Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 8

Adakah Nasihat Anda Mudah Diterima?

Adakah Nasihat Anda Mudah Diterima?

“Minyak dan kemenyan menyenangkan hati, begitu juga dengan sahabat yang memberikan nasihat yang ikhlas.”​—AMS. 27:9.

LAGU 102 “Membantu Mereka yang Lemah”

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang dipelajari oleh seorang saudara tentang cara memberikan nasihat?

BANYAK tahun yang lalu, dua orang penatua melawat seorang saudari yang sudah lama tidak menghadiri perjumpaan. Semasa kunjungan itu, salah seorang penatua mengongsi beberapa ayat Bible tentang pentingnya menghadiri perjumpaan. Penatua itu berfikir kunjungan itu telah menggalakkan saudari itu. Namun, semasa dia dan rakannya sedang beredar, saudari itu berkata, “Kamu betul-betul tidak faham apa yang sedang saya lalui.” Saudari itu berasa bahawa nasihat dua orang saudara itu tidak membantunya, kerana mereka memberikan nasihat tanpa menanya tentang masalah dan situasi yang dihadapinya.

2 Mengenang kembali masa itu, penatua yang menunjukkan ayat Bible itu berkata, “Pada masa itu, saya rasa saudari itu tidak menghargai nasihat yang diberikan. Namun, setelah merenungkan apa yang berlaku, saya sedar bahawa saya hanya memikirkan ayat Bible yang ingin ditunjukkan. Saya sepatutnya menanya saudari itu apa yang sedang dilaluinya dan bagaimana saya dapat membantunya.” Penatua tersebut telah meraih pengajaran yang penting daripada pengalaman itu. Hari ini, dia seorang penatua yang berbelas kasihan dan gembala yang sudi membantu.

3. Siapakah yang perlu memberikan nasihat?

 3 Sebagai gembala, para penatua bertanggungjawab memberikan nasihat. Namun, ada kalanya, orang lain dalam sidang pun perlu memberikan nasihat. Misalnya, seorang saudara atau saudari mungkin memberikan nasihat yang berdasarkan Bible kepada sahabatnya. (Mzm. 141:5; Ams. 25:12) Seorang saudari yang lebih tua mungkin “menasihati wanita yang lebih muda” dalam hal-hal yang disebut di Titus 2:3-5. Selain itu, ibu bapa perlu sering membetulkan dan menasihati anak-anak mereka. Jadi, walaupun rencana ini ditujukan kepada para penatua, kita semua boleh mempelajari cara untuk memberikan nasihat yang praktikal, mudah diterima, dan “menyenangkan hati.”​—Ams 27:9.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat soalan berikut: (1) Apakah yang sepatutnya mendorong kita untuk memberikan nasihat? (2) Adakah nasihat itu betul-betul diperlukan? (3) Siapakah yang harus memberikan nasihat? (4) Bagaimanakah anda dapat memberikan nasihat yang berkesan?

APAKAH YANG SEPATUTNYA MENDORONG KITA UNTUK MEMBERIKAN NASIHAT?

5. Apakah yang dapat membantu seorang penatua agar memberikan nasihat yang lebih mudah diterima? (1 Korintus 13:4, 7)

5 Para penatua mengasihi saudara saudari. Ada kalanya, mereka menunjukkan kasih dengan menasihati seseorang yang bakal mengambil langkah yang salah. (Gal. 6:1) Sebelum berbuat demikian, ada baiknya para penatua memikirkan kata-kata Paulus tentang kasih: “Kasih itu sabar dan baik hati. . . . Kasih menanggung segala sesuatu, mempercayai segala sesuatu, tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.” (Baca 1 Korintus 13:4, 7.) Jadi, dengan merenungkan ayat-ayat itu, para penatua dapat memikirkan sebabnya mereka memberikan nasihat, dan hal ini akan membantu mereka menunjukkan kasih semasa memberikan nasihat. Jika orang yang diberi nasihat itu dapat rasa bahawa penatua mengambil berat terhadapnya, dia akan lebih mudah menerima nasihat itu.​—Rm. 12:10.

