Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Kami Belajar untuk Tidak Menolak Tugasan Rohani

Kami Belajar untuk Tidak Menolak Tugasan Rohani

SELEPAS taufan, aliran sungai yang berlumpur menjadi begitu deras sehingga menghanyutkan batu-batu besar. Kami perlu menyeberangi sungai itu, tetapi jambatan juga sudah dihanyutkan. Suami saya Harvey, saya, dan jurubahasa Amis kami, berasa takut dan tidak berdaya. Seraya saudara saudari di seberang sungai melihat dengan cemas, kami bersedia untuk menyeberangi sungai. Mula-mulanya, kami menaikkan kereta kecil kami ke atas sebuah trak yang lebih besar. Kemudian, tanpa tali atau rantai untuk mengikatkan kereta kami pada trak, trak itu menyeberangi sungai secara perlahan-lahan. Masa di atas trak terasa begitu lama, dan sepanjang masa itu, kami berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa. Akhirnya, kami tiba di seberang dengan selamat. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1971. Ketika itu, kami berada di bahagian timur Taiwan, jauh dari tempat kami dilahirkan. Inilah kisah hidup kami.

BELAJAR UNTUK MENGASIHI YEHUWA

Harvey ialah anak sulung, dan dia mempunyai tiga orang adik lelaki. Keluarganya mendapat kebenaran di Midland Junction, Australia Barat, semasa kegawatan ekonomi pada tahun 1930-an. Harvey mengasihi Yehuwa, dan dia dibaptis semasa berumur 14 tahun. Tidak lama selepas itu, dia belajar untuk tidak menolak tugasan rohani. Pernah sekali, dia diminta menjadi pembaca Menara Pengawal, tetapi dia menolak kerana berfikir bahawa dia tidak dapat melakukannya. Namun, saudara yang bercakap kepada Harvey berkata, “Apabila seseorang dalam organisasi Yehuwa meminta kamu melakukan sesuatu, orang itu berfikir kamu memang dapat melakukannya!”​—2 Kor. 3:5.

Saya pula mendapat kebenaran di England bersama ibu dan kakak saya. Bapa saya pun kemudiannya menjadi Saksi, tetapi pada mulanya dia menentang kami. Saya dibaptis semasa saya berumur sembilan tahun walaupun bapa saya tidak setuju. Selepas dibaptis, saya ingin merintis dan kemudiannya menjadi mubaligh. Tetapi bapa saya tidak membenarkan saya merintis sebelum saya berumur 21 tahun. Saya tidak mahu menunggu begitu lama. Jadi semasa saya berumur 16 tahun, saya meminta kebenarannya untuk berpindah ke Australia, kerana kakak saya sudah berhijrah ke sana. Akhirnya, saya mula merintis semasa saya berumur 18 tahun.

Hari perkahwinan kami pada tahun 1951

Di Australia, saya berkenalan dengan Harvey, yang juga ingin berkhidmat sebagai mubaligh. Kami telah berkahwin pada tahun 1951. Setelah merintis selama dua tahun, kami dijemput untuk melakukan kerja lawatan. Litar kami di Australia Barat sangat besar, jadi kami perlu memandu sangat jauh di kawasan yang kering dan terpencil.

IMPIAN KAMI TERCAPAI

Majlis Penyampaian Sijil Sekolah Gilead di Stadium Yankee, tahun 1955

Pada tahun 1954, kami dijemput untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-25. Nampaknya, impian kami untuk menjadi mubaligh sudah hampir menjadi kenyataan! Kami tiba di New York dengan menaiki kapal dan mula mengikuti kursus Bible yang intensif. Sebahagian daripada kursus itu merangkumi kelas bahasa Sepanyol. Kelas itu sangat mencabar bagi Harvey kerana dia tidak dapat menyebut huruf “r” dengan betul.

