Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

“Saya Telah Mempelajari Banyak Hal daripada Orang Lain”

“Saya Telah Mempelajari Banyak Hal daripada Orang Lain”

SAYA seorang askar Perancis yang baru mencecah umur 20 tahun. Kami berkhemah di kawasan pergunungan Algeria, tempat yang sering berlakunya peperangan yang sengit. Pada suatu malam yang gelap, saya memegang mesingan seorang diri sambil berjaga di sebalik timbunan guni pasir. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi tapak kaki menuju ke arah saya. Saya berasa sangat takut kerana saya tidak mahu mati dan tidak ingin membunuh sesiapa pun. Jadi saya berseru, “Tuhan, tolonglah saya!”

Peristiwa yang menakutkan itu telah mengubah kehidupan saya kerana sejak itu, saya mula mencari Tuhan. Namun, sebelum saya menceritakan apa yang berlaku seterusnya pada malam itu, biar saya memberitahu anda apa yang berlaku pada zaman kanak-kanak saya yang membuat saya ingin mencari Tuhan pada kemudian hari.

APA YANG SAYA PELAJARI DARIPADA BAPA SAYA

Saya lahir pada tahun 1937 di Guesnain, sebuah pekan perlombongan di bahagian utara Perancis. Bapa saya ialah seorang pelombong arang batu, dan dia mengajar saya pentingnya bekerja keras. Dia juga mengajar saya untuk membenci ketidakadilan. Bapa saya ingin membantu para pelombong yang ditindas dan yang bekerja dalam keadaan yang berbahaya. Jadi, dia menyertai kesatuan sekerja untuk mempertahankan hak mereka. Bapa saya juga sangat marah dengan paderi-paderi yang bermuka dua. Ramai daripada mereka hidup selesa tetapi masih meminta wang dan makanan daripada pelombong yang miskin. Bapa saya berasa begitu meluat dengan perangai para paderi sehingga dia tidak mengajar saya tentang agama. Sebenarnya, kami langsung tidak pernah bercakap tentang Tuhan.

Semasa saya membesar, saya juga mula membenci ketidakadilan. Salah satu hal yang saya benci ialah sikap prasangka terhadap pendatang asing yang tinggal di Perancis. Hal ini demikian kerana saya suka bermain bola sepak dengan kanak-kanak pendatang asing. Lagipun, ibu saya ialah orang Poland dan bukannya orang Perancis. Saya sangat ingin melihat orang daripada pelbagai bangsa hidup aman dan dilayan dengan sama rata.

SAYA MULA MEMIKIRKAN MAKNA KEHIDUPAN

Semasa saya berkhidmat dalam tentera

Pada tahun 1957, saya dikerah masuk tentera. Itulah sebabnya saya berada di pergunungan Algeria dalam peristiwa yang disebut tadi. Setelah saya berseru, “Tuhan, tolonglah saya!,” saya mendapati bahawa bunyi tapak kaki yang saya dengar itu bukanlah daripada musuh tetapi daripada seekor keldai liar! Alangkah leganya saya! Namun selepas peristiwa itu, saya mula memikirkan secara mendalam tentang makna kehidupan. Saya mula memikirkan soalan-soalan seperti: Mengapa kita di sini? Adakah Tuhan mengambil berat tentang kita? Adakah kita akan menikmati kedamaian yang berkekalan?

Kemudian, semasa saya mengambil cuti untuk melawat ibu bapa saya, saya berjumpa dengan seorang Saksi. Dia memberi saya sebuah Bible dan saya mula membaca Bible itu selepas kembali ke Algeria. Terdapat satu ayat Bible yang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap saya iaitu Wahyu 21:3, 4 yang berbunyi, “Khemah Tuhan ada bersama manusia . . . Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.” Saya tidak pernah membaca ayat seperti ini lalu terfikir, “Mungkinkah hal ini berlaku?” Pada masa itu, saya tidak tahu apa-apa pun tentang Tuhan dan Bible.

Selepas khidmat tentera saya tamat pada tahun 1959, saya berjumpa dengan seorang Saksi yang bernama François. Dia mengajar saya banyak kebenaran Bible. Contohnya, dia menunjukkan daripada Bible bahawa Tuhan mempunyai nama, iaitu Yehuwa. (Mzm. 83:18) François juga menjelaskan bahawa Yehuwa akan menegakkan keadilan di seluruh bumi, menjadikan bumi sebuah firdaus, dan melaksanakan apa yang dikatakan di Wahyu 21:3, 4.

Ajaran-ajaran Bible sangat masuk akal dan menyentuh hati saya. Namun, saya sangat marah terhadap para paderi dan mahu segera memberitahu semua orang bahawa mereka mengajarkan hal-hal yang tidak terdapat dalam Bible! Nampaknya, saya masih dipengaruhi dengan sikap bapa saya yang membenci ketidakadilan. Oleh itu, saya perlu belajar untuk bersabar.

