Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 17

Para Ibu—Belajarlah daripada Euniki

Para Ibu—Belajarlah daripada Euniki

“Janganlah mengetepikan bimbingan ibumu. Ajaran mereka bagaikan lingkaran bunga yang cantik di atas kepalamu, dan bagaikan perhiasan yang indah pada lehermu.”​—AMS. 1:8, 9.

LAGU 137 Saudari Kristian, Wanita Setia

PENGENALAN a

Ibu Timotius, iaitu Euniki, dan neneknya Lois sangat gembira dan bangga semasa Timotius dibaptis sebagai orang Kristian (Lihat perenggan 1)

1-2. (a) Siapakah Euniki? Apakah cabaran yang dihadapinya sebagai seorang ibu? (b) Apakah yang anda perhatikan dalam gambar pada muka depan majalah?

 BIBLE tidak menggambarkan apa yang berlaku pada hari Timotius dibaptis. Namun, kita dapat membayangkan perasaan ibunya Euniki pada hari itu. (Ams. 23:25) Dengan mata yang bersinar-sinar, dia melihat Timotius berdiri di dalam air. Dia tersenyum dengan bangga seraya Lois, iaitu nenek Timotius, memegangnya dengan erat. Apabila Timotius dibenamkan ke dalam air, Euniki juga menahan nafasnya. Semasa Timotius keluar dari air dengan senyuman lebar, Euniki mula menitiskan air mata kegembiraan. Akhirnya, dia berjaya mengajar anaknya untuk mengasihi Yehuwa dan Yesus Kristus! Apakah cabaran yang perlu diatasinya untuk membantu Timotius maju sehingga ke tahap ini?

2 Bapa Timotius ialah orang Yunani dan bukan penyembah Yehuwa, manakala ibu dan nenek Timotius ialah orang Yahudi. (Kis. 16:1) Semasa Timotius remaja, Euniki dan Lois telah memeluk agama Kristian, tetapi ayahnya pula tidak menjadi pengikut Yesus. Jadi, agama manakah yang akan dipilih oleh Timotius? Timotius sudah cukup besar untuk membuat keputusannya sendiri. Adakah dia akan memilih untuk mengikut agama bapanya? Adakah dia akan berpegang pada adat Yahudi yang telah dipelajarinya sejak kecil? Atau adakah dia akan menjadi pengikut Yesus Kristus?

3. Menurut Amsal 1:8, 9, apakah pandangan Yehuwa terhadap usaha yang dicurahkan para ibu untuk membantu anak-anak mereka menjadi sahabat-Nya?

3 Para ibu Kristian zaman ini juga sangat menyayangi keluarga mereka. Mereka sangat ingin membantu anak-anak mereka untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa. Sudah pasti, Yehuwa sangat menghargai usaha mereka. (Baca Amsal 1:8, 9.) Yehuwa telah membantu ramai ibu yang berusaha mengajar anak-anak mereka untuk menerima kebenaran.

4. Apakah cabaran yang dihadapi oleh ramai ibu?

4 Ibu bapa tahu bahawa anak-anak mereka menghadapi banyak tekanan daripada dunia Syaitan. Maka tidak hairanlah jika seorang ibu tertanya-tanya jika anaknya akan memilih untuk menyembah Yehuwa seperti yang dilakukan Timotius. (1 Ptr. 5:8) Tambahan lagi, ramai saudari menghadapi cabaran kerana mereka ialah ibu tunggal atau suami mereka tidak seiman. Seorang saudari yang bernama Christine b berkata, “Suami saya ialah bapa dan ketua keluarga yang baik, tetapi dia tidak mahu saya membesarkan anak-anak kami sebagai Saksi. Selama bertahun-tahun, saya sering menangis kerana risau anak-anak saya tidak mahu menyembah Yehuwa.”

5. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

5 Para ibu Kristian, anda dapat membantu anak anda untuk mengasihi dan menyembah Yehuwa seperti yang dilakukan oleh Euniki. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana anda dapat mengajar anak anda menerusi kata-kata dan perbuatan anda, seperti yang dilakukan oleh Euniki. Kita juga akan melihat bagaimana Yehuwa akan membantu anda berbuat demikian.

