Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 2

Belajar daripada “Murid yang Disayangi Yesus”

Belajar daripada “Murid yang Disayangi Yesus”

“Marilah kita terus mengasihi satu sama lain, kerana kasih berasal daripada Tuhan.”​—1 YOH. 4:7.

LAGU 105 “Tuhan Itu Kasih”

PENGENALAN *

1. Kasih Tuhan membuat anda berasa apa?

“TUHAN itu kasih,” tulis Rasul Yohanes. (1 Yoh. 4:8) Kata-kata yang ringkas ini mengingatkan kita tentang satu kebenaran yang penting: Tuhan, yang merupakan Sumber kehidupan, juga merupakan Sumber kasih. Ya, Yehuwa mengasihi kita, dan kasih-Nya membuat kita berasa selamat, bahagia, dan puas.

2. Menurut Matius 22:37-40, apakah dua hukum yang paling penting? Mengapakah kita mungkin berasa susah untuk mematuhi hukum yang kedua?

2 Orang Kristian tidak boleh memilih sama ada mereka ingin menunjukkan kasih atau tidak, kerana menunjukkan kasih ialah satu perintah. (Baca Matius 22:37-40.) Semasa kita mengenali Yehuwa, kita mungkin berasa mudah untuk mematuhi perintah yang pertama kerana Yehuwa sempurna. Dia sentiasa melayan kita dengan lemah lembut dan baik hati. Namun, kita mungkin berasa susah untuk mematuhi perintah yang kedua. Mengapa? Saudara saudari kita tidak sempurna. Ada kalanya, mereka mungkin mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakiti hati kita. Yehuwa tahu bahawa kita akan menghadapi cabaran ini. Oleh itu, Dia mengilhami beberapa orang penulis Bible untuk mengajar kita mengapa kita patut saling mengasihi dan cara untuk melakukannya. Salah seorang penulis itu ialah Yohanes.​—1 Yoh. 3:11, 12.

3. Dalam tulisannya, Yohanes menekankan apa?

3 Dalam tulisannya, Yohanes menekankan bahawa orang Kristian mesti menunjukkan kasih. Sebenarnya, semasa menulis tentang kisah hidup Yesus, Yohanes menyebut tentang kasih jauh lebih kerap berbanding ketiga-tiga buku Matius, Markus, dan Lukas. Tulisannya yang diilhami Tuhan menunjukkan bahawa semua perbuatan orang Kristian mesti dibimbing oleh kasih. (1 Yoh. 4:10, 11) Yohanes berumur kira-kira 100 tahun semasa menulis buku Yohanes dan tiga pucuk suratnya. Namun, sebenarnya Yohanes pun memerlukan masa untuk mempelajari cara menunjukkan kasih.

4. Adakah Yohanes sentiasa menunjukkan kasih? Jelaskan.

4 Semasa Yohanes muda, dia tidak sentiasa menunjukkan kasih. Sebagai contoh, pernah sekali Yesus dan murid-muridnya lalu di Samaria dalam perjalanan mereka ke Yerusalem. Apabila penduduk di sebuah pekan di situ enggan menyambut mereka, apakah reaksi Yohanes? Dia bertanya kepada Yesus jika dia boleh menyuruh api turun dari langit dan melenyapkan semua penduduk di pekan itu! (Luk. 9:52-56) Pada peristiwa yang lain, Yohanes juga gagal menunjukkan kasih kepada rasul-rasul lain. Nampaknya, dia dan saudaranya Yakobus meminta ibu mereka memohon agar Yesus memberi mereka kedudukan yang penting dalam Kerajaan Tuhan. Apabila rasul-rasul lain mendapat tahu tentang perbuatan Yakobus dan Yohanes, mereka sangat marah. (Mat. 20:20, 21, 24) Ya, Yohanes memang mempunyai banyak kelemahan, tetapi Yesus masih mengasihinya.​—Yoh. 21:7.

5. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

5 Dalam rencana ini, kita akan mengkaji teladan Yohanes dan apa yang ditulisnya tentang kasih. Dengan itu, kita dapat mempelajari cara untuk menunjukkan kasih kepada saudara saudari. Kita juga dapat mempelajari satu cara penting ketua keluarga dapat menunjukkan kasih kepada keluarga mereka.

MENUNJUKKAN KASIH MELALUI PERBUATAN

Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada kita dengan mengutus Anak-Nya ke bumi untuk mati demi kita (Lihat perenggan 6-7)

6. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengasihi kita?

