Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 27

Tirulah Ketabahan Yehuwa

Tirulah Ketabahan Yehuwa

“Jika kamu tabah, nyawa kamu akan terpelihara.”—LUK. 21:19.

LAGU 114 Bersabarlah

PENGENALAN *

1-2. Bagaimanakah kata-kata Yehuwa di Yesaya 65:16, 17 menggalakkan kita agar tidak berputus asa?

“JANGAN PUTUS ASA!” Itulah tema program konvensyen serantau 2017. Konvensyen itu telah mengajar kita cara untuk tetap tabah semasa dilanda cubaan. Kini, empat tahun sudah berlalu, dan kita masih sedang bertabah menghadapi cabaran dalam dunia jahat ini.

2 Apakah cabaran yang anda hadapi baru-baru ini? Kematian ahli keluarga atau sahabat yang dikasihi? Penyakit yang serius? Cabaran akibat usia tua, bencana alam, keganasan, atau penganiayaan? Atau adakah kehidupan anda terjejas akibat wabak penyakit, seperti COVID-19? Sememangnya, kita menanti-nantikan masanya apabila semua masalah ini menjadi kisah silam dan dilupakan sama sekali!​—Baca Yesaya 65:16, 17.

3. Apakah yang mesti kita lakukan sekarang, dan mengapa?

3 Kehidupan dalam dunia ini memang susah, dan kita mungkin menghadapi lebih banyak kesusahan pada masa hadapan. (Mat. 24:21) Jadi, kita perlu terus memantapkan ketabahan kita. Hal ini penting kerana Yesus berkata, “Jika kamu tabah, nyawa kamu akan terpelihara.” (Luk. 21:19) Kita juga akan menjadi lebih tabah jika kita memikirkan bagaimana orang lain yang menghadapi cabaran yang sama dengan kita dapat bertabah.

4. Mengapakah Yehuwa merupakan teladan yang terbaik dalam menunjukkan ketabahan?

4 Siapakah teladan yang terbaik dalam menunjukkan ketabahan? Tuhan Yehuwa. Mungkin itu bukanlah jawapan yang anda jangkakan, namun cuba fikirkan hal ini: Dunia ini dikuasai Iblis dan sarat dengan masalah. Yehuwa mempunyai kuasa untuk mengakhirinya dalam sekelip mata, tetapi Dia sudah menentukan masa untuk bertindak. (Rm. 9:22) Sementara menantikan ketibaan masa itu, Tuhan kita terus menunjukkan ketabahan dalam banyak hal. Mari kita membincangkan sembilan daripadanya.

YEHUWA BERTABAH MENGHADAPI APA?

5. Bagaimanakah nama Tuhan telah dicela? Apakah perasaan anda tentang hal itu?

5 Nama-Nya dicela. Yehuwa mengasihi nama-Nya dan Dia mahu semua orang menghormati nama-Nya. (Yes. 42:8) Namun, selama 6,000 tahun, nama baik-Nya telah dicela. (Mzm. 74:10, 18, 23) Semua ini bermula di Taman Eden, semasa Iblis (yang bererti “Pemfitnah”) menuduh bahawa Tuhan telah menahan sesuatu yang baik daripada Adam dan Hawa supaya mereka tidak dapat hidup bahagia. (Kej. 3:1-5) Sejak itu, Yehuwa dituduh sebagai Tuhan yang tidak memberi manusia apa yang diperlukan mereka. Yesus berasa sangat sedih kerana nama Bapanya telah dicela. Itulah sebabnya dia mengajar para pengikutnya untuk berdoa, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.”​—Mat. 6:9.

6. Mengapakah Yehuwa mengizinkan masa yang lama berlalu sebelum membuktikan bahawa Dia berhak untuk memerintah?

6 Kedaulatan-Nya ditentang. Yehuwa berhak sepenuhnya untuk memerintah syurga dan bumi, dan cara Dia memerintah ialah cara yang terbaik. (Why. 4:11) Namun, Si Iblis cuba menipu malaikat dan manusia dan membuat mereka percaya bahawa Tuhan tidak berhak memerintah. Isu ini tidak dapat diselesaikan dalam sehari. Maka, Tuhan dengan bijaknya membiarkan masa yang panjang berlalu supaya manusia dapat melihat bahawa mereka pasti gagal jika mereka mencuba memerintah diri sendiri tanpa bimbingan Pencipta. (Yer. 10:23) Oleh sebab Tuhan begitu sabar, isu kedaulatan ini dapat diselesaikan sekali buat selama-lamanya. Pada masa itu, semua makhluk di syurga dan di bumi akan tahu bahawa hanya Yehuwa yang dapat memerintah dalam cara yang terbaik, dan hanya Kerajaan-Nya yang dapat membawa keselamatan dan kedamaian yang sejati di bumi.

