Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 52

Cara untuk Melawan Rasa Tawar Hati

Cara untuk Melawan Rasa Tawar Hati

“Serahkanlah bebanmu kepada Yehuwa, dan Dia akan memeliharamu.”​—MZM. 55:22.

LAGU 33 Serahkan Bebanmu kepada Yehuwa

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah rasa tawar hati dapat mempengaruhi kita?

SETIAP hari, kita berusaha menangani masalah yang kita hadapi. Namun, kita akan berasa lebih susah untuk berbuat demikian semasa kita tawar hati. Rasa tawar hati bagaikan pencuri yang dapat merampas keyakinan, keberanian, dan sukacita kita. Amsal 24:10 menyatakan, “Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.” Ya, rasa tawar hati dapat membuat kita berasa lemah dan tidak berdaya menangani cabaran hidup.

2. Apakah yang dapat membuat kita berasa tawar hati? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Terdapat banyak hal yang mungkin membuat kita berasa tawar hati. Sesetengah hal itu merupakan faktor luaran, manakala yang lain merupakan faktor dalaman. Kita mungkin berasa tawar hati kerana ketidaksempurnaan, kelemahan, dan masalah kesihatan kita. Kita juga mungkin berasa tawar hati kerana tidak diberikan tanggungjawab rohani yang kita inginkan, atau kerana sambutan dingin di kawasan penyebaran kita. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat melawan rasa tawar hati.

SEMASA BERGELUT DENGAN KETIDAKSEMPURNAAN DAN KELEMAHAN

3. Apakah yang dapat membantu kita memiliki pandangan yang seimbang terhadap ketidaksempurnaan dan kelemahan kita?

3 Kita cenderung memiliki pandangan yang tidak seimbang terhadap ketidaksempurnaan dan kelemahan kita. Jadi, kita mungkin berfikir bahawa oleh sebab kita melakukan banyak kesilapan, Yehuwa tidak mahu kita berada di dunia baharu. Pandangan sedemikian sangat berbahaya. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap ketidaksempurnaan kita? Bible menyatakan bahawa selain Yesus Kristus, semua orang “sudah berdosa.” (Rm. 3:23) Namun, Yehuwa tidak bertumpu kepada kesilapan kita atau mengharapkan kesempurnaan daripada kita. Sebaliknya, Dia ialah Bapa yang penyayang dan sabar. Dia tahu bahawa kita perlu berjuang keras untuk mengatasi kelemahan kita. Dia juga tahu bahawa kita berasa susah untuk tidak berpandangan buruk terhadap diri sendiri. Jadi Dia ingin membantu kita.​—Rm. 7:18, 19.

Yehuwa mengetahui segala hal baik yang telah kita lakukan dan yang sedang kita lakukan (Lihat perenggan 5) *

4-5. Bagaimanakah kata-kata di 1 Yohanes 3:19, 20 membantu dua orang saudari melawan perasaan tawar hati?

4 Perhatikan contoh Deborah dan Maria. * Sejak kecil, Deborah dilayan dengan buruk dan jarang dipuji. Oleh itu, dia berpandangan negatif terhadap diri sendiri. Walaupun dia hanya melakukan kesilapan kecil, dia berasa bahawa dirinya langsung tidak berguna. Maria juga menghadapi cabaran yang serupa. Dia dihina oleh saudara-maranya, jadi dia sering berasa bahawa dirinya tidak bernilai. Selepas dibaptis, dia berasa bahawa dia tidak layak menyandang nama Tuhan.

5 Namun, dua orang saudari ini tidak berhenti menyembah Yehuwa. Mengapa? Mereka menyerahkan beban mereka kepada Yehuwa menerusi doa. (Mzm. 55:22) Mereka sedar bahawa Bapa kita yang pengasih tahu bahawa perkara buruk yang pernah kita alami akan membuat kita berpandangan negatif terhadap diri sendiri. Mereka juga ingat bahawa Dia dapat melihat sifat-sifat baik dalam diri kita yang kita sendiri mungkin tidak sedari.​—Baca 1 Yohanes 3:19, 20.

