Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 43

Jangan Putus Asa!

Jangan Putus Asa!

“Teruslah berbuat baik tanpa berputus asa.”​—GAL. 6:9.

LAGU 68 Menabur Benih Kerajaan Tuhan

PENGENALAN *

1. Mengapakah kita amat gembira dan berbesar hati untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa?

 KITA amat gembira dan berbesar hati untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa! Kita menyandang nama Tuhan dan membuktikan bahawa kita ialah Saksi-Saksi-Nya dengan menginjil dan mengajar orang tentang-Nya. Kita bersukacita semasa dapat membantu “orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal.” (Kis. 13:48) Kita berasa seperti Yesus, yang “sangat bersukacita” apabila murid-muridnya memberitahunya pengalaman baik mereka semasa menginjil.​—Luk. 10:1, 17, 21.

2. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita memandang serius kerja penyebaran?

2 Kita memandang serius kerja penyebaran, kerana kerja ini dapat menyelamatkan nyawa orang. Rasul Paulus menasihati Timotius, “Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu.” Kemudian, Paulus menambah, “Dengan berbuat demikian, kamu akan menyelamatkan dirimu sendiri dan mereka yang mendengarkan kamu.” (1 Tim. 4:16) Kita ingin memberikan perhatian kepada diri kita kerana kita ialah rakyat Kerajaan Tuhan. Oleh itu, kita ingin memastikan kelakuan kita sentiasa membawa pujian kepada Yehuwa dan selaras dengan berita baik yang kita khabarkan. (Flp. 1:27) Selain itu, kita ingin ‘memberikan perhatian kepada ajaran kita.’ Maksudnya, kita akan membuat persiapan yang baik dan memohon berkat Yehuwa sebelum menjalankan kerja penyebaran.

3. Adakah semua orang akan sudi menerima berita baik? Berikan contoh.

3 Biarpun kita sudah berusaha dengan sedaya upaya, banyak orang di kawasan penyebaran kita mungkin tidak berminat untuk mendengar berita baik. Perhatikan pengalaman Saudara Georg Lindal. Dari tahun 1929 hingga 1947, dia pergi ke merata tempat di Iceland seorang diri untuk menginjil. Walaupun dia mengedarkan ribuan naskah buku, tiada seorang pun yang menerima kebenaran. Dia menulis, “Ada beberapa orang yang menentang kebenaran, tetapi kebanyakan orang tidak ambil peduli.” Kemudian, mubaligh dari sekolah Gilead datang untuk membantu, tetapi mereka juga tidak mendapat hasil yang baik. Sembilan tahun selepas itu, barulah beberapa orang penduduk Iceland membaktikan diri dan dibaptis. *

4. Apakah perasaan kita semasa orang tidak menerima berita baik?

4 Kita berasa kecewa semasa orang tidak menerima berita baik. Kita mungkin berasa seperti Paulus, yang “sangat berdukacita dan sangat sakit hati” kerana kebanyakan orang Yahudi enggan menerima Yesus sebagai Mesias yang dijanjikan. (Rm. 9:1-3) Katakan anda sudah berusaha dengan sedaya upaya dan berdoa dengan bersungguh-sungguh, tetapi pelajar Bible anda masih tidak membuat kemajuan dan anda perlu berhenti belajar dengannya. Atau, bagaimana pula jika tiada antara pelajar Bible anda yang maju sehingga dibaptis? Haruskah anda berasa bersalah dan berfikir bahawa Yehuwa tidak memberkati usaha anda? Rencana ini akan menjawab dua soalan berikut: (1) Apakah yang menentukan sama ada kerja penyebaran kita berjaya atau tidak? (2) Apakah yang harus kita ingat supaya tidak putus asa dalam kerja penyebaran?

APAKAH YANG MENENTUKAN SAMA ADA KERJA PENYEBARAN KITA BERJAYA ATAU TIDAK?

5. Mengapakah kita tidak semestinya mendapat hasil yang diingini semasa berkhidmat kepada Yehuwa?

5 Bible menyatakan bahawa orang yang melakukan kehendak Tuhan “akan berjaya dalam segala usahanya.” (Mzm. 1:3) Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa jika kita bekerja untuk Yehuwa, kita pasti mendapat hasil yang diingini. Mengapa? Hidup manusia “penuh dengan kesusahan” kerana kita dan orang lain tidak sempurna. Oleh itu, kita mungkin ditimpa masalah yang tidak terduga. (Ayb. 14:1) Tambahan lagi, para penentang mungkin menyekat kebebasan kita untuk menginjil. (1 Kor. 16:9; 1 Tes. 2:18) Jadi, bagaimanakah Yehuwa menilai sama ada kerja penyebaran kita berjaya atau tidak? Perhatikan beberapa prinsip Bible yang menjawab soalan ini.

