Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 37

“Aku Akan Menggoncangkan Semua Bangsa”

“Aku Akan Menggoncangkan Semua Bangsa”

“Aku akan menggoncangkan semua bangsa, dan segala sesuatu yang bernilai dalam kalangan semua bangsa akan dikumpulkan.”​—HAG. 2:7.

LAGU 24 Datanglah ke Gunung Yehuwa

PENGENALAN *

1-2. Menurut Nabi Hagai, apakah yang akan berlaku pada zaman kita?

“DALAM beberapa minit saja, kedai dan bangunan-bangunan lama semua roboh.” “Semua orang panik. . . . Banyak orang kata gegaran berlaku untuk kira-kira dua minit. Tapi bagi saya, gegaran itu terasa amat lama.” Itulah kata-kata sesetengah orang yang terselamat semasa gempa bumi di Nepal pada tahun 2015. Jika anda pernah mengalami hal yang begitu menakutkan, anda pasti sukar melupakannya.

2 Sebenarnya, kita semua sedang mengalami gegaran. Namun, gegaran ini tidak berlaku di sebuah kota atau negara. Sebaliknya, gegaran ini melibatkan semua bangsa, dan sudah berlaku untuk masa yang lama. Nabi Hagai telah bernubuat tentang hal ini semasa dia menulis, “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Tidak lama lagi, Aku akan menggoncangkan langit, bumi, laut, dan darat sekali lagi.’”​—Hag. 2:6.

3. Mengapakah kerja menggoncang yang disebut oleh Hagai berbeza daripada gempa bumi?

3 Meskipun begitu, kerja menggoncang yang disebut oleh Hagai bukanlah seperti gempa bumi yang membawa kemusnahan. Sebaliknya, kerja itu membawa hasil yang baik. Yehuwa memberitahu kita, “Aku akan menggoncangkan semua bangsa, dan segala sesuatu yang bernilai dalam kalangan semua bangsa akan dikumpulkan. Aku akan memenuhi Rumah-Ku dengan kemuliaan.” (Hag. 2:7) Apakah kaitan nubuat ini dengan orang yang hidup pada zaman Hagai? Apakah kaitan nubuat ini dengan kita? Kita akan menjawab soalan-soalan itu dan membincangkan peranan kita dalam kerja menggoncangkan bangsa-bangsa hari ini.

MESEJ YANG MENGGALAKKAN PADA ZAMAN HAGAI

4. Mengapakah Yehuwa mengutus Nabi Hagai kepada umat-Nya?

4 Nabi Hagai diberi tugasan yang penting daripada Yehuwa. Fikirkan apa yang berlaku sebelum itu. Dia mungkin merupakan salah seorang daripada orang Yahudi yang kembali ke Yerusalem dari Babilon pada tahun 537 SM. Tidak lama selepas mereka tiba, mereka meletakkan asas Rumah Yehuwa. (Ezr. 3:8, 10) Namun, tidak lama kemudian, mereka menghadapi tentangan. Akibatnya, mereka menjadi tawar hati dan berhenti membina semula Rumah Tuhan. (Ezr. 4:4; Hag. 1:1, 2) Maka pada tahun 520 SM, Yehuwa mengutus Hagai untuk memarakkan semula semangat umat-Nya dan menggalakkan mereka untuk menyelesaikan projek membina semula Rumah Tuhan. *​—Ezr. 6:14, 15.

5. Mengapakah mesej Hagai pasti telah menabahkan hati umat Tuhan?

5 Mesej Hagai bertujuan menguatkan iman orang Yahudi kepada Yehuwa. Dengan berani, dia memberitahu orang Yahudi yang tawar hati, “‘Tabahkanlah hati kamu, hai umat-Ku, dan teruskanlah pekerjaan itu. Ketahuilah bahawa Aku menyertai kamu semua,’ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.” (Hag. 2:4) Ungkapan “Yehuwa, ketua angkatan syurga,” pasti menabahkan hati orang Yahudi. Mereka diingatkan bahawa Yehuwa mempunyai angkatan tentera yang besar, yang terdiri daripada para malaikat. Maka, jika mereka bergantung pada-Nya, mereka pasti berjaya.

