Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 15

Apa yang Kita Pelajari daripada Kata-Kata Terakhir Yesus

Apa yang Kita Pelajari daripada Kata-Kata Terakhir Yesus

Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya. Dengarkanlah dia.”​—MAT. 17:5.

LAGU 17 “Aku Rela”

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang berlaku sebelum Yesus mengucapkan kata-katanya yang terakhir?

PADA 14 Nisan 33 M, Yesus difitnah lalu dijatuhkan hukuman mati padahal dia tidak bersalah. Setelah dia diejek dan diseksa dengan teruk, Yesus direntangkan pada sebatang tiang, lalu tangan dan kakinya dipakukan pada tiang itu. Setiap kali dia bernafas, dan setiap kali dia bercakap, dia dilanda rasa sakit yang sukar digambarkan. Namun, Yesus tidak berdiam diri kerana dia mempunyai hal-hal penting untuk dikatakan.

2 Sekarang, mari kita ‘mendengarkan’ apa yang dikatakan oleh Yesus semasa dia berada pada tiang seksaan dan membincangkan pengajarannya bagi kita.​—Mat. 17:5.

“YA BAPA, AMPUNILAH MEREKA”

3. Siapakah yang mungkin dimaksudkan oleh Yesus semasa dia berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka”?

3 Apakah yang dikatakan Yesus? Semasa Yesus berada pada tiang seksaan, dia berdoa, “Ya Bapa, ampunilah mereka.” Siapakah yang dimaksudkan oleh Yesus? Perhatikan kata-kata Yesus yang berikutnya: “Mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.” (Luk. 23:33, 34) Nampaknya, Yesus sedang berdoa bagi askar-askar Roma yang memakukannya pada tiang, yang tidak menyedari bahawa dia ialah Anak Tuhan. Yesus juga mungkin terfikir tentang orang yang menuntut agar dia dihukum mati, tetapi yang akan beriman kepadanya pada kemudian hari. (Kis. 2:36-38) Ya, meskipun Yesus dilayan dengan tidak adil, dia tidak berasa marah dan berdendam terhadap orang yang membunuhnya. (1 Ptr. 2:23) Sebaliknya, dia meminta Yehuwa untuk mengampuni mereka.

4. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kesudian Yesus untuk mengampuni para penentangnya?

4 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Seperti Yesus, kita harus rela mengampuni orang lain. (Kol. 3:13) Sesetengah orang, termasuk saudara-mara kita, mungkin menentang kita kerana tidak memahami kepercayaan dan cara hidup kita. Mereka mungkin menyebarkan dusta tentang kita, menghina kita di depan orang lain, merosakkan bahan bacaan kita, atau bahkan mengugut untuk mencederakan kita. Namun, daripada menaruh dendam terhadap mereka, kita ingin memohon agar Yehuwa membuka hati mereka supaya mereka menerima kebenaran suatu hari nanti. (Mat. 5:44, 45) Memang benar, ada kalanya kita akan berasa susah untuk mengampuni orang, terutamanya jika kita dilayan dengan tidak adil. Namun, jika kita membiarkan rasa marah dan dendam untuk berakar dalam hati kita, kita hanya merugikan diri sendiri. Seorang saudari menjelaskan, “Saya sedar bahawa memaafkan orang tidak bermaksud saya menyetujui perbuatan yang salah, atau membiarkan orang lain mengambil kesempatan terhadap saya. Saya cuma memilih untuk tidak berdendam terhadap orang lain.” (Mzm. 37:8) Ya, apabila kita memutuskan untuk mengampuni orang lain, kita sedang memilih untuk tidak membiarkan pengalaman buruk membuat kita berasa marah.​—Ef. 4:31, 32.

“KAMU AKAN BERSAMA-SAMA AKU DI FIRDAUS”

5. Apakah janji Yesus kepada seorang penjenayah yang dihukum mati di sebelahnya? Mengapakah dia membuat janji itu?

5 Apakah yang dikatakan Yesus? Semasa Yesus berada pada tiang seksaan, terdapat dua orang penjenayah yang dihukum mati di sebelahnya. Pada mulanya, mereka menghina Yesus. (Mat. 27:44) Tetapi kemudian, salah seorang daripada mereka sedar bahawa Yesus sebenarnya “tidak membuat apa-apa yang salah.” (Luk. 23:40, 41) Jadi, dia bukan sahaja berhenti menghina Yesus, malah meluahkan kepercayaannya bahawa Yesus akan dibangkitkan dan menjadi raja pada masa depan. Dia berkata, “Yesus, ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.” (Luk. 23:42) Apakah reaksi Yesus semasa melihat iman yang ditunjukkan oleh penjenayah itu? Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku [bukan dalam Kerajaan di syurga, tetapi] di Firdaus.” (Luk. 23:43) Perhatikan bahawa Yesus telah menggunakan perkataan “aku” dan “kamu” untuk menunjukkan bahawa itu merupakan janji daripadanya kepada penjenayah itu. Yesus tahu bahawa Bapanya berbelas kasihan, jadi dia dapat mengucapkan kata-kata yang membawa harapan kepada penjenayah yang hampir mati itu.​—Mzm. 103:8.

