Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 11

Teruslah Mengenakan “Keperibadian Baharu” selepas Dibaptis

Teruslah Mengenakan “Keperibadian Baharu” selepas Dibaptis

“Hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu.”​—KOL. 3:10.

LAGU 49 Menggembirakan Hati Yehuwa

PENGENALAN *

1. Apakah yang memberikan pengaruh besar kepada keperibadian kita?

 TIDAK KIRA kita baru dibaptis atau sudah lama dibaptis, kita ingin memiliki keperibadian yang disukai Yehuwa. Untuk memupuk keperibadian sebegini, kita perlu mengawal pemikiran kita, kerana pemikiran kita memberikan pengaruh yang besar kepada keperibadian kita. Jika kita sering memikirkan kepentingan diri, kita akan mengatakan dan melakukan hal yang salah. (Ef. 4:17-19) Namun, jika kita sering memikirkan hal yang baik, kita akan berasa lebih mudah untuk bercakap dan bertindak dalam cara yang menyenangkan hati Bapa kita, Yehuwa.​—Gal. 5:16.

2. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, kita tidak dapat menghalang fikiran yang jahat daripada timbul dalam minda kita. Namun, kita boleh memilih untuk tidak bertindak menurut fikiran jahat itu. Sebelum kita dibaptis, kita perlu menghentikan tutur kata dan tindakan yang dibenci oleh Yehuwa. Itulah langkah yang pertama dan yang terpenting untuk menanggalkan keperibadian lama. Namun, untuk menyenangkan hati Yehuwa dengan sepenuhnya, kita juga perlu mentaati perintah ini: “Hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu.” (Kol. 3:10) Dalam rencana ini, kita akan menjawab soalan-soalan berikut: Apakah itu “keperibadian baharu”? Bagaimanakah kita dapat mengenakan dan mengekalkan keperibadian baharu?

APAKAH ITU “KEPERIBADIAN BAHARU”?

3. Apakah itu “keperibadian baharu”? Bagaimanakah seseorang dapat mengenakannya? (Galatia 5:22, 23)

3 “Keperibadian baharu” ialah tindakan dan fikiran yang mencerminkan sifat-sifat Yehuwa. Untuk mengenakan keperibadian baharu, seseorang perlu menunjukkan buah kuasa suci Tuhan dan membiarkan kuasa suci Tuhan membimbing fikiran, perasaan, dan tindakannya. (Baca Galatia 5:22, 23.) Contohnya, dia mengasihi Yehuwa dan umat-Nya. (Mat. 22:36-39) Dia juga akan mengekalkan sukacitanya bahkan di bawah cubaan. (Yak. 1:2-4) Dia juga berusaha mewujudkan kedamaian. (Mat. 5:9) Dia bersabar dan baik hati terhadap orang lain. (Kol. 3:12, 13) Dia juga mencintai kebaikan dan melakukan apa yang baik. (Luk. 6:35) Melalui perbuatannya, dia menunjukkan iman yang kuat kepada Bapanya yang di syurga. (Yak. 2:18) Dia tetap bersikap lemah lembut semasa orang lain membuatnya marah, dan dia dapat mengawal diri semasa digoda.​—1 Kor. 9:25, 27; Tit. 3:2.

4. Jika kita hanya menunjukkan salah satu sifat yang disebut di Galatia 5:22, 23, adakah kita sudah mengenakan keperibadian baharu? Jelaskan.

4 Untuk mengenakan keperibadian baharu, kita perlu memupuk semua sifat yang disebut dalam Galatia 5:22, 23 dan ayat-ayat Bible lain. * Setiap sifat ini tidak harus dianggap seperti pakaian yang berasingan, seolah-olah kita hanya dapat mengenakan satu sifat pada suatu masa sahaja. Sebenarnya, setiap sifat ini saling berkaitan. Sebagai contoh, jika anda mengasihi seseorang, anda juga akan melayannya dengan baik hati dan sabar. Jika anda ingin memupuk sifat kebaikan, anda juga perlu menjadi lemah lembut dan mengawal diri.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENGENAKAN KEPERIBADIAN BAHARU?

