mengejar kesenangan. Hari ini, ramai orang juga memiliki sikap yang sama. Mereka ingin menikmati kehidupan dengan sepuas-puasnya kerana berfikir bahawa mereka mungkin mati pada bila-bila masa. Namun, catatan Bible tentang bangsa Israel mengajar kita bahawa sikap sedemikian hanya akan membawa padah.​—2 Taw. 36:15-20.

6. Bagaimanakah harapan pembangkitan patut mempengaruhi cara kita memilih sahabat?

6 Kita menghargai harapan pembangkitan yang diberikan oleh Yehuwa. Maka kita harus memilih sahabat dengan bijak. Orang Kristian di Korintus dinasihati agar tidak bergaul dengan mereka yang tidak mempercayai harapan pembangkitan. Dewasa ini, kita juga tidak mahu bergaul rapat dengan orang yang hanya ingin berseronok dan tidak memikirkan masa depan. Mengapa? Jika kita bergaul rapat dengan orang sedemikian, sikap dan tabiat baik kita sebagai orang Kristian mungkin dirosakkan. Lebih teruk lagi, kita mungkin mula melakukan hal-hal yang dibenci Tuhan. Itulah sebabnya Paulus menggesa orang Kristian, “Hendaklah kamu sedar dan melakukan apa yang benar, dan janganlah mengamalkan perbuatan berdosa.”​—1 Kor. 15:33, 34.

MEREKA DIBANGKITKAN DALAM TUBUH APA?

7. Menurut 1 Korintus 15:35-38, apakah soalan tentang pembangkitan yang mungkin ditanya oleh sesetengah orang?

7 Baca 1 Korintus 15:35-38. Seseorang yang ingin membuat orang lain meragui harapan pembangkitan mungkin bertanya, “Bagaimanakah orang mati akan dibangkitkan?” Mari kita mengkaji jawapan Paulus, kerana dewasa ini, ramai orang mempunyai pandangan masing-masing tentang apa yang berlaku selepas seseorang mati. Jadi, apakah sebenarnya ajaran Bible?

Paulus menggunakan benih dan tumbuhan sebagai perumpamaan untuk menunjukkan bahawa Tuhan dapat memberikan tubuh yang sesuai kepada orang yang dibangkitkan (Lihat perenggan 8)

8. Apakah perumpamaan yang menunjukkan bahawa Tuhan dapat membangkitkan seseorang dan memberinya tubuh yang berbeza?

8 Semasa seseorang mati, tubuhnya akan reput. Tetapi Tuhan yang menciptakan alam semesta dapat membangkitkan orang itu dan memberinya tubuh yang sesuai. (Kej. 1:1; 2:7) Untuk menjelaskan hal ini, Paulus menggunakan benih sebagai perumpamaan. Selepas ditanam, sebutir benih akan bercambah dan menjadi tumbuhan, dan rupa tumbuhan itu sangat berbeza daripada rupa benih. Dengan membuat perbandingan ini, Paulus menunjukkan bahawa semasa Pencipta kita membangkitkan seseorang ke syurga, Dia tidak perlu memberi orang itu tubuh yang dimilikinya dahulu. Sebaliknya, Tuhan dapat memberinya tubuh yang dikehendaki-Nya.

9. Bagaimanakah 1 Korintus 15:39-41 menunjukkan bahawa Tuhan memberi semua ciptaan-Nya tubuh yang berbeza-beza?

9 Baca 1 Korintus 15:39-41. Paulus menyatakan bahawa Tuhan memberi semua ciptaan-Nya tubuh yang berbeza-beza. Sebagai contoh, tubuh lembu, burung, dan ikan, semua berlainan. Dia menjelaskan bahawa benda-benda di langit, seperti matahari dan bulan, juga berbeza. Paulus berkata bahawa “setiap bintang juga mempunyai keindahan yang tersendiri.” Biarpun kita tidak dapat melihat perbezaan itu dengan mata kasar, para ahli sains berkata bahawa terdapat pelbagai jenis bintang. Ada yang besar, ada yang kecil, ada yang merah, ada yang putih, dan ada yang kuning, seperti matahari. Paulus juga menulis, “Makhluk yang tinggal di syurga mempunyai tubuh yang berbeza daripada makhluk yang tinggal di bumi.” Ya, makhluk di bumi, seperti kita, mempunyai tubuh yang dijadikan daripada darah dan daging, tetapi makhluk di syurga, seperti para malaikat, mempunyai tubuh roh.

