Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 4

Teruslah Berusaha Memupuk Kasih

Teruslah Berusaha Memupuk Kasih

“Sepertimana adik-beradik kandung mengasihi satu sama lain, kamu juga harus saling mengasihi.”​—RM. 12:10.

LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati

PENGENALAN *

1. Apakah yang menunjukkan bahawa kasih sayang kebanyakan orang semakin berkurang dewasa ini?

BIBLE menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, “kasih sayang” kebanyakan orang akan semakin berkurang. (2 Tim. 3:1, 3) Nubuat ini sedang menjadi kenyataan dewasa ini. Sebagai contoh, jutaan pasangan bercerai dan mereka berasa marah terhadap satu sama lain. Hal ini juga membuat anak-anak mereka berasa tidak dikasihi. Keluarga yang tinggal serumah pun mungkin tidak mempunyai hubungan yang rapat. Seorang penasihat keluarga berkata, “Ibu, bapa, dan anak-anak, jarang bercakap kepada satu sama lain. Mereka menghabiskan kebanyakan masa mereka untuk melihat komputer, tablet, telefon pintar, atau bermain permainan video. Walaupun mereka tinggal sebumbung, mereka tidak mengenali satu sama lain.”

2-3. (a) Menurut Roma 12:10, kita harus mengasihi siapa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Kita tidak mahu mengikut sikap kebanyakan orang di dunia ini yang tidak menunjukkan kasih. (Rm. 12:2) Sebaliknya, kita ingin memperdalam kasih kita, bukan sahaja terhadap ahli keluarga kita, tetapi juga terhadap rakan seiman kita. (Baca Roma 12:10.) Kita patut mengasihi keluarga rohani kita sebagaimana kita mengasihi ahli keluarga yang tersayang. Apabila kita menunjukkan kasih sebegini, kita membantu semua orang untuk menyembah Yehuwa dengan bersatu padu dan gembira.​—Mi. 2:12.

3 Dalam rencana ini, kita akan mengkaji beberapa contoh dalam Bible yang dapat membantu kita menunjukkan kasih yang lebih mendalam.

YEHUWA “MEMPUNYAI KASIH YANG MENDALAM”

4. Bagaimanakah Yakobus 5:11 menggambarkan kasih Yehuwa?

4 Bible memberitahu kita tentang sifat-sifat Yehuwa yang indah. Sebagai contoh, Bible menyatakan bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8) Kata-kata ini pun pasti mendorong kita untuk menjadi sahabat-Nya. Namun, Bible juga menyatakan bahawa Yehuwa “mempunyai kasih yang mendalam.” (Baca Yakobus 5:11.) Sesungguhnya, kata-kata ini menunjukkan betapa besarnya kasih Yehuwa terhadap kita!

5. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan belas kasihan? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan-Nya?

5 Perhatikan bahawa Yakobus 5:11 mengaitkan kasih Yehuwa yang mendalam dengan satu lagi sifat-Nya, iaitu belas kasihan. (Kel. 34:6) Salah satu cara Yehuwa menunjukkan belas kasihan terhadap kita adalah dengan mengampunkan kesalahan kita. (Mzm. 51:1) Namun, dalam Bible, belas kasihan bukan sekadar bermaksud sudi mengampuni. Belas kasihan juga bermaksud memiliki keinginan yang kuat untuk menghulurkan bantuan apabila melihat orang lain menderita. Yehuwa mengatakan bahawa belas kasihan-Nya terhadap kita jauh lebih besar daripada belas kasihan seorang ibu terhadap anaknya. (Yes. 49:15) Jadi, semasa kita ditimpa kesusahan, belas kasihan akan mendorong Yehuwa untuk membantu kita. (Mzm. 37:39; 1 Kor. 10:13) Kita dapat meniru belas kasihan Yehuwa dengan rela mengampuni saudara saudari kita dan tidak menaruh dendam terhadap mereka. (Ef. 4:32) Satu lagi cara kita dapat menunjukkan belas kasihan adalah dengan membantu rakan seiman semasa mereka menghadapi kesusahan. Apabila kita menunjukkan belas kasihan dalam cara-cara ini, kita sedang meniru Yehuwa, teladan kasih yang terunggul.​—Ef. 5:1.

