Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pandangan Orang tentang Doa

Pandangan Orang tentang Doa

“Semasa berdoa, saya rasa Tuhan ada di sisi saya dan memegang tangan saya. Dia membimbing saya semasa saya rasa khuatir.”​—MARÍA.

“Isteri saya meninggal selepas bertarung dengan kanser selama 13 tahun. Setiap hari, saya berdoa kepada Tuhan. Saya yakin Dia mendengar luahan hati saya. Itu buat saya rasa tenang.”​—RAÚL.

“Doa ialah kurniaan yang istimewa daripada Tuhan.”​—ARNE.

Seperti María, Raúl, dan Arne, ramai orang rasa bahawa doa ialah anugerah Tuhan. Melalui doa, mereka rasa mereka dapat bercakap kepada Tuhan, mengucapkan syukur, dan mendapatkan bantuan-Nya. Mereka setuju dengan kata-kata Bible yang menyatakan, “Inilah keyakinan kita terhadap Tuhan: Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.”​—1 Yohanes 5:14.

Tetapi, ramai juga tidak bersetuju dengan ajaran Bible mengenai doa. Contohnya, Steve berkata, “Semasa berumur 17 tahun, tiga orang kawan saya meninggal dalam dua kemalangan yang berbeza. Seorang terkorban dalam kemalangan jalan raya, dan dua orang lagi lemas di laut.” Dia menyambung, “Saya tanya Tuhan kenapa hal itu berlaku, tetapi doa saya tidak dijawab. Jadi saya fikir, ‘Apa gunanya saya berdoa?’” Pengalaman sebegini telah menyebabkan ramai orang berasa kecewa dan tidak mahu berdoa lagi.

Sesetengah orang pula rasa bahawa mereka tidak perlu berdoa kepada Tuhan untuk memberitahu-Nya keperluan atau masalah mereka kerana Dia sudah tahu segala-galanya.

Yang lain pula berasa bahawa Tuhan tidak akan mendengar doa mereka kerana kesilapan lampau mereka. Jenny berkata, “Saya rasa tidak berguna kerana apa yang pernah saya lakukan. Sebab itu, saya rasa saya tidak layak berdoa kepada Tuhan.”

Bagaimana pula dengan anda? Tidak kira apa perasaan anda, Bible mempunyai jawapan yang melegakan hati. Melalui Bible, anda dapat belajar banyak tentang doa. * Yakinlah bahawa Bible dapat membantu anda menemui jawapan kepada soalan-soalan seperti:

  • Adakah Tuhan mendengar doa kita?

  • Mengapakah sesetengah doa tidak dijawab?

  • Apakah caranya untuk berdoa agar didengari Tuhan?

  • Apakah manfaat berdoa?

^ per. 9 Bible mengandungi doa para penyembah Tuhan, termasuk doa yang diucapkan oleh Yesus. Kitab Ibrani, atau Perjanjian Lama, mengandungi lebih daripada 150 doa.