6. Apakah yang akan berlaku selepas Yehuwa menggoncangkan bangsa-bangsa?

6 Yehuwa mengilhami Hagai untuk memberitahu umat-Nya yang tawar hati bahawa Dia akan menggoncangkan semua bangsa. Gambaran ini telah memberi mereka jaminan bahawa Yehuwa akan menggoncangkan Persia, iaitu kuasa dunia pada zaman itu. Apakah hasilnya selepas Yehuwa berbuat demikian? Pertama, umat Tuhan akan menyelesaikan kerja membina Rumah Tuhan. Kedua, selepas Rumah Tuhan siap dibina, orang bukan Yahudi juga akan menyembah Yehuwa bersama umat-Nya. Mesej ini pasti menguatkan semangat umat Tuhan!​—Za. 8:9.

KERJA YANG MENGGONCANGKAN DUNIA PADA ZAMAN INI

Kerja menggoncangkan dunia sedang berlangsung sekarang. Adakah anda menyertai kerja ini dengan sepenuhnya? (Lihat perenggan 7-8) *

7. Bagaimanakah kita menggoncangkan dunia pada zaman ini? Jelaskan.

7 Apakah kaitan nubuat Hagai dengan kita hari ini? Sekali lagi, Yehuwa sedang menggoncangkan bangsa-bangsa, dan kali ini, kita pun menyertai kerja itu. Fikirkan hal ini: Untuk suatu jangka masa, Yehuwa tidak mempunyai raja yang mewakili-Nya. Dalam Bible, masa itu dipanggil “waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain.” (Luk. 21:24) Pada tahun 1914, “waktu” itu telah berakhir semasa Yehuwa menabalkan Yesus Kristus sebagai Raja Kerajaan-Nya di syurga. (Mzm. 2:6) Peristiwa itu merupakan berita buruk bagi para pemimpin dunia. Selepas Kerajaan Tuhan ditubuhkan, umat Yehuwa menggandakan usaha, terutamanya sejak tahun 1919, untuk memberitahu orang bahawa Kerajaan Tuhan merupakan satu-satunya harapan bagi manusia. Dengan menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan,” umat Yehuwa telah menggoncangkan dunia.​—Mat. 24:14.

8. Menurut Mazmur 2:1-3, apakah reaksi bangsa-bangsa terhadap berita tentang Kerajaan Tuhan?

8 Apakah reaksi orang terhadap berita itu? Kebanyakan orang mempunyai reaksi yang negatif. (Baca Mazmur 2:1-3.) Bangsa-bangsa menjadi marah dan enggan menerima Raja yang dilantik Yehuwa. Bagi mereka, berita tentang Kerajaan Tuhan bukanlah “berita baik.” Sesetengah kerajaan bahkan mengharamkan kerja penyebaran! Biarpun ramai pemerintah mendakwa bahawa mereka percaya kepada Tuhan, mereka enggan tunduk kepada kekuasaan-Nya. Jadi, seperti yang berlaku pada zaman Yesus, ramai pemerintah menentang Raja yang diurapi Yehuwa dengan menyerang para pengikutnya yang setia.​—Kis. 4:25-28.

9. Apakah reaksi Yehuwa terhadap sikap bangsa-bangsa?

9 Apakah reaksi Yehuwa terhadap sikap bangsa-bangsa? Mazmur 2:10-12 menyatakan, “Hai raja-raja, tunjukkanlah pengertian; hai hakim-hakim di bumi, terimalah teguran yang diberikan. Sembahlah Yehuwa dengan penuh rasa takut; bersukacitalah dan tunjukkanlah hormat kepada-Nya. Muliakanlah anak-Nya supaya Dia tidak menjadi murka dan supaya kamu tidak lenyap daripada haluan yang benar, kerana Dia akan melampiaskan kemurkaan-Nya secara tiba-tiba. Tetapi berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!” Yehuwa masih memberi para penentang peluang untuk mengubah sikap mereka dan menyokong Kerajaan-Nya. Namun, mereka perlu bertindak tanpa berlengah-lengah, kerana kita sedang hidup “pada hari-hari terakhir” sistem dunia ini. (2 Tim. 3:1; Yes. 61:2) Ya, masa yang tinggal sudah singkat. Jadi, mereka perlu mengetahui kebenaran dan memilih untuk menyembah Yehuwa.