6 Kita mungkin berfikir bahawa untuk mengasihi seseorang, kita hanya perlu menyukainya dan bercakap baik-baik kepadanya. Namun, kasih sejati juga mesti disertai perbuatan. (Bandingkan Yakobus 2:17, 26.) Fikirkan contoh Yehuwa. Yehuwa mengasihi kita. (1 Yoh. 4:19) Dia menyatakan kasih-Nya melalui kata-kata yang tercatat dalam Bible. (Mzm. 25:10; Rm. 8:38, 39) Namun, Yehuwa bukan sahaja menyatakan kasih-Nya melalui kata-kata-Nya, tetapi juga melalui perbuatan-Nya. Yohanes menulis, “Inilah caranya Tuhan menunjukkan kasih kepada kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia supaya melalui Anak-Nya kita memperoleh kehidupan.” (1 Yoh. 4:9) Ya, Yehuwa mengutus Anak kesayangan-Nya untuk menderita dan mati bagi kita. (Yoh. 3:16) Tidakkah hal ini meyakinkan kita bahawa Yehuwa benar-benar mengasihi kita?

7. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kasihnya terhadap kita?

7 Yesus memberitahu murid-muridnya bahawa dia mengasihi mereka. (Yoh. 13:1; 15:15) Namun, Yesus tidak sekadar menunjukkan betapa dalamnya kasihnya terhadap mereka dan kita melalui kata-kata. Dia juga menunjukkannya melalui perbuatannya. Yesus berkata, “Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya.” (Yoh. 15:13) Apabila kita memikirkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus untuk kita, kita sepatutnya didorong untuk melakukan apa?

8. Menurut 1 Yohanes 3:18, apakah yang harus kita lakukan?

8 Kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa dan Yesus dengan mematuhi perintah mereka. (Yoh. 14:15; 1 Yoh. 5:3) Salah satu perintah Yesus kepada kita adalah untuk saling mengasihi. (Yoh. 13:34, 35) Jadi, kita ingin menunjukkan kasih kita terhadap saudara saudari, bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan. (Baca 1 Yohanes 3:18.) Apakah sesetengah hal yang dapat kita lakukan untuk menunjukkan kasih kita terhadap mereka?

KASIHILAH SAUDARA SAUDARI ANDA

9. Kasih mendorong Yohanes untuk melakukan apa?

9 Yohanes boleh terus bekerja bersama bapanya sebagai nelayan dan memajukan perniagaan keluarga mereka. Tetapi, dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, setelah menjadi pengikut Yesus, dia menggunakan kehidupannya untuk membantu orang lain mempelajari kebenaran tentang Yehuwa dan Yesus. Namun, pilihan Yohanes untuk mengutamakan kerja penyebaran membawa cabaran. Dia dianiaya, dan pada hujung abad pertama, semasa dia sudah sangat tua, dia telah dibuang negeri. (Kis. 3:1; 4:1-3; 5:18; Why. 1:9) Tetapi biarpun dia dipenjarakan, Yohanes masih berfikir tentang orang lain. Sebagai contoh, semasa dia di Pulau Patmos, dia menulis buku Wahyu dan mengirimnya kepada sidang-sidang supaya mereka mengetahui apa yang “mesti segera berlaku.” (Why. 1:1) Kemudian, setelah dia dibebaskan, nampaknya dia telah menulis catatannya tentang kehidupan dan kegiatan Yesus. Dia juga menulis tiga pucuk surat untuk menggalakkan dan meneguhkan saudara saudarinya. Bagaimanakah anda dapat meniru kasih Yohanes?

10. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda mengasihi orang lain?

10 Anda dapat menunjukkan kasih terhadap orang lain melalui cara anda menggunakan kehidupan anda. Dunia Syaitan mahu anda menggunakan semua masa dan tenaga anda untuk mengejar wang atau kemasyhuran. Namun, orang Kristian di serata dunia memilih cara hidup yang berbeza. Mereka meluangkan seberapa banyak masa yang mungkin untuk menginjil dan membantu orang lain menghampiri Yehuwa. Ada antara mereka yang bahkan dapat berkhidmat sebagai penginjil sepenuh masa.

Kita menunjukkan kasih kepada saudara saudari dan keluarga kita melalui perbuatan kita (Lihat perenggan 11, 17) *

11. Bagaimanakah ramai orang Kristian yang setia menunjukkan kasih kepada Yehuwa dan saudara saudari mereka?

11 Ramai orang Kristian yang setia perlu bekerja sepenuh masa untuk menjaga keperluan diri mereka dan keluarga mereka. Namun, mereka berusaha sedaya upaya untuk menyokong organisasi Tuhan. Sebagai contoh, mereka menyertai usaha membantu mangsa bencana dan menyertai projek pembinaan teokratik kerana mereka mengasihi Tuhan dan orang lain. Sebenarnya, kita semua pun dapat menunjukkan kasih kepada saudara saudari. Bagaimana? Salah satu cara adalah dengan memberikan sumbangan untuk kerja sedunia. Kita juga dapat menghadiri perjumpaan setiap minggu dan mengambil bahagian semasa perjumpaan. Walaupun kita mungkin penat, kita masih menghadiri perjumpaan, dan walaupun kita mungkin berasa gementar, kita masih memberikan komen. Selain itu, walaupun kita semua mempunyai masalah, kita berusaha menggalakkan orang lain sebelum atau selepas perjumpaan. (Ibr. 10:24, 25) Tidakkah kita menghargai usaha saudara saudari kita?

