Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 31

Sudikah Anda Menantikan Yehuwa dengan Sabar?

Sudikah Anda Menantikan Yehuwa dengan Sabar?

“Dengan sabar, aku akan menantikan Tuhan.”​—MI. 7:7.

LAGU 128 Bertahan hingga Akhir

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

APAKAH perasaan anda jika anda sedang menunggu kawan anda untuk menghantar suatu barang yang anda perlukan, tetapi dia tidak sampai pada masa yang telah dijanjikan? Adakah anda berasa kecewa? Amsal 13:12 menyatakan, “Harapan yang tidak tercapai memedihkan hati.” Namun, bagaimana pula jika anda mendapat tahu bahawa terdapat sebabnya kawan anda tidak sampai pada masa yang anda harapkan? Kemungkinan besar anda akan sudi menunggu dengan sabar.

2 Dalam rencana ini, kita akan melihat beberapa prinsip Bible yang dapat membantu kita supaya terus menunggu dengan sabar. Kemudian, kita akan mengkaji dua keadaan yang membuat kita perlu menunggu Yehuwa “dengan sabar.” (Mi. 7:7) Akhirnya, kita akan membincangkan berkat-berkat yang menantikan mereka yang sudi menunggu Yehuwa dengan sabar.

PRINSIP BIBLE YANG MENGAJAR KITA UNTUK BERSABAR

3. Apakah yang kita pelajari daripada prinsip di Amsal 13:11?

3 Amsal 13:11 mengajar kita satu sebab mengapa kita harus bersabar. Ayat itu menyatakan, “Kekayaan yang diperoleh dengan mudah, cepat habis, tetapi kekayaan yang dikumpulkan sedikit demi sedikit akan bertambah.” Apakah pengajarannya? Orang yang bijak akan bertindak langkah demi langkah dan bersabar. Dengan itu, dia akan meraih hasil yang baik.

4. Apakah yang kita pelajari daripada prinsip di Amsal 4:18?

4 Amsal 4:18 menyatakan bahawa “jalan orang yang melakukan apa yang benar bagaikan sinaran mentari pada waktu fajar; kian lama kian cerah sehingga sinarannya terang-benderang.” Kata-kata ini tepat menggambarkan cara Yehuwa menyingkapkan tujuan-Nya kepada umat-Nya, iaitu secara bertahap-tahap. Namun, ayat itu juga menunjukkan bahawa orang Kristian memerlukan masa untuk membuat kemajuan rohani. Oleh itu, jika kita meneliti dan menerapkan nasihat yang diberikan melalui Firman Tuhan dan organisasi-Nya, secara beransur-ansur kita dapat memupuk keperibadian Kristus dan semakin mengenali Tuhan. Perhatikan sebuah perumpamaan yang digunakan oleh Yesus untuk menjelaskan hal ini.

Sebagaimana tanaman bertumbuh sedikit demi sedikit, orang yang mendengar dan menerima berita baik Kerajaan Tuhan juga bertumbuh secara rohani sedikit demi sedikit (Lihat perenggan 5)

5. Bagaimanakah Yesus menjelaskan bahawa pertumbuhan rohani berlaku secara bertahap-tahap?

5 Yesus berkata bahawa berita tentang Kerajaan Tuhan adalah seperti benih yang beransur-ansur bertumbuh dalam hati orang yang jujur. Dia berkata, “Benih-benih itu bercambah dan bertumbuh tinggi, tetapi dia [penabur benih] tidak tahu bagaimana hal itu berlaku. Tanah itulah yang mengeluarkan hasilnya secara bertahap-tahap: Mula-mula tangkai, kemudian bulir, dan akhirnya gandum yang masak.” (Mrk. 4:27, 28) Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus? Sebagaimana tanaman bertumbuh sedikit demi sedikit, orang yang menerima berita baik Kerajaan Tuhan juga bertumbuh secara rohani sedikit demi sedikit. Sebagai contoh, apabila pelajar Bible kita semakin menghampiri Yehuwa, kita akan melihat mereka membuat semakin banyak perubahan yang baik. (Ef. 4:22-24) Namun kita mesti ingat bahawa Yehuwalah yang menyebabkan benih kebenaran untuk bertumbuh.​—1 Kor. 3:7.

6-7. Apakah yang anda pelajari daripada cara Yehuwa menciptakan bumi?

6 Dalam segala perbuatan Yehuwa, Dia tidak bertindak dengan tergesa-gesa. Sebaliknya, Dia melakukan segala pekerjaan-Nya dengan sabar demi memuliakan nama-Nya dan demi manfaat orang lain. Contohnya, perhatikan bagaimana Yehuwa menyediakan bumi secara beransur-ansur untuk didiami manusia.

