Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 13

Ibadat Sejati Akan Membuat Anda Lebih Bahagia

Ibadat Sejati Akan Membuat Anda Lebih Bahagia

“Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa.”​—WHY. 4:11.

LAGU 31 Berjalanlah dengan Tuhan!

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang harus kita lakukan supaya Tuhan menerima ibadat kita?

 APAKAH yang terlintas dalam fikiran anda semasa anda mendengar perkataan “ibadat”? Anda mungkin membayangkan seorang saudara berlutut di tepi katilnya dan mencurahkan isi hatinya kepada Tuhan. Atau anda mungkin membayangkan sebuah keluarga yang sangat menikmati penyembahan keluarga mereka.

2 Semua individu yang disebut tadi sedang beribadat kepada Yehuwa. Namun, adakah Yehuwa akan menerima ibadat mereka? Ya, jika mereka berusaha melakukan kehendak-Nya, mengasihi-Nya, dan menghormati-Nya. Kita juga amat mengasihi Yehuwa, dan kita tahu bahawa Dia layak disembah. Oleh itu, kita ingin memberi-Nya ibadat yang terbaik.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan ibadat yang diterima oleh Yehuwa pada zaman Bible. Kemudian, kita akan membincangkan lapan kegiatan dalam ibadat yang diterima oleh Yehuwa pada hari ini. Semasa berbuat demikian, kita boleh memikirkan bagaimana kita dapat melakukan kegiatan-kegiatan ini dengan lebih baik lagi. Akhir sekali, kita akan melihat mengapa ibadat kepada Yehuwa dapat membuat kita lebih bahagia.

IBADAT YANG DITERIMA OLEH YEHUWA PADA ZAMAN BIBLE

4. Sebelum Yesus datang ke bumi, bagaimanakah para penyembah Yehuwa menunjukkan bahawa mereka menghormati dan mengasihi Yehuwa?

4 Sebelum Yesus datang ke bumi, bagaimanakah penyembah Yehuwa yang setia seperti Habel, Nuh, Abraham, dan Ayub, menunjukkan bahawa mereka menghormati dan mengasihi Yehuwa? Bible tidak menyatakan secara terperinci semua perkara yang perlu mereka lakukan untuk beribadat kepada Yehuwa. Namun, kita tahu bahawa mereka mentaati-Nya, beriman kepada-Nya, memberikan korban kepada-Nya, dan berusaha sedaya upaya untuk memuliakan-Nya. Oleh itu, Yehuwa menerima ibadat mereka. Kemudian, Yehuwa memberikan Hukum Musa kepada orang Israel. Hukum itu mengandungi banyak peraturan yang terperinci tentang ibadat yang diterima oleh Yehuwa.

5. Selepas Yesus mati dan dibangkitkan, apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada para penyembah-Nya?

5 Selepas Yesus mati dan dibangkitkan, Yehuwa tidak lagi menghendaki para penyembah-Nya untuk mematuhi Hukum Musa. (Rm. 10:4) Sebaliknya, Dia menghendaki orang Kristian mematuhi satu hukum baharu, iaitu “hukum Kristus.” (Gal. 6:2) Untuk mematuhi hukum Kristus, mereka tidak perlu menghafal dan mematuhi banyak peraturan. Mereka hanya perlu mengikut teladan Yesus dan mematuhi ajarannya. Hari ini, orang Kristian juga berusaha untuk meniru teladan Kristus. Dengan ini, mereka dapat menyenangkan hati Yehuwa, dan ‘jiwa mereka akan pulih segar.’​—Mat. 11:29.

6. Apakah yang perlu kita lakukan untuk meraih manfaat daripada rencana ini?

6 Semasa membincangkan kegiatan-kegiatan dalam ibadat kita, tanyalah diri anda, “Apakah kemajuan saya setakat ini? Dapatkah saya melakukan kegiatan-kegiatan ini dengan lebih baik lagi?” Jika anda mendapati bahawa anda telah membuat kemajuan, anda memang patut berasa gembira. Namun, anda masih perlu berdoa dan memikirkan bagaimana anda dapat meningkatkan lagi mutu ibadat anda kepada Yehuwa.