YONATAN DAN DAUD “MENJALIN PERSAHABATAN YANG ERAT”

6. Bagaimanakah Yonatan dan Daud menunjukkan kasih terhadap satu sama lain?

6 Bible mengandungi kisah tentang manusia yang tidak sempurna yang saling mengasihi. Fikirkan contoh Yonatan dan Daud. Bible menyatakan, “[Yonatan] dan Daud mula menjalin persahabatan yang erat. Yonatan mengasihi Daud seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (1 Sam. 18:1) Yehuwa telah memilih Daud sebagai pengganti Raja Saul. Akibatnya, Saul iri hati terhadap Daud dan cuba membunuhnya. Namun, Yonatan, iaitu anak Raja Saul, tidak menyokong perbuatan bapanya. Sebaliknya, dia dan Daud berjanji untuk tetap menjadi sahabat dan sentiasa menyokong satu sama lain.—1 Sam. 20:42.

Perbezaan umur antara Yonatan dengan Daud tidak menghalang mereka daripada menjadi sahabat baik (Lihat perenggan 6-9)

7. Apakah yang mungkin dapat menghalang Yonatan dan Daud daripada menjadi sahabat baik?

7 Mengapakah persahabatan Yonatan dan Daud begitu istimewa? Perhatikan sesetengah hal yang dapat menghalang mereka daripada menjadi sahabat baik. Sebagai contoh, perbezaan umur antara mereka sangat besar, iaitu kira-kira 30 tahun. Namun, Yonatan tidak berfikir bahawa dia tidak dapat bersahabat dengan seseorang yang begitu muda dan kurang berpengalaman seperti Daud. Sebaliknya, dia sangat menghormati Daud.

8. Mengapakah Yonatan merupakan sahabat yang sangat baik?

8 Sebagai anak Raja Saul, Yonatan mempunyai alasan untuk berasa cemburu terhadap Daud. Dia boleh berfikir bahawa dialah yang sepatutnya mewarisi takhta. (1 Sam. 20:31) Namun Yonatan tidak berfikir begitu. Sebaliknya, dia rendah hati dan setia kepada Yehuwa. Oleh itu, dia menyokong sepenuhnya keputusan Yehuwa untuk melantik Daud sebagai raja yang seterusnya. Dia juga setia kepada Daud, biarpun hal itu membuat bapanya sangat marah.​—1 Sam. 20:32-34.

9. Adakah Yonatan memandang Daud sebagai pesaing? Jelaskan.

9 Yonatan mengasihi Daud, jadi dia tidak memandangnya sebagai pesaing. Sebenarnya, Yonatan ialah seorang pemanah yang mahir dan pahlawan yang perkasa. Dia dan bapanya juga dikenali ramai kerana “lebih pantas daripada burung helang” dan “lebih gagah daripada singa.” (2 Sam. 1:22, 23) Namun, Yonatan tidak membanggakan diri atau berasa cemburu terhadap Daud. Sebaliknya, dia menghormati Daud kerana Daud begitu berani dan bergantung pada Yehuwa. Sebenarnya, Yonatan mula mengasihi Daud setelah melihat Daud membunuh Goliat. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih yang sama terhadap saudara saudari kita?

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENUNJUKKAN KASIH?

