Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 29

Bersukacita kerana Kemajuanmu Sendiri!

Bersukacita kerana Kemajuanmu Sendiri!

“Hendaklah setiap orang . . . berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”​—GAL. 6:4.

LAGU 34 Berjalan di Haluan yang Benar

PENGENALAN *

1. Mengapakah Yehuwa tidak membandingkan kita dengan orang lain?

YEHUWA menyukai kepelbagaian, dan hal ini dapat dilihat menerusi pelbagai ciptaan-Nya, termasuk manusia. Setiap seorang daripada kita adalah unik. Jadi, Yehuwa tidak akan membandingkan anda dengan orang lain. Sebaliknya, Dia memeriksa hati anda, iaitu sifat anda yang sebenarnya. (1 Sam. 16:7) Dia juga mengambil kira kekuatan, kelemahan, dan latar belakang anda. Oleh itu, Dia tidak akan menyuruh anda melakukan sesuatu yang di luar kemampuan anda. Kita perlu meniru teladan Yehuwa dengan memandang diri kita dari sudut pandangan-Nya. Dengan itu, kita akan “berfikiran sihat” dan tidak terlalu memandang tinggi atau terlalu memandang rendah kepada diri sendiri.​—Rm. 12:3.

2. Mengapakah kita tidak patut membandingkan diri dengan orang lain?

2 Memang benar, kita dapat belajar daripada teladan baik orang lain. (Ibr. 13:7) Sebagai contoh, jika seorang rakan seiman mahir menginjil, teladan baiknya dapat membantu kita menjadi penginjil yang lebih mahir. (Flp. 3:17) Namun, meniru teladan baik seseorang berbeza daripada membandingkan diri dengan orang lain. Jika anda membandingkan diri anda dengan orang lain, anda mungkin akan berasa iri hati, tawar hati, atau bahkan berasa diri tidak berguna. Selain itu, seperti yang telah dibincangkan dalam rencana sebelumnya, jika anda cuba bersaing dengan rakan seiman lain, hal itu akan merosakkan hubungan anda dengan Yehuwa. Maka dengan penuh kasih, Yehuwa menasihati kita, “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”​—Gal. 6:4.

3. Apakah kemajuan rohani anda yang telah membuat anda bersukacita?

3 Yehuwa mahu anda bersukacita dengan kemajuan rohani anda sendiri. Sebagai contoh, jika anda telah dibaptis, anda patut berasa gembira kerana telah mencapai matlamat itu. Anda sendiri yang membuat keputusan untuk dibaptis kerana anda mengasihi Tuhan. Fikirkan kemajuan yang telah anda lakukan selepas itu. Misalnya, adakah anda semakin gemar membaca dan mengkaji Bible? Adakah doa anda semakin ikhlas dan bermakna? (Mzm. 141:2) Adakah anda semakin mahir memulakan perbualan semasa kerja penyebaran dan menggunakan alat yang disediakan untuk menginjil? Jika anda mempunyai keluarga, adakah Yehuwa telah membantu anda menjadi suami, isteri, atau ibu bapa yang lebih baik? Jika ya, anda memang patut berasa puas dan gembira!

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Kita dapat membantu orang lain bersukacita kerana kemajuan rohani mereka sendiri, dan kita juga dapat membantu mereka agar tidak membandingkan diri dengan orang lain. Dalam rencana ini, kita akan melihat bagaimana ibu bapa dapat membantu anak mereka, bagaimana suami isteri dapat membantu satu sama lain, dan bagaimana para penatua dan saudara saudari dalam sidang dapat membantu rakan seiman mereka. Akhir sekali, kita akan membincangkan beberapa prinsip Bible yang dapat membantu kita menetapkan matlamat yang munasabah menurut kebolehan dan keadaan kita masing-masing.