Semasa kursus itu, para pengajar mengumumkan bahawa pelajar yang berminat untuk berkhidmat di Jepun boleh menulis nama mereka untuk mengikuti kelas bahasa Jepun. Namun, kami ingin membiarkan organisasi Yehuwa yang menentukan tugasan kami. Tidak lama kemudian, Albert Schroeder, salah seorang pengajar kelas Gilead, mendapat tahu bahawa kami tidak menulis nama kami. Maka dia menggalakkan kami untuk mempertimbangkan hal itu lagi. Namun kami masih teragak-agak. Apabila Saudara Schroeder mendapat tahu bahawa kami masih tidak menulis nama kami, dia berkata, “Saya dan pengajar-pengajar lain sudah menulis nama kamu. Cubalah belajar bahasa Jepun.” Bagi Harvey, kelas ini jauh lebih mudah berbanding kelas bahasa Sepanyol.

Harvey berumur 26 tahun dan saya berumur 24 tahun semasa kami tiba di Jepun pada tahun 1955. Pada masa itu, hanya terdapat 500 orang penyiar di seluruh Jepun. Kami ditugaskan ke Kobe dan berkhidmat di situ selama empat tahun. Kemudian, kami dijemput untuk melakukan kerja lawatan berhampiran Nagoya. Kami sangat menyukai tugasan kami. Kami gembira untuk bergaul dengan saudara saudari, dan kami menikmati makanan dan pemandangan di sana. Namun, tidak lama selepas itu, kami berpeluang untuk menerima tugasan baharu daripada Yehuwa.

TUGASAN BAHARU MEMBAWA CABARAN BAHARU

Harvey dan saya bersama mubaligh lain di Kobe, Jepun, tahun 1957

Selepas melakukan kerja lawatan selama tiga tahun, pejabat cawangan Jepun menanya kami jika kami sudi pergi ke Taiwan untuk membantu orang Amis, iaitu penduduk peribumi di situ. Sesetengah saudara saudari Amis telah menjadi murtad, jadi pejabat cawangan Taiwan memerlukan seorang saudara yang fasih berbahasa Jepun untuk membantu menangani situasi itu. * Kami sangat menyukai tugasan kami di Jepun. Namun, Harvey sudah belajar untuk tidak menolak tugasan rohani, jadi kami pun pergi.

Kami tiba di Taiwan pada November 1962. Pada masa itu, terdapat 2,271 orang penyiar yang kebanyakannya orang Amis. Namun kami perlu belajar bahasa Cina terlebih dahulu. Kami hanya mempunyai sebuah buku teks dan seorang guru yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Namun, kami akhirnya pandai bercakap bahasa Cina.

Tidak lama selepas kami tiba, Harvey ditugaskan sebagai pembantu cawangan. Pejabat cawangan Taiwan kecil, jadi selain melakukan tugasnya di pejabat cawangan, Harvey dapat meluangkan kira-kira tiga minggu setiap bulan untuk berkhidmat bersama saudara saudari Amis. Dia juga perlu berkhidmat sebagai penyelia distrik dari masa ke masa, jadi dia perlu memberikan ceramah semasa perhimpunan. Sebenarnya, Harvey dapat memberikan ceramah dalam bahasa Jepun, dan saudara saudari Amis dapat memahaminya. Namun, pihak kerajaan mewajibkan pertemuan agama diadakan dalam bahasa Cina sahaja. Jadi walaupun Harvey belum pandai berbahasa Cina, dia perlu memberikan ceramahnya dalam bahasa Cina, dan seorang saudara akan menterjemahkannya ke dalam bahasa Amis.

Pada masa itu, Taiwan berada di bawah pemerintahan tentera. Jadi saudara-saudara perlu mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan. Hal ini tidak mudah kerana pihak polis sering lambat mengeluarkan permit. Jika mereka tidak mengeluarkan permit pada minggu perhimpunan, Harvey akan duduk di balai polis sampai mereka mengeluarkan permit. Taktik ini memang berkesan kerana mereka berasa malu jika ada orang asing yang menunggu di balai polis.