12. Apakah satu lagi cara Yohanes menunjukkan kasih terhadap saudara saudarinya?

12 Yohanes menunjukkan kasih kepada saudara saudarinya bukan sahaja dengan memuji mereka, tetapi juga dengan menasihati mereka. Misalnya, dalam suratnya, Yohanes memuji saudara saudarinya atas iman dan perbuatan baik mereka, tetapi dia juga memberi mereka nasihat yang terus terang mengenai dosa. (1 Yoh. 1:8–2:1, 13, 14) Seperti Yohanes, kita ingin memuji saudara saudari kita atas usaha baik mereka. Tetapi jika kita mendapati bahawa seseorang mula mempunyai sikap atau tabiat yang tidak baik, kita ingin menasihatinya dengan baik hati kerana kita mengasihinya. Kita memerlukan keberanian untuk menasihati sahabat kita, tetapi Bible menyatakan bahawa sahabat sejati akan mengasah atau menasihati satu sama lain.​—Ams. 27:17.

13. Apakah yang tidak akan kita lakukan jika kita mengasihi saudara saudari kita?

13 Ada kalanya, kita menunjukkan kasih terhadap saudara saudari kita dengan tidak melakukan sesetengah hal. Misalnya, kita tidak mahu cepat tersinggung dengan apa yang dikatakan oleh mereka. Fikirkan satu peristiwa yang berlaku semasa Yesus berada di bumi. Dia memberitahu para pengikutnya bahawa untuk menerima kehidupan kekal, mereka perlu makan dagingnya dan minum darahnya. (Yoh. 6:53-57) Kata-kata Yesus begitu mengejutkan sehingga ramai pengikutnya meninggalkannya. Namun, sahabatnya yang sejati, termasuk Yohanes, tetap mengikut Yesus. Mereka juga mungkin terkejut dan tidak memahami kata-kata Yesus. Namun, mereka tidak menyimpulkan bahawa apa yang dikatakan Yesus itu salah lalu berasa tersinggung. Sebaliknya, mereka percaya kepada Yesus dan yakin bahawa apa yang dikatakannya memang benar. (Yoh. 6:60, 66-69) Jadi, seperti para rasul, kita tidak ingin cepat tersinggung dengan apa yang dikatakan oleh sahabat kita. Sebaliknya, kita ingin memberi mereka peluang untuk menjelaskan apa sebenarnya maksud mereka.​—Ams. 18:13; Pkh. 7:9.

14. Mengapakah kita tidak mahu membiarkan rasa benci berakar dalam hati kita?

14 Yohanes juga menggesa kita agar tidak membenci saudara saudari kita. Jika kita tidak mematuhi nasihat itu, kita mungkin memberikan peluang kepada Syaitan untuk mempengaruhi kita. (1 Yoh. 2:11; 3:15) Pada akhir abad pertama M, sesetengah orang telah jatuh ke dalam jerat Syaitan. Syaitan bekerja keras untuk membuat umat Tuhan saling membenci dan berpecah belah. Semasa Yohanes menulis suratnya, sesetengah orang yang dipengaruhi sikap Syaitan telah menyelinap ke dalam sidang. Sebagai contoh, Diotrefes menimbulkan perpecahan dalam sebuah sidang. (3 Yoh. 9, 10) Dia langsung tidak menghormati para wakil yang diutus oleh badan pimpinan, dan dia bahkan menghalau dari sidang sesiapa yang menyambut orang yang tidak disukainya. Diotrefes memang sangat sombong! Kini, Syaitan masih bekerja keras untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Tuhan. Jadi, janganlah sekali-kali membiarkan rasa benci memecahbelahkan kita.