7. Siapakah yang memberontak terhadap Yehuwa? Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa terhadap mereka?

7 Sesetengah anak-Nya memberontak terhadap-Nya. Yehuwa telah menciptakan para malaikat dan manusia dengan sempurna dan tanpa cacat cela. Namun satu malaikat, iaitu Syaitan (yang bererti “Penentang”), telah menghasut Adam dan Hawa, pasangan manusia yang sempurna itu, untuk melawan Yehuwa. Selepas itu, terdapat malaikat dan manusia lain yang juga menyokong pemberontakan Syaitan. (Yud. 6) Kemudian, orang Israel yang merupakan umat pilihan Tuhan pun menolak-Nya dan menyembah tuhan-tuhan palsu. (Yes. 63:8, 10) Hati Yehuwa pasti sangat terluka semasa Dia dikhianati. Namun, Yehuwa tetap tabah sampai hari ini, dan Dia akan tetap tabah sehingga masanya Dia melenyapkan semua pemberontak. Ketika itu, hamba-hamba-Nya yang setia, yang tabah menghadapi kejahatan dunia ini bersama-sama-Nya, pasti berasa sangat gembira!

8-9. Apakah dusta yang disebarkan tentang Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat membuktikan bahawa dusta itu tidak benar?

8 Dusta Si Iblis. Syaitan menuduh bahawa Ayub dan semua penyembah Yehuwa yang setia menyembah Yehuwa demi kepentingan diri. (Ayb. 1:8-11; 2:3-5) Sehingga hari ini, Si Iblis terus membuat tuduhan yang sama. (Why. 12:10) Kita dapat membantu membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta dengan terus bertabah semasa menghadapi cabaran dan tetap setia kepada Yehuwa kerana mengasihi-Nya. Jika kita bertabah, kita akan diberkati seperti Ayub.​—Yak. 5:11.

9 Syaitan menggunakan pemimpin agama palsu untuk mengajar orang bahawa Yehuwa itu kejam dan bahawa Dialah yang menyebabkan penderitaan manusia. Sesetengah orang bahkan berkata bahawa semasa kanak-kanak meninggal, Tuhanlah yang mengambil mereka kerana Dia memerlukan lebih banyak malaikat di syurga. Ajaran ini memang menghina Tuhan! Namun kita tahu bahawa Tuhan itu kasih. Jadi, semasa kita menghidap penyakit yang serius atau kehilangan orang yang tersayang, kita tidak akan menyalahkan Tuhan kita. Sebaliknya, kita yakin bahawa suatu hari nanti, Dia akan menyelesaikan semua masalah itu. Kita juga ingin memberitahu sesiapa sahaja yang sudi mendengar bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih. Dengan itu, Yehuwa dapat menjawab celaan yang dilemparkan terhadap-Nya.​—Ams. 27:11.

10. Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada Mazmur 22:23, 24?

10 Penderitaan hamba-hamba-Nya yang dikasihi. Yehuwa ialah Tuhan yang berbelas kasihan. Dia sangat sakit hati semasa melihat kita menderita akibat penganiayaan, penyakit, atau ketidaksempurnaan kita. (Baca Mazmur 22:23, 24.) Yehuwa dapat merasai keperitan kita. Dia mahu mengakhirinya dan Dia pasti melakukannya. (Bandingkan Keluaran 3:7, 8; Yesaya 63:9.) Bible memberi kita jaminan ini: “Dia akan menyapu semua air mata [kita], dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.”​—Why. 21:4.

