Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Mengapakah orang Kristian harus berhati-hati semasa menggunakan aplikasi mesej?

Sesetengah orang Kristian menggunakan teknologi moden untuk berhubung dengan ahli keluarga dan Saksi yang lain. Namun, orang Kristian yang matang akan mengingat nasihat ini: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.”​—Ams. 27:12.

Kita sedar bahawa Yehuwa ingin melindungi kita. Jadi, kita tidak akan bergaul dengan orang yang menimbulkan perpecahan, orang yang disingkirkan, atau orang yang menyebarkan ajaran yang salah. (Rm. 16:17; 1 Kor. 5:11; 2 Yoh. 10, 11) Kita juga akan berwaspada terhadap sesetengah saudara saudari atau orang yang bergaul dengan sidang, yang tidak berkelakuan menurut prinsip Bible. (2 Tim. 2:20, 21) Namun begitu, kita lebih mudah terdedah kepada pergaulan buruk semasa menggunakan aplikasi mesej.

Hal ini benar khususnya dalam kumpulan mesej yang mempunyai banyak pengguna. Katakan seorang saudara atau saudari menyertai kumpulan mesej yang mempunyai ratusan atau ribuan orang. Bagaimanakah dia dapat mengetahui identiti dan kerohanian setiap orang dalam kumpulan itu? Hal itu memang mustahil. Sesetengah orang Kristian telah ditimpa masalah kerana menyertai kumpulan sebegini. Oleh itu, Mazmur 26:4 menyatakan, “Aku tidak bergaul dengan orang yang licik. Aku menjauhkan diri daripada orang yang berpura-pura.” Tidakkah kata-kata itu menunjukkan bahawa adalah lebih bijak untuk hanya menggunakan aplikasi mesej untuk menghubungi orang yang kita benar-benar kenali?

Biarpun dalam kumpulan mesej yang lebih kecil, orang Kristian perlu berhati-hati dengan penggunaan masa dan topik perbualan dalam kumpulan. Kita tidak ingin membuang terlalu banyak masa untuk membalas mesej setiap orang atau menjawab semua mesej tanpa mengira topiknya. Paulus mengingatkan Timotius agar berwaspada terhadap orang yang suka ‘mengumpat dan campur tangan dalam urusan orang lain.’ (1 Tim. 5:13) Dewasa ini, kita juga ingin berwaspada terhadap orang yang berbuat demikian menerusi aplikasi mesej.

Seorang Kristian yang matang tidak akan mengkritik rakan seimannya atau membocorkan maklumat sulit tentang mereka. Jika orang lain menyebarkan hal-hal sebegini, dia juga tidak akan mendengarnya. (Mzm. 15:3; Ams. 20:19) Selain itu, dia tidak akan mendengar atau menyebarkan laporan yang dibesarkan-besarkan atau yang belum disahkan. (Ef. 4:25) Kita sudah menerima makanan rohani yang melimpah dan berita terkini yang dapat dipercayai menerusi laman web jw.org dan program bulanan Siaran JW.

Sesetengah Saksi menggunakan aplikasi mesej untuk tujuan menjual beli, mempromosikan produk, atau menawarkan pekerjaan. Namun, orang Kristian yang ingin “bebas daripada cinta akan wang” tidak akan mencampuradukkan urusan perniagaan dengan hal ibadat. Oleh itu, mereka tidak akan menganggap hubungan mereka dengan saudara saudari sebagai peluang untuk berniaga.​—Ibr. 13:5.

Bagaimana pula dengan menggunakan aplikasi mesej untuk meminta derma bagi mangsa bencana atau rakan seiman yang memerlukan bantuan? Kita memang mengasihi dan mengambil berat terhadap rakan seiman kita. Jadi kita sering memberikan bantuan dan galakan kepada satu sama lain. (Yak. 2:15, 16) Namun, jika kita cuba berbuat demikian menerusi kumpulan mesej yang besar, kita mungkin akan mengganggu aturan yang dibuat oleh pejabat cawangan atau sidang untuk membantu mereka. (1 Tim. 5:3, 4, 9, 10, 16) Tambahan lagi, kita mungkin memberi orang lain tanggapan bahawa kita diberi tanggungjawab istimewa untuk menjaga saudara saudari kita.

Kita mahu melakukan segala sesuatu untuk memuliakan Tuhan. (1 Kor. 10:31) Jadi, semasa menggunakan aplikasi mesej atau teknologi lain, ingatlah risikonya dan berhati-hatilah.