6. Apakah yang kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada penjenayah itu?

6 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Yesus mencerminkan sifat-sifat Bapanya dengan sempurna. (Ibr. 1:3) Yehuwa mahu mengampuni kita dan berbelas kasihan kepada kita. Namun kita perlu benar-benar menyesali kesilapan lampau kita dan beriman kepada korban tebusan Yesus Kristus. (1 Yoh. 1:7) Sesetengah orang berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa sudi mengampunkan kesilapan lampau mereka. Sekiranya anda berasa demikian, fikirkanlah hal ini: Jika Yesus berbelas kasihan terhadap penjenayah yang baru sahaja beriman terhadapnya, apatah lagi Yehuwa! Sudah tentu Dia akan lebih berbelas kasihan kepada para penyembah-Nya yang berusaha sedaya upaya untuk mematuhi perintah-Nya.​—Mzm. 51:1; 1 Yoh. 2:1, 2.

“MULAI SEKARANG DIALAH ANAKMU! . . . MULAI SEKARANG DIALAH IBUMU!”

7. Menurut Yohanes 19:26, 27, apakah yang dikatakan oleh Yesus kepada Maria dan Yohanes? Mengapakah dia berkata demikian?

7 Apakah yang dikatakan Yesus? (Baca Yohanes 19:26, 27.) Yesus sangat mengasihi dan mengambil berat terhadap ibunya, yang mungkin merupakan seorang balu ketika itu. Memang benar, adik-adik Yesus dapat menjaga keperluan fizikal ibu mereka. Tetapi pada masa itu mereka belum lagi menjadi murid Yesus. Maka mereka tidak dapat menjaga keperluan rohani ibu mereka. Jadi apakah yang dilakukan oleh Yesus? Yesus menganggap orang yang menyembah Yehuwa bersamanya sebagai ahli keluarga rohaninya. (Mat. 12:46-50) Jadi dia meminta Yohanes, seorang rasul yang setia dan sahabat akrabnya, untuk menjaga ibunya. Dia berkata kepada ibunya, “Lihatlah! Mulai sekarang dialah anakmu!” Lalu dia berkata kepada Yohanes, “Lihatlah! Mulai sekarang dialah ibumu!” Sejak itu, Yohanes menjadi seperti anak kepada Maria dan menjaga Maria seolah-olah dia ialah ibunya. Tidakkah anda tersentuh semasa memikirkan kasih Yesus terhadap ibunya, yang telah menjaganya sejak dia lahir dan berada di sisinya pada saat-saatnya yang terakhir?

8. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada Maria dan Yohanes?

8 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Hubungan kita dengan saudara saudari kita mungkin lebih kukuh daripada hubungan kita dengan ahli keluarga kita. Ahli keluarga kita mungkin menentang kita atau bahkan meninggalkan kita. Tetapi Yesus sudah berjanji bahawa kita akan menerima berkat “seratus kali ganda.” (Mrk. 10:29, 30) Jika kita tetap akrab dengan Yehuwa dan organisasi-Nya, kita akan mempunyai keluarga rohani yang bersatu padu kerana beriman kepada Yehuwa dan mengasihi-Nya serta menyayangi satu sama lain. Banyak rakan seiman kita akan menjadi seperti anak lelaki, anak perempuan, ibu, atau bapa kita. Tidakkah anda bersyukur kerana memiliki keluarga rohani sebegini?​—Kol. 3:14; 1 Ptr. 2:17.

“TUHANKU, MENGAPAKAH ENGKAU MENINGGALKAN AKU?”

9. Apakah yang kita tahu tentang kata-kata Yesus di Matius 27:46?

9 Apakah yang dikatakan Yesus? Tidak lama sebelum kematiannya, Yesus berseru, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?” (Mat. 27:46) Bible tidak menjelaskan mengapa Yesus berkata demikian. Namun, kita tahu bahawa kata-kata Yesus telah memenuhi nubuat di Mazmur 22:1. * Selain itu, kata-kata Yesus menunjukkan bahawa Yehuwa tidak “selalu melindunginya.” (Ayb. 1:10) Yesus sedar bahawa Bapanya telah menyerahkannya ke dalam tangan musuh supaya dia diuji sehingga tahap yang tidak pernah dialami oleh mana-mana manusia. Tambahan lagi, kata-kata Yesus menunjukkan bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga patut dihukum mati.

10. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada Bapanya?

10 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Pertama, kita tidak patut berfikir bahawa Yehuwa akan melindungi kita daripada masalah yang dapat menguji iman kita. Yesus telah diuji dengan sepenuhnya. Jadi, kita juga mesti bersedia untuk tetap setia sehingga mati jika perlu. (Mat. 16:24, 25) Pada masa yang sama, kita yakin bahawa Tuhan tidak akan membiarkan kita menghadapi cubaan yang tidak dapat kita tanggung. (1 Kor. 10:13) Kedua, seperti Yesus, kita mungkin mengalami ketidakadilan. (1 Ptr. 2:19, 20) Hal ini berlaku bukan kerana kita telah berbuat salah, tetapi kerana kita bukan sebahagian daripada dunia dan berusaha memberikan kesaksian demi kebenaran. (Yoh. 17:14; 1 Ptr. 4:15, 16) Yesus memahami sebabnya Yehuwa mengizinkannya menderita. Namun, sesetengah penyembah Yehuwa ada kalanya tertanya-tanya mengapa Yehuwa mengizinkan perkara buruk berlaku kepada mereka. (Hab. 1:3) Meskipun begitu, Tuhan kita yang sabar dan berbelas kasihan tidak menganggap reaksi sebegini sebagai tanda bahawa iman mereka lemah. Sebaliknya, Dia tahu bahawa mereka memerlukan kelegaan hati daripada-Nya.​—2 Kor. 1:3, 4.

“AKU DAHAGA”

11. Mengapakah Yesus mengucapkan kata-kata di Yohanes 19:28?

11 Apakah yang dikatakan Yesus? (Baca Yohanes 19:28.) Mengapakah Yesus berkata, “Aku dahaga”? Dia berkata demikian agar nubuat di Mazmur 22:15 menjadi kenyataan. Nubuat itu menyatakan, “Aku tidak bermaya, dan aku telah menjadi seperti serpihan tembikar. Lidahku melekat pada lelangit mulutku.” Selain itu, setelah dilayan dengan kejam dan dipakukan pada tiang seksaan, Yesus pasti berasa sangat haus dan memerlukan bantuan untuk menghilangkan rasa dahaganya.

12. Apakah yang kita pelajari daripada kata-kata Yesus, “Aku dahaga”?

12 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Bagi Yesus, meluahkan perasaan bukan tanda kelemahan. Kita juga patut meniru pandangan Yesus. Biasanya, kita mungkin berasa segan untuk memberitahu orang lain keperluan kita. Namun, jika kita benar-benar memerlukan bantuan, janganlah teragak-agak untuk memberitahu orang lain. Contohnya, jika kita sudah lanjut usia atau mempunyai masalah kesihatan, kita mungkin perlu meminta bantuan seorang sahabat untuk membawa kita pergi membeli barang atau berjumpa dengan doktor. Jika kita berasa tawar hati atau lemah semangat, kita mungkin perlu meminta bantuan seorang penatua atau sahabat Kristian yang matang untuk mendengar luahan hati kita atau mengongsi “kata-kata yang membina.” (Ams. 12:25) Ingatlah, saudara saudari kita mengasihi kita dan ingin membantu kita “pada masa kesusahan.” (Ams. 17:17) Namun, mereka tidak dapat membaca fikiran kita. Jadi, jika kita memerlukan bantuan, janganlah malu untuk memberitahu mereka.

“SUDAH SELESAI!”

13. Apakah yang telah dilaksanakan oleh Yesus kerana dia tetap setia sampai mati?

13 Apakah yang dikatakan Yesus? Kira-kira pukul tiga petang 14 Nisan, Yesus berseru, “Sudah selesai!” (Yoh. 19:30) Sejurus sebelum Yesus mati, dia tahu bahawa dia telah menyelesaikan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya. Dengan tetap setia sampai mati, Yesus telah melaksanakan hal-hal berikut: Pertama, dia membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. Yesus menunjukkan bahawa seorang manusia yang sempurna dapat tetap setia kepada Yehuwa tidak kira apa yang dilakukan oleh Syaitan terhadapnya. Kedua, dengan mengorbankan nyawanya sebagai tebusan, dia membolehkan manusia yang tidak sempurna mendapat perkenan Tuhan dan memberi mereka peluang untuk hidup selama-lamanya. Ketiga, Yesus membuktikan bahawa Yehuwa ialah Pemerintah yang adil dan menyucikan nama Bapanya yang telah dicela.