6. Apakah reaksi seseorang jika dia menyerah kepada tabiat buruk yang lama?

6 Seseorang yang sedang berusaha membuang tabiat buruk mungkin berasa kecewa terhadap diri sendiri apabila dia menyerah kepada tabiat lama itu lagi. Memang benar, kita akan berasa bersalah semasa kita berdosa. (2 Kor. 7:10) Namun, kita tidak patut terlalu menyalahkan diri sehingga kita berfikir, “Saya ini tidak berguna. Yehuwa tidak mungkin mengampuni saya.” Fikiran negatif sebegini salah dan dapat membuat kita berhenti menyembah Yehuwa. Amsal 24:10 mengingatkan kita bahawa kekuatan kita akan berkurang apabila kita tawar hati. Jadi, daripada terus berfikiran negatif, kita ingin ‘menyelesaikan perkara’ itu dengan berdoa kepada Yehuwa dan meminta pengampunan-Nya. (Yes. 1:18) Jika kita bertaubat dengan ikhlas, Tuhan akan mengampuni kita. Selain itu, kita juga ingin meminta bantuan para penatua. Mereka akan menolong kita dengan sabar supaya kita pulih secara rohani.​—Yak. 5:14, 15.

7. Mengapakah kita tidak patut berasa tawar hati jika kita sedang bergelut dengan kelemahan kita?

7 Jean-Luc, seorang penatua di Perancis, berkata kepada mereka yang sedang bergelut dengan kelemahan, “Orang yang baik di mata Yehuwa bukanlah orang yang tidak pernah berbuat silap, tetapi orang yang menyesali kesilapan mereka dan bertaubat.” (Rm. 7:21-25) Jadi, jika anda sedang bergelut dengan kelemahan anda, janganlah berfikir bahawa anda tidak berguna. Ingatlah bahawa kita semua akan berbuat silap dan memerlukan kebaikan hati Yehuwa yang unggul, yang ditunjukkan-Nya menerusi tebusan Yesus.​—Ef. 1:7; 1 Yoh. 4:10.

8. Apabila kita tawar hati, kita dapat meminta bantuan daripada siapa?

8 Dapatkanlah bantuan daripada saudara saudari di sidang! Mereka dapat menjadi tempat kita mengadu dan dapat mengucapkan kata-kata yang menggalakkan kita. (Ams. 12:25; 1 Tes. 5:14) Joy, seorang saudari di Nigeria yang pernah bergelut dengan perasaan tawar hati, berkata, “Tanpa bantuan saudara saudari, saya pasti tidak dapat bertahan. Mereka ialah bukti bahawa Yehuwa telah menjawab doa saya. Setelah menerima bantuan mereka, saya pun dapat menggalakkan orang lain yang tawar hati.” Namun, kita perlu ingat bahawa saudara saudari kita tidak selalunya mengetahui bila kita memerlukan galakan. Jadi, kita sendiri perlu memberitahu rakan seiman yang matang bahawa kita memerlukan bantuan.

SEMASA MENGHADAPI MASALAH KESIHATAN

9. Bagaimanakah Mazmur 41:3 dan 94:19 dapat menggalakkan kita?

9 Dapatkanlah bantuan Yehuwa. Semasa kita kurang sihat dan khususnya jika kita menghidap penyakit kronik, kita mungkin berasa susah untuk berfikiran positif. Memang benar, Yehuwa tidak menyembuhkan kita secara mukjizat dewasa ini. Tetapi Dia akan melegakan kita dan memberi kita kekuatan untuk bertabah. (Baca Mazmur 41:3; 94:19.) Sebagai contoh, Dia mungkin menggerakkan saudara saudari kita untuk membantu kita melakukan kerja di rumah atau membantu kita membeli barang. Dia juga mungkin mendorong rakan seiman kita untuk berdoa bersama kita. Selain itu, Dia mungkin membantu kita mengingati hal-hal yang melegakan dalam Bible, seperti harapan untuk hidup tanpa penyakit dan kesakitan di dunia baharu.​—Rm. 15:4.