6. Apakah teladan baik Rasul Paulus?

6 Rasul Paulus menetapkan teladan baik bagi para penatua. Sebagai contoh, semasa saudara saudari di sidang Tesalonika perlu dinasihati, Paulus tidak teragak-agak untuk menasihati mereka menerusi suratnya. Namun sebelum memberikan nasihat, Paulus memuji mereka terlebih dahulu untuk kerja keras, kasih, dan ketabahan mereka. Dia juga menulis bahawa dia mengetahui kesusahan hidup mereka dan penganiayaan yang dihadapi oleh mereka. (1 Tes. 1:3; 2 Tes. 1:4) Dia bahkan memberitahu mereka bahawa mereka ialah teladan yang baik untuk orang Kristian yang lain. (1 Tes. 1:8, 9) Saudara saudari di Tesalonika pasti sangat gembira semasa mendengar pujian Paulus! Oleh sebab Paulus sangat mengasihi saudara saudarinya, dia dapat memberikan nasihat yang berkesan dalam kedua-dua suratnya kepada sidang di Tesalonika.​—1 Tes. 4:1, 3-5, 11; 2 Tes. 3:11, 12.

7. Apakah yang mungkin menyebabkan seseorang berasa susah untuk menerima nasihat?

7 Apakah yang mungkin berlaku jika kita tidak memberikan nasihat dalam cara yang sesuai? Seorang penatua yang berpengalaman berkata, “Sesetengah orang berasa susah untuk menerima nasihat, bukan kerana nasihat itu tidak bagus, tetapi kerana cara nasihat itu diberikan tidak sesuai.” Apakah pengajarannya? Kita harus menasihati seseorang kerana mengasihinya dan bukannya kerana kita berasa geram terhadapnya. Dengan itu, nasihat kita akan lebih mudah diterima.

ADAKAH NASIHAT ITU BETUL-BETUL DIPERLUKAN?

8. Apakah yang harus difikirkan oleh seorang penatua sebelum menasihati seseorang?

8 Para penatua tidak patut memberikan nasihat secara tergesa-gesa. Jadi sebelum menasihati seseorang, seorang penatua harus menanya diri, “Adakah saya betul-betul perlu menasihatinya? Adakah saya pasti dia telah berbuat salah? Adakah dia melanggar perintah Bible, atau adakah apa yang berlaku hanya disebabkan perbezaan pendapat?” Penatua yang bijak akan mengelak daripada “bercakap tanpa berfikir.” (Ams. 29:20) Oleh itu, jika seorang penatua tidak pasti sama ada dia patut menasihati seseorang atau tidak, dia boleh menanya penatua lain jika mereka pun berfikir bahawa orang itu telah melanggar prinsip Bible dan perlu dinasihati.​—2 Tim. 3:16, 17.

9. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Paulus semasa kita perlu memberikan nasihat tentang pakaian dan dandanan? (1 Timotius 2:9, 10)

9 Perhatikan contoh berikut. Katakan seorang penatua berasa risau tentang pakaian dan dandanan seorang rakan seiman. Penatua itu boleh menanya diri, “Adakah orang itu telah melanggar prinsip Bible dan perlu dinasihati?” Penatua itu tentu tidak mahu memberikan nasihat berdasarkan pendapatnya sendiri. Jadi, dia mungkin meminta pendapat daripada penatua lain atau penyiar yang matang. Mereka boleh bersama-sama mengkaji nasihat Paulus tentang pakaian dan dandanan. (Baca 1 Timotius 2:9, 10.) Dalam nasihatnya, Paulus tidak menyenaraikan pakaian yang boleh atau tidak boleh dipakai. Sebaliknya, dia menyebut beberapa prinsip yang umum, contohnya pakaian orang Kristian haruslah sopan, sederhana, dan sesuai untuk penyembah Tuhan. Paulus sedar bahawa orang Kristian ada kebebasan untuk memilih pakaian yang disukai mereka asalkan pilihan mereka tidak melanggar prinsip Bible. Jadi, sebelum menasihati seseorang, para penatua harus memikirkan sama ada pakaian dan dandanan orang itu sopan, sesuai, dan sederhana.

10. Apakah yang harus kita ingat tentang pilihan yang dibuat oleh saudara saudari kita?

10 Kita harus ingat bahawa dua orang Kristian yang matang mungkin membuat pilihan yang berbeza, tetapi kedua-dua pilihan itu tidak salah. Jadi, kita tidak patut memaksa saudara saudari kita untuk mengikut pandangan kita.​—Rm. 14:10.

SIAPAKAH YANG HARUS MEMBERIKAN NASIHAT?