Yehuwa menghargai usaha kita tidak kira kita menginjil dari rumah ke rumah, menerusi surat, atau melalui telefon (Lihat perenggan 6)

6. Bagaimanakah Yehuwa menilai sama ada kerja penyebaran kita berjaya atau tidak?

6 Yehuwa melihat usaha dan ketabahan kita. Tidak kira apa reaksi orang terhadap kerja penyebaran kita, asalkan kita melakukannya dengan tekun dan kerana mengasihi Yehuwa, Dia menganggap kita sudah berjaya. Paulus menulis, “Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya dengan menolong umat suci-Nya, baik dahulu mahupun sekarang.” (Ibr. 6:10) Oleh itu, jika kita sudah bekerja keras tetapi tidak mendapat hasil yang diingini, janganlah tawar hati. Yehuwa tidak akan melupakan usaha dan kasih kita. Kita juga boleh mengingati kata-kata Paulus kepada orang Kristian di Korintus: “Usaha kamu dalam khidmat Tuan kita tidak sia-sia.”​—1 Kor. 15:58.

7. Apakah yang kita pelajari daripada kata-kata Rasul Paulus tentang kerja penyebarannya?

7 Rasul Paulus telah mendapat hasil yang baik dalam kerjanya sebagai mubaligh. Dia menubuhkan sidang di banyak kota. Namun, semasa orang mempersoalkan kelayakannya sebagai penginjil, dia tidak membuktikan kelayakannya dengan menyebut bilangan orang yang telah dibantunya untuk menjadi orang Kristian. Sebaliknya, Paulus berkata, “Aku melakukan lebih banyak kerja.” (2 Kor. 11:23) Maka seperti Paulus, ingatlah bahawa yang paling bernilai bagi Yehuwa ialah usaha dan ketabahan anda, bukannya hasil yang anda raih.

8. Apakah yang harus kita ingat tentang kerja penyebaran kita?

8 Kita menyenangkan hati Yehuwa. Fikirkan apa yang berlaku semasa Yesus mengutus 70 orang muridnya untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan. Sesudah memberikan kesaksian, mereka “kembali dengan sukacita.” Mengapakah mereka begitu gembira? Mereka memberitahu Yesus, “Roh-roh jahat pun terpaksa mentaati kami apabila kami menggunakan nama Tuan!” Namun, Yesus membetulkan fikiran mereka dengan berkata, “Janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu. Sebaliknya, bersukacitalah kerana nama kamu sudah pun tercatat di syurga.” (Luk. 10:17-20) Yesus tahu bahawa mereka tidak akan selalu mendapat sambutan baik semasa menginjil. Sebenarnya, walaupun ramai orang sudi mendengar kesaksian murid-murid Yesus ketika itu, kita tidak tahu berapa ramai antara mereka yang akhirnya menjadi orang Kristian. Oleh itu, murid-murid Yesus harus bersukacita, bukan kerana hasil yang diperoleh, tetapi kerana mereka tahu usaha gigih mereka menyenangkan hati Yehuwa.

9. Menurut Galatia 6:7-9, apakah berkat yang akan kita terima jika kita terus menginjil dengan tabah?

9 Jika kita terus menginjil dengan tabah, kita akan menerima kehidupan kekal. Semasa kita berusaha dengan sepenuh hati untuk menanam dan menyiram benih kebenaran, kita sedang “menanam menurut bimbingan kuasa suci Tuhan.” Mengapakah kita dapat berkata demikian? Usaha kita menunjukkan bahawa kita ingin dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. Selagi kita “tidak berputus asa,” Yehuwa menjamin bahawa kita akan menuai kehidupan kekal, biarpun kita tidak pernah membantu seseorang untuk membaktikan diri kepada Tuhan.​—Baca Galatia 6:7-9.

APAKAH YANG HARUS KITA INGAT SUPAYA TIDAK PUTUS ASA?

10. Apakah yang menentukan sama ada seseorang akan menerima kebenaran atau tidak?

10 Keadaan hati seseorang merupakan faktor utama yang menentukan sama ada dia akan menerima kebenaran atau tidak. Yesus telah menjelaskan kebenaran ini dalam perumpamaannya tentang seorang petani yang menabur benih. Petani itu menabur benih di tanah yang berbeza-beza, tetapi hanya satu jenis tanah yang membuahkan hasil. (Luk. 8:5-8) Yesus menjelaskan bahawa tanah yang berbeza-beza menggambarkan keadaan hati orang yang berbeza-beza, dan itulah yang menentukan reaksi mereka terhadap “firman Tuhan.” (Luk. 8:11-15) Seperti petani itu, kita tidak dapat mengawal hasil dalam kerja penyebaran, kerana hal itu bergantung pada keadaan hati pendengar kita. Tanggungjawab kita adalah untuk terus menabur benih Kerajaan Tuhan. Rasul Paulus mengingatkan kita bahawa “setiap orang akan menerima ganjaran menurut kerja masing-masing,” bukan menurut hasil yang diperoleh.​—1 Kor. 3:8.

