Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 36

Hargailah Orang Muda dalam Sidang

Hargailah Orang Muda dalam Sidang

“Kemuliaan orang muda ialah kekuatan mereka.”​—AMS. 20:29.

LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu

PENGENALAN *

1. Apakah matlamat yang dapat kita tetapkan apabila usia kita semakin meningkat?

APABILA usia kita semakin meningkat, kita mungkin risau kita tidak lagi berguna kepada Yehuwa seperti dahulu. Namun, walaupun kekuatan kita sudah berkurang, kita dapat menggunakan kebijaksanaan dan pengalaman yang telah kita peroleh untuk membantu orang yang lebih muda, supaya mereka dapat berkhidmat dalam organisasi Yehuwa dan memikul lebih banyak tanggungjawab. Seorang saudara yang sudah lama berkhidmat sebagai penatua berkata, “Apabila saya mula rasa kemampuan saya terhad kerana usia yang semakin meningkat, saya bersyukur kerana terdapat saudara-saudara yang lebih muda, yang sudah memenuhi syarat untuk memikul tanggungjawab.”

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Rencana sebelumnya telah membincangkan bagaimana orang muda meraih manfaat apabila mereka bersahabat dengan orang yang lanjut usia. Dalam rencana ini, kita akan melihat bagaimana sifat kerendahan hati, menyedari keterbatasan diri, kesyukuran, dan kemurahan hati, dapat membantu orang yang lanjut usia untuk bekerjasama dengan orang yang lebih muda. Dengan itu, seluruh sidang akan meraih manfaat.

KERENDAHAN HATI

3. Menurut Filipi 2:3, 4, apakah maksud kerendahan hati? Bagaimanakah sifat ini dapat membantu orang Kristian?

3 Orang yang lanjut usia mesti rendah hati jika mereka ingin membantu orang yang lebih muda. Seseorang yang rendah hati akan memandang orang lain lebih baik daripada dirinya. (Baca Filipi 2:3, 4.) Orang yang lanjut usia yang menunjukkan sifat ini sedar bahawa terdapat lebih daripada satu cara yang berkesan dan selaras dengan prinsip Bible untuk melakukan suatu tugasan. Jadi, mereka tidak mengharapkan orang lain untuk mengikut cara mereka menjalankan tugas pada masa dahulu. (Pkh. 7:10) Mereka memang mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsi kepada generasi muda. Namun, mereka juga sedar bahawa “keadaan dunia ini sedang berubah,” dan mereka mungkin perlu membuat perubahan seiring dengan peredaran zaman.​—1 Kor. 7:31.

Orang yang lanjut usia mengongsi pengalaman mereka dengan murah hati (Lihat perenggan 4-5) *

4. Bagaimanakah para penyelia litar menunjukkan sikap seperti orang Lewi?

4 Warga emas yang rendah hati sedar bahawa mereka tidak lagi dapat melakukan sebanyak yang dilakukan mereka dahulu. Sebagai contoh, fikirkan para penyelia litar kita. Semasa mereka mencapai umur 70 tahun, mereka dijemput untuk menerima tugasan yang berbeza. Hal itu mungkin mencabar kerana kerja lawatan dekat di hati mereka. Mereka sangat suka berkhidmat kepada saudara saudari, dan mereka masih mempunyai keinginan yang kuat untuk meneruskan khidmat mereka. Namun, mereka sedar bahawa saudara-saudara yang lebih muda diperlukan untuk melakukan kerja lawatan. Oleh itu, mereka menunjukkan sikap seperti orang Lewi pada zaman Israel kuno, yang perlu berhenti berkhidmat di khemah suci pada usia 50 tahun. Orang Lewi yang lebih tua tidak kehilangan sukacita walaupun tanggungjawab mereka telah berubah. Sebaliknya, mereka melakukan apa yang mereka mampu dengan penuh semangat, dan mereka membantu orang Lewi yang lebih muda. (Bil. 8:25, 26) Begitu juga dengan saudara-saudara yang pernah berkhidmat sebagai penyelia litar. Walaupun mereka tidak lagi melawat sidang-sidang, mereka masih memberikan banyak bantuan dan galakan kepada sidang mereka sendiri.

