Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Imamat 19:16 mengandungi perintah ini: “Jangan sengaja melakukan sesuatu yang akan menyebabkan seseorang mati.” Apakah maksud perintah ini, dan apakah pengajarannya bagi kita?

Yehuwa mengarahkan orang Israel agar menjadi umat yang suci. Untuk membantu mereka berbuat demikian, Dia memberi mereka perintah berikut: “Jangan sebarkan fitnah tentang orang lain. Jangan sengaja melakukan sesuatu yang akan menyebabkan seseorang mati. Akulah Yehuwa.”​—Im. 19:2, 16.

Dalam bahasa Ibrani asal, ungkapan “sengaja melakukan sesuatu yang akan menyebabkan seseorang mati” secara harfiah bermaksud “bangkit untuk menentang darah rakan sebangsamu.” Apakah maksud “bangkit untuk menentang”? Sebuah buku rujukan tentang buku Imamat menyatakan, “Bahagian ayat ini . . . susah dijelaskan kerana kita kurang pasti maksud peribahasa Ibrani [itu].”

Sesetengah cendekiawan berfikir bahawa ungkapan “bangkit untuk menentang” berkaitan dengan perintah dalam ayat yang sebelumnya, yang berbunyi, “Jangan berlaku tidak adil semasa kamu menjalankan penghakiman. Jangan berat sebelah, sama ada terhadap orang miskin ataupun orang kaya. Kamu mesti menghakimi orang lain dengan adil.” (Im. 19:15) Jika pandangan mereka betul, maksud perintah di ayat 16 ialah orang Israel dilarang berlaku tidak adil di mahkamah, dalam urus niaga, atau dalam keluarga. Mereka juga dilarang berlaku tidak jujur demi keuntungan diri. Memang benar, kita tidak patut melakukan hal-hal sebegitu. Namun, terdapat satu cara yang lebih logik untuk memahami ungkapan itu.

Perhatikan bahagian awal ayat 16. Di situ terdapat perintah Tuhan yang melarang umat-Nya menyebarkan fitnah. Seseorang yang sekadar bergosip mungkin menimbulkan masalah, tetapi seseorang yang memfitnah akan menimbulkan masalah yang lebih serius, kerana fitnah ialah pernyataan palsu yang sengaja dibuat untuk merosakkan nama baik orang lain. (Ams. 10:19; Pkh. 10:12-14; 1 Tim. 5:11-15; Yak. 3:6) Seorang pemfitnah mungkin memberikan keterangan palsu, biarpun perbuatan itu akan menyebabkan kematian orang lain. Fikirkan kisah Nabot. Akibat difitnah oleh beberapa orang jahat, dia dihukum mati walaupun dia tidak bersalah. (1 Raj. 21:8-13) Ya, seperti yang dinyatakan di bahagian kedua Imamat 19:16, seorang pemfitnah yang menyebabkan kematian orang lain boleh dikatakan “bangkit untuk menentang” orang itu.

Selain itu, seseorang akan memfitnah orang lain kerana dia membenci orang itu. Ayat di 1 Yohanes 3:15 menyatakan, “Setiap orang yang membenci saudaranya merupakan pembunuh, dan kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak akan menerima kehidupan abadi.” Yang menariknya, selepas memberikan perintah di Imamat 19:16, Tuhan menyatakan, “Jangan simpan rasa benci terhadap saudara kamu dalam hati.”—Im. 19:17.

Maka, ungkapan “jangan bangkit untuk menentang” di Imamat 19:16 mengandungi amaran yang tegas bagi orang Kristian. Kita mesti melawan fikiran yang jahat dan mengelak daripada menyebarkan fitnah. Jika kita tidak menyukai seseorang atau cemburu terhadapnya, lalu memfitnah orang itu, kita sudah “bangkit untuk menentang” orang itu, dan perbuatan kita menunjukkan bahawa kita membencinya. Sebagai orang Kristian, kita mesti mengelak daripada membenci sesiapa pun.​—Mat. 12:36, 37.