MENGAJAR ANAK ANDA MENERUSI KATA-KATA ANDA

6. Seperti yang dinyatakan di 2 Timotius 3:14, 15, bagaimanakah Timotius menjadi orang Kristian?

6 Semasa Timotius masih kecil, ibunya berusaha mengajarnya tentang “tulisan-tulisan suci” yang digunakan oleh orang Yahudi. Sudah tentu, pengetahuan Euniki tidak lengkap kerana dia belum mengenali Yesus Kristus. Namun, apa yang diajarkannya kepada Timotius telah menjadi asas yang baik untuk membantu Timotius menjadi orang Kristian pada kemudian hari. Meskipun begitu, Timotius masih perlu membuat keputusan sendiri sama ada dia ingin menjadi orang Kristian atau tidak. Timotius telah memilih untuk mempercayai kebenaran tentang Yesus, dan salah satu sebab dia diyakinkan adalah kerana usaha ibunya. (Baca 2 Timotius 3:14, 15.) Nama Euniki bermaksud “mengalahkan,” dan dia pasti sangat bersyukur kerana dia berjaya “mengalahkan” pelbagai cabaran dalam usahanya untuk mengajar Timotius tentang Yehuwa dan Yesus.

7. Bagaimanakah Euniki dapat membantu Timotius terus maju secara rohani selepas dibaptis?

7 Semasa Timotius dibaptis, Euniki tentu sangat gembira melihat anaknya mengambil langkah yang penting ini. Namun, masih terdapat hal-hal lain yang membuatnya risau: Apakah yang akan Timotius buat dengan kehidupannya? Adakah dia akan dipengaruhi pergaulan buruk? Adakah dia akan mengejar pendidikan tinggi di Atena dan dipengaruhi oleh ajaran ahli falsafah yang tidak mengenal Tuhan? Adakah dia akan membazirkan zaman mudanya untuk menjadi hamba kekayaan? Euniki tidak boleh membuat keputusan bagi Timotius, tetapi dia boleh membimbing Timotius untuk membuat keputusan yang bijak. Bagaimana? Dia boleh terus berusaha menanamkan kasih kepada Yehuwa dalam hati Timotius dan mendorongnya untuk menghargai segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus. Sebenarnya, bukan hanya orang Kristian yang pasangannya tidak seiman yang menghadapi cabaran untuk membesarkan anak. Biarpun kedua-dua ibu dan bapa merupakan penyembah Yehuwa, mereka mungkin masih berasa susah untuk mencapai hati anak mereka dan membantu anak mereka untuk terus mengasihi Yehuwa. Bagaimanakah teladan Euniki dapat membantu ibu bapa?

8. Bagaimanakah seorang saudari dapat membantu suaminya yang seiman untuk menjaga keperluan rohani anak mereka?

8 Belajar Bible bersama anak anda. Para saudari, jika suami anda dalam kebenaran, Yehuwa mahu anda membantunya untuk menjaga keperluan rohani anak-anak anda. Salah satu cara anda boleh melakukannya adalah dengan menyokong aturan Penyembahan Keluarga secara tetap. Tunjukkanlah menerusi kata-kata anda bahawa anda menyukai aturan ini, dan berusahalah untuk mewujudkan suasana yang menyenangkan semasa penyembahan keluarga. Anda juga boleh membantu suami anda untuk memikirkan topik Bible yang menarik untuk dikaji atau aktiviti istimewa untuk dilakukan. Selain itu, jika anak-anak anda sudah cukup besar untuk memahami maklumat dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, bincanglah dengan suami anda jika dia memerlukan bantuan anda untuk mengadakan pembelajaran Bible bersama mereka.