10. Apakah yang membantu Isang mengatasi rasa tawar hatinya?

10 Isang, yang tinggal di Nigeria, menjadi lumpuh akibat kemalangan. Doktor memberitahunya bahawa dia tidak akan dapat berjalan lagi. Isang berkata, “Saya hancur hati dan tawar hati.” Namun, dia berjaya mengatasi rasa tawar hatinya. Apakah yang membantunya? Dia berkata, “Saya dan isteri saya tidak berhenti berdoa kepada Yehuwa dan mengkaji Firman-Nya. Kami juga bertekad untuk bersyukur atas berkat yang kami miliki, termasuk harapan untuk hidup di dunia baharu Tuhan.”

Orang yang menghadapi masalah kesihatan pun dapat meraih sukacita dalam kerja penyebaran (Lihat perenggan 11-13)

11. Bagaimanakah Cindy dapat bersukacita biarpun menghadapi masalah kesihatan?

11 Cindy, yang tinggal di Mexico, didapati menghidap sejenis penyakit yang dapat membawa maut. Apakah yang membantunya bertabah? Semasa dia menerima rawatan, dia bermatlamat untuk memberikan kesaksian setiap hari. Dia menulis, “Hal ini membantu saya berfokus kepada orang lain dan bukannya kepada pembedahan, kesakitan, atau keadaan saya. Semasa berbual dengan doktor atau jururawat, saya akan bertanya tentang keluarga mereka. Kemudian, saya akan tanya mereka mengapa mereka memilih pekerjaan yang begitu mencabar. Dengan itu, saya dapat tahu topik yang dapat menyentuh hati mereka. Beberapa orang doktor dan jururawat berkata bahawa pesakit jarang bertanya khabar kepada mereka. Ramai antara mereka yang berterima kasih kepada saya kerana mengambil berat tentang mereka, dan ada yang bahkan memberi saya alamat atau nombor telefon mereka. Saya tahu bahawa Yehuwa akan menolong saya mengharungi masa yang susah ini dengan tabah. Tetapi saya tidak sangka bahawa Dia akan memberi saya sukacita yang begitu besar!”​—Ams. 15:15.

12-13. Bagaimanakah sesetengah rakan seiman yang sakit atau kurang upaya dapat menginjil? Apakah hasil yang diperoleh mereka?

12 Orang yang sakit atau kurang upaya mungkin berasa tawar hati kerana tidak dapat menginjil sebanyak yang diingini mereka. Namun, ramai daripada mereka berjaya memberikan kesaksian yang baik. Contohnya, Laurel, seorang saudari di Amerika Syarikat, perlu menggunakan mesin paru-paru besi selama 37 tahun! Dia juga menghidap kanser dan penyakit kulit yang teruk dan perlu menjalani beberapa pembedahan yang besar. Namun, situasinya yang mencabar itu tidak menghalangnya daripada memberikan kesaksian kepada para jururawat dan kakitangan hospital yang datang ke rumahnya. Hasilnya, dia telah membantu sekurang-kurangnya 17 orang untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa! *

13 Richard, seorang penatua di Perancis, memberikan cadangan berikut kepada mereka yang tidak dapat keluar dari rumah atau yang tinggal di pusat jagaan: “Mereka boleh menyediakan rak bahan bacaan yang kecil. Rak itu dapat menarik minat orang dan membantu mereka memulakan perbualan. Dengan ini, saudara saudari kita yang tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah pun dapat digalakkan.” Selain itu, rakan seiman yang tidak dapat keluar dari rumah juga dapat memberikan kesaksian melalui surat dan telefon.

