Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Amsal 24:16 menyatakan, “Orang baik mungkin jatuh tujuh kali, namun dia akan bangun semula.” Adakah ayat ini merujuk kepada orang yang jatuh ke dalam dosa berulang kali tetapi diampuni oleh Tuhan?

Sebenarnya, itu bukanlah maksud ayat ini. Sebaliknya, ayat ini merujuk kepada orang yang ditimpa kesusahan berulang kali tetapi tetap tabah dan tidak putus asa.

Perhatikan konteks ayat ini: “Jangan menjadi seperti orang jahat yang menghendap berhampiran rumah orang baik; jangan memusnahkan tempat kediaman orang baik. Orang baik mungkin jatuh tujuh kali, namun dia akan bangun semula, tetapi orang jahat akan dihancurkan oleh malapetaka. Jangan bergembira ketika musuhmu jatuh, dan jangan bergirang hati semasa dia tersandung.”​—Ams. 24:15-17.

Sesetengah orang berfikir bahawa ayat 16 merujuk kepada orang yang jatuh ke dalam dosa tetapi kemudiannya memulihkan hubungannya dengan Tuhan. Dua orang pemimpin gereja dari England menulis bahawa sejak dahulu hingga sekarang, itulah penjelasan yang sering digunakan oleh para penginjil. Mereka menambah bahawa hal ini bermaksud seseorang yang baik mungkin jatuh ke dalam dosa yang serius, tetapi oleh sebab dia tetap mengasihi Tuhan, setiap kali dia melakukan dosa, dia akan bertaubat dan bangun semula. Orang yang tidak mahu melawan keinginan berdosa mungkin suka akan penjelasan ini kerana berfikir bahawa biarpun dia berdosa berulang kali, Tuhan akan selalu mengampuninya.

Itu bukanlah maksud ayat 16.

Perkataan Ibrani untuk “jatuh” di ayat 16 dan 17 dapat digunakan dalam dua cara. Pertama, secara harfiah. Contohnya, lembu terjatuh di jalan, orang terjatuh dari bumbung rumah, dan batu kecil jatuh ke tanah. (Ul. 22:4, 8; Amo. 9:9) Kedua, secara kiasan, contohnya dalam ayat berikut: “Apabila Yehuwa berasa senang hati dengan haluan hidup seseorang, Dia akan membimbing setiap langkahnya. Walaupun orang itu tersandung, dia tidak akan jatuh tertiarap di atas tanah, kerana Yehuwa akan menyokong dan memegang tangannya.”​—Mzm. 37:23, 24.

Perhatikan kata-kata seorang profesor yang bernama Edward H. Plumptre. Dia berkata bahawa perkataan Ibrani untuk “jatuh” tidak pernah digunakan untuk merujuk kepada dosa. Semasa mengulas ayat 16, seorang lagi cendekiawan berkata, “Tiada gunanya menindas umat Tuhan kerana mereka selalu akan berjaya, tetapi orang jahat pasti gagal.”

Jadi, perkataan “jatuh” di Amsal 24:16 tidak bermaksud jatuh ke dalam dosa tetapi bermaksud ditimpa kesusahan atau masalah berulang kali. Dalam sistem dunia yang jahat ini, orang baik mungkin menghadapi masalah kesihatan, dianiaya oleh pihak berkuasa, atau menghadapi cabaran yang lain. Namun, Tuhan pasti memberinya sokongan dan membantunya supaya berjaya mengharungi semua cabaran itu. Sesungguhnya, ‘Yehuwa menolong semua orang yang hampir jatuh dan menguatkan orang yang dibebani kesusahan.’ (Mzm. 41:1-3; 145:14-19) Tidakkah anda setuju bahawa hal ini sering berlaku kepada hamba-hamba Tuhan?

“Orang baik” bukannya bersukacita kerana orang lain juga ditimpa masalah. Sebaliknya, mereka bersukacita kerana tahu bahawa “orang yang takut kepada Tuhan yang benar akan beroleh kebahagiaan.”​—Pkh. 8:11-13; Ayb. 31:3-6; Mzm. 27:5, 6.