9. Apakah bantuan yang disediakan untuk ibu tunggal atau saudari yang suaminya tidak seiman?

9 Sesetengah ibu perlu mengadakan pembelajaran Bible dengan anak-anak mereka kerana mereka merupakan ibu tunggal atau kerana suami mereka tidak seiman. Jika itulah situasi anda, janganlah terlalu risau kerana Yehuwa akan membantu anda. Dia telah menyediakan alat-alat mengajar yang berguna menerusi organisasi-Nya. Maka, gunakanlah alat-alat itu untuk mengajar anak anda, dan mintalah cadangan daripada ibu bapa yang berpengalaman tentang cara untuk menggunakan alat-alat itu semasa penyembahan keluarga. c (Ams. 11:14) Yehuwa juga dapat membantu anda untuk berkomunikasi dengan anak-anak anda. Maka mintalah bantuan-Nya supaya anda dapat menimba isi hati dan fikiran mereka. (Ams. 20:5) Anda dapat mengetahui banyak hal tentang anak anda jika anda menanyakan soalan yang ringkas seperti, “Apakah cabaran terbesar yang kamu hadapi di sekolah?”

10. Apakah cara lain yang dapat anda gunakan untuk mengajar anak-anak anda tentang Yehuwa?

10 Cipta peluang untuk mengajar anak-anak anda tentang Yehuwa. Beritahulah mereka tentang Yehuwa dan hal-hal baik yang dilakukan-Nya untuk anda. (Ul. 6:6, 7; Yes. 63:7) Hal ini penting terutamanya jika anda tidak dapat mengadakan pembelajaran Bible di rumah secara tetap bersama anak-anak anda. Christine, yang disebut tadi, berkata, “Saya jarang ada peluang membincangkan hal-hal rohani bersama anak di rumah, jadi saya perlu cari peluang lain. Kami akan pergi bersiar-siar atau mengayuh kanu. Masa itu, saya akan bercakap tentang ciptaan Yehuwa dan banyak hal rohani lain. Apabila anak-anak saya sudah cukup besar, saya galakkan mereka untuk membuat pembelajaran Bible sendiri.” Selain itu, beritahulah anak-anak anda hal yang positif tentang organisasi Yehuwa dan saudara saudari. Janganlah mengkritik para penatua, kerana apa yang anda katakan tentang mereka akan menentukan sama ada anak-anak anda akan sudi meminta bantuan mereka atau tidak.

11. Menurut Yakobus 3:18, mengapakah penting untuk mewujudkan suasana yang damai di rumah?

11 Mewujudkan suasana yang damai di rumah. Para ibu, tunjukkanlah kasih kepada suami dan anak-anak anda secara kerap. Semasa bercakap tentang suami anda di depan anak-anak, tunjukkanlah bahawa anda menyayangi dan menghormati suami anda, dan latihlah anak anda untuk melakukan hal yang sama. Dengan itu, anda dapat mewujudkan suasana yang damai, dan anak-anak anda akan berasa lebih senang untuk belajar tentang Yehuwa. (Baca Yakobus 3:18.) Perhatikan contoh Jozsef, yang berkhidmat sebagai perintis khas di Romania. Semasa dia membesar, ayahnya menggunakan bermacam-macam cara untuk menghalang dia, ibunya, dan adik-beradiknya daripada menyembah Yehuwa. Dia berkata, “Ibu saya berusaha keras untuk mewujudkan suasana yang damai di rumah. Semakin kasar bapa saya melayan kami, semakin baik ibu saya akan melayannya. Apabila ibu melihat bahawa kami berasa susah untuk menghormati dan mentaati bapa, dia akan membincangkan Efesus 6:1-3 bersama kami. Kemudian, dia akan bercakap tentang sifat-sifat baik bapa dan menjelaskan mengapa kami harus mengasihi bapa. Dengan berbuat demikian, ibu telah berjaya meredakan banyak situasi yang tegang.”

