Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 5

“Kristus ialah Kepala Setiap Lelaki”

“Kristus ialah Kepala Setiap Lelaki”

Kristus ialah kepala setiap lelaki.”​1 KOR. 11:3.

LAGU 12 Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa

PENGENALAN *

1. Apakah yang mungkin mempengaruhi cara seorang lelaki melayan isteri dan anaknya?

BAGI anda, apakah itu “kekepalaan”? Sesetengah lelaki membiarkan tradisi, budaya, atau cara mereka dibesarkan, untuk mempengaruhi cara mereka melayan isteri dan anak mereka. Yanita, seorang saudari dari Eropah, berkata, “Di negara saya, orang sangat percaya bahawa wanita lebih rendah daripada lelaki dan harus dipandang sebagai hamba.” Luke, seorang saudara yang tinggal di Amerika Syarikat pula, berkata, “Sesetengah bapa mengajar anak lelaki mereka bahawa kata-kata wanita tidak penting dan pendapat mereka tidak perlu dipedulikan.” Namun, Yehuwa tidak mahu suami melayan isteri mereka dengan cara sebegini. (Bandingkan Markus 7:13.) Jadi, bagaimanakah seorang lelaki dapat menjadi kepala keluarga yang baik?

2. Apakah yang mesti diketahui oleh seorang kepala keluarga, dan mengapa?

2 Untuk menjadi kepala keluarga yang baik, seorang lelaki mesti memahami apa yang dikehendaki oleh Yehuwa daripadanya. Dia juga perlu mengetahui sebabnya Yehuwa mengasaskan aturan kekepalaan dan bagaimana dia dapat meniru teladan Yehuwa dan Yesus. Seorang kepala keluarga harus mengetahui hal-hal ini kerana Yehuwa telah memberinya kuasa dan menghendakinya untuk menggunakan kuasa itu dengan baik.​—Luk. 12:48b.

APAKAH ITU KEKEPALAAN?

3. Apakah yang kita pelajari tentang aturan kekepalaan daripada 1 Korintus 11:3?

3 Baca 1 Korintus 11:3. Ayat ini menggambarkan bagaimana Yehuwa mengaturkan keluarga-Nya di syurga dan di bumi. Sebagai “kepala,” Yehuwa memiliki kuasa yang tertinggi. Namun melalui aturan kekepalaan, Dia memberikan kuasa kepada orang lain, tetapi mereka bertanggungjawab kepada-Nya atas cara mereka menggunakan kuasa mereka. (Rm. 14:10; Ef. 3:14, 15) Sebagai contoh, Yehuwa memberi Yesus kuasa atas sidang, tetapi Yesus bertanggungjawab kepada Yehuwa atas cara dia melayan kita. (1 Kor. 15:27) Yehuwa juga memberi suami kuasa atas isteri dan anak mereka, tetapi suami bertanggungjawab kepada Yehuwa dan Yesus atas cara mereka melayan keluarga mereka.​—1 Ptr. 3:7.

4. Apakah kuasa yang dimiliki Yehuwa dan Yesus?

4 Sebagai Kepala keluarga-Nya di syurga dan di bumi, Yehuwa mempunyai kuasa untuk menetapkan peraturan bagi anak-anak-Nya dan menguatkuasakan peraturan itu. (Yes. 33:22) Sebagai kepala sidang Kristian, Yesus berhak menetapkan peraturan bagi ahli-ahli sidang dan menguatkuasakan peraturan itu.​—Gal. 6:2; Kol. 1:18-20.

5. Kepala keluarga Kristian mempunyai kuasa untuk melakukan apa? Tetapi apakah batas kuasanya?

5 Seperti Yehuwa dan Yesus, seorang kepala keluarga Kristian mempunyai kuasa untuk menetapkan peraturan bagi keluarganya. (Rm. 7:2; Ef. 6:4) Namun, kuasanya mempunyai batasannya. Sebagai contoh, dia harus menetapkan peraturan berdasarkan prinsip Bible. (Ams. 3:5, 6) Dia juga tidak berkuasa menetapkan peraturan bagi orang yang bukan anggota keluarganya. (Rm. 14:4) Selain itu, apabila anak-anaknya sudah dewasa dan tidak lagi tinggal bersamanya, dia bukan lagi kepala mereka, walaupun mereka masih perlu menghormatinya.​—Mat. 19:5.