Apabila kita semakin berfikir seperti Yesus, kita akan semakin dapat mencerminkan keperibadiannya (Lihat perenggan 5, 8, 10, 12, 14)

5. Apakah maksud “mempunyai fikiran Kristus,” dan mengapakah kita harus mengkaji kehidupan Yesus? (1 Korintus 2:16)

5 Baca 1 Korintus 2:16. Untuk mengenakan keperibadian baharu, kita perlu “mempunyai fikiran Kristus.” Maksudnya, kita mesti mempelajari cara Yesus berfikir dan menirunya. Yesus menunjukkan buah kuasa suci Tuhan dan mencerminkan sifat-sifat Yehuwa dengan sempurna. (Ibr. 1:3) Apabila kita semakin berfikir seperti Yesus, kita akan semakin dapat bertindak sepertinya. Hasilnya, kita dapat mencerminkan keperibadiannya dengan lebih baik.​—Flp. 2:5.

6. Apakah yang harus kita ingat semasa kita berusaha mengenakan keperibadian baharu?

6 Adakah kita mampu mengikut teladan Yesus? Kita mungkin fikir, “Yesus sempurna, jadi mustahil saya dapat jadi sepertinya!” Jika anda berasa begitu, ingatlah hal-hal ini. Pertama, anda dicipta menurut gambaran Yehuwa dan Yesus. Jadi, biarpun anda tidak sempurna, anda masih mampu meniru teladan mereka dalam hal-hal tertentu. (Kej. 1:26) Kedua, anda mempunyai bantuan daripada kuasa suci Tuhan, iaitu kuasa yang paling besar di alam semesta. Dengan adanya kuasa suci Tuhan, anda dapat melakukan hal-hal yang nampaknya mustahil anda lakukan. Ketiga, Yehuwa tidak mengharapkan kesempurnaan daripada anda sekarang. Ingatlah, Dia sudah memberikan masa 1,000 tahun agar manusia yang hidup di bumi menjadi sempurna. (Why. 20:1-3) Buat masa sekarang, Yehuwa mahu kita berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan buah kuasa suci Tuhan dan bergantung pada-Nya.

7. Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

7 Sekarang, mari kita membincangkan bagaimana Yesus menunjukkan empat sifat dalam buah kuasa suci Tuhan. Kita akan melihat apa yang dapat kita pelajari daripada teladan Yesus, dan kita akan membincangkan beberapa soalan yang dapat membantu kita mengenakan keperibadian baharu dengan lebih baik.

8. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kasih?

8 Oleh sebab Yesus sangat mengasihi Yehuwa, dia sanggup membuat pengorbanan untuk Bapanya dan untuk kita. (Yoh. 14:31; 15:13) Yesus membuktikan betapa besar kasihnya terhadap orang melalui cara hidupnya di bumi. Setiap hari, dia menunjukkan kasih dan belas kasihan, bahkan semasa orang menentangnya. Satu cara utama dia menunjukkan kasih adalah dengan mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan. (Luk. 4:43, 44) Yesus juga menunjukkan kasihnya kepada Tuhan dan manusia dengan sanggup menderita dan dibunuh oleh musuhnya. Pengorbanannya telah memberi manusia peluang untuk hidup kekal.

9. Bagaimanakah kita dapat meniru kasih Yesus?

9 Kita membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis kerana kita mengasihi Yehuwa. Seperti Yesus, kita patut menunjukkan kasih kepada Yehuwa melalui cara kita melayan orang lain. Rasul Yohanes menulis, “Jika [seseorang] tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihatnya, dia tidak dapat mengasihi Tuhan yang tidak pernah dilihatnya.” (1 Yoh. 4:20) Jadi tanyalah diri, “Adakah saya menunjukkan kasih yang mendalam kepada orang lain? Adakah saya berbelas kasihan terhadap mereka, bahkan semasa mereka bersikap biadab terhadap saya? Adakah kasih mendorong saya untuk menggunakan masa, tenaga, dan harta saya untuk membantu orang mengenali Yehuwa? Adakah saya rela berbuat demikian biarpun kebanyakan orang tidak menghargai usaha saya atau menentang saya? Dapatkah saya meluangkan lebih banyak masa dalam kerja menjadikan orang murid Yesus?”​—Ef. 5:15, 16.