11. Apakah perasaan Yehuwa terhadap hamba-hamba-Nya yang sudah meninggal?

11 Merindui sahabat-sahabat-Nya yang telah meninggal. Yehuwa sangat ingin berjumpa semula dengan lelaki dan wanita yang setia yang telah meninggal. (Ayb. 14:15) Dapatkah anda bayangkan betapa rindunya Yehuwa terhadap sahabat-Nya, Abraham? (Yak. 2:23) Atau Musa yang pernah bercakap dengan-Nya “secara bersemuka”? (Kel. 33:11) Sudah tentu, Dia juga sangat merindui Daud dan pemazmur lain yang menyanyikan lagu pujian yang indah kepada-Nya! (Mzm. 104:33) Walaupun sahabat-sahabat Yehuwa ini sedang tidur dalam kematian, Yehuwa tidak pernah melupai mereka. (Yes. 49:15) Dia mengingati keperibadian mereka dengan begitu terperinci sehingga mereka seolah-olah “masih hidup dalam pandangan-Nya.” (Luk. 20:38) Suatu hari nanti, Yehuwa akan membangkitkan mereka, dan sekali lagi, Yehuwa akan mendengar doa mereka yang ikhlas dan menerima ibadat mereka. Jika orang tersayang anda meninggal, semoga apa yang dinyatakan tentang Yehuwa dalam perenggan ini melegakan hati anda.

12. Apakah yang membuat Yehuwa sangat susah hati pada hari-hari terakhir ini?

12 Manusia jahat menindas orang lain. Semasa pemberontakan tercetus di Taman Eden, Yehuwa tahu bahawa keadaan di bumi akan menjadi semakin teruk sebelum Dia bertindak untuk menyelesaikan masalah manusia. Yehuwa membenci kejahatan, ketidakadilan, dan keganasan, yang berlaku dalam dunia sekarang. Dia sangat mengasihani golongan yang lemah dan yang tidak mampu mempertahankan diri, seperti anak yatim dan balu, kerana mereka sering ditindas. (Za. 7:9, 10) Yehuwa berasa sangat susah hati terutamanya semasa melihat hamba-hamba-Nya yang setia ditindas dan dipenjarakan. Jadi, jika anda menghadapi situasi sedemikian, yakinlah bahawa Yehuwa sedang menghadapinya bersama anda dan Dia amat mengasihi anda.

13. Bagaimanakah nilai moral manusia semakin runtuh? Apakah yang akan dilakukan oleh Tuhan?

13 Keruntuhan moral manusia. Manusia diciptakan untuk meniru teladan Tuhan, tetapi Syaitan suka menggoda mereka untuk berbuat jahat. Pada zaman Nuh, Yehuwa “nampak bahawa manusia di bumi sangat jahat.” Jadi, Tuhan “kecewa dan sakit hati kerana Dia telah menciptakan manusia di bumi.” (Kej. 6:5, 6, 11) Adakah keadaan di bumi bertambah baik sejak itu? Tidak. Si Iblis pasti gembira semasa melihat banyak orang melakukan pelbagai jenis perbuatan seks yang tidak bermoral, sama ada antara orang yang sama jantina atau berlawanan jantina. (Ef. 4:18, 19) Syaitan pasti lebih gembira apabila penyembah Yehuwa jatuh ke dalam dosa. Namun pada waktu yang ditentukan oleh Yehuwa, Dia tidak akan bersabar lagi dan akan menghukum semua orang yang tidak bermoral.

14. Apakah yang sedang dilakukan oleh manusia terhadap bumi dan binatang?

14 Bumi yang diciptakan-Nya dirosakkan. Manusia bukan sahaja “menguasai manusia sehingga mereka menderita,” tetapi mereka juga tidak menjaga bumi dan binatang seperti yang disuruh oleh Yehuwa. (Pkh. 8:9; Kej. 1:28) Sesetengah pakar menyatakan bahawa dalam masa beberapa tahun lagi, perbuatan manusia mungkin menyebabkan kepupusan sejuta lagi spesies * kehidupan. Maka tidak hairanlah ramai orang risau tentang alam semula jadi! Namun, kita bersyukur kerana Yehuwa telah berjanji untuk “membinasakan orang yang merosakkan bumi” dan mengubah bumi menjadi Firdaus.​—Why. 11:18; Yes. 35:1.

APA YANG KITA PELAJARI DARIPADA KETABAHAN YEHUWA

15-16. Apakah yang seharusnya mendorong kita untuk bertabah bersama-sama Yehuwa? Berikan contoh.