11-12. Sebelum menasihati seseorang, apakah soalan-soalan yang harus difikirkan oleh para penatua, dan mengapa?

11 Jika seseorang perlu dinasihati, siapakah yang harus memberikan nasihat? Jika orang itu ialah seorang saudari yang sudah berkahwin atau seorang kanak-kanak, penatua akan membincangkan hal itu dengan ketua keluarganya. Ketua keluarga itu mungkin ingin menasihati isteri atau anaknya secara peribadi. * Atau ketua keluarga itu mungkin memilih untuk turut hadir semasa penatua itu memberikan nasihat. Selain itu, seperti yang disebut di  perenggan 3, ada kalanya adalah lebih baik jika saudari yang lebih tua menasihati saudari yang lebih muda.

12 Terdapat satu lagi soalan yang perlu difikirkan oleh penatua yang memberikan nasihat: “Adakah saya orang yang paling sesuai untuk memberikan nasihat, atau adakah lebih baik jika orang lain yang melakukannya?” Sebagai contoh, seseorang yang bergelut dengan perasaan tidak berguna mungkin lebih sudi mendengar nasihat daripada seorang penatua yang pernah menghadapi masalah yang sama. Penatua itu mungkin lebih memahami situasinya, dan nasihatnya mungkin lebih mudah diterima. Namun, katakan seseorang perlu dinasihati, tetapi tiada penatua yang pernah menghadapi masalah yang sama dengannya, apakah yang harus dilakukan? Para penatua masih perlu cuba menasihatinya, kerana semua penatua bertanggungjawab untuk menggalakkan rakan seiman mereka untuk membuat perubahan yang selaras dengan prinsip Bible.

BAGAIMANAKAH ANDA DAPAT MEMBERIKAN NASIHAT YANG BERKESAN?

Mengapakah para penatua harus “cepat mendengar”? (Lihat perenggan 13-14)

13-14. Mengapakah penatua harus mendengar sebelum memberikan nasihat?

13Bersedia untuk mendengar. Sebelum memberikan nasihat, seorang penatua patut menanya diri, “Apakah yang saya tahu tentang situasi rakan seiman saya? Apakah yang berlaku dalam kehidupannya? Adakah dia menghadapi masalah yang saya tidak tahu? Apakah yang paling diperlukannya sekarang?”

14 Orang yang memberikan nasihat harus ingat prinsip di Yakobus 1:19: “Setiap orang mesti cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata dan lambat naik marah.” Amsal 18:13 juga mengingatkan kita, “Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh malah memalukan diri sendiri.” Ya, seorang penatua harus mendengar sebelum memberikan nasihat. Hal ini penting kerana biarpun dia menyangka bahawa dia mengetahui semua situasi tentang seseorang, mungkin ada perkara lain yang tidak diketahuinya. Jadi, cara terbaik untuk mengetahui situasi hidup seseorang adalah dengan bertanya kepada orang itu sendiri. Masih ingat penatua yang disebut di awal rencana ini? Dia sedar bahawa daripada terus mengongsi maklumat yang disediakannya, dia sepatutnya menanya saudari itu soalan-soalan seperti, “Macam mana hidup kamu sekarang? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Jika para penatua berusaha untuk mengetahui situasi rakan seiman mereka, mereka dapat memberikan bantuan dan galakan yang lebih sesuai.

15. Bagaimanakah para penatua dapat menerapkan prinsip di Amsal 27:23?

15Kenali saudara saudari anda dengan baik. Seperti yang dinyatakan di awal rencana, untuk memberikan nasihat yang berkesan, sekadar membaca beberapa ayat Bible atau memberikan cadangan tidak cukup. Saudara saudari kita perlu merasai bahawa kita mengambil berat terhadap mereka, memahami situasi mereka, dan ingin membantu mereka. (Baca Amsal 27:23.) Jadi, para penatua perlu berusaha untuk menjalin persahabatan yang erat dengan saudara saudari mereka.

