Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Dunia Ini Akan Berakhir?

Adakah Dunia Ini Akan Berakhir?

Anda mungkin tahu bahawa Bible menyebut tentang akhir dunia. (1 Yohanes 2:17) Namun, adakah akhir dunia bermaksud manusia akan dilenyapkan? Adakah semua hidupan di bumi akan dimusnahkan, atau adakah bumi akan dihancurkan?

JAWAPAN BIBLE KEPADA DUA SOALAN ITU IALAH “TIDAK”!

Apakah yang Tidak Akan Dilenyapkan?

MANUSIA

Bible menyatakan: Tuhan “menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami.”​—YESAYA 45:18.

BUMI

Bible menyatakan: “Satu generasi datang, dan satu generasi pergi, tetapi bumi kekal buat selama-lamanya.”​—PENGKHUTBAH 1:4.

MAKSUDNYA: Menurut Bible, bumi tidak akan dimusnahkan dan akan sentiasa mempunyai penduduk. Jadi, apakah maksud “akhir dunia”?

FIKIRKAN: Bible menyatakan bahawa keadaan bumi menjelang akhir dunia akan sama seperti keadaan pada zaman Nuh. Pada masa itu, bumi “penuh dengan keganasan.” (Kejadian 6:13) Tuhan telah menyelamatkan Nuh dan keluarganya yang berbuat baik, tetapi mendatangkan banjir untuk membinasakan orang jahat. Semasa menggambarkan peristiwa itu, Bible menyatakan, “Dunia zaman itu telah dimusnahkan, iaitu ketika bumi dibanjiri air.” (2 Petrus 3:6) Semasa “dunia” itu berakhir, apakah yang dimusnahkan? Bukan bumi, tetapi orang jahat di bumi. Jadi, semasa Bible menyebut tentang “akhir dunia,” hal itu tidak bermaksud planet bumi akan dimusnahkan. Sebaliknya, yang akan dilenyapkan ialah orang jahat dan perkara buruk di bumi.

Apakah yang Akan Dilenyapkan?

MASALAH DAN KEJAHATAN

Bible menyatakan: “Tidak lama lagi, orang jahat akan dibinasakan; kamu akan mencari mereka, tetapi mereka tidak akan dijumpai. Orang yang rendah hati akan memiliki bumi, dan mereka akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.”​—MAZMUR 37:10, 11.

MAKSUDNYA: Selepas Banjir pada zaman Nuh, orang jahat muncul lagi dan menimbulkan banyak kesusahan bagi manusia. Namun, tidak lama lagi, Tuhan akan melenyapkan segala kejahatan. Penulis mazmur berkata bahawa “orang jahat akan dibinasakan.” Tuhan akan menggunakan Kerajaan-Nya yang di syurga untuk mengakhiri kejahatan. Kerajaan itu akan menguasai seluruh bumi dan memerintah semua manusia yang taat kepada Tuhan.

FIKIRKAN: Adakah para pemerintah di bumi sekarang akan menyokong Kerajaan Tuhan? Tidak. Bible menyatakan bahawa mereka akan menentang Kerajaan Tuhan. (Mazmur 2:2) Tindakan mereka memang bodoh, kerana pada akhirnya, Kerajaan Tuhan akan menggantikan semua kerajaan manusia, dan “hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.” (Daniel 2:44) Namun, mengapakah pemerintahan manusia perlu dilenyapkan?

Pemerintahan Manusia PERLU BERAKHIR

Bible menyatakan: “Manusia yang sedang berjalan pun tidak dapat mengarahkan langkahnya.”​—YEREMIA 10:23.

MAKSUDNYA: Manusia tidak diciptakan untuk memerintah diri sendiri. Mereka tidak mampu mentadbir dan menyelesaikan masalah manusia.

FIKIRKAN: Menurut Britannica Academic, kerajaan-kerajaan nampaknya tidak mampu “menangani masalah seperti kemiskinan, kebuluran, penyakit, bencana alam, peperangan, atau keganasan.” Rujukan itu juga menyatakan, “Sesetengah orang . . . percaya bahawa masalah-masalah itu dapat dibendung hanya jika seluruh bumi diperintah oleh sebuah kerajaan.” Namun, biarpun semua kerajaan manusia mampu mencapai kesepakatan, dunia ini masih akan diperintah oleh manusia yang tidak sempurna, yang tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah yang disebut tadi. Hanya Kerajaan Tuhan yang berupaya menyelesaikan masalah sejagat buat selama-lamanya.

Kesimpulannya, menurut Bible, orang yang baik tidak perlu takut akan akhir dunia, iaitu akhir sistem jahat ini. Sebaliknya, mereka patut berasa gembira kerana dunia lama yang jahat ini akan digantikan dengan dunia baharu Tuhan yang menakjubkan!

Bilakah dunia baharu Tuhan akan tiba? Bacalah jawapan Bible dalam rencana yang seterusnya.