Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Lakukanlah Tugas Anda dengan Sepenuh Hati!

Lakukanlah Tugas Anda dengan Sepenuh Hati!

APAKAH perasaan anda apabila menerima sepucuk surat yang menggalakkan daripada sahabat baik anda? Timotius telah menerima surat sebegini daripada Rasul Paulus. Surat itu telah menjadi sebahagian daripada Bible, iaitu buku 2 Timotius. Timotius tentu tidak sabar-sabar mencari tempat yang sunyi untuk membaca surat itu. Barangkali dia berfikir, “Bagaimanakah keadaan Paulus? Adakah dia mempunyai apa-apa nasihat untuk membantu saya melakukan tugasan saya? Dapatkah surat ini membantu saya menginjil, mengajar, dan membantu orang lain, dengan lebih baik?” Seperti yang akan kita lihat, semua soalan Timotius telah dijawab dalam surat itu. Bukan itu sahaja, dia juga menerima banyak nasihat yang berguna dalam surat itu. Sekarang, mari kita berfokus kepada beberapa isi utama surat itu yang dapat membantu kita.

“AKU TERUS MENANGGUNG SEGALA SESUATU DENGAN TABAH”

Semasa membaca kata-kata pembukaan surat itu, Timotius dapat segera merasai keprihatinan Paulus terhadapnya kerana Paulus memanggilnya “anakku yang dikasihi.” (2 Tim. 1:2) Timotius mungkin berumur 30-an semasa menerima surat itu sekitar tahun 65 M. Meskipun begitu, dia sudah menjadi seorang penatua yang berpengalaman, kerana dia telah berkhidmat bersama Paulus untuk lebih daripada 10 tahun dan mempelajari banyak hal daripadanya.

Timotius pasti sangat digalakkan semasa mendapat tahu bahawa Paulus menghadapi cubaan dengan tabah. Paulus dipenjarakan di Roma dan bakal dihukum mati semasa menulis suratnya kepada Timotius. (2 Tim. 1:15, 16; 4:6-8) Meskipun begitu, dia menulis, “Aku terus menanggung segala sesuatu dengan tabah.” (2 Tim. 2:8-13) Seperti Timotius, kita dapat dikuatkan jika kita merenungkan ketabahan Paulus.

‘TUNJUKKAN SEMANGAT YANG BERKOBAR-KOBAR SEPERTI API’

Paulus menggesa Timotius agar menghargai khidmatnya kepada Tuhan. Dia mengingatkan Timotius untuk ‘menunjukkan semangat yang berkobar-kobar seperti api apabila dia menggunakan kurniaan Tuhan’ yang dia terima. (2 Tim. 1:6) Kata Yunani untuk “kurniaan” yang digunakan oleh Paulus ialah khaʹri·sma. Perkataan itu merujuk kepada kurniaan yang diterima secara percuma dan yang tidak layak diperoleh. Timotius menerima kurniaan ini semasa dia dipilih untuk memikul tanggungjawab istimewa dalam sidang.​—1 Tim. 4:14.

Bagaimanakah Timotius patut menggunakan kurniaannya? Semasa membaca nasihat Paulus untuk “menunjukkan semangat yang berkobar-kobar seperti api,” dia mungkin terfikir tentang api yang dinyalakan di rumah. Ada kalanya api itu akan menjadi semakin malap dan perlu dimarakkan. Menurut sebuah kamus, kata kerja Yunani (a·na·zo·py·reʹo) yang digunakan oleh Paulus bermaksud “memarakkan semula, mengobarkan semula, [atau] mengipas sehingga bernyala.” Jadi, Paulus ingin Timotius “berasa teruja dan berkhidmat dengan penuh semangat.” Dalam kata lain, Paulus sedang menasihati Timotius, “Lakukanlah tugasmu dengan sepenuh hati!” Seperti Timotius, kita juga perlu berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh hati dewasa ini.