SEMASA TIDAK DIBERIKAN TANGGUNGJAWAB

14. Apakah sikap baik yang ditunjukkan oleh Raja Daud?

14 Disebabkan faktor usia, kesihatan, atau hal-hal lain, kita mungkin tidak diberi tanggungjawab yang kita inginkan dalam sidang atau litar. Jika kita menghadapi situasi ini, kita dapat belajar daripada contoh Raja Daud. Dia sangat ingin membina Rumah Tuhan, tetapi dia diberitahu bahawa bukan dia yang dipilih untuk melakukan tugas itu. Namun, dia memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada orang yang dipilih oleh Tuhan, dan bahkan menyumbangkan banyak emas dan perak untuk projek itu. Dia sesungguhnya teladan baik untuk kita.​—2 Sam. 7:12, 13; 1 Taw. 29:1, 3-5.

15. Bagaimanakah Hugues mengatasi rasa tawar hatinya?

15 Perhatikan contoh Hugues, seorang saudara di Perancis. Disebabkan masalah kesihatan, dia terpaksa berhenti berkhidmat sebagai penatua, dan dia bahkan tidak dapat melakukan hal-hal yang kecil di rumah. Dia menulis, “Pada mulanya, saya rasa sangat tawar hati dan tidak berguna. Tetapi kemudiannya, saya sedar bahawa saya perlu menerima keadaan saya dan berkhidmat kepada Yehuwa menurut kemampuan saya. Hal itu membuat saya bersukacita. Saya bertekad untuk tidak putus asa. Seperti Gideon dan 300 orang askarnya yang terus berjuang biarpun letih, saya tidak akan menyerah!”​—Hak. 8:4.

16. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan baik para malaikat?

16 Perhatikan juga teladan baik para malaikat. Pernah sekali, Yehuwa menjemput para malaikat memberikan cadangan untuk memperdaya Raja Ahab yang jahat. Sebilangan malaikat memberikan cadangan. Tetapi Tuhan hanya memilih cadangan satu malaikat dan memberitahunya bahawa dia akan berjaya. (1 Raj. 22:19-22) Adakah malaikat-malaikat lain berasa tawar hati dan berfikir, “Buang masa sahaja saya memberikan cadangan”? Sudah pasti tidak. Para malaikat benar-benar rendah hati dan ingin memberikan segala kemuliaan kepada Yehuwa.​—Hak. 13:16-18; Why. 19:10.

17. Apakah yang patut kita lakukan jika kita diberi atau kehilangan tugasan?

17 Ingatlah bahawa penghormatan terbesar yang kita miliki adalah untuk menyandang nama Tuhan dan mengumumkan Kerajaan-Nya. Sebenarnya, yang membuat kita berharga bagi Tuhan bukanlah tugasan kita, tetapi kerendahan hati kita. Jika kita bersikap rendah hati, kita akan dikasihi oleh Yehuwa dan saudara saudari kita. Jadi, tidak kira anda diberi atau kehilangan tugasan, mohonlah bantuan Yehuwa untuk terus bersikap rendah hati. Renungkanlah contoh hamba-hamba Tuhan yang rendah hati yang tercatat dalam Bible. Selain itu, teruslah melakukan apa yang anda mampu untuk berkhidmat kepada saudara saudari anda.​—Mzm. 138:6; 1 Ptr. 5:5.

SEMASA MENDAPAT SAMBUTAN DINGIN

18-19. Bagaimanakah anda dapat tetap bersukacita biarpun mendapat sambutan yang dingin semasa menginjil?

18 Pernahkah anda berasa tawar hati kerana mendapat sambutan dingin di kawasan penyebaran atau kerana anda jarang dapat menemui orang semasa menginjil? Jika ya, bagaimanakah anda dapat tetap bersukacita? Anda boleh mencuba cadangan-cadangan yang terdapat dalam kotak “ Cara Meningkatkan Sukacita dalam Kerja Penyebaran.” Anda juga perlu memupuk pandangan yang betul tentang kerja penyebaran. Apakah maksudnya?

