Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 13

Bagaimanakah Yehuwa Akan Melindungi Anda?

Bagaimanakah Yehuwa Akan Melindungi Anda?

“Tuan kita setia, dan dia akan menguatkan kamu dan melindungi kamu daripada Si Jahat.”​2 TES. 3:3.

LAGU 124 Selalu Setia

PENGENALAN *

1. Mengapakah Yesus meminta Yehuwa untuk melindungi para pengikutnya?

PADA malam sebelum dia dibunuh, Yesus berfikir tentang cabaran yang bakal dihadapi para pengikutnya. Dia amat mengasihi mereka, jadi dia memohon agar Bapanya “melindungi mereka daripada Si Jahat.” (Yoh. 17:14, 15) Yesus tahu bahawa setelah dia kembali ke syurga, Syaitan Si Iblis akan terus berperang melawan sesiapa sahaja yang ingin menyembah Yehuwa. Oleh itu, umat Yehuwa perlu dilindungi.

2. Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa akan menjawab doa kita?

2 Yehuwa telah menjawab doa Yesus kerana Dia mengasihi Anak-Nya. Oleh itu, jika kita berusaha sedaya upaya untuk menyenangkan hati Yehuwa, Dia juga akan mengasihi kita, dan Dia akan mendengar doa kita semasa kita memohon bantuan dan perlindungan daripada-Nya. Sebagai Bapa yang pengasih, Yehuwa pasti akan terus menjaga anak-anak-Nya. Jika Dia tidak berbuat demikian, hal ini akan menjejaskan reputasi-Nya.

3. Mengapakah kita memerlukan perlindungan Yehuwa pada zaman sekarang?

3 Kita memerlukan perlindungan Yehuwa lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Syaitan telah dibuang dari syurga, dan dia telah datang ke bumi “dengan kemarahan yang besar.” (Why. 12:12) Dia berjaya membuat sesetengah orang yang menganiaya kita percaya bahawa mereka “sedang menjalankan khidmat suci kepada Tuhan.” (Yoh. 16:2) Sesetengah penentang kita pula tidak percaya kepada Tuhan, tetapi mereka menganiaya kita kerana kita tidak dibentuk mengikut acuan dunia. Tidak kira apa sebabnya kita dianiaya, kita tidak perlu risau. Mengapa? Firman Tuhan menyatakan, “Tuan kita setia, dan dia akan menguatkan kamu dan melindungi kamu daripada Si Jahat.” (2 Tes. 3:3) Bagaimanakah Yehuwa melindungi kita? Mari kita melihat dua cara.

YEHUWA MEMBERI KITA PERLENGKAPAN PERANG ROHANI

4. Menurut Efesus 6:13-17, apakah yang disediakan oleh Yehuwa untuk melindungi kita?

4 Yehuwa telah menyediakan perlengkapan perang rohani yang dapat melindungi kita daripada serangan Syaitan. (Baca Efesus 6:13-17.) Perlengkapan perang ini amat kuat dan berkesan! Tetapi jika kita mahu dilindungi, kita mesti mengenakan setiap bahagian perlengkapan perang ini dan sentiasa memakainya. Apakah yang dilambangkan oleh setiap bahagian perlengkapan perang rohani ini? Mari kita bincangkan.

5. Tali pinggang kebenaran melambangkan apa? Mengapakah kita mesti memakainya?

5 Tali pinggang kebenaran melambangkan kebenaran yang terdapat dalam Firman Tuhan, iaitu Bible. Kita mesti memakai tali pinggang ini supaya kita tidak disesatkan oleh Syaitan, “bapa segala dusta.” (Yoh. 8:44) Dia telah menyebarkan dusta selama ribuan tahun dan berjaya “menyesatkan seluruh dunia”! (Why. 12:9) Namun, kebenaran dalam Bible dapat melindungi kita agar tidak ditipu olehnya. Bagaimanakah kita memakai tali pinggang kebenaran? Kita perlu mempelajari kebenaran tentang Yehuwa, menyembah-Nya “dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran,” dan melakukan segala sesuatu dengan jujur.​—Yoh. 4:24; Ef. 4:25; Ibr. 13:18.