7 Semasa menggambarkan bagaimana Yehuwa menciptakan bumi, Bible menyatakan bahawa Dia “menentukan keluasan bumi,” menyediakan alas bagi “tiang-tiang penyangga bumi,” dan “meletakkan batu penjuru bumi.” (Ayb. 38:5, 6) Yehuwa bahkan meluangkan masa untuk memeriksa hasil ciptaan-Nya. (Kej. 1:10, 12) Dapatkah anda bayangkan perasaan para malaikat semasa melihat Yehuwa menciptakan segala sesuatu secara beransur-ansur? Mereka pasti berasa sangat teruja kerana Bible menyatakan bahawa mereka mula “bersorak-sorak dengan gembira.” (Ayb. 38:7) Yehuwa telah menciptakan segala sesuatu dengan sangat teliti dan mengambil masa beribu-ribu tahun untuk menyelesaikan pekerjaan-Nya. Namun, semasa Dia melihat hasil ciptaan-Nya, Dia “sangat berpuas hati.”​—Kej. 1:31.

8. Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

8 Daripada contoh-contoh tadi, jelaslah bahawa terdapat banyak prinsip Bible yang mengajar kita pentingnya untuk bersabar. Sekarang, mari kita membincangkan dua keadaan yang membuat kita perlu sudi menantikan Yehuwa.

BILAKAH KITA PERLU MENANTIKAN YEHUWA?

9. Bilakah kita perlu menantikan Yehuwa?

9 Kita mungkin perlu menunggu doa kita dijawab. Semasa kita berdoa meminta kekuatan untuk menghadapi cubaan atau mengatasi kelemahan, kita mungkin berasa bahawa Yehuwa lambat menjawab doa kita. Mengapakah Yehuwa tidak segera menjawab semua doa kita?

10. Mengapakah kita perlu bersabar semasa menunggu Yehuwa menjawab doa kita?

10 Yehuwa mendengar doa kita dengan teliti. (Mzm. 65:2) Dalam pandangan-Nya, doa kita yang ikhlas membuktikan bahawa kita beriman. (Ibr. 11:6) Namun, Yehuwa juga ingin melihat kita menunjukkan bahawa kita bertekad untuk bertindak selaras dengan doa kita dan melakukan kehendak-Nya. (1 Yoh. 3:22) Jadi, apabila kita meminta bantuan Yehuwa untuk mengatasi kelemahan atau tabiat buruk, kita perlu terus bersabar dan terus berusaha untuk berubah. Yesus menjelaskan bahawa sesetengah doa kita mungkin tidak segera dijawab. Oleh itu, dia menggesa kita, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibuka bagimu. Hal ini demikian kerana setiap orang yang terus meminta akan menerima, setiap orang yang terus mencari akan menemukan, dan pintu pasti akan dibuka bagi setiap orang yang terus mengetuk.” (Mat. 7:7, 8) Apabila kita mengikut nasihat ini dan “berdoa dengan tekun,” kita dapat yakin bahawa Bapa kita yang di syurga pasti mendengar dan menjawab doa kita.​—Kol. 4:2.

Sementara menunggu Yehuwa, kita terus berdoa kepada-Nya dan percaya bahawa Dia akan menjawab doa kita (Lihat perenggan 11) *

11. Jika kita berasa bahawa Yehuwa lambat menjawab doa kita, apakah yang harus kita ingat? (Ibrani 4:16)

11 Walaupun doa kita nampaknya lambat dijawab, Yehuwa berjanji bahawa Dia akan menjawab doa kita tepat pada masanya, iaitu “semasa kita memerlukan bantuan.” (Baca Ibrani 4:16.) Itulah sebabnya kita sama sekali tidak patut menyalahkan Yehuwa jika apa yang kita doakan tidak berlaku pada masa yang kita harapkan. Contohnya, Yesus mengajar kita untuk berdoa agar Kerajaan Tuhan datang, dan ramai antara kita sudah berdoa selama bertahun-tahun agar Kerajaan Tuhan mengakhiri dunia jahat ini. (Mat. 6:10) Namun, alangkah bodohnya jika seseorang kehilangan iman kerana akhir tidak datang pada waktu yang dijangkakan oleh manusia! (Hab. 2:3; Mat. 24:44) Bukankah lebih bijak jika kita terus menantikan Yehuwa, terus berdoa kepada-Nya, dan percaya bahawa Dia pasti menjawab doa kita? Ingatlah bahawa Yehuwa sudah menentukan hari dan waktu yang terbaik untuk mengakhiri dunia jahat ini, dan Dia pasti bertindak tepat pada masanya.​—Mat. 24:36; 2 Ptr. 3:15.