APA YANG DAPAT DILAKUKAN OLEH IBU BAPA DAN SUAMI ISTERI

Ibu bapa, tunjukkanlah bahawa anda menghargai usaha setiap anak anda (Lihat perenggan 5-6) *

5. Menurut Efesus 6:4, apakah yang harus dielakkan oleh ibu bapa?

5 Ibu bapa harus mengelak daripada membandingkan anak mereka dengan anak-anak lain atau meminta anak mereka melakukan sesuatu yang di luar kemampuan mereka. Jika tidak, anak mereka mungkin berasa tawar hati. (Baca Efesus 6:4.) Seorang saudari yang bernama Sachiko * berkata, “Guru-guru saya mahu saya dapat keputusan yang lebih baik daripada rakan sekelas lain. Selain itu, ibu saya mahu saya menjadi pelajar yang cemerlang supaya saya dapat memberi kesaksian yang baik kepada guru dan bapa saya yang bukan Saksi. Namun, saya rasa permintaannya terlalu tinggi kerana dia mahu saya mendapat 100 markah dalam peperiksaan. Walaupun saya sudah lama meninggalkan bangku sekolah, ada kalanya saya tertanya-tanya sama ada usaha saya yang terbaik sudah cukup baik bagi Yehuwa atau tidak.”

6. Apakah yang dapat dipelajari ibu bapa daripada Mazmur 131:1, 2?

6 Ibu bapa dapat belajar sesuatu yang penting daripada Mazmur 131:1, 2. (Baca.) Raja Daud berkata bahawa dia “tidak mengejar hal-hal yang terlalu besar” atau yang melampaui batas kemampuannya. Sebaliknya, oleh sebab dia rendah hati dan menyedari keterbatasan diri, dia berasa “tenang dan tenteram.” Apakah pengajarannya? Ibu bapa yang rendah hati bukan sahaja perlu menyedari keterbatasan diri tetapi juga keterbatasan anak mereka. Untuk membantu anak mereka berasa dihargai, ibu bapa harus mengambil kira kekuatan dan kelemahan anak mereka semasa menetapkan matlamat bagi mereka. Seorang saudari yang bernama Marina berkata, “Ibu saya tidak pernah membandingkan saya dengan tiga orang adik-beradik saya atau anak-anak yang lain. Dia mengajar saya bahawa setiap orang mempunyai kebolehan masing-masing, dan dia juga memberitahu saya bahawa setiap seorang daripada kita berharga di mata Yehuwa. Saya sangat bersyukur kepadanya dan saya jarang membandingkan diri dengan orang lain.”

7-8. Bagaimanakah seorang suami dapat menghormati isterinya?

7 Seorang suami Kristian mesti menghormati isterinya. (1 Ptr. 3:7) Salah satu cara dia berbuat demikian adalah dengan menunjukkan bahawa dia sangat menghargai isterinya. Oleh itu, dia tidak akan memintanya melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya, dan dia pasti tidak akan membandingkannya dengan wanita lain. Mengapakah dia tidak harus berbuat demikian? Perhatikan contoh seorang saudari yang bernama Rosa. Suaminya yang bukan Saksi sering membandingkannya dengan wanita lain. Kata-katanya yang menyakitkan hati telah membuat Rosa berasa bahawa dirinya tidak berguna dan tidak dikasihi. Dia berkata, “Saya perlu selalu diyakinkan bahawa Yehuwa menghargai saya.” Seorang suami Kristian akan sentiasa menghormati isterinya kerana dia tahu bahawa perbuatannya akan mempengaruhi hubungannya dengan isterinya dan hubungannya dengan Yehuwa. *

8 Seorang suami yang menghormati isterinya akan memujinya dan memberitahunya bahawa dia mengasihi dan menghargainya. (Ams. 31:28) Perhatikan bagaimana Katerina, yang disebut dalam rencana sebelumnya, telah dibantu oleh suaminya untuk mengatasi perasaan tidak berguna. Semasa Katerina kecil, ibunya selalu mengkritiknya dan membandingkannya dengan budak-budak perempuan yang lain, termasuk kawan-kawannya. Akibatnya, Katerina mula membandingkan dirinya dengan orang lain, bahkan setelah dia menerima kebenaran. Namun, suaminya telah membantunya melawan kecenderungan itu dan memupuk pandangan yang seimbang terhadap dirinya. Katerina berkata, “Dia mengasihi saya, memuji saya atas hal-hal baik yang saya lakukan, dan berdoa untuk saya. Dia juga mengingatkan saya tentang sifat-sifat murni Yehuwa dan membantu membetulkan fikiran saya yang negatif.”