MENGAJAR ANAK ANDA MENERUSI PERBUATAN ANDA

12. Menurut 2 Timotius 1:5, bagaimanakah teladan Euniki mempengaruhi Timotius?

12 Baca 2 Timotius 1:5. Euniki menetapkan teladan baik bagi Timotius. Sudah pasti dia telah mengajar Timotius bahawa iman sejati mesti disertai perbuatan. (Yak. 2:26) Melalui perbuatan ibunya, Timotius pasti dapat melihat bahawa ibunya amat mengasihi Yehuwa. Timotius juga dapat melihat bahawa ibadat kepada Yehuwa membuat ibunya bersukacita. Apakah kesan teladan Euniki terhadap Timotius? Seperti yang dikatakan Paulus, Timotius memiliki iman yang kuat seperti ibunya. Hal ini tidak berlaku secara kebetulan. Sebaliknya, Timotius telah memperhatikan perbuatan ibunya dan terdorong untuk meniru teladannya. Begitu juga, ramai ibu pada hari ini telah membantu keluarga mereka menjadi penyembah Yehuwa tanpa “perlu berkata apa-apa.” (1 Ptr. 3:1, 2) Anda juga dapat berbuat demikian. Bagaimana?

13. Mengapakah seorang ibu patut mengutamakan hubungannya dengan Yehuwa?

13 Utamakan hubungan anda dengan Yehuwa. (Ul. 6:5, 6) Seperti kebanyakan ibu, anda membuat banyak pengorbanan untuk menjaga keperluan fizikal anak anda. Sebagai contoh, anda mungkin mengorbankan masa, wang, waktu tidur, dan hal-hal lain. Namun, janganlah terlalu sibuk menjaga anak sehingga mengorbankan hubungan anda dengan Yehuwa. Sebaliknya, tetapkanlah masa untuk berdoa, membuat pembelajaran Bible peribadi, dan menghadiri perjumpaan. Dengan berbuat demikian, anda dapat menguatkan kerohanian anda sendiri dan menetapkan teladan yang baik bagi keluarga anda dan orang lain.

14-15. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Leanne, Maria, dan João?

14 Perhatikan pengalaman beberapa kaum muda yang telah dibantu untuk mengasihi dan mempercayai Yehuwa menerusi teladan baik ibu mereka. Leanne, iaitu anak perempuan Christine, berkata, “Saya dan adik-adik saya tidak dapat belajar Bible semasa bapa ada di rumah. Tetapi kami dapat melihat ibu selalu menghadiri perjumpaan. Jadi, walaupun kami tidak tahu banyak tentang Bible, teladan dan usaha ibu telah membantu kami membina iman yang kuat. Bahkan sebelum kami dapat menghadiri perjumpaan, kami sudah tahu bahawa inilah kebenaran.”

15 Maria, yang bapanya kadangkala memukul dan memarahi keluarganya kerana menghadiri perjumpaan, berkata, “Ibu saya sangat berani. Semasa kecil, ada kalanya saya enggan melakukan sesuatu kerana takut akan pandangan orang. Namun, apabila saya melihat keberanian ibu saya dan bagaimana dia selalu mengutamakan Yehuwa, hal ini membantu saya untuk mengatasi rasa takut akan manusia.” João, yang bapanya melarang mereka berbincang tentang hal rohani di rumah, berkata, “Mak sudi mengorbankan apa saja untuk menyenangkan hati Ayah, kecuali kasihnya kepada Yehuwa. Itulah yang paling menyentuh hati saya.”

16. Bagaimanakah teladan baik seorang ibu dapat mempengaruhi orang lain?

16 Para ibu, ingatlah bahawa teladan anda dapat memberikan kesan kepada orang lain. Bagaimana? Perhatikan bagaimana teladan Euniki mempengaruhi Rasul Paulus. Selepas menyatakan bahawa Timotius memiliki iman yang tulus, Paulus menulis, “Mula-mula, . . . Euniki menunjukkan iman sedemikian.” (2 Tim. 1:5) Bilakah Paulus memperhatikan iman Euniki buat kali pertama? Barangkali semasa perjalanannya yang pertama sebagai mubaligh. Pada masa itu, dia berjumpa dengan Lois dan Euniki di Listra, dan mungkin Pauluslah yang membantu mereka untuk menjadi orang Kristian. (Kis. 14:4-18) Bayangkan, kira-kira 15 tahun kemudian, dalam suratnya kepada Timotius, Paulus masih ingat akan kesetiaan Euniki dan berkata bahawa dia merupakan teladan yang baik! Jelaslah, teladan Euniki telah memberi kesan yang mendalam kepada Paulus dan banyak orang Kristian abad pertama. Jadi, jika anda perlu membesarkan anak-anak anda tanpa bantuan suami, atau jika suami anda tidak seiman, ingatlah bahawa kesetiaan anda dapat menguatkan dan menggalakkan saudara saudari anda.