MENGAPAKAH YEHUWA MENGASASKAN ATURAN KEKEPALAAN?

6. Mengapakah Yehuwa mengasaskan aturan kekepalaan?

6 Yehuwa mengasaskan aturan kekepalaan kerana Dia mengasihi keluarga-Nya. Aturan ini membolehkan keluarga Yehuwa berfungsi dengan damai dan teratur. (1 Kor. 14:33, 40) Tanpa aturan kekepalaan, keluarga Yehuwa akan menjadi huru-hara dan tidak bahagia. Sebagai contoh, tiada orang akan mengetahui siapa yang patut membuat keputusan terakhir dan siapa yang patut melaksanakan keputusan itu. Sesungguhnya, aturan kekepalaan merupakan kurniaan daripada Yehuwa.

7. Menurut Efesus 5:25, 28, bagaimanakah Yehuwa ingin lelaki melayan isteri mereka?

7 Namun, jika aturan kekepalaan merupakan kurniaan Tuhan, mengapakah ada begitu banyak wanita yang berasa bahawa suami mereka menindas dan menguasai mereka? Hal ini demikian kerana banyak lelaki tidak mengikut prinsip Yehuwa bagi keluarga, tetapi berpegang pada adat atau tradisi tempatan. Ada juga yang melayan isteri mereka dengan buruk demi kepentingan diri. Mereka ingin berasa diri mereka penting atau ingin menunjukkan kepada orang lain bahawa mereka ialah “lelaki sejati.” Seorang suami mungkin berfikir bahawa dia tidak dapat memaksa isterinya untuk mengasihinya, tetapi dia dapat membuat isterinya berasa takut dan menggunakan rasa takut itu untuk mengawalnya. * Fikiran dan kelakuan sebegini jelas bertentangan dengan kehendak Yehuwa kerana Yehuwa ingin lelaki menghormati wanita.​—Baca Efesus 5:25, 28.

BAGAIMANAKAH SEORANG LELAKI DAPAT MENJADI KEPALA KELUARGA YANG BAIK?

8. Bagaimanakah seorang lelaki dapat menjadi kepala keluarga yang baik?

8 Untuk menjadi kepala keluarga yang baik, seorang lelaki perlu meniru cara Yehuwa dan Yesus menggunakan kuasa mereka. Sekarang, mari kita melihat dua sifat yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Yesus semasa menggunakan kuasa mereka. Kemudian, kita akan membincangkan bagaimana kepala keluarga dapat meniru sifat-sifat itu semasa melayan isteri dan anak mereka.

9. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kerendahan hati?

9 Kerendahan hati. Yehuwa ialah Individu yang paling bijaksana di alam semesta. Namun, Dia sudi mendengar pendapat hamba-hamba-Nya dan membenarkan mereka memberikan cadangan. (Kej. 18:23, 24, 32; 1 Raj. 22:19-22) Yehuwa sempurna, tetapi Dia tidak mengharapkan kesempurnaan daripada kita. Sebaliknya, Dia mengajar kita jalan hidup yang bermanfaat dan membantu kita meraih kebahagiaan sejati. (Mzm. 113:6, 7) Sebenarnya, Bible menggambarkan Yehuwa sebagai ‘penolong’ kita. (Mzm. 27:9; Ibr. 13:6) Raja Daud menyatakan bahawa dia hanya dapat meraih kejayaan yang besar kerana kerendahan hati Yehuwa.​—2 Sam. 22:36.

10. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kerendahan hati?