19 Ingatlah bahawa tujuan utama kita menginjil adalah untuk memberitahu orang tentang nama Tuhan dan Kerajaan-Nya. Yesus sudah menyatakan bahawa hanya sedikit orang yang akan menjumpai jalan yang menuju kehidupan. (Mat. 7:13, 14) Semasa kita menginjil, kita sebenarnya sedang bekerja bersama Yehuwa, Yesus, dan para malaikat. (Mat. 28:19, 20; 1 Kor. 3:9; Why. 14:6, 7) Selain itu, Yehuwa akan memimpin orang yang berhati jujur kepada-Nya. (Yoh. 6:44) Jadi, jika seseorang enggan mendengar semasa kita menginjil kepadanya, kita tidak perlu berasa tawar hati, kerana dia mungkin sudi mendengar pada masa yang lain.

20. Menurut Yeremia 20:8, 9, bagaimanakah kita dapat melawan rasa tawar hati?

20 Teladan Nabi Yeremia juga dapat menggalakkan kita. Kawasan penyebaran Yeremia sangat mencabar kerana orang menghina dan mengejeknya “sepanjang hari.” (Baca Yeremia 20:8, 9.) Pernah sekali, Yeremia berasa sangat tawar hati sehingga dia ingin berhenti menginjil. Tetapi dia tidak berhenti. Mengapa? “Firman Yehuwa” menjadi seperti api yang terkurung dalam tulang-tulang Yeremia sehingga dia tidak dapat menahan diri daripada bercakap tentangnya. Kita juga dapat berasa seperti Yeremia jika kita mengisi minda dan hati kita dengan firman Tuhan. Jika kita mengkaji Bible setiap hari dan merenungkannya, sukacita kita akan bertambah. Selain itu, kita mungkin meraih hasil yang lebih baik dalam kerja penyebaran.​—Yer. 15:16.

21. Bagaimanakah kita dapat berjaya melawan rasa tawar hati?

21 Deborah yang disebut tadi berkata, “Rasa tawar hati merupakan senjata yang digunakan oleh Syaitan untuk menjatuhkan kita.” Tetapi Yehuwa jauh lebih berkuasa daripada Syaitan dan semua senjata yang digunakannya. Oleh itu, tidak kira apa yang membuat anda berasa tawar hati, mohonlah bantuan Yehuwa dan beritahulah Dia segala kekhuatiran anda. Dia akan menolong anda semasa anda bergelut dengan ketidaksempurnaan dan kelemahan anda. Dia juga akan memberi anda sokongan semasa anda jatuh sakit. Dia akan membantu anda untuk memiliki pandangan yang seimbang terhadap tanggungjawab rohani anda. Selain itu, Dia akan membantu anda berpandangan positif terhadap kerja penyebaran anda. Ya, dengan bantuan Yehuwa, anda dapat berjaya melawan rasa tawar hati.

LAGU 41 Dengarlah Doa Aku

^ per. 5 Kita semua akan berasa tawar hati dari masa ke masa. Rencana ini akan membincangkan beberapa hal yang dapat kita lakukan semasa kita tawar hati. Kita akan melihat bahawa dengan adanya bantuan Yehuwa, kita dapat berjaya melawan rasa tawar hati.

^ per. 4 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 12 Baca kisah hidup Laurel Nisbet dalam majalah Sedarlah! bahasa Indonesia, terbitan 8 Januari 1993.

^ per. 69 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari berasa tawar hati buat suatu ketika, tetapi dia mengingat kembali apa yang telah dilakukannya untuk Yehuwa dan berdoa kepada-Nya. Dia yakin bahawa Yehuwa akan mengingati apa yang telah dilakukannya dan yang sedang dilakukannya.