5. Apakah yang dapat anda pelajari daripada contoh Daniel dan Katie?

5 Perhatikan contoh Daniel, * yang telah berkhidmat sebagai penyelia litar selama 23 tahun. Semasa umur Daniel mencecah 70 tahun, dia dan isterinya Katie telah ditugaskan sebagai perintis khas. Adakah mereka menikmati tugasan baharu mereka? Daniel berkata bahawa dia lebih sibuk berbanding dahulu. Dia perlu memikul tanggungjawab dalam sidang, membantu saudara-saudara memenuhi syarat sebagai pembantu sidang, dan melatih penyiar untuk menginjil di kawasan bandar raya dan penjara. Saudara saudari yang lanjut usia, tidak kira anda berkhidmat sepenuh masa atau tidak, anda dapat membantu orang lain dalam banyak cara. Bagaimana? Biasakan diri dengan keadaan baharu anda, tetapkan matlamat yang baharu, dan bertumpu kepada apa yang dapat anda lakukan, bukannya apa yang tidak dapat anda lakukan.

MENYEDARI KETERBATASAN DIRI

6. Mengapakah kita perlu menyedari keterbatasan diri? Jelaskan.

6 Seseorang yang menyedari keterbatasan diri tidak akan mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuannya. (Ams. 11:2) Dengan itu, dia dapat terus bekerja keras dan bersukacita. Seseorang yang menyedari keterbatasan diri adalah seperti seorang pemandu yang menukar ke gear rendah untuk menaiki bukit. Memang benar, kelajuannya akan berkurang, namun dia masih dapat terus bergerak ke depan. Begitu juga, seseorang yang menyedari keterbatasan diri tahu bila dia perlu “menukar ke gear rendah” supaya dia dapat terus berkhidmat kepada Yehuwa dan membantu orang lain.​—Flp. 4:5.

7. Bagaimanakah Barzilai menunjukkan bahawa dia menyedari keterbatasan dirinya?

7 Perhatikan contoh Barzilai. Semasa dia berumur 80 tahun, Raja Daud menjemputnya untuk menjadi salah seorang penasihat di istana. Namun, Barzilai menolak jemputan itu kerana dia tahu kemampuannya terbatas disebabkan usianya yang tua. Maka, dia mencadangkan agar Kimham yang lebih muda dipilih untuk berkhidmat kepada raja. (2 Sam. 19:35-37) Seperti Barzilai, para saudara yang lanjut usia berasa gembira untuk memberikan peluang kepada saudara muda untuk berkhidmat.

Yehuwa memutuskan bahawa Salomo akan membina Rumah-Nya. Raja Daud menerima keputusan Yehuwa (Lihat perenggan 8)

8. Bagaimanakah Raja Daud menunjukkan bahawa dia menyedari keterbatasan diri semasa dia ingin membina Rumah Yehuwa?

8 Raja Daud juga menyedari keterbatasan dirinya. Sebagai contoh, dia sangat ingin membina Rumah Yehuwa. Namun, sewaktu Yehuwa memberitahunya bahawa kerja ini akan dilakukan oleh Salomo, Daud menerima keputusan Yehuwa dan menyokong projek itu dengan sepenuh hati. (1 Taw. 17:4; 22:5) Daud tidak berfikir bahawa dia lebih layak melakukan kerja itu kerana pada masa itu, Salomo “masih muda dan tidak berpengalaman.” (1 Taw. 29:1) Daud sedar bahawa kejayaan projek itu bergantung pada berkat Yehuwa, bukannya pada usia atau pengalaman orang yang mengambil pimpinan. Seperti Daud, saudara saudari yang lanjut usia terus bekerja keras untuk Yehuwa biarpun tugasan mereka sudah berubah. Mereka juga yakin Yehuwa akan memberkati orang muda yang mengambil alih tugasan mereka.

9. Bagaimanakah seorang ahli Jawatankuasa Cawangan menunjukkan bahawa dia menyedari keterbatasan diri?

9 Dewasa ini, terdapat juga mereka yang menunjukkan bahawa mereka menyedari keterbatasan diri. Fikirkan contoh Shigeo. Pada tahun 1976, semasa dia berumur 30 tahun, dia dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan, dan pada tahun 2004, dia menjadi koordinator Jawatankuasa Cawangan. Kemudian, dia menyedari bahawa dia tidak sekuat dahulu dan memerlukan masa yang lama untuk menyelesaikan pekerjaannya. Maka, dia berdoa dan memikirkan manfaatnya jika seorang saudara yang lebih muda mengambil alih tugasannya. Kini, Shigeo tidak lagi berkhidmat sebagai koordinator. Namun, dia masih seorang ahli Jawatankuasa Cawangan. Seperti Barzilai, Raja Daud, dan Shigeo, seseorang yang rendah hati dan menyedari keterbatasan diri akan bertumpu kepada kekuatan orang muda, dan bukannya pengalaman mereka. Dia juga akan menganggap mereka sebagai rakan sekerja dan bukannya sebagai pesaing.​—Ams. 20:29.