KEGIATAN-KEGIATAN DALAM IBADAT KITA

7. Apakah perasaan Yehuwa semasa kita berdoa dengan ikhlas?

7 Berdoa kepada Yehuwa. Ayat-Ayat Suci menyamakan doa kita dengan kemenyan yang disediakan dengan teliti. Kemenyan ini dipersembahkan di khemah suci, dan kemudiannya di Rumah Tuhan. (Mzm. 141:2) Bau wangi daripada kemenyan ini diperkenankan Tuhan. Seperti kemenyan, doa kita yang ikhlas ‘diperkenankan Tuhan,’ biarpun kata-kata kita ringkas sahaja. (Ams. 15:8; Ul. 33:10) Hati Yehuwa tersentuh semasa Dia mendengar luahan kasih dan kesyukuran kita. Dia ingin kita memberitahu-Nya kekhuatiran kita, harapan kita, dan keinginan kita. Jadi, sebelum mengucapkan doa, fikirkan dengan teliti apa yang hendak anda katakan. Dengan itu, anda dapat memberikan “kemenyan” yang terbaik kepada Bapa anda yang di syurga.

8. Bilakah kita dapat memuji Yehuwa?

8 Memuji Yehuwa. (Mzm. 34:1) Kita memuji Yehuwa semasa kita bercakap tentang sifat-sifat dan perbuatan-Nya yang menakjubkan. Rasa syukur akan mendorong kita untuk memuji Yehuwa. Jadi, kita perlu meluangkan masa untuk merenungkan segala kebaikan yang ditunjukkan oleh Yehuwa kepada kita. Dengan itu, kita akan sentiasa dapat mencari sesuatu untuk memuji-Nya. Semasa menginjil, kita berpeluang untuk “mempersembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Tuhan. Itulah buah yang kita persembahkan dengan bibir.” (Ibr. 13:15) Sepertimana kita harus berfikir dahulu sebelum berdoa, kita juga harus membuat persiapan yang teliti sebelum bercakap dengan orang yang kita temui dalam kerja penyebaran. Dengan itu, kita dapat menginjil dengan bersemangat dan “mempersembahkan puji-pujian” yang terbaik.

9. Apakah manfaat yang diraih umat Tuhan apabila mereka menghadiri perjumpaan? Apakah manfaat yang telah anda sendiri raih daripada perjumpaan?

9 Menghadiri perjumpaan. Orang Israel kuno diberitahu, “Tiga kali setahun, . . . semua lelaki dalam kalangan kamu harus datang menghadap Yehuwa, Tuhan kamu, di tempat yang dipilih-Nya.” (Ul. 16:16) Semasa mereka berbuat demikian, tiada orang yang akan melindungi rumah dan ladang mereka. Namun, Yehuwa berjanji kepada mereka, “Apabila kamu datang menghadap Aku tiga kali setahun, tiada seorang pun yang akan merampas tanah kamu.” (Kel. 34:24) Orang Israel yang beriman sepenuhnya kepada Yehuwa akan menghadiri perayaan-perayaan tahunan itu. Dengan berbuat demikian, mereka meraih manfaat yang besar. Contohnya, mereka dapat lebih memahami Hukum Tuhan, merenungkan segala kebaikan Yehuwa, dan menikmati pergaulan bersama penyembah Yehuwa yang lain. (Ul. 16:15) Kita juga dapat meraih manfaat yang sama jika kita sudi membuat pengorbanan untuk menghadiri perjumpaan. Selain itu, jika kita menyediakan komen yang singkat dan bermakna, Yehuwa pasti sangat gembira.

10. Mengapakah bernyanyi ialah bahagian penting dalam ibadat kita?

10 Bernyanyi bersama-sama. (Mzm. 28:7) Bagi orang Israel, bernyanyi ialah bahagian penting dalam ibadat mereka. Raja Daud telah menugaskan 288 orang Lewi sebagai penyanyi di Rumah Tuhan. (1 Taw. 25:1, 6-8) Hari ini, kita dapat mengungkapkan kasih kita kepada Tuhan semasa menyanyikan lagu pujian. Adakah kita mesti menjadi penyanyi yang hebat untuk menyanyikan lagu pujian? Tidak. Cuba fikirkan: Semasa bercakap, “kita semua sering berbuat silap.” Namun, hal itu tidak menghalang kita daripada memuji Yehuwa semasa di sidang dan semasa menginjil. (Yak. 3:2) Begitu juga, biarpun kita rasa kita tidak pandai menyanyi, janganlah membiarkan hal itu menghalang kita daripada menyanyikan lagu pujian kepada Yehuwa.