15 Bapa kita yang di syurga telah bertabah menghadapi semua masalah yang disebut tadi selama ribuan tahun. (Lihat kotak “ Yehuwa Bertabah Menghadapi Apa?”) Sebenarnya, Yehuwa boleh mengakhiri dunia jahat ini pada bila-bila masa. Namun, oleh sebab Dia bersabar, kita telah meraih manfaat yang besar. Sila fikirkan contoh ini. Sepasang suami isteri diberitahu bahawa bayi mereka yang bakal dilahirkan mempunyai masalah kesihatan yang serius. Setelah dilahirkan, anak itu akan selalu menderita kerana penyakitnya dan akan mati semasa dia masih muda. Meskipun begitu, pasangan tersebut sangat gembira semasa anak itu lahir. Oleh sebab mereka mengasihi anak itu, mereka sanggup bersusah payah untuk menjaganya dan memberinya kehidupan yang terbaik.

16 Sebagai keturunan Adam dan Hawa, kita semua tidak sempurna sejak lahir lagi. Namun, Yehuwa masih mengasihi dan menjaga kita. (1 Yoh. 4:19) Tidak seperti ibu bapa dalam contoh tadi, Yehuwa mampu menyelesaikan masalah kita, dan Dia telah menetapkan masa untuk mengakhiri semua penderitaan kita. (Mat. 24:36) Tidakkah kasih Yehuwa mendorong kita untuk bertabah bersama-sama-Nya sehingga waktu yang ditetapkan-Nya tiba?

17. Bagaimanakah ketabahan Yesus yang digambarkan di Ibrani 12:2, 3 menggalakkan kita agar tetap tabah?

17 Yehuwa merupakan teladan yang sempurna dalam menunjukkan ketabahan, dan Yesus telah meniru ketabahan Bapanya. Semasa Yesus di bumi, dia tetap tabah semasa dia dicaci, dihina, dan dipakukan pada tiang seksaan demi kita. (Baca Ibrani 12:2, 3.) Ketabahan Yehuwa telah memberi Yesus kekuatan untuk tetap tabah, dan teladan Yehuwa dapat menguatkan kita juga.

18. Menurut 2 Petrus 3:9, kesabaran Yehuwa membawa hasil apa?

18 Baca 2 Petrus 3:9. Yehuwa mengetahui masa yang terbaik untuk mengakhiri dunia jahat ini. Oleh sebab Yehuwa begitu sabar, kini terdapat jutaan orang yang menyembah dan memuji-Nya. Kumpulan besar manusia ini sangat bersyukur kerana kesabaran Yehuwa memberi mereka peluang untuk dilahirkan, belajar untuk mengasihi-Nya, dan membaktikan diri kepada-Nya. Pada masa depan, semasa Yehuwa memberikan ganjaran kepada jutaan manusia yang tetap tabah sehingga akhir, hal itu akan membuktikan bahawa keputusan Yehuwa untuk bersabar memang keputusan yang baik.

19. Apakah seharusnya tekad kita? Apakah ganjaran yang menantikan kita?

19 Meskipun Syaitan telah menyebabkan banyak kesedihan dan penderitaan, Yehuwa masih “Tuhan yang gembira.” (1 Tim. 1:11) Teladan Yehuwa mengajar kita bahawa kita juga dapat menghadapi kesusahan dengan tabah dan sukacita, sementara kita menantikan Yehuwa untuk menyucikan nama-Nya, menegakkan kedaulatan-Nya, mengakhiri segala kejahatan, dan menyelesaikan semua masalah kita. Oleh itu, marilah kita bertekad untuk tetap tabah dan sentiasa ingat bahawa Bapa kita yang di syurga juga sedang bertabah. Jika kita berbuat demikian, kita akan melihat betapa benarnya kata-kata ini: “Berbahagialah orang yang tetap tabah semasa menghadapi cubaan, kerana setelah dia mendapat perkenan Yehuwa, dia akan menerima mahkota kehidupan yang dijanjikan oleh-Nya kepada mereka yang sentiasa mengasihi-Nya.”​—Yak. 1:12.

LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu

^ per. 5 Kita semua menghadapi masalah, dan kebanyakan daripada masalah kita tidak dapat diselesaikan pada masa sekarang. Jadi kita perlu terus bertabah. Namun kita tidak keseorangan. Yehuwa juga menunjukkan ketabahan dalam banyak hal. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan sembilan hal. Kita juga akan lihat hasil baik yang diraih daripada ketabahan Yehuwa dan apa yang dapat kita pelajari daripada teladan-Nya.

^ per. 14 Perkataan “spesies” berbeza daripada perkataan “jenis” yang digunakan dalam Bible. Perkataan “jenis” dalam Bible merujuk kepada golongan benda hidup yang lebih luas.