Walaupun Nuh menginjil selama puluhan tahun, selain ahli keluarganya, tiada orang lain yang masuk ke dalam bahtera bersamanya. Meskipun begitu, Nuh taat kepada Yehuwa dan melaksanakan tugas yang diberikan oleh-Nya! (Lihat perenggan 11)

11. Mengapakah Tuhan menganggap Nuh sebagai seorang penginjil yang berjaya? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

11 Sejak dahulu lagi, ramai hamba Yehuwa yang menyebarkan perkhabaran-Nya mendapat sambutan dingin. Fikirkan contoh Nuh, ‘seorang lelaki yang menyebarkan apa yang benar di mata Tuhan.’ (2 Ptr. 2:5) Dia mungkin telah menginjil untuk 40 atau 50 tahun, dan sudah pasti dia berharap ada orang yang akan sudi mendengar. Namun, semasa Yehuwa menyuruh Nuh membina bahtera, Dia tidak menyatakan bahawa ada orang lain yang akan masuk ke dalam bahtera bersama-sama Nuh. Sebaliknya, Tuhan berfirman kepada Nuh, “Masuklah ke dalam bahtera bersama isterimu dan anak-anakmu serta isteri mereka.” (Kej. 6:18) Selain itu, semasa Nuh memikirkan ukuran-ukuran bahtera yang disebut oleh Tuhan, dia mungkin sudah menjangkakan bahawa tidak ramai orang yang akan mendengar perkhabarannya. (Kej. 6:15) Seperti yang dijangkakan, tiada seorang pun daripada dunia jahat itu yang mendengar Nuh. (Kej. 7:7) Adakah Yehuwa menganggap Nuh sudah gagal dalam tugasnya? Tidak! Tuhan menganggap Nuh sebagai penginjil yang berjaya kerana dia setia dan menuruti segala arahan Yehuwa.​—Kej. 6:22.

12. Apakah yang membantu Yeremia bersukacita dalam kerja penyebaran meskipun orang tidak mengendahkannya dan bahkan menentangnya?

12 Nabi Yeremia telah menginjil untuk lebih daripada 40 tahun meskipun orang tidak mengendahkannya dan bahkan menentangnya. Dia pernah berasa begitu tawar hati kerana “dihina dan diejek,” sehingga dia tidak ingin meneruskan tugasannya lagi. (Yer. 20:8, 9) Namun, Yeremia tidak putus asa! Apakah yang membantunya mengatasi fikiran negatif dan tetap bersukacita dalam tugasannya? Yeremia berfokus kepada dua hal penting. Pertama, perkhabaran yang disampaikannya menjanjikan “harapan dan masa depan yang baik.” (Yer. 29:11) Kedua, dia menyandang nama Yehuwa. (Yer. 15:16) Seperti Yeremia, kita membawa mesej harapan kepada orang, dan kita menyandang nama Yehuwa sebagai Saksi-Saksi-Nya. Apabila kita bertumpu kepada dua hal ini, kita dapat bersukacita tidak kira apa reaksi orang terhadap kerja penyebaran.

13. Apakah yang kita pelajari daripada perumpamaan Yesus di Markus 4:26-29?

13 Pertumbuhan rohani berlaku secara beransur-ansur. Yesus mengajarkan kebenaran ini dalam perumpamaannya tentang penabur benih yang tidur. (Baca Markus 4:26-29.) Benih yang ditabur bertumbuh secara bertahap-tahap dan berlaku di luar kawalan penabur. Begitu juga, pelajar anda mungkin mengambil masa yang lama untuk membuat kemajuan, kerana pertumbuhan rohani berlaku secara beransur-ansur. Sebagaimana seorang petani tidak dapat mengawal kadar pertumbuhan tanamannya, kita tidak dapat mengawal kadar pertumbuhan rohani pelajar Bible kita. Maka, janganlah putus asa atau tawar hati jika pertumbuhan rohani pelajar anda tidak berlaku secepat yang anda ingini. Ingatlah bahawa seperti kerja menanam, kerja menjadikan orang murid Yesus memerlukan kesabaran.​—Yak. 5:7, 8.

14. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa orang mungkin mengambil masa yang lama untuk menerima kebenaran.