11. Menurut Mazmur 48:13, mengapakah kita harus menjadualkan masa untuk mengkaji Bible bersama-sama keluarga?

11 Mengkaji Bible dan mengajar anak kita tentang Yehuwa. Pada hari Sabat, orang Israel tidak bekerja dan hal ini memberi mereka peluang untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Yehuwa. (Kel. 31:16, 17) Mereka yang setia akan mengajar anak mereka tentang Yehuwa dan kebaikan-Nya. Hari ini kita juga perlu menjadualkan masa untuk membaca dan mengkaji Bible. Inilah sebahagian daripada ibadat kita kepada Yehuwa dan dapat membantu kita untuk menghampiri-Nya. (Mzm. 73:28) Dengan mengkaji Bible bersama-sama keluarga kita, kita dapat membantu anak-anak kita untuk menjalin hubungan yang rapat dengan Bapa kita yang di syurga.​—Baca Mazmur 48:13.

12. Apakah pandangan Yehuwa terhadap kerja yang berkaitan dengan khemah suci? Apakah yang kita pelajari daripada hal ini?

12 Membina dan menyelenggarakan tempat ibadat kita. Bible menyatakan bahawa kerja membina khemah suci dan menyediakan peralatan yang digunakan di khemah suci merupakan “khidmat suci.” (Kel. 36:1, 4) Dewasa ini, Yehuwa juga menganggap kerja membina Dewan Perjumpaan dan bangunan teokratik yang lain sebagai khidmat suci. Sesetengah saudara saudari menggunakan banyak masa dalam kerja pembinaan teokratik dan kita sangat menghargai sumbangan mereka untuk Kerajaan Tuhan. Sudah tentu, saudara saudari ini juga melakukan kerja penyebaran, dan ada antara mereka yang bahkan ingin merintis. Jika mereka memenuhi syarat, para penatua tidak patut teragak-agak untuk melantik mereka sebagai perintis. Dengan berbuat demikian, para penatua sedang menyokong kerja pembinaan teokratik. Sebenarnya, kita semua dapat menyokong kerja pembinaan teokratik. Bagaimana? Tidak kira kita mahir melakukan kerja pembinaan atau tidak, kita semua dapat membantu memastikan bangunan-bangunan teokratik kita sentiasa bersih dan dalam keadaan yang baik.

13. Mengapakah kita memberikan sumbangan untuk menyokong Kerajaan Tuhan?

13 Memberikan sumbangan untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Semasa orang Israel menghadiri perayaan-perayaan, mereka tidak boleh menghadap Yehuwa dengan tangan kosong. (Ul. 16:16) Mereka harus memberikan sesuatu menurut kemampuan mereka. Melalui cara ini, mereka menunjukkan bahawa mereka menghargai segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk mereka. Begitu juga, apabila kita memberikan sumbangan untuk sidang tempatan dan kerja sedunia menurut kemampuan kita, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa dan menghargai segala pemberian-Nya. Mengenai hal ini, Rasul Paulus menulis, “Seseorang yang memberi dengan rela hati sangat diperkenankan Tuhan, kerana Tuhan mahu seseorang memberi berdasarkan apa yang dimiliki, bukan apa yang tidak dimiliki.” (2 Kor. 8:4, 12) Jadi, tidak kira berapa banyak yang dapat kita beri, Yehuwa akan menghargainya jika kita memberi dengan rela hati.​—Mrk. 12:42-44; 2 Kor. 9:7.

14. Menurut Amsal 19:17, apakah perasaan Yehuwa semasa kita membantu rakan seiman yang menghadapi kesusahan?

14 Membantu rakan seiman yang menghadapi kesusahan. Yehuwa berjanji akan memberkati orang Israel yang membantu orang miskin. (Ul. 15:7, 10) Ya, Yehuwa menganggap kita sedang memberikan hadiah kepada-Nya setiap kali kita membantu rakan seiman yang menghadapi kesusahan. (Baca Amsal 19:17.) Sebagai contoh, semasa Paulus dipenjarakan, orang Kristian di Filipi telah menghantar barang keperluan kepadanya. Paulus menggambarkan pemberian mereka sebagai “korban yang diterima dan disenangi oleh Tuhan.” (Flp. 4:18) Jadi, fikirkanlah saudara saudari di sidang anda dan tanyalah diri, “Adakah sesiapa yang boleh saya bantu?” Yehuwa senang hati semasa kita menggunakan masa, tenaga, kemahiran, dan harta kita, untuk membantu rakan seiman yang menghadapi kesusahan. Bagi-Nya, perbuatan kita itu juga sebahagian daripada ibadat kita.​—Yak. 1:27.