François dan sahabat baharu saya yang merupakan Saksi membantu saya untuk bertenang. Mereka menjelaskan bahawa kerja kami sebagai orang Kristian bukanlah untuk menghakimi orang, tetapi untuk memberikan harapan dengan menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Itulah kerja yang dilakukan oleh Yesus, yang juga diberikan kepada para pengikutnya. (Mat. 24:14; Luk. 4:43) Saya juga perlu belajar untuk bercakap dengan hormat dan sopan kepada semua orang, tidak kira apa kepercayaan mereka. Seperti yang dikatakan dalam Bible, “hamba Tuan tidak perlu bertengkar. Sebaliknya dia perlu bersikap baik hati terhadap semua orang.”​—2 Tim. 2:24.

Saya telah mengubah kehidupan saya lalu dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa di sebuah perhimpunan litar pada tahun 1959. Semasa perhimpunan itu, saya berjumpa dengan seorang saudari yang bernama Angèle dan saya menyukainya. Jadi saya mula melawat sidangnya, dan kami telah berkahwin pada tahun 1960. Angèle sememangnya seorang saudari yang terpuji, seorang isteri yang baik, dan kurniaan yang berharga daripada Yehuwa.​—Ams. 19:14.

Hari perkahwinan kami

SAYA BELAJAR BANYAK HAL DARIPADA SAUDARA YANG BIJAK DAN BERPENGALAMAN

Dalam kehidupan saya, saya telah mempelajari banyak hal yang penting daripada para saudara yang bijak dan berpengalaman. Salah satu pengajaran yang paling saya hargai ialah kita dapat berjaya dalam apa-apa tugasan yang susah jika kita rendah hati dan menerapkan nasihat di Amsal 15:22 yang menyatakan, “Rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.”

Melakukan kerja litar di Perancis, 1965

Pada tahun 1964, saya mula melihat betapa benarnya kata-kata itu. Pada tahun itu, saya ditugaskan sebagai penyelia litar dan melawat sidang-sidang untuk menggalakkan saudara saudari dan menguatkan mereka secara rohani. Namun, saya hanya berumur 27 tahun pada masa itu. Jadi saya kurang berpengalaman dan melakukan kesilapan. Tetapi saya cuba belajar daripada kesilapan itu. Yang paling penting, saya belajar banyak hal daripada “penasihat” yang cekap dan berpengalaman.

Saya masih ingat apa yang berlaku semasa saya baru menjadi penyelia litar. Pada penghujung lawatan saya ke sebuah sidang di Paris, seorang saudara yang matang secara rohani bertanya jika dia boleh bercakap dengan saya. Saya berkata, “Sudah tentu.”

Dia bertanya, “Louis, siapakah yang akan doktor bantu? Orang yang sakit atau orang yang sihat?”

Saya jawab, “Orang yang sakit.”

Dia berkata, “Betul. Tapi saya perhatikan kamu menghabiskan banyak masa kamu bersama orang yang sihat secara rohani, seperti penyelia sidang. Sidang kita ada banyak saudara saudari yang tawar hati, masih baru dalam kebenaran, atau pemalu. Jika kamu meluangkan masa bersama mereka dan bahkan makan di rumah mereka, mereka akan sangat menghargainya.”

Saya sangat menghargai nasihat saudara itu. Kasihnya terhadap bebiri Yehuwa telah menyentuh hati saya. Jadi, walaupun saya berasa susah untuk menerima bahawa saya telah melakukan kesilapan, saya segera menerapkan nasihatnya. Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana ada saudara yang sudi menasihati saya.

Kemudian, saya dilantik sebagai penyelia untuk Bahagian Perkhidmatan Makanan bagi konvensyen antarabangsa tahun 1969 dan tahun 1973 yang diadakan di Colombes, Paris. Untuk konvensyen antarabangsa tahun 1973, kami perlu menyediakan makanan selama lima hari bagi kira-kira 60,000 orang! Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Tetapi sekali lagi, nasihat di Amsal 15:22 telah membantu saya. Jadi, saya meminta cadangan daripada saudara-saudara yang matang secara rohani dan berpengalaman dalam industri makanan. Antara mereka terdapat saudara yang menjual daging, menanam sayur, tukang masak, dan saudara yang bekerja sebagai pembeli. Kami telah bekerjasama untuk melaksanakan tugasan yang amat mencabar ini.

Pada tahun 1973, saya dan isteri saya dijemput untuk berkhidmat di Bethel Perancis. Tugasan pertama saya di Bethel sangat mencabar. Saya perlu mencari jalan untuk menghantar bahan bacaan kepada saudara saudari di Cameroon, sebuah negara Afrika yang mengharamkan kerja Saksi dari tahun 1970 hingga 1993. Sekali lagi, saya berasa saya tidak mampu melakukan tugasan ini. Penyelia cawangan Perancis menyedari bahawa saya berasa tawar hati, lalu menggalakkan saya dengan berkata, “Saudara saudari kita di Cameroon sangat memerlukan makanan rohani, mari kita membantu mereka!” Jadi, itulah yang kami lakukan.