10 Fikirkan teladan Yesus pula. Walaupun dia ialah Tuan, dia sudi membasuh kaki murid-muridnya. Mengapakah Yehuwa memastikan kisah ini dicatatkan dalam Bible? Dia ingin semua orang, termasuk kepala keluarga, untuk meniru teladan Yesus. Yesus sendiri berkata, “Oleh sebab aku sudah menetapkan teladan untuk kamu, kamu juga harus melakukan apa yang sudah aku lakukan untuk kamu.” (Yoh. 13:12-17) Walaupun Yesus memiliki kuasa yang besar, dia tidak mengharapkan orang lain untuk melayaninya. Sebaliknya, dia sentiasa melayani orang lain.​—Mat. 20:28.

Seorang kepala keluarga menunjukkan kasih dan kerendahan hati dengan sudi melakukan kerja rumah dan menjaga keperluan rohani keluarganya (Lihat perenggan 11, 13)

11. Bagaimanakah kepala keluarga dapat meniru kerendahan hati Yehuwa dan Yesus?

11 Pengajaran bagi kita. Seorang kepala keluarga dapat menunjukkan kerendahan hati dalam pelbagai cara. Contohnya, dia tidak mengharapkan kesempurnaan daripada isteri dan anaknya. Dia juga sudi mendengar pendapat ahli keluarganya, biarpun mereka tidak setuju dengan pendapatnya. Marley, dari Amerika Syarikat, berkata, “Saya dan suami saya ada kalanya tidak sependapat. Tetapi saya berasa bahawa dia menghargai dan menghormati saya kerana dia meminta pandangan saya dan mempertimbangkannya sebelum membuat keputusan.” Selain itu, seorang suami yang rendah hati sudi membuat kerja rumah, biarpun masyarakat setempat memandang kerja itu sebagai kerja wanita. Hal itu tidak mudah. Mengapa? Seorang saudari yang bernama Rachel berkata, “Di negara saya, jika seorang suami membantu isterinya mencuci pinggan atau membersihkan rumah, jiran-jiran dan saudara-maranya akan berfikir bahawa dia bukan ‘lelaki sejati.’ Mereka akan berfikir bahawa dia tidak dapat mengawal isterinya.” Jika sikap itu lazim dalam masyarakat anda, ingatlah bahawa Yesus sudi membasuh kaki murid-muridnya, biarpun tugas itu dianggap sebagai tugas hamba. Bagi seorang kepala keluarga yang baik, kebahagiaan isteri dan anaknya lebih penting daripada membuat dirinya kelihatan berkuasa atau penting. Selain kerendahan hati, apakah satu lagi sifat yang diperlukan oleh kepala keluarga yang baik?

12. Kasih mendorong Yehuwa dan Yesus untuk melakukan apa?

12 Kasih. Semua perbuatan Yehuwa didorong oleh kasih. (1 Yoh. 4:7, 8) Dia menunjukkan kasih-Nya terhadap kita dengan menjaga keperluan rohani kita menerusi Bible dan organisasi-Nya. Dia juga menjaga keperluan emosi kita dengan meyakinkan kita bahawa Dia mengasihi kita. Yehuwa juga menjaga keperluan fizikal kita dengan “melimpahi kita dengan semua perkara yang kita nikmati.” (1 Tim. 6:17) Selain itu, apabila kita berbuat silap, Dia membetulkan kita tetapi masih mengasihi kita. Tambahan lagi, Yehuwa menyediakan korban tebusan untuk kita. Yesus juga begitu mengasihi kita sehingga rela mengorbankan nyawanya demi kita. (Yoh. 3:16; 15:13) Tiada apa-apa pun yang dapat menghalang Yehuwa dan Yesus daripada mengasihi orang yang setia kepada mereka.​—Yoh. 13:1; Rm. 8:35, 38, 39.

13. Mengapakah seorang kepala keluarga mesti menunjukkan kasih terhadap keluarganya? (Lihat juga kotak “ Apakah yang Dapat Dilakukan Seorang Lelaki agar Dihormati Isterinya?”)