14. Apakah seharusnya tekad kita setiap hari?

14 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Kita mesti bertekad untuk tetap setia setiap hari. Perhatikan kata-kata Saudara Maxwell Friend, seorang pengajar di Sekolah Latihan Gilead. Di sebuah perhimpunan antarabangsa, dia menyampaikan sebuah ceramah tentang kesetiaan. Dia berkata, “Jika anda dapat melakukan atau mengatakan sesuatu pada hari ini, janganlah menangguhkannya sampai hari esok, kerana anda mungkin sudah tiada pada hari esok. Hiduplah setiap hari seolah-olah itulah peluang terakhir anda untuk membuktikan bahawa anda layak diberi kehidupan kekal.” Ya, semoga kita hidup setiap hari seolah-olah itulah peluang kita yang terakhir untuk membuktikan kesetiaan kita! Dengan itu, biarpun kita perlu berdepan dengan maut, kita dapat berkata, “Yehuwa, saya telah buat yang terbaik untuk tetap setia, untuk membuktikan Syaitan ialah pendusta, dan untuk menjunjung nama dan kedaulatan-Mu.”

“AKU MENYERAHKAN NYAWAKU KE DALAM TANGAN-MU”

15. Menurut Lukas 23:46, Yesus yakin akan hal apa?

15 Apakah yang dikatakan Yesus? (Baca Lukas 23:46.) Dengan penuh yakin Yesus berkata, “Ya Bapa, aku menyerahkan nyawaku ke dalam tangan-Mu.” Yesus tahu bahawa masa depannya berada dalam tangan Bapanya, dan dia percaya bahawa Bapanya pasti akan mengingatinya.

16. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Joshua?

16 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Kita harus tetap setia kepada Yehuwa bahkan semasa nyawa kita terancam. Namun, untuk menyerahkan nyawa kita ke dalam tangan Yehuwa, kita mesti ‘percaya kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.’ (Ams. 3:5) Fikirkan contoh Joshua, seorang Saksi yang berumur 15 tahun. Dia menghidap penyakit yang sangat serius, tetapi dia enggan menerima rawatan yang melanggar hukum Tuhan. Tidak lama sebelum dia meninggal, dia memberitahu ibunya, “Mak, Yehuwa akan menjaga saya. Saya yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa pasti akan membangkitkan saya. Saya benar-benar mengasihi-Nya dan Dia mengetahui isi hati saya.” Kita masing-masing perlu menanya diri, “Jika saya harus mati kerana berpegang pada iman saya, adakah saya akan tetap setia kepada Yehuwa dan percaya bahawa Dia pasti mengingati saya?”

17-18. Apakah yang telah kita pelajari daripada rencana ini? (Lihat juga kotak “ Pengajaran daripada Kata-Kata Terakhir Yesus.”)

17 Sememangnya, kata-kata Yesus yang terakhir mengandungi banyak pengajaran yang bermakna! Kita diingatkan bahawa kita perlu mengampuni orang lain dan percaya bahawa Yehuwa juga akan mengampuni kita. Kita juga belajar bahawa kita mempunyai keluarga rohani yang bersedia untuk membantu kita, tetapi kita harus meminta bantuan semasa kita memerlukannya. Kita juga diyakinkan bahawa Yehuwa akan membantu kita untuk menghadapi apa sahaja cabaran dengan tabah, dan kita perlu hidup setiap hari seolah-olah itulah peluang kita yang terakhir untuk membuktikan kesetiaan kita. Akhir sekali, kita belajar bahawa jika kita tetap setia sampai mati, Yehuwa pasti akan membangkitkan kita.

18 Tidakkah kita menghargai pengajaran daripada kata-kata Yesus yang terakhir semasa dia berada pada tiang seksaan? Jika kita menerapkan pengajaran yang kita peroleh, kita sedang mematuhi kata-kata Yehuwa tentang Anak-Nya, “Dengarkanlah dia.”​—Mat. 17:5.

LAGU 126 Berjaga, Teguh, dan Gagah

^ per. 5 Menurut Matius 17:5, Yehuwa mahu kita mendengarkan Anak-Nya. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa pengajaran yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus semasa dia berada pada tiang seksaan.

^ per. 9 Untuk memahami beberapa sebab mengapa Yesus mungkin telah memetik kata-kata di Mazmur 22:1, lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam terbitan ini.