Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Sesuatu yang Lebih Baik daripada Menjadi Doktor

Sesuatu yang Lebih Baik daripada Menjadi Doktor

“APA yang kamu beritahu saya ialah impian saya sejak kecil!” Pada tahun 1971, dengan teruja saya mengucapkan kata-kata tersebut kepada dua pesakit saya. Siapakah dua pesakit itu? Apakah impian saya? Masa itu, saya baru menjadi doktor dan membuka klinik sendiri. Biar saya ceritakan bagaimana perbualan itu telah mengubah keutamaan saya dan bantu saya sedar bahawa impian saya semasa kecil bakal jadi kenyataan.

Saya lahir dalam keluarga yang tidak kaya pada tahun 1941 di Paris, Perancis. Saya suka belajar, jadi saya sangat kecewa semasa saya dijangkiti batuk kering pada usia 10 tahun dan terpaksa berhenti sekolah. Atas nasihat doktor, saya tidak boleh meninggalkan katil kerana paru-paru saya lemah. Jadi untuk beberapa bulan, saya membaca kamus dan mendengar program radio Universiti Paris. Semasa doktor kata saya sudah sembuh dan boleh ke sekolah, hati saya melonjak gembira. Saya fikir, “Doktor memang hebat!” Sejak itu, saya ingin sembuhkan penyakit orang. Semasa ayah tanya apa cita-cita saya, jawapan saya selalu sama, “Saya mahu jadi doktor.” Itulah keutamaan hidup saya.

SAINS MENDEKATKAN SAYA KEPADA TUHAN

Keluarga saya beragama Katolik. Tetapi saya tidak begitu mengenali Tuhan, dan saya ada banyak soalan yang tidak terjawab. Setelah saya mula belajar perubatan di universiti, barulah saya yakin bahawa hidupan diciptakan.

Saya masih ingat kali pertama saya memperhatikan sel tumbuhan di bawah mikroskop. Saya kagum semasa lihat bagaimana sel itu melindungi diri daripada suhu panas dan sejuk. Saya juga perhatikan bahawa sitoplasma (sejenis bahan dalam sel) mengecut apabila garam ditambah dan mengembang apabila air tulen ditambah. Selain itu, terdapat banyak lagi tindak balas yang bantu hidupan kecil untuk sesuaikan diri dengan keadaan yang berbeza-beza. Semasa saya lihat betapa rumitnya setiap sel, saya yakin bahawa hidupan tidak wujud secara sendiri.

Pada tahun kedua pengajian perubatan saya, saya lihat lebih banyak bukti kewujudan Tuhan. Dalam kelas yang mengkaji badan manusia, kami belajar bagaimana struktur lengan bawah membolehkan kita untuk membengkokkan dan meluruskan jari. Cara otot-otot, ligamen, dan tendon (sejenis serat tisu) bersambung dengan tulang memang menakjubkan. Misalnya, saya belajar bahawa ada tendon yang menyambungkan salah satu otot lengan bawah dengan tulang kedua jari. Tendon ini terbahagi kepada dua dan membolehkan tendon yang bersambung dengan tulang hujung jari untuk bergerak di bawahnya. Tisu-tisu yang kuat juga menyokong tendon yang bersambung dengan tulang jari. Tanpa semua ini, tendon dalam tangan pasti tegang serta lurus, dan jari tidak dapat berfungsi dengan baik. Saya nampak dengan jelas bahawa Pereka badan manusia amat bijaksana!

Perasaan kagum saya bertambah semasa kaji proses kelahiran bayi. Semasa di dalam rahim ibu, bayi yang sihat menerima oksigen daripada ibunya menerusi tali pusat. Pada peringkat itu, alveolus, iaitu sarung-sarung kecil dalam paru-paru yang berbentuk seperti belon, belum dipenuhi udara. Namun, beberapa minggu sebelum bayi itu lahir, bahagian dalam setiap alveolus diliputi cecair yang istimewa. Selepas lahir, sesuatu yang menakjubkan berlaku. Satu lubang dalam jantung bayi itu akan tutup supaya darah dapat mengalir ke paru-paru. Pada detik yang genting itu, cecair istimewa itu membolehkan alveolus-alveolus untuk dipenuhi udara dengan cepat. Dengan serta-merta, bayi itu dapat bernafas dengan sendiri.