14 Di sesetengah kawasan, orang mengambil masa yang sangat lama untuk menerima kebenaran. Perhatikan pengalaman Saudari Gladys dan Ruby Allen. Pada tahun 1959, dua orang adik-beradik ini ditugaskan sebagai perintis biasa di sebuah pekan di Quebec, Kanada. * Orang di situ enggan mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan, kerana mereka takut akan pihak gereja Katolik dan pandangan orang ramai. Gladys berkata, “Kami menginjil dari rumah ke rumah lapan jam setiap hari selama dua tahun, tetapi tiada seorang pun yang buka pintu! Bila orang datang ke pintu dan nampak kami di luar, mereka terus beredar. Tetapi kami tidak putus asa.” Lama-kelamaan, sikap orang di situ berubah, dan ada yang mula sudi mendengar. Kini, terdapat tiga buah sidang di pekan itu.​—Yes. 60:22.

15. Apakah yang kita pelajari daripada 1 Korintus 3:6, 7 tentang kerja menjadikan orang murid Yesus?

15 Kerja menjadikan orang murid Yesus ialah kerja berpasukan. Usaha seluruh sidang diperlukan untuk membantu seseorang untuk maju sehingga dibaptis. (Baca 1 Korintus 3:6, 7.) Fikirkan contoh ini: Seorang penyiar memberikan majalah atau risalah kepada seseorang yang berminat, tetapi jadualnya tidak mengizinkannya untuk mengunjungi orang itu lagi. Jadi, dia meminta penyiar lain untuk membuat kunjungan kembali, dan penyiar itu dapat memulakan pembelajaran Bible dengan orang tersebut. Semasa mengadakan pembelajaran Bible, penyiar itu menjemput saudara saudari yang berlainan untuk menyertai pembelajaran itu, dan mereka telah menggalakkan pelajar itu dengan cara yang berbeza. Sebenarnya, setiap saudara dan saudari yang ditemui oleh pelajar itu seolah-olah sedang membantu menyiram benih kebenaran dalam hatinya. Apabila pelajar itu maju sehingga dibaptis, semua orang yang pernah membantunya akan bersukacita bersama-sama.​—Yoh. 4:35-38.

16. Mengapakah anda masih dapat bersukacita dalam kerja penyebaran biarpun kemampuan anda terhad?

16 Bagaimana pula jika anda tidak dapat menginjil dan mengajar dengan sekerap yang anda ingini kerana masalah kesihatan atau usia yang tua? Fikirkan apa yang berlaku semasa Raja Daud dan anak buahnya menyelamatkan ahli keluarga dan harta mereka yang dirampas oleh orang Amalek. Dua ratus orang anak buahnya terlalu letih untuk pergi berperang, jadi mereka membantu menjaga barang-barang. Namun, setelah mengalahkan orang Amalek, Daud mengarahkan agar barang jarahan dibahagikan dengan sama rata kepada semua orang, termasuk mereka yang menjaga barang. (1 Sam. 30:21-25) Kisah ini mengajar kita sesuatu tentang kerja penyebaran sedunia. Biarpun kemampuan anda terhad, anda masih dapat bersukacita kerana anda sudah melakukan yang terbaik untuk membantu orang menjadi murid Yesus. Jadi, anda boleh bersukacita setiap kali seorang pelajar Bible mengenali Yehuwa dan dibaptis.

17. Mengapakah kita patut bersyukur kepada Yehuwa?

17 Kita amat bersyukur setelah mengetahui pandangan Yehuwa terhadap khidmat kita. Dia tahu bahawa kita tidak dapat mengawal reaksi orang terhadap berita baik. Meskipun begitu, Dia melihat usaha dan kasih kita, dan Dia akan memberi kita ganjaran. Dia juga mengajar kita cara untuk bersukacita tidak kira apa yang dapat kita lakukan dalam kerja penyebaran. (Yoh. 14:12) Jadi, selagi kita tidak berputus asa, kita pasti dapat menyenangkan hati Tuhan!

LAGU 67 “Khabarkan Firman Tuhan”

^ per. 5 Kita berasa gembira semasa orang lain sudi menerima berita baik, dan kita berasa kecewa semasa mereka menolaknya. Jadi, katakan seorang pelajar Bible anda tidak membuat kemajuan, atau tiada antara pelajar Bible anda yang maju sehingga dibaptis, haruskah anda menyimpulkan bahawa anda sudah gagal dalam kerja menjadikan orang murid Yesus? Rencana ini akan membincangkan apa yang menentukan sama ada kerja penyebaran kita berjaya atau tidak, dan bagaimana kita dapat tetap bersukacita tidak kira apa reaksi orang.

^ per. 3 Lihat Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2005 dalam bahasa Indonesia, ms. 205-212.

^ per. 14 Lihat kisah hidup Gladys Allen, Saya Tidak Akan Mengubah Apa Pun! dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 1 September 2002.