Bagaimanakah kita dapat meniru kesabaran Yusuf? (Lihat perenggan 12-14)

12. Bilakah kita mungkin berasa susah untuk bersabar?

12 Kita perlu bersabar semasa dilayan dengan tidak adil. Ramai orang ditindas kerana jantina, bangsa, kaum, budaya, atau tempat lahir mereka. Yang lain pula dilayan dengan buruk kerana mempunyai kekurangan dari segi fizikal ataupun mental. Ramai daripada umat Yehuwa dilayan dengan tidak adil kerana kepercayaan mereka yang berdasarkan Bible. Apabila kita dilayan dengan tidak adil, ingatlah kata-kata Yesus ini: “Sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” (Mat. 24:13) Namun, apakah yang patut anda lakukan jika anda mengetahui bahawa seseorang di sidang anda telah melakukan dosa yang serius? Selepas para penatua diberitahu tentang hal itu, adakah anda akan bersabar dan percaya bahawa mereka akan menangani perkara itu mengikut cara Yehuwa? Apakah yang mungkin dilakukan oleh para penatua apabila seseorang melakukan dosa yang serius?

13. Bagaimanakah para penatua dapat menangani kes salah laku yang serius mengikut cara Yehuwa?

13 Semasa para penatua mendapat tahu bahawa seseorang di sidang telah melakukan dosa yang serius, mereka akan berdoa untuk memohon “kebijaksanaan yang datang dari syurga” supaya mereka memiliki pandangan Yehuwa terhadap hal itu. (Yak. 3:17) Seboleh-bolehnya, mereka ingin membantu pendosa itu untuk “berpaling daripada haluan yang salah.” (Yak. 5:19, 20) Mereka juga ingin berusaha sedaya upaya untuk melindungi sidang dan melegakan hati orang yang terluka. (2 Kor. 1:3, 4) Semasa menangani kes salah laku yang serius, para penatua mesti menyiasat perkara itu dengan teliti terlebih dahulu, dan hal itu mungkin mengambil masa. Kemudian, mereka akan berdoa dan menggunakan Bible untuk memberikan disiplin “dengan saksama.” (Yer. 30:11) Semasa menangani kes sebegini, para penatua tidak akan berlambat-lambat, tetapi mereka juga tidak akan membuat keputusan secara tergesa-gesa. Apabila para penatua bertindak mengikut arahan Yehuwa, sidang akan meraih manfaat yang terbesar. Namun, walaupun para penatua menangani masalah dengan cara yang betul, orang yang disakiti kerana perbuatan berdosa mungkin masih berasa terluka. Jika anda ialah orang yang disakiti, apakah yang dapat anda lakukan untuk mendapat kelegaan?

14. Jika rakan seiman anda membuat anda sangat terluka, apakah contoh Bible yang dapat membantu anda?

14 Pernahkah orang lain membuat anda berasa amat terluka? Hal ini mungkin berlaku bahkan dalam kalangan saudara saudari. Terdapat contoh-contoh baik dalam Bible yang mengajar kita bagaimana kita dapat menunggu Yehuwa dengan sabar untuk menegakkan keadilan. Sebagai contoh, walaupun Yusuf dilayan dengan tidak adil oleh abang-abangnya, dia tidak membiarkan dirinya menjadi marah dan kecewa akibat perbuatan mereka. Sebaliknya, dia bertumpu untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Akhirnya, dia diberkati dengan melimpah kerana ketabahan dan kesabarannya. (Kej. 39:21) Seraya masa berlalu, Yusuf dapat memaafkan orang yang menyakitinya dan melihat bagaimana Yehuwa telah memberkatinya. (Kej. 45:5) Seperti Yusuf, kita dapat dilegakan jika kita menghampiri Yehuwa dan menantikan-Nya untuk menegakkan keadilan.​—Mzm. 7:17; 73:28.

15. Apakah yang membantu seorang saudari tetap sabar dan tenang semasa dilayan dengan tidak adil?

15 Sudah tentu, bukan semua orang akan dilayan dengan begitu buruk seperti yang berlaku kepada Yusuf. Tetapi semasa kita dilayan dengan tidak adil, kita memang akan berasa sakit hati. Semasa timbulnya masalah antara kita dengan orang lain, termasuk mereka yang bukan penyembah Yehuwa, kita akan meraih manfaat jika kita menerapkan prinsip Bible. (Flp. 2:3, 4) Perhatikan pengalaman seorang saudari. Dia berasa sangat terluka semasa mendapat tahu bahawa seorang rakan sekerjanya memburuk-burukkannya dan mengatakan hal yang tidak benar tentangnya kepada rakan sekerja yang lain. Namun, saudari itu tidak terburu-buru membela diri. Sebaliknya, dia meluangkan masa untuk merenungkan bagaimana Yesus tidak membalas dengan hinaan semasa dia dihina. (1 Ptr. 2:21, 23) Setelah merenungkan contoh Yesus, saudari itu memutuskan untuk membiarkan hal itu berlalu. Kemudian, dia mendapat tahu bahawa rakan sekerja itu sebenarnya menghidap masalah kesihatan yang serius dan sangat tertekan. Maka, dia menyimpulkan bahawa rakan sekerjanya itu mungkin tidak sengaja memburuk-burukkannya. Saudari itu berasa gembira kerana dia bersabar semasa dilayan dengan buruk, dan hatinya berasa tenteram.