IBADAT SEJATI MEMBAWA KEBAHAGIAAN

15. Walaupun kita perlu mencurahkan masa dan usaha untuk beribadat kepada Yehuwa, mengapakah hal itu tidak membebankan?

15 Kita perlu mencurahkan masa dan usaha untuk beribadat kepada Yehuwa. Namun, hal itu tidak membebankan kerana kita mengasihi-Nya. (1 Yoh. 5:3) Bayangkan seorang budak kecil ingin menghadiahkan sebuah lukisan kepada ayahnya. Dia mungkin meluangkan banyak masa untuk menyiapkan lukisan itu. Namun, dia tidak berasa bahawa masa yang diluangkannya itu sia-sia. Hal ini kerana dia mengasihi ayahnya dan berasa gembira untuk menghadiahkan lukisan itu kepada ayahnya. Begitu juga, kita berasa gembira untuk mencurahkan masa dan usaha untuk beribadat kepada Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya.

16. Menurut Ibrani 6:10, apakah perasaan Yehuwa terhadap usaha kita masing-masing?

16 Ibu bapa yang pengasih tidak akan mengharapkan hadiah yang sama daripada setiap anak mereka kerana mereka tahu kemampuan setiap anak berbeza. Begitu juga, Bapa kita yang pengasih di syurga memahami kemampuan kita masing-masing. Apa yang dapat anda lakukan untuk Yehuwa mungkin lebih banyak daripada orang lain. Atau, anda mungkin tidak dapat melakukan sebanyak orang lain disebabkan faktor usia, kesihatan, atau tanggungjawab keluarga. Jika begitu, janganlah tawar hati. (Gal. 6:4) Yehuwa tidak akan pernah melupakan kerja keras anda. Dia berasa gembira selagi anda memberikan yang terbaik dan melakukannya dengan motif yang betul. (Baca Ibrani 6:10.) Ingatlah, Yehuwa dapat melihat niat hati anda. Dia mahu anda berasa gembira dan puas dengan apa yang mampu anda lakukan untuk-Nya.

17. (a) Jika kita berasa bahawa sesetengah kegiatan dalam ibadat kita susah dilakukan, apakah yang dapat kita buat? (b) Bagaimanakah salah satu kegiatan yang ditunjukkan dalam kotak “ Jadilah Lebih Bahagia” telah membantu anda?

17 Jika kita berasa susah untuk melakukan sesetengah kegiatan dalam ibadat kita, contohnya pembelajaran peribadi atau kerja penyebaran, apakah yang dapat kita buat? Apabila kita semakin kerap menyertai kegiatan-kegiatan itu, kita akan semakin menikmatinya dan meraih manfaat yang semakin besar. Kita boleh menyamakan kegiatan dalam ibadat kita dengan kegiatan seperti bersenam atau belajar alat muzik. Jika kita hanya melakukannya sekali-sekala, kita tidak akan membuat banyak kemajuan. Namun, apakah yang akan berlaku jika kita melakukannya beberapa minit setiap hari dan beransur-ansur melakukannya untuk masa yang lebih lama? Kita akan meraih hasil yang baik. Kita juga akan lebih menikmati kegiatan itu dan tidak sabar-sabar untuk melakukannya lagi. Dapatkah anda melakukan hal yang sama untuk kegiatan dalam ibadat kita?

18. Apakah hal terpenting yang dapat kita lakukan? Apakah hasilnya jika kita melakukannya?

18 Menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati ialah hal terpenting yang dapat kita lakukan. Jika kita berbuat demikian, hidup kita akan bahagia dan bermakna, dan kita berpeluang beribadat kepada Yehuwa buat selama-lamanya. (Ams. 10:22) Sekarang pun, kita berasa tenang kerana kita tahu bahawa Yehuwa pasti akan membantu penyembah-Nya yang menghadapi masalah. (Yes. 41:9, 10) Ya, kita ada banyak sebab yang baik untuk berasa gembira semasa kita menyembah Bapa kita yang pengasih, yang layak ‘menerima kemuliaan dan kehormatan’ daripada semua ciptaan-Nya!​—Why. 4:11.

LAGU 24 Datanglah ke Gunung Yehuwa

^ Sebagai Pencipta segala sesuatu, Yehuwa memang layak disembah. Yehuwa akan menerima kegiatan yang kita lakukan untuk beribadat kepada-Nya jika kita mentaati arahan-Nya dan hidup selaras dengan prinsip-Nya. Dalam rencana ini, kita akan belajar lapan kegiatan dalam ibadat kepada Yehuwa. Kita juga akan belajar bagaimana kita dapat melakukan kegiatan-kegiatan ini dengan lebih baik lagi, dan bagaimana semua kegiatan ini akan membuat kita lebih bahagia.