REAKSI YANG POSITIF

10. Menurut Hagai 2:7-9, kerja menggoncang membawa hasil apa?

10 Kerja menggoncang yang dinubuatkan oleh Hagai juga membawa kesan positif terhadap sesetengah orang. Dia menulis bahawa kerja menggoncang ini akan mendorong “segala sesuatu yang bernilai [orang yang berhati jujur] dalam kalangan semua bangsa” untuk menyembah Yehuwa. * (Baca Hagai 2:7-9.) Yesaya dan Mikha juga menubuatkan bahawa hal ini akan berlaku “pada hari-hari terakhir.”​—Yes. 2:2-4; Mi. 4:1, 2.

11. Apakah reaksi seorang saudara semasa mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan buat kali pertama?

11 Perhatikan kesan kerja menggoncang ini terhadap Saudara Ken, yang kini berkhidmat di ibu pejabat sedunia. Dia masih ingat perasaannya 40 tahun yang lalu semasa mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan buat kali pertama. Ken berkata, “Kali pertama saya dengar kebenaran dalam Bible, saya bersyukur kerana diajar bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir sistem dunia ini. Saya belajar bahawa jika saya ingin mendapat perkenan Tuhan dan hidup selama-lamanya, saya perlu memastikan saya tidak menjadi sebahagian daripada dunia ini dan tetap berpihak kepada Yehuwa. Saya segera memutuskan untuk berbuat demikian, dan memberitahu Yehuwa hal itu dalam doa. Saya berhenti menyokong dunia ini, lalu bernaung di bawah Kerajaan Tuhan yang tidak dapat digoncangkan.”

12. Bagaimanakah Rumah Rohani Yehuwa dipenuhi dengan kemuliaan sepanjang hari-hari terakhir?

12 Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa memberkati umat-Nya. Pada tahun 1914, bilangan penyembah-Nya berjumlah beberapa ribu orang sahaja, tetapi angka itu telah berlipat ganda sepanjang hari-hari terakhir. Kini, terdapat lebih daripada lapan juta orang penyembah Yehuwa yang aktif, dan jutaan orang lagi menghadiri sambutan Peringatan bersama umat Tuhan setiap tahun. Dengan itu, halaman Rumah Rohani Yehuwa di bumi, iaitu aturan-Nya untuk ibadat sejati, telah dipenuhi dengan “segala sesuatu yang bernilai dalam kalangan semua bangsa.” Apabila para penyembah ini mengenakan keperibadian baharu, mereka membawa kemuliaan kepada nama Yehuwa.​—Ef. 4:22-24.

Umat Tuhan di serata dunia berasa gembira kerana memberikan kesaksian tentang Kerajaan Tuhan (Lihat perenggan 13)

13. Apakah nubuat Bible lain yang dipenuhi kerana perkembangan pesat dalam kalangan umat Tuhan? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

13 Perkembangan yang pesat ini turut memenuhi nubuat lain, contohnya Yesaya 60:22 yang menyatakan, “Bangsa yang sedikit bilangannya akan bertambah banyak sehingga menjadi seribu, dan bangsa yang kecil akan menjadi bangsa yang kuat. Aku, Yehuwa, akan melakukan hal ini dengan segera, tepat pada waktunya.” Apabila orang berduyun-duyun menyertai ibadat sejati, mereka memenuhi satu lagi nubuat Bible. Yesaya menyatakan, “Harta bangsa-bangsa akan dibawa kepadamu [umat Tuhan].” (Yes. 60:5, 16) “Harta” ini merujuk kepada orang yang menyembah Yehuwa, yang rela menggunakan kemahiran mereka untuk menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” Dengan adanya “harta” ini, umat Yehuwa dapat menginjil di 240 negara dan menghasilkan bahan bacaan dalam lebih daripada 1,000 bahasa.