Tali Pinggang: Kebenaran dalam Bible

6. Perisai dada melambangkan apa? Mengapakah kita mesti memakainya?

6 Perisai dada melambangkan standard atau piawaian Yehuwa yang benar. Mengapakah kita mesti memakai perisai dada ini? Sebagaimana perisai dada yang sebenar dapat melindungi jantung seorang askar, perisai dada rohani dapat melindungi hati kita daripada pengaruh buruk dunia ini. (Ams. 4:23) Yehuwa ingin kita mengasihi dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati, tetapi Syaitan ingin membuat hati kita berbelah bahagi. (Mat. 22:36, 37) Syaitan akan mencuba menggoda kita untuk mencintai hal-hal di dunia yang dibenci oleh Yehuwa. (Yak. 4:4; 1 Yoh. 2:15, 16) Jika godaannya tidak berkesan, dia akan menggunakan tentangan atau penganiayaan untuk memaksa kita melanggar piawaian Yehuwa.

Perisai Dada: Piawaian Yehuwa yang benar

7. Bagaimanakah kita memakai perisai dada rohani?

7 Kita memakai perisai dada rohani dengan menerima piawaian Yehuwa tentang apa yang betul dan salah, dan dengan hidup selaras dengan piawaian itu. (Mzm. 97:10) Sesetengah orang mungkin berasa bahawa piawaian Yehuwa mengongkong kebebasan mereka. Tetapi jika kita tidak lagi menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan kita, kita seperti seorang askar yang menanggalkan perisai dadanya di medan perang kerana menganggap perisai dada itu terlalu berat. Tindakan itu sangat bodoh bukan? Jika kita mengasihi Yehuwa, kita akan menganggap perintah-Nya sebagai perlindungan dan bukannya beban.​—1 Yoh. 5:3.

8. Bagaimanakah kita memakai kasut berupa kesediaan untuk mengisytiharkan berita baik?

8 Kasut berupa kesediaan untuk mengisytiharkan berita baik tentang kedamaian. Kita memakai kasut ini dengan sentiasa bersedia untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Apabila kita mengongsi mesej Bible dengan orang lain, iman kita juga dikuatkan. Kita berasa digalakkan kerana umat Yehuwa di serata bumi sentiasa mencari peluang untuk mengisytiharkan berita baik di tempat kerja, di sekolah, dan di kawasan perniagaan. Mereka juga berbuat demikian semasa menginjil dari rumah ke rumah, membeli belah, melawat saudara-mara yang tidak seiman, berbual dengan kenalan, dan bahkan semasa mereka tidak dapat keluar dari rumah buat suatu ketika. Namun, jika kita berhenti menginjil kerana berasa takut, kita seperti seorang askar yang menanggalkan kasutnya di medan perang. Askar yang berbuat demikian akan lebih mudah tercedera di bahagian kakinya. Akibatnya, dia akan terdedah kepada serangan musuh dan tidak dapat bertindak mengikut arahan komandernya.

Kasut: Kesediaan untuk menyebarkan berita baik

9. Mengapakah perisai besar iman amat penting?

9 Perisai besar melambangkan iman kita kepada Yehuwa dan keyakinan kita bahawa Dia akan menunaikan semua janji-Nya. Dengan adanya iman, kita dapat “memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat.” Perisai besar ini amat penting kerana dapat melindungi kita daripada dipengaruhi ajaran orang murtad atau berasa takut semasa orang lain mengejek kepercayaan kita. Tanpa iman, kita tidak dapat berdiri teguh semasa orang lain memberi kita tekanan untuk melanggar piawaian Yehuwa. Bagaimanakah kita menggenggam erat perisai kita? Kita berbuat demikian setiap kali kita mempertahankan kepercayaan kita di tempat kerja atau di sekolah. (1 Ptr. 3:15) Kita juga berbuat demikian setiap kali kita menolak tawaran kerja yang gajinya lumayan, yang akan mengganggu masa kita untuk beribadat. (Ibr. 13:5, 6) Selain itu, kita dilindungi oleh perisai kita apabila kita tetap menyembah Yehuwa meskipun ditentang.​—1 Tes. 2:2.