KESYUKURAN

10. Apakah sepatutnya pandangan orang yang lanjut usia terhadap orang muda dalam sidang?

10 Orang yang lanjut usia memandang orang muda sebagai hadiah daripada Yehuwa. Seraya tenaga orang yang lanjut usia semakin berkurang, mereka bersyukur kerana terdapat orang muda yang bertenaga dan sudi berkhidmat dalam sidang.

11. Menurut kisah di Rut 4:13-16, apakah manfaatnya jika warga emas sudi menerima bantuan daripada orang yang lebih muda?

11 Dalam Bible, terdapat contoh warga emas yang menghargai dan menerima bantuan daripada orang yang lebih muda. Perhatikan contoh Naomi. Pada mulanya, Naomi menyuruh Rut, menantunya yang sudah menjadi balu itu, untuk kembali kepada keluarganya. Namun, Rut berkeras hendak mengikut Naomi kembali ke Betlehem. Apakah reaksi Naomi? Dia sangat gembira kerana Rut sudi mengikutnya, dan dia sudi menerima bantuan Rut. (Rut 1:7, 8, 18) Hasilnya, kedua-dua wanita itu meraih berkat yang besar! (Baca Rut 4:13-16.) Warga emas yang rendah hati pasti ingin meniru teladan Naomi.

12. Bagaimanakah Rasul Paulus menunjukkan kesyukurannya?

12 Rasul Paulus bersyukur atas bantuan yang diterimanya. Sebagai contoh, dia berterima kasih kepada orang Kristian di Filipi yang mengirim barang kepadanya. (Flp. 4:16) Dia juga meluahkan penghargaannya atas bantuan yang diberikan oleh Timotius. (Flp. 2:19-22) Selain itu, semasa dia dihantar ke Roma sebagai banduan, dia bersyukur kepada Tuhan apabila saudara saudari di situ datang untuk menggalakkannya. (Kis. 28:15) Sebenarnya, Paulus seorang yang sangat bertenaga, dan dia telah membuat perjalanan beribu-ribu kilometer untuk menginjil dan menguatkan sidang-sidang. Namun, dia tidak terlalu sombong sehingga enggan menerima bantuan daripada saudara saudarinya.

13. Bagaimanakah saudara saudari yang lanjut usia dapat menunjukkan bahawa mereka menghargai orang muda?

13 Saudara saudari yang lanjut usia, terdapat pelbagai cara untuk menunjukkan bahawa anda menghargai orang muda dalam sidang anda. Jika mereka menawarkan diri untuk membantu anda dari segi pengangkutan, membantu anda membeli barang, atau membantu anda melakukan hal-hal lain, terimalah bantuan mereka dengan rasa syukur. Pandanglah bantuan mereka sebagai tanda bahawa Yehuwa mengasihi anda. Jika anda berbuat demikian, anda mungkin akan menjadi sahabat rapat dengan mereka. Setelah menjalin persahabatan sebegini, teruslah membantu mereka untuk maju secara rohani, dan beritahulah mereka bahawa anda sangat gembira semasa melihat orang muda berusaha untuk membantu dalam sidang. Selain itu, luangkanlah masa untuk mengongsi pengalaman hidup anda dengan mereka. Dengan melakukan hal-hal ini, anda menunjukkan kepada Yehuwa bahawa anda bersyukur atas orang muda yang dipimpin-Nya ke dalam sidang.​—Kol. 3:15; Yoh. 6:44; 1 Tes. 5:18.

KEMURAHAN HATI

14. Bagaimanakah Raja Daud menunjukkan kemurahan hati?

14 Contoh Raja Daud menunjukkan satu lagi sifat yang perlu dimiliki oleh warga emas, iaitu kemurahan hati. Raja Daud telah menyumbangkan banyak wang dan barang berharga yang dimilikinya sendiri untuk menyokong projek pembinaan Rumah Tuhan. (1 Taw. 22:11-16; 29:3, 4) Dia memberikan semua sumbangan itu, walaupun dia tahu akhirnya bangunan itu akan dikenali sebagai Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo. Jadi, saudara saudari yang lanjut usia, walaupun anda tidak lagi mempunyai kekuatan fizikal untuk menyertai projek pembinaan teokratik, anda masih dapat memberikan sumbangan menurut kemampuan anda untuk menyokong projek-projek ini. Anda juga dapat mengongsi pengalaman anda dengan orang muda.