10. Apakah maksud ‘mengasihi satu sama lain dengan mendalam daripada hati kita’?

10 Bible menasihati kita untuk ‘mengasihi satu sama lain dengan mendalam daripada hati kita.’ (1 Ptr. 1:22) Yehuwa memberikan teladan yang terbaik dalam hal ini. Kasih-Nya terhadap kita begitu mendalam sehingga tiada apa-apa pun yang dapat menghalang-Nya daripada mengasihi kita jika kita tetap setia kepada-Nya. (Rm. 8:38, 39) Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “mendalam” menunjukkan bahawa kita perlu berusaha keras untuk menunjukkan kasih. Ada kalanya, rakan seiman kita mungkin menyakiti hati kita. Jadi pada masa sedemikian, kita perlu berusaha keras untuk ‘bersabar terhadap satu sama lain dan berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan tetap terpelihara.’ (Ef. 4:1-3) Kita ingin memelihara perpaduan dalam sidang. Jadi kita tidak akan berfokus kepada kesilapan saudara saudari kita. Sebaliknya, kita ingin berusaha untuk memandang mereka sepertimana Yehuwa memandang mereka.​—1 Sam. 16:7; Mzm. 130:3.

Euodia dan Sintikhe dinasihati agar berkhidmat kepada Tuan dengan seia sekata. Ada kalanya, kita mungkin berasa susah untuk menjalin hubungan yang baik dengan rakan seiman kita (Lihat perenggan 11)

11. Mengapakah tidak selalunya mudah untuk menunjukkan kasih?

11 Tidak selalunya mudah untuk menunjukkan kasih terhadap saudara saudari kita, terutamanya apabila kita melihat kelemahan mereka. Nampaknya hal ini pernah berlaku kepada sesetengah orang Kristian pada abad pertama. Sebagai contoh, Euodia dan Sintikhe telah ‘berjuang demi berita baik di sisi Paulus,’ dan mereka tiada masalah untuk bekerja bersamanya. Namun, atas sebab tertentu, mereka menghadapi masalah apabila mereka berdua bekerja bersama-sama. Jadi Paulus menggesa mereka ‘agar berkhidmat kepada Tuan dengan seia sekata.’​—Flp. 4:2, 3.

Penatua yang lebih tua dan lebih muda dapat membina persahabatan yang erat (Lihat perenggan 12)

12. Bagaimanakah kita dapat memupuk kasih terhadap saudara saudari kita?

12 Bagaimanakah kita dapat memupuk kasih terhadap saudara saudari kita? Kita ingin berusaha mengenali mereka dengan lebih baik. Dengan itu, kita akan lebih memahami mereka dan berasa lebih senang untuk mengasihi mereka. Kita dapat menjadi sahabat mereka biarpun mereka lebih tua, lebih muda, atau berasal daripada budaya yang berbeza. Ingatlah, Yonatan berumur kira-kira 30 tahun lebih tua daripada Daud, tetapi mereka masih dapat menjadi sahabat baik. Jadi, dapatkah anda bersahabat dengan seseorang di sidang yang lebih tua atau lebih muda daripada anda? Jika anda berbuat demikian, anda menunjukkan bahawa anda ‘mengasihi semua saudara seiman.’​—1 Ptr. 2:17.

Lihat perenggan 12 *

13. Mengapakah kita mungkin berasa lebih rapat dengan sesetengah orang dalam sidang?

13 Adakah mengasihi rakan seiman bermaksud kita akan berasa rapat dengan semua orang dalam sidang? Tidak, hal itu mustahil. Tiada salahnya untuk berasa lebih rapat dengan sesetengah orang yang mempunyai minat yang sama dengan kita. Fikirkan contoh Yesus. Dia memanggil semua rasulnya sebagai ‘sahabat-sahabatnya,’ tetapi dia lebih rapat dengan Yohanes. (Yoh. 13:23; 15:15; 20:2) Meskipun begitu, Yesus tidak memberi Yohanes layanan istimewa. Sebagai contoh, semasa Yohanes dan saudaranya Yakobus meminta agar diberi kedudukan yang penting dalam Kerajaan Tuhan, Yesus berkata, “Aku tidak berhak untuk menentukan siapa yang akan duduk di sebelah kanan atau kiriku.” (Mrk. 10:35-40) Jadi, seperti Yesus, kita tidak patut memberikan layanan istimewa kepada sahabat rapat kita. (Yak. 2:3, 4) Dengan itu, kita membantu memelihara perpaduan dalam sidang.​—Yud. 17-19.