KASIHILAH KELUARGA ANDA

Yesus meminta Yohanes untuk menjaga keperluan fizikal dan keperluan rohani ibunya. Seperti Yesus, ketua keluarga mesti menjaga keperluan keluarga mereka (Lihat perenggan 15-16)

15. Apakah yang mesti diingati oleh para ketua keluarga?

15 Satu cara penting seorang ketua keluarga menunjukkan kasih kepada keluarganya adalah dengan menjaga keperluan fizikal mereka. (1 Tim. 5:8) Namun, dia mesti ingat bahawa tanggungjawab untuk menjaga keperluan rohani keluarganya jauh lebih penting. (Mat. 5:3) Perhatikan teladan Yesus bagi para ketua keluarga. Menurut buku Yohanes, semasa Yesus digantungkan pada tiang seksaan, dia masih berfikir tentang keluarganya. Ketika itu, Yohanes berdiri bersama Maria, iaitu ibu Yesus, berhampiran tiang seksaan Yesus. Meskipun Yesus sangat menderita, dia mengaturkan agar Yohanes menjaga Maria. (Yoh. 19:26, 27) Memang benar, Yesus mempunyai adik-adik yang dapat menjaga keperluan fizikal Maria. Tetapi nampaknya pada masa itu, belum ada antara mereka yang menjadi pengikutnya. Jadi, Yesus ingin memastikan bahawa ada seseorang yang dapat menjaga Maria secara fizikal dan rohani.

16. Apakah tanggungjawab yang dipikul Yohanes?

16 Yohanes memikul banyak tanggungjawab yang berat. Sebagai seorang rasul, dia perlu mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Selain itu, dia mungkin berumah tangga. Jadi, dia perlu menjaga keperluan fizikal dan keperluan rohani keluarganya. (1 Kor. 9:5) Apakah yang dapat dipelajari para ketua keluarga daripada Yohanes?

17. Bagaimanakah seorang ketua keluarga menunjukkan kasih kepada keluarganya?

17 Seorang saudara yang merupakan ketua keluarga mungkin memikul banyak tanggungjawab yang berat. Sebagai contoh, semasa di tempat kerja, dia perlu bekerja keras agar membawa pujian kepada Yehuwa. (Ef. 6:5, 6; Tit. 2:9, 10) Dia juga mungkin memikul pelbagai tanggungjawab dalam sidang, seperti menggembala saudara saudari dan mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Namun, dia tidak patut mengabaikan keperluan rohani keluarganya. Jadi, dia perlu mengkaji Bible bersama keluarganya secara tetap. Mereka pasti sangat menghargai usahanya untuk menjaga mereka secara fizikal, emosi, dan rohani.​—Ef. 5:28, 29; 6:4.

“HENDAKLAH KAMU TETAP BERADA DALAM KASIHKU”

18. Yohanes yakin akan hal apa?

18 Yohanes menikmati umur yang panjang dan mengalami banyak peristiwa yang menarik. Namun, dia juga menghadapi pelbagai cabaran yang dapat melemahkan imannya. Biarpun begitu, dia sentiasa berusaha untuk mematuhi perintah Yesus, termasuk perintah untuk mengasihi saudara saudarinya. Oleh itu, Yohanes yakin bahawa Yehuwa dan Yesus mengasihinya dan akan memberinya kekuatan untuk menghadapi apa-apa cabaran. (Yoh. 14:15-17; 15:9, 10; 1 Yoh. 4:16) Syaitan dan dunianya tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalang Yohanes daripada mengasihi saudara saudarinya dan menunjukkan kasih itu melalui kata-kata dan perbuatannya.

19. Menurut 1 Yohanes 4:7, apakah yang harus kita lakukan, dan mengapa?

19 Seperti Yohanes, kita hidup dalam dunia yang dikuasai Syaitan, tuhan sistem ini yang penuh dengan kebencian. (1 Yoh. 3:1, 10) Syaitan mahu menghalang kita daripada mengasihi saudara saudari kita. Namun, dia tidak akan berjaya jika kita tidak mengizinkannya berbuat demikian. Jadi, semoga kita bertekad untuk mengasihi saudara saudari kita. Semoga kita menunjukkan kasih itu melalui kata-kata kita dan membuktikannya melalui perbuatan kita. Dengan itu, kita akan menjadi anggota keluarga Yehuwa dan menikmati kehidupan yang benar-benar puas dan bermakna.​—Baca 1 Yohanes 4:7.

LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu

^ per. 5 Kemungkinan besar Rasul Yohanes ialah “murid yang disayangi Yesus.” (Yoh. 21:7) Jadi dia pasti memiliki banyak sifat yang baik sejak muda lagi. Kemudian, apabila dia sudah tua, Yehuwa menggunakannya untuk menulis banyak perkara tentang kasih. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji sesetengah hal yang ditulis oleh Yohanes dan melihat apa yang dapat kita pelajari daripada teladannya.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang merupakan ketua keluarga menyertai kerja untuk membantu mangsa bencana, memberikan sumbangan untuk kerja sedunia, dan menjemput orang lain untuk menyertai penyembahan keluarganya.