MASA UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN

14. Apakah keputusan yang perlu dibuat oleh semua orang sekarang?

14 Apabila bangsa-bangsa digoncangkan pada hari-hari terakhir, semua orang perlu membuat satu keputusan yang penting: Adakah mereka akan menyokong Kerajaan Tuhan atau berharap kepada kerajaan manusia? Meskipun umat Yehuwa mematuhi undang-undang di mana sahaja mereka tinggal, mereka tetap neutral dan tidak mencampuri urusan politik. (Rm. 13:1-7) Hal ini demikian kerana mereka tahu bahawa hanya Kerajaan Tuhan dapat menyelesaikan masalah manusia dan Kerajaan itu bukan sebahagian daripada dunia ini.​—Yoh. 18:36, 37.

15. Bagaimanakah buku Wahyu menggambarkan bahawa kesetiaan umat Tuhan akan diuji?

15 Buku Wahyu menyatakan bahawa kesetiaan umat Tuhan akan terus diuji semasa hari-hari terakhir. Hal ini akan memberi kita tekanan yang besar. Para penguasa dunia akan menuntut agar kita hanya taat dan setia kepada mereka. Jika kita enggan menyokong mereka, kita akan dianiaya. (Why. 13:12, 15) Mereka akan “mewajibkan semua orang, tidak kira orang biasa atau orang yang berpangkat tinggi, orang kaya atau miskin, orang bebas atau hamba, untuk menerima tanda pada tangan kanan atau dahi mereka.” (Why. 13:16) Pada zaman lampau, hamba-hamba diberikan tanda untuk menunjukkan siapa tuan mereka. Begitu juga, dunia hari ini mewajibkan semua orang untuk menerima “tanda” kiasan pada tangan atau dahi mereka. Maksudnya, mereka akan dikuasai oleh sistem politik dunia ini dan menyokongnya, dan hal ini dicerminkan menerusi fikiran dan perbuatan mereka.

16. Mengapakah kita perlu menguatkan kesetiaan kita kepada Yehuwa sekarang?

16 Adakah kita akan menerima “tanda” itu dan mengaku taat setia kepada kerajaan manusia? Jika kita menolak, kita akan menghadapi kesusahan dan ancaman. Buku Wahyu menyatakan, “Tidak ada sesiapa pun yang dapat membeli ataupun menjual, kecuali orang yang mempunyai tanda itu.” (Why. 13:17) Namun, umat Tuhan tahu apa yang akan dilakukan oleh Tuhan kepada orang yang mempunyai “tanda” itu. (Why. 14:9, 10) Maka, mereka tidak akan menerima “tanda” itu. Sebaliknya, mereka seolah-olah akan menulis pada tangan mereka: “Milik Yehuwa.” (Yes. 44:5) Sekaranglah masanya untuk menguatkan kesetiaan kita kepada Yehuwa. Jika kita berbuat demikian, Yehuwa pasti gembira untuk mengaku kita sebagai milik-Nya!

KERJA MENGGONCANG YANG TERAKHIR

17. Apakah yang harus kita ingat tentang kesabaran Yehuwa?

17 Yehuwa telah menunjukkan kesabaran yang besar sepanjang hari-hari terakhir ini kerana Dia tidak mahu seorang pun dibinasakan. (2 Ptr. 3:9) Dia memberi semua orang peluang untuk bertaubat dan menyembah-Nya. Namun, kesabaran Yehuwa ada batasnya. Jika orang tidak menghargai peluang yang diberikan-Nya, mereka akan menjadi seperti Firaun pada zaman Musa. Yehuwa berfirman kepada Firaun, “Sebenarnya, jika Aku menghulurkan tangan-Ku untuk menghukummu dan rakyatmu dengan wabak penyakit yang teruk, tentu kamu semua sudah lenyap dari muka bumi ini. Namun Aku membenarkan engkau hidup supaya Aku dapat menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, dan supaya nama-Ku diisytiharkan ke seluruh bumi.” (Kel. 9:15, 16) Akhirnya, semua bangsa akan tahu bahawa Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan yang benar. (Yeh. 38:23) Bagaimanakah hal ini akan berlaku?