16. Apakah yang harus anda ingat jika anda dilayan dengan tidak adil? (1 Petrus 3:12)

16 Jika anda rasa sakit hati akibat ketidakadilan atau hal-hal lain, ingatlah bahawa Yehuwa dekat dengan “orang yang remuk hati.” (Mzm. 34:18) Dia mengasihi anda kerana anda bersabar dan melemparkan beban anda kepada-Nya. (Mzm. 55:22) Ingatlah bahawa Dia ialah Hakim bagi seluruh bumi dan tiada apa-apa yang terlepas daripada pandangan-Nya. (Baca 1 Petrus 3:12.) Jadi, semasa menghadapi masalah yang tidak dapat anda selesaikan, sudikah anda menunggu Yehuwa untuk bertindak?

BERKAT YANG TAK TERHINGGA UNTUK MEREKA YANG MENANTIKAN YEHUWA

17. Apakah janji Yehuwa kepada kita di Yesaya 30:18?

17 Tidak lama lagi, Bapa kita yang di syurga akan memberkati kita dengan melimpah menerusi Kerajaan-Nya. Yesaya 30:18 menyatakan, “Yehuwa sedang menunggu dengan sabar untuk menunjukkan belas kasihan kepada kamu; Yehuwa akan bangkit untuk mengasihani kamu, kerana Dia ialah Tuhan yang adil. Berbahagialah orang yang terus menanti-nantikan-Nya.” Orang yang menantikan Yehuwa akan menerima banyak berkat pada masa sekarang dan juga di dunia baharu nanti.

18. Apakah berkat-berkat yang menantikan kita?

18 Semasa umat Tuhan memasuki dunia baharu nanti, mereka tidak lagi perlu menghadapi kerisauan dan masalah seperti yang berlaku pada hari ini. Pada masa itu, ketidakadilan dan kesakitan akan tiada lagi. (Why. 21:4) Kita juga tidak perlu risau tentang barang keperluan kerana semuanya akan disediakan secara melimpah. (Mzm. 72:16; Yes. 54:13) Bukankah itu berkat yang cukup istimewa?

19. Yehuwa sedang mempersiapkan kita untuk apa?

19 Kini, Yehuwa sedang mempersiapkan kita untuk hidup di bawah pemerintahan-Nya dengan membantu kita mengatasi tabiat buruk dan memupuk sifat-sifat yang diingini-Nya. Maka, janganlah patah semangat dan janganlah berhenti menyembah Yehuwa. Masa depan yang cerah menantikan kita! Oleh itu, marilah kita bersukacita dan menunggu dengan sabar sehingga Yehuwa menunaikan janji-Nya.

LAGU 118 “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”

^ per. 5 Pernahkah anda mendengar seorang yang sudah lama menyembah Yehuwa berkata, “Sekarang saya sudah tua tetapi saya tidak sangka dunia jahat ini masih belum berakhir.” Kita semua tidak sabar-sabar melihat Yehuwa mengakhiri dunia yang jahat ini, terutamanya pada masa yang susah sekarang. Namun kita mesti belajar untuk bersabar. Dalam rencana ini, kita akan melihat prinsip-prinsip Bible yang akan membantu kita untuk menunggu dengan sabar. Kita juga akan mengkaji dua keadaan yang membuat kita perlu menunggu Yehuwa dengan sabar. Akhirnya, kita akan melihat berkat-berkat yang menantikan mereka yang sudi menunggu dengan sabar.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Sejak kecil lagi, seorang saudari sering berdoa kepada Yehuwa. Semasa kecil, ibu bapanya mengajarnya cara untuk berdoa. Dia mula merintis semasa remaja dan sering berdoa agar Yehuwa memberkati usahanya dalam kerja penyebaran. Bertahun-tahun kemudian, semasa suaminya sakit tenat, dia merayu kepada Yehuwa untuk meminta kekuatan supaya dia dapat bertabah. Kini, dia seorang balu, dan dia terus berdoa dengan tekun. Dia yakin bahawa Yehuwa akan menjawab doanya seperti yang dilakukan oleh Yehuwa selama ini.