10. Bagaimanakah Yesus berusaha mewujudkan kedamaian?

10 Yesus suka akan kedamaian. Semasa orang melayannya dengan buruk, dia tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Namun, Yesus melakukan lebih daripada itu. Dia juga mengambil inisiatif untuk meredakan suasana yang tegang, dan dia menggalakkan orang untuk menyelesaikan perselisihan faham. Misalnya, dia mengajar orang bahawa mereka mesti berdamai dengan rakan seiman mereka terlebih dahulu, barulah Yehuwa akan menerima ibadat mereka. (Mat. 5:9, 23, 24) Dia juga berulang kali membantu para rasulnya agar mereka tidak lagi bertengkar tentang siapa antara mereka yang terbesar.​—Luk. 9:46-48; 22:24-27.

11. Bagaimanakah kita dapat mewujudkan kedamaian?

11 Untuk mewujudkan kedamaian, sekadar mengelak daripada menimbulkan perselisihan tidak cukup. Kita juga perlu mengambil inisiatif untuk berdamai dengan orang lain dan menggalakkan rakan seiman kita untuk berdamai dengan satu sama lain. (Flp. 4:2, 3; Yak. 3:17, 18) Kita boleh menanya diri, “Sejauh manakah saya sanggup berusaha untuk berdamai? Apabila seorang rakan seiman menyinggung perasaan saya, adakah saya menyimpan dendam? Adakah saya menunggunya untuk mencari saya dan berdamai dengan saya, atau adakah saya akan mencarinya dahulu dan cuba berdamai dengannya, walaupun saya rasa dialah yang bersalah? Jika sesuai, adakah saya menggalakkan orang yang mempunyai perselisihan faham untuk berdamai dengan satu sama lain?”

12. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kebaikan hati?

12 Yesus menunjukkan kebaikan hati dengan bersikap lemah lembut dan sudi mengubah fikirannya, bahkan di bawah keadaan yang mencabar. (Mat. 11:28-30) Sebagai contoh, fikirkan masanya seorang wanita Fenisia merayu kepada Yesus untuk menyembuhkan anak perempuannya. Yesus menolak permintaan wanita itu pada mulanya. Tetapi setelah melihat imannya, dia menunjukkan kebaikan hati kepada wanita itu dan menyembuhkan anaknya. (Mat. 15:22-28) Meskipun Yesus baik hati, dia tidak takut untuk memberikan nasihat yang tegas kepada orang yang dikasihinya. Contohnya, semasa Petrus cuba menghalangnya daripada melakukan kehendak Yehuwa, Yesus menegurnya di hadapan murid-murid lain. (Mrk. 8:32, 33) Dia berbuat demikian, bukan untuk memalukan Petrus, tetapi untuk mengajarnya. Yesus juga ingin mengingatkan pengikutnya yang lain bahawa sebagai murid-muridnya, mereka sepatutnya menyokongnya dan tidak menghalangnya daripada melakukan kehendak Tuhan. Petrus mungkin berasa malu semasa ditegur, tetapi dia meraih manfaat daripada nasihat itu.

13. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kebaikan hati?

13 Untuk menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang kita kasihi, ada kalanya kita perlu menasihati mereka dengan terus terang. Semasa berbuat demikian, tirulah Yesus dan pastikan nasihat anda berdasarkan prinsip Bible. Tunjukkanlah sikap lemah lembut semasa menasihati mereka. Percayalah bahawa mereka ingin melakukan apa yang benar, dan yakinlah bahawa jika mereka mengasihi anda dan Yehuwa, mereka akan menerima nasihat anda. Tanyalah diri, “Adakah saya berani mengatakan sesuatu apabila orang yang saya kasihi berbuat salah? Jika saya perlu memberikan nasihat, adakah saya bercakap dengan baik hati atau kasar? Apakah motif saya untuk memberikan nasihat? Adakah saya memberikan nasihat kerana saya berasa geram terhadap orang itu, atau adakah kerana saya ingin membantunya?”

14. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kebaikan?

14 Yesus bukan hanya mengetahui apa yang baik, tetapi dia juga melakukan apa yang baik dan melakukannya dengan motif yang betul kerana dia mengasihi Bapanya. Dia sentiasa mencari peluang untuk membantu orang lain dan berbuat baik kepada mereka. Jika kita ingin meniru Yesus, sekadar tahu cara berbuat baik tidak mencukupi. Kita juga mesti bertindak dan melakukannya dengan motif yang betul. Seseorang mungkin berfikir, “Mungkinkah seseorang berbuat baik tetapi dengan motif yang salah?” Ya, hal itu boleh berlaku. Sebagai contoh, Yesus menyebut tentang orang yang membuat kebajikan hanya sekadar untuk menarik perhatian orang. Perbuatan sebegitu tidak menyenangkan hati Yehuwa.​—Mat. 6:1-4.

15. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kebaikan?

15 Untuk menunjukkan kebaikan, kita mesti berbuat baik dengan motif yang betul. Jadi tanyalah diri, “Adakah saya hanya mengetahui apa yang patut dilakukan tetapi tidak melakukannya? Apakah motif saya untuk berbuat baik?”

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENGEKALKAN KEPERIBADIAN BAHARU KITA?

16. Apakah yang harus kita lakukan setiap hari, dan mengapa?

16 Kita tidak patut berfikir bahawa selepas dibaptis, kita tidak perlu berusaha lagi untuk mengenakan keperibadian baharu. Keperibadian baharu adalah seperti pakaian baharu yang perlu dijaga dengan baik. Salah satu cara kita dapat berbuat demikian adalah dengan mencari peluang setiap hari untuk menunjukkan sifat-sifat dalam buah kuasa suci Tuhan. Mengapa? Kuasa suci Tuhan ialah kuasa yang dapat mendorong kita untuk bertindak. (Kej. 1:2) Maka, tindakan kita sangat penting. Sebagai contoh, perhatikan apa yang dikatakan oleh Yakobus mengenai salah satu sifat dalam buah kuasa suci Tuhan, iaitu iman: “Iman yang tidak disertai perbuatan ialah iman yang mati.” (Yak. 2:26) Sebenarnya, bukan sahaja iman yang perlu disertai perbuatan; semua sifat dalam buah kuasa suci Tuhan pun harus disertai tindakan. Apabila kita berusaha menunjukkan buah kuasa suci Tuhan melalui tindakan kita, kita membuktikan bahawa kuasa suci Tuhan sedang bekerja dalam diri kita.

17. Apakah sepatutnya reaksi kita jika kita gagal menunjukkan sifat-sifat dalam buah kuasa suci Tuhan?

17 Walaupun kita sudah lama dibaptis, ada kalanya kita mungkin gagal menunjukkan sifat-sifat dalam buah kuasa suci Tuhan. Namun, janganlah putus asa. Perhatikan contoh ini: Jika pakaian kegemaran anda terkoyak, adakah anda terus membuangnya? Tidak. Anda mungkin akan cuba menjahitnya selagi boleh, dan selepas itu anda akan lebih berhati-hati semasa memakainya. Begitu juga, jika anda gagal menunjukkan sifat baik hati, kesabaran, atau kasih terhadap seseorang, janganlah tawar hati. Minta maaflah dengan ikhlas supaya anda dapat membaiki hubungan anda dengan orang itu, dan bertekadlah untuk menunjukkan sifat-sifat itu dengan lebih baik lagi pada masa depan.

18. Kita dapat yakin akan hal apa?

18 Kita sangat bersyukur kerana dapat belajar daripada teladan Yesus! Apabila kita semakin berfikir seperti Yesus, kita akan semakin dapat bertindak sepertinya. Hasilnya, kita akan dapat mengenakan keperibadian baharu dengan semakin baik. Dalam rencana ini, kita hanya membincangkan empat sifat dalam buah kuasa suci Tuhan. Jadi, kajilah sifat-sifat lain dalam buah kuasa suci Tuhan dan fikirkan bagaimana anda dapat menunjukkannya dengan lebih baik lagi. Untuk membantu anda berbuat demikian, sila lihat rencana-rencana tentang topik ini dalam Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa. Lihat subjek “Kehidupan Orang Kristian,” kemudian cari bahagian “Buah Kuasa Suci.” Yakinlah bahawa jika anda berusaha untuk mengenakan dan mengekalkan keperibadian baharu, Yehuwa pasti membantu anda berjaya.

LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku

^ Tidak kira apa latar belakang kita, kita dapat mengenakan “keperibadian baharu.” Untuk melakukannya, kita mesti terus mengubah cara kita berfikir dan berusaha meniru teladan Yesus. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji bagaimana Yesus berfikir dan bertindak. Kita juga akan belajar bagaimana kita dapat terus menirunya walaupun kita sudah dibaptis.

^ Sifat-sifat yang dapat dihasilkan oleh kuasa suci Tuhan dalam diri kita tidak terhad kepada sembilan sifat yang disebut di Galatia 5:22, 23. Untuk maklumat lanjut, lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan Jun 2020.