Perisai: Iman kita terhadap Yehuwa dan janji-janji-Nya

10. Apakah itu topi besi penyelamatan? Mengapakah kita mesti memakainya?

10 Topi besi penyelamatan melambangkan harapan yang diberikan oleh Yehuwa, iaitu harapan bahawa Dia akan membangkitkan kita dan memberikan ganjaran kepada mereka yang melakukan kehendak-Nya. (1 Tes. 5:8; 1 Tim. 4:10; Tit. 1:1, 2) Sepertimana topi besi yang sebenar dapat melindungi kepala seorang askar, harapan penyelamatan dapat melindungi daya pemikiran kita. Bagaimana? Harapan itu akan membantu kita untuk bertumpu kepada janji-janji Yehuwa dan tidak terlalu risau semasa kita ditimpa masalah. Untuk memakai topi besi penyelamatan, kita perlu memastikan agar fikiran kita sentiasa selaras dengan fikiran Tuhan. Sebagai contoh, kita akan berharap kepada Tuhan dan bukannya kepada kekayaan yang tidak tetap.​—Mzm. 26:2; 104:34; 1 Tim. 6:17.

Topi Besi: Harapan kehidupan kekal

11. Apakah itu pedang yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan? Mengapakah kita perlu menggunakannya?

11 Pedang yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan ialah Bible. Pedang itu dapat mendedahkan pelbagai jenis tipu muslihat dan membebaskan orang yang dibelenggu oleh ajaran palsu dan tabiat buruk. (2 Kor. 10:4, 5; 2 Tim. 3:16, 17; Ibr. 4:12) Untuk menggunakan pedang itu dengan mahir, kita perlu membuat pembelajaran peribadi dan menerima latihan daripada organisasi Tuhan. (2 Tim. 2:15) Selain memberi kita perlengkapan perang rohani, terdapat satu lagi cara Yehuwa melindungi kita. Apakah cara itu?

Pedang: Firman Tuhan, iaitu Bible

KITA TIDAK PERLU BERJUANG SEORANG DIRI

12. Apakah bantuan lain yang kita perlukan, dan mengapa?

12 Seorang askar yang berpengalaman tahu bahawa dia tidak dapat mengalahkan seangkatan tentera dengan kekuatannya sendiri; dia memerlukan bantuan daripada rakan seperjuangannya. Begitu juga, kita tidak dapat melawan Syaitan dan konco-konconya dengan kekuatan diri kita sendiri; kita memerlukan sokongan daripada saudara saudari kita. Oleh itu, Yehuwa telah memberi kita “saudara seiman” di serata dunia yang dapat membantu kita.​—1 Ptr. 2:17.

13. Menurut Ibrani 10:24, 25, apakah manfaatnya jika kita menghadiri perjumpaan?

13 Salah satu cara kita menerima sokongan daripada saudara saudari adalah dengan menghadiri perjumpaan. (Baca Ibrani 10:24, 25.) Dari masa ke masa kita akan berasa tawar hati, tetapi perjumpaan dapat menguatkan semangat kita. Semasa kita mendengar komen dan ceramah rakan seiman kita dan menyaksikan demonstrasi mereka, kita berasa digalakkan dan lebih bertekad untuk terus menyembah Yehuwa. Perbualan kita bersama saudara saudari sebelum dan selepas perjumpaan juga dapat menguatkan semangat kita. (1 Tes. 5:14) Selain itu, semasa di perjumpaan, kita berpeluang membantu orang lain, dan hal ini memberi kita sukacita. (Kis. 20:35; Rm. 1:11, 12) Tambahan lagi, perjumpaan membantu kita menjadi penginjil yang lebih mahir. Contohnya, kita dilatih untuk menggunakan Bahan Utama untuk Mengajar. Untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada perjumpaan, kita perlu membuat persiapan yang baik, mendengar dengan teliti semasa perjumpaan, dan menerapkan apa yang kita pelajari daripada perjumpaan. Jika kita melakukan hal-hal sebegini, kita akan menjadi “askar Kristus Yesus yang baik.”​—2 Tim. 2:3.