PENDAKIAN SAYA YANG PERTAMA

Menyeberangi sungai yang cetek di Taiwan semasa menginjil

Semasa kami berkhidmat bersama saudara saudari, kami biasanya perlu berjalan lebih daripada sejam, kerana kami perlu mendaki gunung dan menyeberangi sungai. Saya masih ingat kali pertama saya mendaki gunung. Selepas bersarapan, kami menaiki bas pada jam 5:30 pagi untuk pergi ke sebuah kampung yang jauh. Kemudian, kami menyeberangi sebatang sungai yang lebar dan mendaki sebuah gunung yang curam. Gunung itu begitu curam sehingga kaki saudara yang berada di hadapan saya berada pada paras mata saya!

Pada pagi itu, Harvey menginjil bersama beberapa orang saudara tempatan, dan saya pula menginjil seorang diri di sebuah kampung kecil yang penduduknya berbahasa Jepun. Kira-kira pada jam satu petang, saya berasa sangat lemah kerana sudah berjam-jam saya tidak makan. Akhirnya saya bertemu dengan Harvey. Pada masa itu, saudara-saudara lain sudah beredar. Harvey mendapat tiga biji telur ayam setelah memberikan beberapa naskhah majalah. Dia mengajar saya cara memakan telur mentah. Dia menebuk sebuah lubang kecil pada hujung telur dan menyedutnya. Walaupun saya teragak-agak pada mulanya, saya mencubanya dan bahkan makan telur yang ketiga! Harvey berkata bahawa sayalah yang perlu makan lebih sebab dia tidak larat mengangkat saya turun dari gunung jika saya pengsan kelaparan.

PENGALAMAN YANG LUAR BIASA

Semasa satu perhimpunan, saya mendapat pengalaman yang sangat luar biasa. Kami menumpang di rumah seorang saudara yang terletak di sebelah Dewan Perjumpaan. Bagi orang Amis, mandi sangat penting. Jadi isteri penyelia litar menyediakan semua yang kami perlukan untuk mandi. Pada masa itu, Harvey sibuk, jadi dia menyuruh saya mandi dulu. Barang-barang yang disediakan oleh isteri penyelia litar ialah sebaldi air sejuk, sebaldi air panas, dan sebuah besen kosong. Namun, dia meletakkan semua itu di luar rumah! Saudara saudari yang sedang membuat persiapan untuk perhimpunan di Dewan Perjumpaan dapat melihat saya mandi! Jadi saya meminta sesuatu untuk menutup tempat mandi saya supaya tidak dilihat orang, tetapi dia memberi saya sehelai plastik yang lut sinar pula! Saya terfikir untuk mandi di belakang rumah, tetapi di sana ada angsa yang akan mematuk saya. Jadi saya berkata, “Saudara saudari terlalu sibuk dan tidak akan perasan saya sedang mandi. Jika saya tidak mandi, mereka akan tersinggung pula. Mandi sajalah!” Jadi saya pun mandi.

Memakai pakaian tradisional orang Amis

BAHAN BACAAN DALAM BAHASA AMIS

Harvey sedar bahawa saudara saudari Amis susah membuat kemajuan rohani kerana ramai antara mereka buta huruf dan kerana tiada bahan bacaan dalam bahasa Amis. Pada masa itu, sistem tulisan bahasa Amis baru diperkenalkan, jadi memang baik jika saudara saudari diajar untuk membaca dalam bahasa mereka sendiri. Hal ini memerlukan banyak usaha, tetapi secara beransur-ansur, akhirnya saudara saudari dapat membuat pembelajaran dalam bahasa mereka sendiri. Bahan bacaan dalam bahasa Amis mula disediakan sekitar tahun 1966, dan Menara Pengawal bahasa Amis mula diterbitkan pada tahun 1968.

Namun pihak kerajaan menyekat pengedaran bahan bacaan yang bukan dalam bahasa Cina. Jadi untuk mengelakkan masalah, Menara Pengawal bahasa Amis diterbitkan dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, untuk lebih daripada setahun, kami menggunakan Menara Pengawal edisi dwibahasa, yang mengandungi bahasa Cina dan bahasa Amis. Dengan itu, orang akan berfikir bahawa kami sedang mengajar orang Amis bahasa Cina. Sejak itu, organisasi Yehuwa telah menyediakan banyak bahan bacaan dalam bahasa Amis untuk membantu orang Amis mempelajari kebenaran Bible.​—Kis. 10:34, 35.