15. Apakah yang dikongsi oleh Rasul Paulus kepada Timotius?

15 Sekarang, perhatikan pula bagaimana Rasul Paulus menunjukkan kemurahan hati. Dia menjemput Timotius yang lebih muda daripadanya untuk menginjil bersamanya di merata tempat, dan Paulus dengan murah hati berkongsi cara menginjil dan mengajar kepada Timotius. (Kis. 16:1-3) Latihan Paulus telah membantu Timotius untuk menyebarkan berita baik dengan berkesan. (1 Kor. 4:17) Bukan itu sahaja, Timotius telah menggunakan apa yang dipelajarinya daripada Paulus untuk melatih orang lain.

16. Mengapakah Shigeo melatih orang lain?

16 Orang Kristian yang lanjut usia tidak risau mereka akan menjadi tidak berguna jika mereka melatih orang yang lebih muda untuk mengambil alih tugas mereka dalam sidang. Sebagai contoh, selama bertahun-tahun, Shigeo yang disebut tadi telah melatih ahli Jawatankuasa Cawangan yang lebih muda. Dia berbuat demikian untuk memajukan kegiatan umat Tuhan di negara dia ditugaskan. Hasilnya, apabila dia tidak dapat berkhidmat sebagai koordinator lagi, seorang saudara yang sudah dilatih dapat menggantinya sebagai koordinator. Kini, Shigeo telah berkhidmat lebih daripada 45 tahun sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan, dan dia terus mengongsi pengalamannya dengan saudara-saudara yang lebih muda. Warga emas seperti Shigeo sememangnya berkat bagi umat Tuhan!

17. Menurut prinsip di Lukas 6:38, apakah yang dapat diberikan oleh warga emas kepada orang lain?

17 Warga emas yang sudah lama menyembah Yehuwa, teladan anda menunjukkan bahawa cara hidup yang terbaik adalah dengan tetap setia dan beriman kepada Yehuwa. Anda juga membuktikan bahawa usaha untuk mempelajari dan menerapkan prinsip Bible memang berbaloi. Sepanjang hidup anda, anda telah menimba banyak pengalaman, tetapi anda juga sedar akan pentingnya membuat perubahan seiring dengan peredaran zaman. Jika anda ialah warga emas yang baru dibaptis, anda pun dapat membantu saudara saudari dalam banyak cara. Anda boleh memberitahu mereka betapa gembiranya anda setelah mengenali Yehuwa pada usia yang tua. Orang muda juga akan suka mendengar tentang pengalaman dan pengajaran yang telah anda raih dalam kehidupan. Maka, gunakanlah pengalaman anda untuk melatih orang lain. Jika anda ‘mengamalkan tabiat memberi’ dalam cara ini, Yehuwa pasti memberkati anda dengan melimpah.​—Baca Lukas 6:38.

18. Bagaimanakah orang tua dan orang muda dapat saling memberikan sokongan?

18 Apabila saudara saudari yang lanjut usia bersahabat dengan orang muda, mereka dapat saling memberikan sokongan. (Rm. 1:12) Warga emas dapat menggunakan kebijaksanaan dan pengalaman hidup mereka untuk membantu orang muda, dan orang muda pula dapat menggunakan tenaga mereka untuk membantu warga emas. Apabila orang tua dan orang muda bekerjasama sebagai sahabat, mereka akan membawa pujian kepada Bapa kita yang pengasih di syurga dan memberikan manfaat kepada seluruh sidang.

LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain

^ per. 5 Kita berasa gembira kerana terdapat ramai lelaki dan wanita muda dalam sidang kita yang berusaha menyokong organisasi Yehuwa. Orang yang lanjut usia dalam sidang, tidak kira budaya atau latar belakang mereka, dapat membantu orang muda untuk menggunakan kekuatan mereka dengan sepenuhnya dalam khidmat kepada Yehuwa.

^ per. 5 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Apabila seorang penyelia litar mencecah umur 70 tahun, dia dan isterinya diberi tugasan baharu. Mereka menggunakan pengalaman mereka untuk melatih orang lain di sidang mereka.