Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Adakah kata-kata Rasul Paulus di 1 Korintus 15:29 menunjukkan bahawa sesetengah orang Kristian pada zamannya dibaptis bagi pihak orang mati?

Tidak. Catatan Bible dan catatan sejarah menunjukkan bahawa pembaptisan sebegini tidak pernah dilakukan.

Namun, cara ayat ini diterjemahkan dalam banyak Bible membuat sesetengah orang berfikir bahawa pembaptisan untuk orang mati dilakukan pada zaman Paulus. Sebagai contoh, Alkitab Berita Baik menyatakan, “Jika memang benar orang mati tidak akan dihidupkan semula, mengapa mereka mahu dibaptis untuk orang mati?”

Namun, perhatikan kata-kata dua orang cendekiawan Bible. Menurut Dr. Gregory Lockwood, tiada bukti dalam Bible atau catatan sejarah yang menunjukkan bahawa pembaptisan dilakukan bagi pihak orang mati. Profesor Gordon D. Fee juga menyatakan, “Pembaptisan sebegini tidak pernah dicatatkan dalam sejarah atau Bible. Perjanjian Baharu langsung tidak menyebut bahawa orang Kristian abad pertama melakukan hal ini. Gereja-gereja yang ditubuhkan tidak lama selepas kematian para rasul juga tidak mengamalkan pembaptisan sebegini.”

Bible menyatakan bahawa orang Kristian perlu pergi kepada semua bangsa dan menjadikan mereka pengikut Yesus, membaptis mereka, dan mengajar mereka mentaati segala yang telah diperintahkannya. (Mat. 28:19, 20) Sebelum seseorang dapat dibaptis, dia perlu belajar tentang Yehuwa dan Anak-Nya, beriman kepada mereka, dan mentaati mereka. Orang yang sudah mati dan dikuburkan tidak dapat melakukan semua hal itu. Orang Kristian yang masih hidup juga tidak dapat melakukan hal-hal itu untuk orang mati.​—Pkh. 9:5, 10; Yoh. 4:1; 1 Kor. 1:14-16.

Jadi, apakah yang hendak disampaikan Paulus?

Sesetengah orang di Korintus berkata bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan. (1 Kor. 15:12) Maka Paulus ingin menunjukkan bahawa pandangan itu salah. Dia menyatakan bahawa dia “menghadapi maut setiap hari.” Namun, meskipun nyawanya diancam, dia yakin bahawa selepas dia mati, dia akan dibangkitkan sebagai makhluk roh yang berkuasa seperti Yesus.​—1 Kor. 15:30-32, 42-44.

Orang Kristian terurap di Korintus perlu sedar bahawa mereka akan menghadapi cubaan setiap hari dan mati sebelum dibangkitkan. Sebagai orang yang “dibaptis dan yang bersatu dengan Kristus Yesus,” mereka juga “dibaptis dalam kematiannya.” (Rm. 6:3) Maksudnya, seperti Yesus, mereka akan menghadapi cubaan dan mati sebelum dibangkitkan ke syurga.

Lebih daripada dua tahun selepas Yesus dibaptis, dia berkata kepada dua orang rasulnya, “Kamu akan menerima pembaptisan yang aku terima.” (Mrk. 10:38, 39) “Pembaptisan” yang dimaksudkan oleh Yesus bukan merujuk kepada pembaptisan dalam air. Sebaliknya, dia ingin menunjukkan bahawa kesetiaannya kepada Tuhan akhirnya akan menyebabkan kematiannya. Paulus menulis bahawa orang Kristian terurap juga akan “menderita seperti Kristus, supaya [mereka] dimuliakan bersamanya.” (Rm. 8:16, 17; 2 Kor. 4:17) Maksudnya, mereka juga perlu mati sebelum dibangkitkan ke syurga.

Oleh itu, terjemahan yang lebih tepat untuk kata-kata Paulus di 1 Korintus 15:29 berbunyi: “Jika orang mati tidak akan dibangkitkan, apakah yang akan berlaku kepada mereka yang dibaptis untuk menjadi orang mati? Mengapakah mereka dibaptis untuk menjadi orang mati?”