Pertumbuhan rohani anak memerlukan masa. Maka janganlah berputus asa! (Lihat perenggan 17)

17. Apakah yang harus anda lakukan jika anak anda tidak mahu menyembah Yehuwa meskipun anda telah berusaha untuk mendidiknya?

17 Bagaimana pula jika anak anda tidak mahu menyembah Yehuwa meskipun anda telah berusaha untuk mendidiknya? Ingatlah bahawa mendidik anak memerlukan masa. Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, semasa anda menanam biji benih, ada kalanya anda mungkin tertanya-tanya sama ada biji benih itu akan bercambah dan menghasilkan buah. Walaupun anda tidak dapat mengawal pertumbuhan biji benih itu, anda dapat terus menyiram agar biji benih itu berpeluang untuk bertumbuh. (Mrk. 4:26-29) Begitu juga, sebagai seorang ibu, ada kalanya anda mungkin tertanya-tanya sama ada usaha anda untuk membantu anak anda mengasihi Yehuwa akan berhasil atau tidak. Anda tidak dapat mengawal keputusan yang dibuat oleh anak anda. Namun, jika anda terus berusaha untuk mendidik mereka, anda dapat memberi mereka peluang untuk terus bertumbuh secara rohani.​—Ams. 22:6.

BERGANTUNG PADA BANTUAN YEHUWA

18. Bagaimanakah Yehuwa dapat membantu anak anda untuk bertumbuh secara rohani?

18 Sejak zaman Bible, Yehuwa telah membantu ramai orang muda menjadi sahabat-Nya. (Mzm. 22:9, 10) Dia juga dapat membantu anak anda bertumbuh secara rohani jika itulah keinginan mereka. (1 Kor. 3:6, 7) Biarpun anak anda mula menyimpang, Yehuwa akan terus mengasihi mereka. (Mzm. 11:4) Sebaik sahaja mereka menunjukkan bahawa mereka ingin menyenangkan hati Yehuwa, bahkan dalam hal yang kecil, Yehuwa akan segera membantu mereka. (2 Taw. 16:9; Kis. 13:48) Dia juga akan membantu anda meluahkan kata-kata yang sesuai pada saat anak anda paling memerlukannya. (Ams. 15:23) Atau Dia mungkin menggerakkan seorang saudara atau saudari dalam sidang untuk mengambil berat terhadap mereka. Walaupun mereka sudah dewasa, Yehuwa akan bantu mereka untuk ingat kembali apa yang telah anda ajarkan. (Yoh. 14:26) Apabila anda terus mengajar anak anda menerusi kata-kata dan perbuatan anda, Yehuwa pasti memberkati anda.

19. Mengapakah anda boleh pasti bahawa Yehuwa akan memperkenankan anda?

19 Tidak kira apa haluan hidup yang dipilih anak anda, Yehuwa akan terus mengasihi anda kerana anda mengasihi-Nya. Jika anda seorang ibu tunggal, Yehuwa berjanji untuk menjadi Pembela anda dan Bapa kepada anak-anak anda. (Mzm. 68:5) Sememangnya, anda tidak dapat memaksa anak anda untuk menyembah Yehuwa. Tetapi, jika anda bergantung pada Yehuwa dan melakukan yang terbaik, anda pasti mendapat perkenan-Nya.

LAGU 134 Anak-Anak Anugerah Tuhan

a Rencana ini akan membincangkan bagaimana para ibu dapat meraih manfaat daripada teladan Euniki, iaitu ibu Timotius, dan bagaimana mereka dapat membantu anak mereka mengenali dan mengasihi Yehuwa.

b Sesetengah nama telah diubah.

c Sebagai contoh, lihat pelajaran 50 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! dan rencana “Cadangan bagi Penyembahan Keluarga dan Pembelajaran Peribadi” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Ogos 2011, ms. 6-7.