APA YANG DAPAT DILAKUKAN OLEH PENATUA DAN SAUDARA SAUDARI LAIN

9-10. Bagaimanakah para penatua yang pengasih membantu seorang saudari mengatasi kecenderungannya untuk membandingkan diri dengan orang lain?

9 Bagaimanakah penatua dapat membantu mereka yang cenderung membandingkan diri dengan orang lain? Perhatikan pengalaman Saudari Hanuni yang jarang dipuji semasa dia kecil. Dia berkata, “Saya seorang yang pemalu dan berasa saya tidak setanding dengan orang lain. Jadi sejak kecil lagi, saya membandingkan diri dengan orang lain.” Bahkan selepas mempelajari kebenaran dan mula merintis, Hanuni masih membandingkan diri dengan orang lain. Akibatnya, dia berasa tidak dihargai dalam sidang. Namun, sekarang dia seorang perintis yang gembira. Apakah yang membantunya berubah?

10 Hanuni berkata bahawa dia telah dibantu oleh para penatua yang prihatin. Mereka meyakinkannya bahawa dia dihargai dalam sidang dan memujinya atas kesetiaannya. Hanuni menulis, “Ada beberapa kali para penatua meminta saya untuk menggalakkan beberapa orang saudari. Hal itu membuat saya berasa bahawa saya diperlukan dalam sidang. Saya masih ingat masanya apabila para penatua yang pengasih mengucapkan terima kasih kerana saya telah menggalakkan beberapa saudari yang lebih muda. Kemudian, mereka membaca 1 Tesalonika 1:2, 3 bersama saya. Saya sangat tersentuh! Para gembala yang penyayang ini telah membantu saya menghargai peranan saya dalam organisasi Yehuwa.”

11. Bagaimanakah kita dapat membantu “mereka yang remuk hati,” seperti yang digambarkan di Yesaya 57:15?

11 Baca Yesaya 57:15. Yehuwa sangat mengambil berat terhadap “mereka yang remuk hati.” Kita semua, bukan sahaja para penatua, boleh menggalakkan saudara saudari kita yang remuk hati. Salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan mengambil berat terhadap mereka secara ikhlas. Apabila kita berbuat demikian, mereka akan merasai kasih Yehuwa. (Ams. 19:17) Kita juga boleh membantu saudara saudari kita dengan bersikap rendah hati. Kita tidak mahu menunjuk-nunjuk kebolehan kita atau menarik perhatian kepada diri sendiri kerana hal ini mungkin membuat mereka berasa iri hati. Sebaliknya, kita ingin menggunakan kebolehan dan pengetahuan kita untuk menggalakkan satu sama lain.​—1 Ptr. 4:10, 11.

Murid-murid Yesus tertarik kepadanya kerana dia tidak menganggap diri lebih baik daripada mereka. Dia suka bergaul dengan sahabat-sahabatnya(Lihat perenggan 12)

12. Mengapakah orang yang berkedudukan rendah tertarik kepada Yesus? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

12 Kita ingin melayan orang lain sebagaimana Yesus melayan para pengikutnya. Walaupun Yesus ialah manusia yang paling hebat yang pernah hidup di bumi, dia “lemah lembut dan rendah hati.” (Mat. 11:28-30) Selain itu, walaupun dia sangat bijak dan berpengetahuan, dia tidak menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, dia mengajar orang dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami dan menggunakan perumpamaan yang menyentuh hati orang yang berkedudukan rendah. (Luk. 10:21) Tidak seperti para pemimpin agama yang angkuh, Yesus tidak pernah membuat orang berasa bahawa mereka tidak bernilai di mata Tuhan. (Yoh. 6:37) Sebaliknya, dia membuat mereka berasa dihormati.

13. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kasih dan kebaikan hati semasa melayan murid-muridnya?

13 Cara Yesus melayan murid-muridnya menunjukkan bahawa dia baik hati dan pengasih. Dia mengetahui bahawa situasi dan kebolehan mereka berbeza-beza. Jadi, mereka tidak dapat memikul tanggungjawab yang sama atau meluangkan jumlah masa dan tenaga yang sama dalam kerja penyebaran. Namun, Yesus menghargai mereka semua, kerana setiap seorang daripada mereka telah berusaha dengan sedaya upaya. Pandangan Yesus itu dapat dilihat menerusi perumpamaan tentang talenta. Dalam perumpamaan itu, tiga orang hamba telah diamanahkan tugas oleh tuan mereka “berdasarkan kebolehan masing-masing.” Dua orang hamba telah melaksanakan tugas mereka dengan rajin, tetapi salah seorang daripada mereka meraih hasil yang lebih banyak. Meskipun begitu, tuan itu memuji mereka dengan kata-kata yang sama, “Bagus, hamba yang baik dan setia!”​—Mat. 25:14-23.

14. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus semasa melayan orang lain?

14 Yesus melayan kita dengan baik hati dan pengasih. Dia tahu bahawa kebolehan dan keadaan kita berbeza-beza dan dia sangat gembira apabila kita memberikan yang terbaik yang kita mampu. Oleh itu, kita mahu meniru teladan Yesus semasa melayan orang lain. Kita tidak mahu membiarkan rakan seiman kita berasa malu atau tidak dihargai kerana mereka tidak dapat melakukan sebanyak yang dilakukan oleh orang lain. Sebaliknya, marilah kita mencari peluang untuk memuji rakan seiman kita yang menyembah Yehuwa dengan sedaya upaya.

TETAPKAN MATLAMAT YANG MUNASABAH

Raihlah sukacita apabila anda menetapkan dan mencapai matlamat yang munasabah (Lihat perenggan 15-16) *

15-16. Apakah manfaat yang diraih oleh seorang saudari kerana menetapkan matlamat yang munasabah?

15 Jika kita mempunyai matlamat rohani, hidup kita akan lebih bermakna dan mempunyai hala tuju. Namun, kita mesti menetapkan matlamat menurut kebolehan dan keadaan kita. Jika kita menetapkan matlamat menurut kebolehan dan keadaan orang lain, kita akan berasa kecewa dan tawar hati. (Luk. 14:28) Perhatikan contoh Saudari Midori yang merupakan seorang perintis.

16 Semasa Midori masih kecil, bapanya yang bukan Saksi sering membandingkannya dengan adik-beradiknya dan rakan sekolahnya. Akibatnya, Midori berasa dirinya tidak berguna. Namun, apabila dia meningkat dewasa, dia berjaya membina keyakinan diri. Midori berkata, “Saya membaca Bible setiap hari supaya hati saya tenang dan supaya saya dapat merasai kasih Yehuwa.” Selain itu, dia menetapkan matlamat yang munasabah bagi dirinya dan berdoa dengan spesifik supaya Tuhan membantunya mencapai matlamat itu. Hasilnya, Midori dapat bersukacita kerana kemajuan rohaninya.

BERI YEHUWA YANG TERBAIK YANG ANDA MAMPU

17. Bagaimanakah kita dapat “terus membaharui cara [kita] berfikir”? Apakah hasilnya?

17 Kita memerlukan masa untuk menyingkirkan perasaan dan fikiran yang negatif. Itulah sebabnya Yehuwa menggesa kita, “Hendaklah kamu terus membaharui cara kamu berfikir.” (Ef. 4:23, 24) Untuk melakukannya, kita perlu terus berdoa, mengkaji Firman Tuhan, dan membuat perenungan. Selain itu, kita juga perlu bergantung pada kekuatan Yehuwa. Kuasa suci-Nya akan membantu kita mengatasi kecenderungan untuk membandingkan diri kita dengan orang lain. Yehuwa juga dapat membantu kita mengenal pasti jika sikap iri hati dan sombong sudah mula bertumbuh dalam hati kita, dan Dia juga akan membantu kita mencabut sikap-sikap ini dengan segera.