10. Orang yang dibangkitkan ke syurga akan diberi tubuh apa?

10 Perhatikan apa yang dikatakan oleh Paulus selepas itu: “Demikianlah halnya dengan pembangkitan orang mati. Seperti benih, tubuh yang ditanam dapat musnah tetapi tubuh yang dibangkitkan tidak dapat musnah.” Sudah pasti, selepas seseorang mati, tubuhnya akan reput dan kembali ke tanah. (Kej. 3:19) Jadi, bagaimanakah orang itu dapat dibangkitkan dengan tubuh yang “tidak dapat musnah”? Pembangkitan yang dimaksudkan Paulus dalam ayat ini bukanlah pembangkitan di bumi, seperti yang pernah dilakukan oleh Elia, Elisa, dan Yesus. Sebaliknya, Paulus sedang bercakap tentang pembangkitan ke syurga. Orang yang dibangkitkan ke syurga akan diberi “tubuh rohani” supaya mereka dapat tinggal di syurga.​—1 Kor. 15:42-44.

11-12. Apakah perubahan yang berlaku semasa Yesus dibangkitkan? Apakah perubahan yang berlaku semasa kaum terurap dibangkitkan?

11 Semasa Yesus hidup di bumi, dia mempunyai tubuh jasmani. Tetapi semasa dia dibangkitkan, dia diberikan tubuh roh. Begitu juga, orang Kristian terurap akan dibangkitkan sebagai makhluk roh. Paulus menjelaskan, “Sebagaimana kita menyerupai dia yang dijadikan daripada tanah, kelak kita juga akan menyerupai dia yang berasal dari syurga.”​—1 Kor. 15:45-49.

12 Kita perlu ingat bahawa Yesus tidak dibangkitkan dalam tubuh jasmani. Kita tahu akan hal ini kerana pada penghujung penjelasan Paulus tentang pembangkitan, dia berkata, “tubuh yang dijadikan daripada darah dan daging tidak boleh mewarisi Kerajaan Tuhan” di syurga. (1 Kor. 15:50) Jadi, para rasul dan orang Kristian terurap yang lain tidak akan dibangkitkan ke syurga dalam tubuh jasmani, yang dijadikan daripada darah dan daging. Namun, bilakah mereka akan dibangkitkan? Paulus menegaskan bahawa hal ini akan berlaku pada masa depan, bukannya sejurus selepas mereka mati. Semasa Paulus menulis 1 Korintus, kebanyakan rasul dan orang Kristian terurap masih hidup, tetapi ada juga yang “sudah tidur dalam kematian,” seperti Rasul Yakobus.​—1 Kor. 15:6; Kis. 12:1, 2.

MAUT DIKALAHKAN

13. Apakah yang akan berlaku semasa kehadiran Yesus?

13 Yesus dan Paulus telah bernubuat tentang suatu jangka masa yang penting, iaitu kehadiran Kristus. Semasa kehadiran Kristus, peperangan, gempa bumi, wabak, dan hal-hal buruk yang lain, akan berlaku di serata bumi. Kita melihat nubuat ini menjadi kenyataan sejak tahun 1914. Yesus juga menyatakan bahawa semasa kehadirannya, berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan “ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.” (Mat. 24:3, 7-14) Paulus juga menyatakan bahawa semasa “kehadiran Tuan,” orang Kristian terurap yang “sudah tidur dalam kematian” akan dibangkitkan.​—1 Tes. 4:14-16; 1 Kor. 15:23.