18. (a) Apakah satu lagi kerja menggoncang yang digambarkan di Hagai 2:6, 20-22? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa kata-kata Hagai akan menjadi kenyataan pada masa depan?

18 Baca Hagai 2:6, 20-22. Ratusan tahun selepas zaman Hagai, Rasul Paulus diilhami untuk menjelaskan bahawa kata-kata itu akan menjadi kenyataan pada masa depan. Paulus menulis, “Sekarang Dia telah berjanji, ‘Sekali lagi Aku akan menggoncangkan bumi, dan bukan bumi sahaja tetapi langit juga.’ Ungkapan ‘sekali lagi’ menunjukkan bahawa perkara-perkara yang dapat digoncangkan, iaitu perkara-perkara yang tidak dibuat oleh Tuhan, akan disingkirkan supaya perkara-perkara yang tidak dapat digoncangkan akan tetap ada.” (Ibr. 12:26, 27) Tidak seperti kerja menggoncang yang disebut di Hagai 2:7, kerja menggoncang ini akan membawa pembinasaan yang kekal kepada orang yang bersikap seperti Firaun, yang menolak hak Yehuwa untuk memerintah.

19. Apakah yang tidak akan digoncangkan, dan bagaimanakah kita tahu?

19 Apakah yang tidak akan digoncangkan, atau dilenyapkan? Paulus menjelaskan, “Memandangkan kita akan menerima sebuah Kerajaan yang tidak dapat digoncangkan, marilah kita terus menerima kebaikan hati yang unggul, yang membolehkan kita menjalankan khidmat suci kepada Tuhan dengan rasa takut dan hormat menurut cara yang diperkenankan-Nya.” (Ibr. 12:28) Ya, apabila kerja menggoncang yang terakhir selesai, hanya Kerajaan Tuhan yang masih akan wujud, dan Kerajaan itu akan kekal buat selama-lamanya!​—Mzm. 110:5, 6; Dan. 2:44.

20. Apakah keputusan yang mesti dibuat oleh semua orang? Bagaimanakah kita dapat membantu mereka?

20 Masa yang tinggal sudah sangat singkat! Orang mesti memilih sama ada mereka akan terus menyokong dunia ini dan akhirnya dibinasakan, atau berusaha hidup selaras dengan kehendak Tuhan dan akhirnya meraih hidup kekal. (Ibr. 12:25) Kerja penyebaran kita membolehkan mereka membuat keputusan dalam hal yang penting ini. Maka, marilah kita membantu lebih ramai orang untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Semoga kita sentiasa ingat akan kata-kata Tuan Yesus: “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”​—Mat. 24:14.

LAGU 40 Kita Milik Siapa?

^ per. 5 Rencana ini akan membincangkan pemahaman baharu tentang Hagai 2:7. Kita akan belajar bagaimana kita dapat menyertai kerja menggoncangkan semua bangsa. Kita juga akan belajar bahawa kerja ini akan mendapat reaksi yang positif daripada sesetengah orang dan reaksi yang negatif daripada orang lain.

^ per. 4 Kita tahu Hagai berjaya melaksanakan tugasannya kerana Rumah Tuhan telah siap dibina pada tahun 515 SM.

^ per. 10 Pemahaman kita tentang hal ini telah dikemaskinikan. Sebelum ini, kita faham bahawa orang yang berhati jujur terdorong untuk menyembah Yehuwa bukan kerana bangsa-bangsa digoncangkan. Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Mei 2006.

^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Hagai menggalakkan umat Tuhan untuk bersemangat dan menyelesaikan kerja membina semula Rumah Tuhan. Umat Tuhan pada zaman moden telah menyebarkan mesej daripada Tuhan dengan bersemangat. Sepasang suami isteri menyertai kerja menggoncangkan dunia. Mereka memberitahu orang tentang kerja menggoncang yang terakhir, yang bakal berlaku.