Perjumpaan khas di Nigeria bersama Saksi-Saksi dari Cameroon, 1973

Saya membuat beberapa perjalanan ke negara-negara di sekitar Cameroon untuk berjumpa dengan para penatua dari Cameroon. Saudara-saudara yang berani dan bijak itu telah membantu saya membuat aturan untuk membawa makanan rohani ke Cameroon secara tetap. Yehuwa telah memberkati usaha kami. Selama kira-kira 20 tahun, umat Tuhan di negara itu telah menerima setiap terbitan Menara Pengawal dan bahan bacaan bulanan yang dipanggil Our Kingdom Service.

Pada tahun 1977, saya dan Angèle melawat ke Nigeria untuk berjumpa dengan penyelia litar dari Cameroon dan isteri mereka

SAYA BELAJAR BANYAK HAL DARIPADA ISTERI SAYA

Dari mula kami berdating, saya dapat melihat bahawa Angèle merupakan seorang yang berfikiran rohani, dan hal itu menjadi lebih nyata selepas kami berkahwin. Contohnya, pada malam perkahwinan kami, dia meminta saya untuk memberitahu Yehuwa tentang keinginan kami untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuhnya sebagai pasangan suami isteri. Yehuwa telah menjawab doa kami.

Angèle juga membantu saya untuk lebih bergantung pada Yehuwa. Sebagai contoh, pada tahun 1973, semasa kami dijemput untuk berkhidmat di Bethel, saya berasa berat hati untuk menerima tugasan itu kerana saya sangat menyukai kerja litar. Namun, Angèle mengingatkan saya bahawa kami telah membaktikan diri kepada Yehuwa dan patut melakukan apa sahaja yang diminta oleh organisasi-Nya. (Ibr. 13:17) Betul cakap Angèle! Jadi kami pun pergi ke Bethel. Sepanjang puluhan tahun kami hidup bersama, isteri saya yang bijak, munasabah, dan berfikiran rohani, telah mengukuhkan perkahwinan kami dan membantu kami membuat keputusan yang baik.

Bersama Angèle di taman bunga di Bethel Perancis

Walaupun kami sudah lanjut usia, Angèle masih seorang isteri yang baik yang sentiasa menyokong saya. Sebagai contoh, kebanyakan sekolah latihan organisasi kita diadakan dalam bahasa Inggeris. Agar dapat menghadiri sekolah-sekolah ini, Angèle dan saya berusaha untuk memantapkan bahasa Inggeris kami. Jadi, kami menyertai sidang bahasa Inggeris walaupun kami sudah berumur lebih daripada 70 tahun pada masa itu. Namun, oleh sebab saya berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Perancis, saya susah mencari masa untuk belajar bahasa baharu. Meskipun begitu, saya dan Angèle saling membantu. Kini, kami sudah berusia 80-an, dan kami masih terus membuat persiapan untuk perjumpaan bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Kami juga berusaha untuk menginjil dan menghadiri perjumpaan bersama sidang kami dengan sekerap yang mungkin. Yehuwa telah memberkati usaha kami untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Pada tahun 2017, kami telah menerima berkat yang istimewa. Saya dan Angèle dijemput untuk menghadiri Sekolah untuk Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Isteri Mereka, yang diadakan di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York.

Yehuwa sememangnya Pendidik Agung kita. (Yes. 30:20) Maka, tidak hairanlah umat-Nya, baik yang tua atau muda, diberi pendidikan yang terbaik! (Ul. 4:5-8) Saya telah memperhatikan bahawa jika orang muda mendengar nasihat Yehuwa dan rakan seiman yang berpengalaman, mereka dapat membuat keputusan yang bijak dan menjadi penyembah Yehuwa yang setia. Amsal 9:9 mengingatkan kita, “Ajarlah orang yang bijaksana, dan dia akan menjadi lebih bijaksana. Bimbinglah orang yang baik, dan pengetahuannya akan bertambah.”

Ada kalanya, saya mengenang kembali malam yang menakutkan di pergunungan Algeria yang berlaku kira-kira 60 tahun yang lalu. Ketika itu, saya tidak menyangka bahawa saya akan menerima begitu banyak berkat. Saya telah mempelajari banyak hal daripada orang lain, dan Yehuwa telah memberi saya dan Angèle kehidupan yang bermakna dan bahagia. Kami bertekad untuk terus belajar daripada Bapa kita yang di syurga dan daripada saudara saudari yang bijak, berpengalaman, dan yang mengasihi Tuhan.