14. Menurut Filipi 2:3, apakah yang dapat membantu kita mengelakkan semangat suka bersaing?

14 Jika kita saling mengasihi, kita melindungi sidang daripada semangat suka bersaing. Ingatlah bahawa Yonatan tidak iri hati terhadap Daud dan tidak bersaing dengannya untuk menaiki takhta. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yonatan? Jika rakan seiman kita mempunyai kebolehan tertentu, kita tidak ingin menganggap mereka sebagai pesaing. ‘Sebaliknya dengan rendah hati, kita ingin menganggap mereka lebih baik daripada diri kita sendiri.’ (Baca Filipi 2:3.) Kita juga harus ingat bahawa semua orang dapat menyumbangkan sesuatu kepada sidang. Jika kita tetap rendah hati, kita akan dapat melihat sifat-sifat baik saudara saudari kita dan meniru teladan baik mereka.​—1 Kor. 12:21-25.

15. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Tanya dan keluarganya?

15 Semasa kita dilanda cabaran yang tidak terduga, Yehuwa melegakan kita melalui kasih dan bantuan saudara saudari kita. Perhatikan pengalaman sebuah keluarga yang menghadiri Konvensyen Antarabangsa 2019 “Kasih Itu Abadi”! di Amerika Syarikat. Tanya, seorang ibu yang mempunyai tiga orang anak, menceritakan apa yang berlaku selepas program hari Sabtu: “Kami sedang memandu untuk kembali ke hotel kami. Tiba-tiba sebuah kereta hilang kawalan lalu melanggar kereta kami. Kami semua selamat, tetapi kami sangat terkejut. Jadi kami keluar dari kereta lalu berdiri di jalan. Kemudian, ada seseorang di tepi jalan melambaikan tangannya untuk memanggil kami ke arah keretanya. Orang itu sebenarnya saudara kita yang juga baru meninggalkan dewan konvensyen. Selain itu, lima orang saudara saudari dari Sweden turut berhenti untuk membantu kami. Saudari-saudari itu memeluk saya dan anak perempuan saya, dan kami berasa sangat lega. Saya memberitahu mereka bahawa kami akan OK, tetapi mereka tetap bersama kami bahkan selepas ambulans tiba. Mereka memastikan bahawa kami mempunyai semua yang kami perlukan. Sepanjang masa yang mencabar itu, kami dapat merasai kasih Yehuwa. Pengalaman ini menguatkan kasih kami terhadap saudara saudari dan memperdalam kasih dan penghargaan kami terhadap Yehuwa.” Pernahkah anda merasai kasih rakan seiman semasa anda memerlukan bantuan?

16. Apakah hasilnya apabila kita menunjukkan kasih terhadap satu sama lain?

16 Apakah hasilnya apabila kita menunjukkan kasih terhadap satu sama lain? Kita membawa kelegaan kepada saudara saudari yang dilanda kesusahan. Kita juga mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Tuhan. Selain itu, kita membuktikan bahawa kita ialah pengikut Yesus, dan kasih kita dapat mendorong orang yang berhati jujur untuk menyembah Yehuwa. Yang terpenting, kita akan memuliakan Yehuwa, “Bapa yang berbelas kasihan dan Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi.” (2 Kor. 1:3) Oleh itu, marilah kita semua terus berusaha untuk memupuk dan menunjukkan kasih.

LAGU 130 Bermaaf-maafan

^ per. 5 Yesus berkata bahawa kasih ialah tanda pengenal murid-muridnya. Jadi kita berusaha untuk mengasihi satu sama lain. Kita ingin mengasihi saudara saudari kita sebagaimana kita mengasihi ahli keluarga kita sendiri. Rencana ini akan menjelaskan bagaimana kita dapat memperdalam kasih kita terhadap rakan seiman kita.

^ per. 55 KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua yang lebih muda belajar daripada pengalaman seorang penatua yang lebih tua. Dalam gambar yang kedua, mereka dan isteri mereka saling menunjukkan kasih dan kemurahan hati.