MASA PEMURNIAN

Selama kira-kira 20 tahun, banyak saudara saudari Amis tidak hidup menurut hukum Tuhan. Mereka tidak memahami prinsip Bible dengan sepenuhnya, jadi ada yang hidup tidak bermoral, minum sampai mabuk, menggunakan tembakau, atau mengunyah pinang. Harvey telah mengunjungi banyak sidang untuk membantu saudara saudari memahami pandangan Yehuwa tentang hal-hal ini. Pengalaman yang disebutkan pada awal rencana ini berlaku semasa salah satu kunjungan sebegini.

Saudara saudari yang rendah hati rela membuat perubahan, tetapi sedihnya banyak yang enggan berubah. Akibatnya, dalam tempoh masa 20 tahun, bilangan penyiar di Taiwan yang jumlahnya lebih daripada 2,450 orang telah jatuh mendadak kepada kira-kira 900 orang sahaja. Hal ini membuat kami sangat tawar hati, namun kami tahu bahawa Yehuwa tidak akan memberkati organisasi yang tidak murni. (2 Kor. 7:1) Akhirnya, selepas masa pemurnian berakhir, Yehuwa mencurahkan berkat-Nya, dan kini terdapat lebih daripada 11,000 orang penyiar di Taiwan.

Sejak tahun 1980, keadaan rohani saudara saudari dalam sidang-sidang bahasa Amis bertambah baik. Jadi Harvey dapat meluangkan lebih banyak masa untuk membantu sidang bahasa Cina. Dia berpeluang membantu suami sebilangan saudari untuk menjadi Saksi. Dia pernah memberitahu saya bahawa dia sangat gembira apabila salah seorang daripada suami yang dibantunya itu berdoa kepada Yehuwa buat kali pertama. Saya juga sangat gembira kerana berpeluang membantu banyak orang yang berhati jujur untuk menghampiri Yehuwa. Saya bahkan berpeluang untuk berkhidmat di pejabat cawangan Taiwan bersama anak lelaki dan anak perempuan salah seorang bekas pelajar Bible saya.

KEHILANGAN YANG MENYAYAT HATI

Selepas berkahwin selama hampir 59 tahun, saya kehilangan teman hidup saya. Harvey telah meninggal pada 1 Januari 2010 akibat kanser. Dia telah menceburi khidmat sepenuh masa selama hampir 60 tahun. Saya masih sangat merinduinya, tetapi saya gembira kerana telah berganding bahu bersamanya untuk berkhidmat di dua buah negara semasa kerja penyebaran di situ baru mula berkembang. Kami telah belajar untuk bertutur dalam dua bahasa yang susah di Asia, iaitu bahasa Cina dan bahasa Jepun. Harvey bahkan telah belajar untuk menulis dalam dua bahasa itu!

Beberapa tahun kemudian, Badan Pimpinan memutuskan bahawa adalah lebih baik jika saya kembali ke Australia kerana saya sudah semakin tua. Pada mulanya saya berfikir, “Saya tidak mahu meninggalkan Taiwan.” Tetapi Harvey sudah mengajar saya untuk tidak menolak tugasan rohani, jadi saya mengikut arahan mereka. Kemudian saya sedar bahawa keputusan itu memang bijak.

Saya gembira kerana dapat membawa orang yang berbahasa Jepun dan berbahasa Cina untuk melawat Bethel

Kini saya berkhidmat di pejabat cawangan Australasia, dan pada hujung minggu, saya bergaul dengan sidang tempatan. Saya gembira kerana dapat membawa orang yang berbahasa Jepun dan berbahasa Cina untuk melawat Bethel. Saya menanti-nantikan masa pembangkitan, kerana saya tahu bahawa Harvey, yang telah belajar untuk tidak menolak tugasan rohani, selamat dalam ingatan Yehuwa.​—Yoh. 5:28, 29.

^ per. 14 Sebelum bahasa Cina menjadi bahasa rasmi di Taiwan, bahasa Jepun ialah bahasa rasmi di situ selama puluhan tahun. Oleh itu, banyak suku kaum di Taiwan dapat berbahasa Jepun.