Saya ingin kenal Pencipta yang begitu bijaksana ini. Jadi, saya mula baca Bible dengan bersungguh-sungguh. Saya terpesona dengan hukum-hukum mengenai kesihatan yang diberi Tuhan kepada orang Israel lebih daripada 3,000 tahun dahulu. Tuhan mengarahkan mereka untuk sering mandi dan cuci tangan, mengasingkan orang yang mungkin menghidap penyakit berjangkit, dan menggali lubang untuk menutupi najis. (Im. 13:50; 15:11; Ul. 23:13) Ahli sains mula faham bagaimana penyakit merebak sejak 150 tahun yang lalu, padahal Bible sudah menyebut tentangnya ribuan tahun yang lalu. Selain itu, hukum-hukum tentang seks dalam buku Imamat bantu seluruh bangsa Israel kekal sihat. (Im. 12:1-6; 15:16-24) Maka, saya menyimpulkan bahawa Pencipta telah memberikan semua hukum ini untuk kebaikan mereka. Dia juga telah memberkati sesiapa yang mematuhi hukum-Nya. Ini buat saya yakin bahawa Bible diilhami Tuhan, walaupun saya belum kenal nama-Nya ketika itu.

SAYA JUMPA ISTERI SAYA DAN MENGENALI YEHUWA

3 April 1965, hari perkahwinan saya dan Lydie

Semasa di sekolah perubatan, saya jatuh cinta dengan seorang wanita muda yang bernama Lydie. Kami berkahwin pada tahun 1965 semasa saya masih menuntut di universiti. Pada tahun 1971, kami sudah ada tiga anak. Lydie banyak menyokong keluarga kami dan kerja saya sebagai doktor. Kemudian, kami mendapat tiga anak lagi.

Saya kerja di hospital selama tiga tahun sebelum membuka klinik sendiri. Tidak lama kemudian, sepasang suami isteri, iaitu dua pesakit yang disebut pada permulaan rencana, datang jumpa saya. Sebelum saya tulis senarai ubat untuk suami itu, isterinya berkata, “Doktor, tolong jangan bagi ubat yang ada darah.” Saya terkejut, “Betulkah? Mengapa?” Dia menjawab, “Kami ialah Saksi-Saksi Yehuwa.” Saya tidak pernah dengar tentang Saksi-Saksi Yehuwa atau pendirian mereka tentang darah. Jadi, wanita itu membuka Bible dan jelaskan mengapa mereka tidak mengambil darah. (Kis. 15:28, 29) Kemudian, dia dan suaminya menjelaskan bahawa Kerajaan Tuhan akan mengakhiri penderitaan, penyakit, dan kematian. (Why. 21:3, 4) Saya berseru, “Apa yang kamu kongsi ialah impian saya sejak kecil! Saya jadi doktor untuk legakan kesakitan orang.” Saya begitu teruja sehingga kami berbual selama satu jam setengah. Semasa pasangan itu pergi, saya tidak lagi mahu jadi Katolik. Saya telah menjumpai nama Pencipta yang saya kagumi, Yehuwa!

Saya berjumpa dengan pasangan itu tiga kali di klinik saya, dan kami berbual lebih daripada sejam setiap kali. Saya jemput mereka ke rumah supaya dapat bincang Bible lebih lama. Biarpun Lydie setuju untuk ikut perbincangan kami, dia tidak mengaku bahawa sesetengah ajaran Katolik adalah salah. Jadi, saya jemput seorang paderi ke rumah. Kami berbahas tentang ajaran gereja sehingga lewat malam dengan hanya menggunakan Bible. Perbincangan itu meyakinkan Lydie bahawa Saksi-Saksi Yehuwa mengajarkan kebenaran. Sejak itu, kasih kami terhadap Tuhan Yehuwa bertumbuh sehingga kami dibaptis pada tahun 1974.