13 Pengajaran bagi kita. Segala sesuatu yang dilakukan oleh kepala keluarga harus didorong oleh kasih. Mengapakah hal ini sangat penting? Rasul Yohanes berkata, “Jika [seseorang] tidak mengasihi saudaranya [atau keluarganya] yang dapat dilihatnya, dia tidak dapat mengasihi Tuhan yang tidak pernah dilihatnya.” (1 Yoh. 4:11, 20) Seorang lelaki yang mengasihi keluarganya dan yang ingin meniru teladan Yehuwa dan Yesus, akan menjaga keperluan rohani, emosi, dan fizikal keluarganya. (1 Tim. 5:8) Dia juga akan melatih dan mendisiplinkan anak-anaknya. Selain itu, dia akan sentiasa berusaha untuk membuat keputusan yang memuliakan Yehuwa dan yang membawa manfaat kepada keluarganya. Mari kita melihat bagaimana seorang kepala keluarga dapat meniru teladan Yehuwa dan Yesus semasa melakukan hal-hal ini.

TANGGUNGJAWAB KEPALA KELUARGA

14. Bagaimanakah seorang kepala keluarga menjaga keperluan rohani keluarganya?

14 Menjaga keperluan rohani keluarga. Seperti Bapanya, Yesus menjaga keperluan rohani para pengikutnya. (Mat. 5:3, 6; Mrk. 6:34) Begitu juga, keutamaan kepala keluarga adalah untuk menjaga keperluan rohani keluarganya. (Ul. 6:6-9) Dia perlu memastikan bahawa dia dan keluarganya membaca dan mengkaji Firman Tuhan, menghadiri perjumpaan, menginjil, dan menjalin serta memelihara hubungan yang baik dengan Yehuwa.

15. Bagaimanakah seorang kepala keluarga dapat menjaga keperluan emosi keluarganya?

15 Menjaga keperluan emosi keluarga. Yehuwa memberitahu Yesus bahawa Dia mengasihinya di depan orang lain. (Mat. 3:17) Yesus juga sering menunjukkan kasihnya terhadap para pengikutnya menerusi kata-kata dan perbuatannya. Hasilnya, mereka juga memberitahunya bahawa mereka mengasihinya. (Yoh. 15:9, 12, 13; 21:16) Seorang kepala keluarga dapat menunjukkan kasih kepada isteri dan anaknya menerusi perbuatannya, contohnya dengan mengkaji Bible bersama mereka. Dia juga patut memberitahu mereka bahawa dia mengasihi dan menghargai mereka, dan memuji mereka di hadapan orang lain jika sesuai.​—Ams. 31:28, 29.

Seorang kepala keluarga yang ingin menyenangkan hati Yehuwa mesti menjaga keperluan fizikal keluarganya (Lihat perenggan 16)

16. Apakah hal lain yang mesti dilakukan oleh seorang kepala keluarga? Namun, apakah yang harus dielakkannya?

16 Menjaga keperluan fizikal keluarga. Yehuwa telah menjaga keperluan asas orang Israel, bahkan semasa mereka dihukum kerana mengingkari-Nya. (Ul. 2:7; 29:5) Dewasa ini, Dia juga menjaga keperluan asas kita. (Mat. 6:31-33; 7:11) Seperti Yehuwa, Yesus menyediakan makanan bagi orang ramai dan menyembuhkan penyakit mereka. (Mat. 4:24; 14:17-20) Seorang kepala keluarga yang ingin menyenangkan hati Yehuwa mesti menjaga keperluan fizikal keluarganya. Namun, dia perlu seimbang. Dia tidak patut terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan keperluan rohani dan emosi keluarganya.

17. Bagaimanakah Yehuwa dan Yesus melatih dan mendisiplinkan kita?

17 Menyediakan latihan. Yehuwa melatih dan mendisiplinkan kita demi kebaikan kita. (Ibr. 12:7-9) Seperti Bapanya, Yesus melatih murid-muridnya dengan penuh kasih. (Yoh. 15:14, 15) Walaupun ada kalanya dia perlu memberikan teguran yang keras, dia melakukannya dengan baik hati. (Mat. 20:24-28) Dia tahu bahawa kita semua tidak sempurna dan cenderung berbuat silap.​—Mat. 26:41.