14. Apakah bantuan lain yang disediakan oleh Yehuwa bagi kita?

14 Kita juga mempunyai sokongan daripada para malaikat. Sebenarnya, satu malaikat pun sudah sangat berkuasa. (Yes. 37:36) Jadi, bayangkan betapa hebatnya angkatan tentera Yehuwa yang terdiri daripada berjuta-juta malaikat yang perkasa! Ya, tiada manusia ataupun roh jahat yang dapat menandingi kekuatan tentera Yehuwa. Tambahan lagi, Yehuwa ialah Tuhan yang Maha Kuasa. Jadi, jika Yehuwa menyertai kita, kita akan lebih kuat daripada semua musuh kita. (Hak. 6:16) Ingatlah kebenaran ini setiap kali kata-kata atau perbuatan rakan sekerja, rakan sekolah, atau saudara-mara yang tidak seiman, membuat anda berasa takut. Jangan lupa bahawa selagi anda mematuhi Yehuwa, anda tidak perlu berjuang seorang diri.

YEHUWA AKAN TERUS MELINDUNGI KITA

15. Menurut Yesaya 54:15, 17, mengapakah musuh tidak dapat membuat umat Tuhan berhenti menginjil?

15 Dunia yang dikuasai Syaitan mempunyai banyak sebab untuk membenci kita. Contohnya, kita tetap neutral dari segi politik dan kita tidak menyertai peperangan. Kita juga mengisytiharkan nama Tuhan, memberitahu orang bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat membawa kedamaian, dan berpegang teguh pada prinsip Tuhan yang benar. Selain itu, kita memberitahu orang bahawa penguasa dunia ini sebenarnya pembunuh dan pendusta yang keji. (Yoh. 8:44) Tambahan lagi, kita memberitahu orang bahawa dunia Syaitan akan dibinasakan tidak lama lagi. Biarpun Syaitan dan konco-konconya begitu membenci kita, mereka tidak dapat membuat kita berhenti menginjil. Sebaliknya, kita akan terus melakukan apa sahaja yang kita mampu untuk memuji Yehuwa. Ingatlah, biarpun Syaitan begitu berkuasa, sampai hari ini dia tidak dapat menghalang berita baik daripada disebarkan ke serata dunia. Tidakkah hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa sedang melindungi kita?​—Baca Yesaya 54:15, 17.

16. Bagaimanakah Yehuwa akan melindungi umat-Nya semasa kesengsaraan besar?

16 Tidak lama lagi, kesengsaraan besar akan bermula. Bagaimanakah Yehuwa akan melindungi umat-Nya pada masa itu? Pertama, Dia akan menyelamatkan umat-Nya yang setia semasa Dia menyebabkan raja-raja di bumi memusnahkan Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu. (Why. 17:16-18; 18:2, 4) Kemudian, semasa Armagedon, iaitu sewaktu Tuhan memusnahkan seluruh dunia Syaitan, Dia juga akan menyelamatkan umat-Nya.​—Why. 7:9, 10; 16:14, 16.

17. Mengapakah kita ingin tetap menghampiri Yehuwa?

17 Jika kita tetap menghampiri Yehuwa, Syaitan tidak dapat mendatangkan kecelakaan yang kekal kepada kita. Sebenarnya, pembinasaan yang kekal menantikannya. (Rm. 16:20) Jadi, pakailah seluruh perlengkapan perang rohani anda dan jangan sekali-kali menanggalkannya! Selain itu, janganlah berjuang seorang diri. Sebaliknya, berjuanglah bersama saudara saudari anda dan ikutlah arahan Yehuwa. Jika anda melakukan hal-hal ini, Bapa anda yang di syurga pasti menguatkan dan melindungi anda.​—Yes. 41:10.

LAGU 149 Lagu Kemenangan

^ per. 5 Bible menjanjikan bahawa Yehuwa akan menguatkan dan melindungi kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan soalan-soalan yang berikut: Mengapakah kita perlu dilindungi? Bagaimanakah Yehuwa melindungi kita? Apakah yang mesti kita lakukan supaya Yehuwa melindungi kita?