MENGUTAMAKAN YEHUWA

Setelah belajar tentang tujuan Tuhan bagi manusia, keutamaan hidup saya telah berubah. Bagi saya dan Lydie, menyembah Yehuwa menjadi hal yang terpenting. Kami bertekad untuk besarkan anak mengikut nilai moral Bible. Prinsip untuk mengasihi Yehuwa dan orang lain telah menyatupadukan keluarga kami.—Mat. 22:37-39.

Saya dan Lydie selalu ketawa tentang bagaimana anak kami sedar betapa bersatunya kami dalam keputusan kami. Mereka tahu bahawa peraturan di rumah ialah, “Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak.” (Mat. 5:37) Misalnya, semasa salah seorang anak perempuan kami berumur 17 tahun, Lydie tidak benarkan dia keluar dengan sekumpulan kaum muda. Salah seorang daripada mereka berkata, “Kalau mak tak bagi, tanyalah bapa!” Tapi anak kami menjawab, “Tiada gunalah. Jawapan mereka sama saja.” Ya, keenam-enam anak kami nampak bahawa kami bersatu semasa menerapkan prinsip Bible. Kami bersyukur kepada Yehuwa kerana hari ini, banyak anak cucu kami sembah Yehuwa.

Walaupun keutamaan saya berubah selepas belajar kebenaran, saya ingin guna kemahiran saya sebagai doktor untuk membantu umat Tuhan. Maka, saya jadi doktor bagi keluarga Bethel di Paris, dan terus berkhidmat selepas mereka pindah ke Louviers. Sudah kira-kira 50 tahun saya ulang-alik ke Bethel. Banyak ahli Bethel jadi kawan rapat saya. Ada antara mereka yang berumur 90-an sekarang. Suatu hari, saya dapat kejutan istimewa semasa berkenalan dengan seorang ahli Bethel baharu. Rupa-rupanya, sayalah doktor yang membantu ibunya melahirkannya kira-kira 20 tahun yang lalu!

SAYA LIHAT YEHUWA MENJAGA UMAT-NYA DENGAN BAIK SEKALI

Sepanjang masa ini, kasih saya terhadap Yehuwa bertambah semasa lihat bagaimana Dia membimbing dan melindungi umat-Nya menerusi organisasi-Nya. Pada awal tahun 1980-an, Badan Pimpinan mengasaskan satu program di Amerika Syarikat untuk membantu pegawai perubatan lebih memahami keputusan Saksi untuk tidak mengambil darah.

Kemudian pada tahun 1988, Badan Pimpinan menubuhkan Bahagian Khidmat Maklumat Hospital di Bethel. Pada mulanya, bahagian ini hanya menyelia Jawatankuasa Perhubungan Hospital (HLC) di Amerika Syarikat, yang diasaskan untuk bantu Saksi cari rawatan perubatan yang sesuai. Pada kemudian hari, HLC ditubuhkan di serata dunia, termasuk Perancis. Saya kagum melihat cara organisasi Yehuwa sokong saudara saudari yang sakit dengan pengasih!

IMPIAN SAYA JADI KENYATAAN

Kami terus sebarkan berita baik Kerajaan Tuhan

Semasa kecil, menjadi doktor ialah keutamaan hidup saya. Tetapi kemudian saya sedar bahawa membantu orang menyembah Yehuwa, iaitu Sumber Kehidupan, lebih penting daripada kerja sebagai doktor. Selepas bersara, saya dan Lydie meluangkan banyak masa setiap bulan sebagai perintis biasa untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Kini, kami masih lakukan kerja penyelamatan ini sebanyak mungkin.

Bersama Lydie, 2021

Saya terus cuba membantu orang sakit. Tetapi saya sedar bahawa doktor yang terbaik pun tidak mampu sembuhkan semua penyakit atau mencegah kematian. Jadi, saya nantikan saatnya apabila semua kesakitan, penyakit, dan kematian tidak akan ada lagi. Di dunia baharu nanti, saya boleh terus belajar tentang ciptaan Tuhan, termasuk badan manusia yang menakjubkan, buat selama-lamanya. Ya, walaupun impian saya semasa kecil belum tercapai sepenuhnya, saya yakin bahawa kehidupan yang terbaik bakal tiba!