18. Seorang kepala keluarga yang baik akan selalu ingat apa?

18 Seorang kepala keluarga yang meniru teladan Yehuwa dan Yesus akan selalu ingat bahawa ahli keluarganya tidak sempurna. Oleh itu, dia tidak akan menjadi terlalu marah semasa mereka berbuat silap. (Kol. 3:19) Sebaliknya, dia menerapkan prinsip di Galatia 6:1 dan mencuba untuk membetulkan mereka “dengan lemah lembut,” kerana dia sedar bahawa dia juga tidak sempurna. Seperti Yesus, dia akan mengajar mereka menerusi teladannya kerana sedar bahawa itulah cara terbaik untuk berbuat demikian.​—1 Ptr. 2:21.

19-20. Bagaimanakah kepala keluarga dapat meniru teladan Yehuwa dan Yesus semasa membuat keputusan?

19 Tidak mementingkan diri semasa membuat keputusan. Yehuwa selalu memikirkan kepentingan orang lain semasa membuat keputusan. Misalnya, Dia memutuskan untuk menciptakan kehidupan, bukan untuk kepentingan diri-Nya sendiri, tetapi kerana Dia ingin kita menikmati kehidupan. Dia juga mengorbankan Anak-Nya untuk menebus dosa kita, bukan kerana terpaksa, tetapi kerana Dia ingin membantu kita. Seperti Bapanya, Yesus selalu mengutamakan kepentingan orang lain semasa membuat keputusan. (Rm. 15:3) Sebagai contoh, dia rela mengorbankan masa rehatnya untuk mengajar orang ramai.​—Mrk. 6:31-34.

20 Salah satu cabaran yang terbesar bagi kepala keluarga adalah untuk membuat keputusan yang bijak untuk keluarga. Seorang kepala keluarga yang baik memandang serius tanggungjawab itu. Jadi, dia tidak akan membuat keputusan dengan sesuka hati, dan dia tidak akan membiarkan keputusannya ditentukan oleh emosinya semata-mata. Sebaliknya, dia rela dilatih oleh Yehuwa supaya dia dapat mengutamakan kepentingan keluarganya dan bukan kepentingan dirinya sendiri. *​—Ams. 2:6, 7; Flp. 2:4.

21. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

21 Yehuwa telah memberi para kepala keluarga tugas yang mencabar, dan Dia ingin mereka melaksanakan tugas mereka dengan sebaik-baiknya. Jika seorang suami berusaha mengikut teladan Yehuwa dan Yesus, dia akan menjadi kepala keluarga yang baik. Jika isterinya juga memainkan peranannya dengan baik, perkahwinan mereka akan bahagia. Bagaimanakah seorang isteri patut memandang peranan suaminya sebagai kepala keluarga, dan apakah cabaran yang dihadapinya? Rencana seterusnya akan menjawab soalan-soalan ini.

LAGU 16 Pujilah Yehuwa dan Anak yang Diurapi-Nya

^ per. 5 Apabila seorang lelaki berkahwin, dia menjadi kepala keluarga. Rencana ini akan membincangkan apa itu aturan kekepalaan dan mengapa Yehuwa mengasaskan aturan ini. Kita juga akan melihat apa yang dapat dipelajari para lelaki daripada teladan Yehuwa dan Yesus. Rencana kedua dalam siri ini akan membincangkan bagaimana suami dan isteri dapat meniru teladan Yesus dan watak-watak Bible yang lain. Rencana yang ketiga pula akan membincangkan aturan kekepalaan dalam sidang.

^ per. 7 Ada kalanya, filem, wayang, dan rancangan TV, memaparkan suami yang menindas isteri atau bahkan mendera isteri. Akibatnya, sesetengah orang berfikir bahawa tiada salahnya jika lelaki menguasai isteri.

^ per. 20 Untuk maklumat lanjut tentang cara membuat keputusan yang baik, lihat rencana Buatlah Keputusan yang Menghormati Tuhandalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 April 2011, ms. 13-17.