Apakah yang dapat membantu para penatua untuk memberikan nasihat dengan lebih mudah? (Lihat perenggan 16)

16. Apakah yang dapat membantu para penatua untuk memberikan nasihat yang berkesan?

16 Para penatua tidak mahu membuat saudara saudari berfikir bahawa penatua hanya akan bercakap kepada mereka hanya semasa mereka berbuat salah dan perlu ditegur. Sebaliknya, para penatua mahu sering bercakap kepada rakan seiman mereka dan mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh mereka. Seorang penatua yang berpengalaman berkata, “Jika kita buat begitu, kita akan menjadi kawan mereka. Dengan itu, kita akan berasa lebih senang semasa perlu menasihati mereka.” Saudara saudari juga akan berasa lebih mudah untuk menerima nasihat yang diberikan.

Mengapakah para penatua harus bersikap sabar dan baik hati semasa memberikan nasihat? (Lihat perenggan 17)

17. Bilakah penatua khususnya perlu bersikap sabar dan baik hati?

17Bersikap sabar dan baik hati. Apabila seseorang tidak segera menerima nasihat yang diberikan atau tidak membuat perubahan yang diperlukan, para penatua perlu sabar dan baik hati seperti Yesus. Mengenai Yesus, Bible menubuatkan, “Rumput yang layu tidak akan diinjak-injaknya, dan sumbu pelita yang sudah malap tidak akan dipadamkannya.” (Mat. 12:20) Seseorang mungkin berasa susah untuk menerima nasihat pada mulanya kerana dia memerlukan masa untuk merenungkan nasihat itu. Jadi, penatua yang menasihatinya akan melawan kecenderungan untuk naik marah terhadapnya. Dalam doa peribadinya, penatua itu boleh meminta Yehuwa membantu orang itu untuk faham mengapa nasihat itu diberikan dan mendorongnya untuk menerapkan nasihat itu. Apabila seorang penatua bersikap sabar dan baik hati, orang yang dinasihatinya itu akan berasa lebih mudah untuk menerima nasihatnya. Pada masa yang sama, penatua itu harus memastikan bahawa nasihatnya sentiasa berdasarkan Firman Tuhan.

18. (a) Semasa memberikan nasihat, apakah yang harus kita ingat? (b) Menurut gambar yang berkaitan dengan kotak, apakah yang sedang dibincangkan oleh ibu bapa itu?

18Belajar daripada kesilapan anda. Oleh sebab kita tidak sempurna, kita tidak dapat mengikut semua cadangan dalam rencana ini dengan sempurna. (Yak. 3:2) Kita pasti berbuat silap, tetapi kita mahu belajar daripada kesilapan kita. Jika saudara saudari kita dapat merasai kasih kita, mereka akan lebih senang mengampuni kita apabila kita melakukan atau mengatakan sesuatu yang menyinggung perasaan mereka.​—Lihat juga kotak “ Pesanan untuk Ibu Bapa.”

APAKAH YANG TELAH KITA PELAJARI?

19. Bagaimanakah kita dapat memberikan nasihat yang menyenangkan hati saudara saudari kita?

19 Memang tidak mudah untuk memberikan nasihat yang berkesan kerana kita tidak sempurna dan orang yang kita nasihati pun tidak sempurna. Namun, kita masih dapat melakukannya jika kita mengingati prinsip-prinsip yang disebut dalam rencana ini. Kita perlu memastikan nasihat kita didorong oleh kasih. Kita juga perlu memikirkan jika nasihat itu betul-betul diperlukan dan jika kita ialah orang yang paling sesuai untuk memberikan nasihat. Sebelum menasihati seseorang, kita perlu menanya soalan dan mendengar dengan teliti supaya kita memahami cabaran yang dihadapinya. Kita juga ingin melihat situasi orang itu dari sudut pandangannya. Selain itu, kita harus bersikap lemah lembut dan memupuk persahabatan yang erat dengan saudara saudari kita. Ingatlah, kita ingin memberikan nasihat yang bukan sahaja berkesan tetapi juga “menyenangkan hati” orang yang mendengarnya.​—Ams. 27:9.

LAGU 103 Gembala​—Kurniaan Tuhan

^ per. 5 Memberikan nasihat tidak selalunya mudah. Semasa kita perlu memberikan nasihat, apakah yang dapat kita lakukan supaya nasihat kita bermanfaat dan mudah diterima? Rencana ini akan membantu kita, khususnya para penatua, untuk memberikan nasihat yang mencapai hati orang dan mendorong mereka untuk bertindak.

^ per. 11 Lihat rencana “Memahami Aturan Kekepalaan dalam Sidang” dalam Menara Pengawal terbitan Februari 2021.