18. Bagaimanakah kata-kata di 2 Tawarikh 6:29, 30 melegakan hati anda?

18 Baca 2 Tawarikh 6:29, 30. Yehuwa mengetahui hati kita. Dia juga tahu bahawa kita perlu berusaha keras untuk melawan pengaruh buruk dunia ini dan ketidaksempurnaan kita. Semasa Yehuwa melihat pergelutan kita, kasih-Nya terhadap kita juga bertambah.

19. Apakah contoh yang digunakan oleh Yehuwa untuk menggambarkan perasaan-Nya terhadap kita?

19 Untuk menggambarkan perasaan-Nya terhadap kita, Yehuwa menggunakan contoh hubungan seorang ibu dengan bayinya. (Yes. 49:15) Perhatikan pengalaman seorang ibu yang bernama Rachel. Dia menulis, “Anak perempuan saya, Stephanie, lahir tidak cukup bulan. Apabila saya melihatnya buat kali pertama, dia sangat kecil dan lemah. Tetapi pada bulan pertama dia perlu dimasukkan dalam inkubator, pihak hospital membenarkan saya untuk mendukungnya setiap hari. Melalui saat-saat itu, terjalinlah hubungan yang rapat antara kami berdua. Sekarang, Stephanie berumur enam tahun. Walaupun saiznya lebih kecil daripada budak-budak yang sebaya dengannya, saya sangat mengasihinya kerana dia telah berjuang untuk terus hidup, dan dia telah membuat saya sangat gembira!” Itulah perasaan Yehuwa terhadap kita semasa Dia melihat kita berusaha keras untuk menyembah-Nya dengan sepenuh jiwa. Tidakkah kita berasa lega kerana Yehuwa memiliki kasih yang begitu mendalam terhadap kita?

20. Sebagai penyembah Yehuwa, mengapakah anda dapat bersukacita?

20 Sebagai penyembah Yehuwa, anda ialah ahli keluarga-Nya yang berharga dan mempunyai keunikan tersendiri. Ingatlah bahawa Yehuwa memimpin anda kepada-Nya bukan kerana anda lebih baik daripada orang lain. Sebaliknya, Dia berbuat demikian kerana Dia memeriksa hati anda dan melihat bahawa anda seorang yang rendah hati, sudi diajar oleh-Nya, dan rela berubah. (Mzm. 25:9) Yakinlah bahawa apabila anda berusaha sedaya upaya untuk menyembah Yehuwa, Dia sangat menghargainya. Ketabahan dan kesetiaan anda membuktikan bahawa anda memiliki “hati yang baik dan jujur.” (Luk. 8:15) Jadi, teruslah memberi Yehuwa yang terbaik yang anda mampu. Dengan itu, anda dapat bersukacita ‘kerana apa yang sudah anda lakukan.’

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

^ per. 5 Yehuwa tidak membandingkan kita dengan orang lain. Namun, ada antara kita yang mungkin membandingkan diri dengan orang lain dan berasa diri tidak berguna. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa kita tidak patut membandingkan diri dengan orang lain. Kita juga akan melihat bagaimana kita dapat membantu ahli keluarga dan ahli sidang untuk melihat diri mereka sebagaimana Yehuwa melihat mereka.

^ per. 5 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 7 Walaupun maklumat ini ditujukan kepada suami, banyak daripada prinsipnya dapat diterapkan oleh isteri.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Semasa penyembahan keluarga, ibu bapa menunjukkan bahawa mereka menghargai apa yang dilakukan oleh setiap anak untuk mengisi bahtera Nuh.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Seorang ibu tunggal yang mempunyai anak kecil merancang jadualnya supaya dapat menjadi perintis sokongan. Dia bersukacita kerana dapat mencapai matlamatnya.