14. Apakah yang berlaku kepada orang Kristian terurap yang meninggal semasa kehadiran Kristus?

14 Dewasa ini, orang Kristian terurap yang meninggal akan segera dibangkitkan ke syurga. Kita mengetahui hal ini kerana di 1 Korintus 15:51, 52, Paulus menulis, “Bukan semua orang dalam kalangan kita yang akan tidur dalam kematian. Sebaliknya, kita semua akan diubah dalam masa yang singkat, iaitu dalam sekelip mata. Hal itu akan berlaku semasa trompet yang terakhir dibunyikan.” Kata-kata Paulus ini sedang berlaku pada zaman kita. Orang Kristian terurap yang dibangkitkan ke syurga akan meraih sukacita yang besar kerana mereka dapat “sentiasa bersama-sama Tuan.”​—1 Tes. 4:17.

Orang Kristian terurap yang dibangkitkan ke syurga akan mengikut Yesus untuk menghancurkan bangsa-bangsa. (Lihat perenggan 15)

15. Apakah yang akan dilakukan oleh orang Kristian terurap yang dibangkitkan ke syurga?

15 Apakah yang akan dilakukan oleh orang Kristian terurap yang dibangkitkan ke syurga? Yesus menyatakan, “Kepada orang yang menang dalam pertempuran dan meniru perbuatanku sehingga akhir, aku akan memberinya kuasa atas bangsa-bangsa lain, iaitu kuasa yang sudah aku terima daripada Bapaku. Dia akan memerintah orang dengan tongkat besi dan menghancurkan mereka seperti bekas tanah liat.” (Why. 2:26, 27) Ya, setelah dibangkitkan ke syurga, mereka akan mengikut Yesus untuk memerintah bangsa-bangsa dengan tongkat besi.​—Why. 19:11-15.

16. Bagaimanakah maut akan dikalahkan?

16 Bagi orang Kristian terurap, maut akan dikalahkan semasa mereka dibangkitkan ke syurga. (1 Kor. 15:54-57) Selepas itu, mereka akan membantu mengalahkan kejahatan di serata bumi semasa perang Armagedon. Kemudian, jutaan orang Kristian yang “selamat mengharungi kesengsaraan besar” akan melihat bagaimana maut dikalahkan di dunia baharu semasa berbilion-bilion orang yang mati dibangkitkan. (Why. 7:14; Kis. 24:15) Bayangkan betapa gembiranya mereka semasa menyaksikan hal itu berlaku! Akhirnya, maut yang diwariskan oleh Adam akan dikalahkan apabila semua orang yang tetap setia kepada Yehuwa dikurniai kehidupan kekal.

17. Menurut 1 Korintus 15:58, apakah yang patut kita lakukan sekarang?

17 Kita semua sangat bersyukur atas penjelasan Paulus tentang pembangkitan. Jadi, kita ingin mengikut nasihatnya untuk tetap sibuk “dalam khidmat Tuan kita.” (Baca 1 Korintus 15:58.) Jika kita terus berkhidmat kepada Tuan kita dengan bersungguh-sungguh, kita akan berpeluang untuk meraih sukacita yang besar pada masa depan. Kehidupan kita pada masa itu akan jauh lebih menakjubkan daripada apa yang dapat kita bayangkan. Berkat-berkat yang akan kita nikmati akan membuktikan bahawa usaha kita dalam khidmat Tuan kita tidak sia-sia.

LAGU 140 Akhirnya Hidup Kekal Tiba!

^ per. 5 Bahagian kedua 1 Korintus bab 15 mengandungi butiran tentang pembangkitan, khususnya pembangkitan orang Kristian terurap. Namun, apa yang ditulis oleh Paulus juga penting bagi biri-biri lain. Rencana ini akan menjelaskan bagaimana harapan pembangkitan patut mempengaruhi kehidupan kita sekarang, dan memberi kita sebab untuk menanti-nantikan masa depan.

^ per. 2Pertanyaan Pembaca” dalam terbitan ini menjelaskan kata-kata Paulus di 1 Korintus 15:29.