“JAGALAH HARTA BERHARGA INI”

Seraya Timotius membaca surat Paulus, dia menemui satu lagi nasihat yang dapat membantunya melaksanakan tugasannya. Paulus menulis, “Dengan bantuan kuasa suci Tuhan yang ada dalam diri kita, jagalah harta berharga ini yang diamanahkan kepadamu.” (2 Tim. 1:14) Apakah harta yang diamanahkan kepada Timotius? Dalam ayat sebelumnya, Paulus menyebut tentang “kata-kata sihat,” iaitu kebenaran, yang terkandung dalam Ayat-Ayat Suci. (2 Tim. 1:13) Sebagai penginjil, Timotius perlu mengajarkan kebenaran di dalam dan di luar sidang. (2 Tim. 4:1-5) Selain itu, sebagai penatua, Timotius bertanggungjawab menggembala kawanan Tuhan. (1 Ptr. 5:2) Untuk menjaga harta yang diamanahkan kepadanya, iaitu kebenaran yang perlu diajarkannya, Timotius perlu bergantung pada bimbingan kuasa suci Yehuwa dan Firman-Nya.​—2 Tim. 3:14-17.

Dewasa ini, kita juga diamanahkan suatu harta, iaitu kebenaran yang kita ajarkan semasa menginjil. (Mat. 28:19, 20) Untuk terus menghargai harta itu, kita perlu sentiasa berdoa dan memupuk tabiat mengkaji Firman Tuhan. (Rm. 12:11, 12; 1 Tim. 4:13, 15, 16) Kita juga mungkin diamanahkan tanggungjawab sebagai penatua atau tugas lain dalam khidmat sepenuh masa. Tanggungjawab sebegini harus mengingatkan kita untuk bersikap rendah hati dan bergantung pada bantuan Tuhan. Untuk menjaga harta yang diamanahkan kepada kita, kita perlu menghargainya dan bergantung pada Yehuwa.

“AMANAHKANLAH PERKARA-PERKARA ITU KEPADA ORANG YANG SETIA”

Sebahagian daripada tugasan Timotius adalah untuk melatih orang lain. Paulus menggesanya, ‘Berkenaan perkara-perkara yang telah kamu dengar daripadaku, amanahkanlah perkara-perkara itu kepada orang yang setia agar mereka juga menjadi layak untuk mengajar orang lain.’ (2 Tim. 2:2) Ya, Timotius perlu mengongsi apa yang telah dipelajarinya dengan saudara-saudara lain. Dewasa ini, semua penatua dalam sidang juga perlu melakukan hal yang sama. Seorang penatua yang baik tidak akan kedekut ilmu. Dia tidak akan menyimpan sesetengah pengetahuannya dan hanya mengajarkan hal-hal yang asas. Dia tidak takut jika orang lain menjadi lebih mahir atau lebih pandai daripadanya. Sebaliknya, dia ingin melatih orang lain untuk melakukan tugasan mereka dengan baik. Dia juga ingin membantu mereka untuk menjadi orang Kristian yang matang, yang memiliki pengertian dan daya pertimbangan yang baik. Ya, seorang penatua yang baik akan sudi mengongsi pengetahuan dan kemahirannya supaya ‘orang setia’ yang dilatihnya dapat membawa manfaat yang lebih besar kepada sidang.

Timotius pasti sangat menghargai surat yang diterimanya daripada Paulus. Kita dapat membayangkan dia membaca surat itu berulang kali dan merenungkan bagaimana dia dapat menerapkan nasihat Paulus.

Kita juga mahu menerapkan nasihat Paulus. Bagaimana? Kita ingin berusaha untuk menunjukkan semangat yang berkobar-kobar seperti api, menjaga harta yang diamanahkan kepada kita, dan mengongsi pengalaman dan pengetahuan kita dengan orang lain. Dengan itu, kita akan dapat “melaksanakan tugas [kita] dengan sepenuhnya,” seperti yang dilakukan Timotius.​—2 Tim. 4:5.