Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 18

Cara Menetapkan dan Mencapai Matlamat Rohani

Cara Menetapkan dan Mencapai Matlamat Rohani

“Renungkanlah dan tumpukanlah sepenuh perhatian kepada hal-hal ini, supaya kemajuanmu dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang.”​—1 TIM. 4:15.

LAGU 84 Meluaskan Khidmat

PENGENALAN a

1. Apakah matlamat rohani yang boleh kita tetapkan?

 SEBAGAI orang Kristian sejati, kita sangat mengasihi Yehuwa dan ingin melakukan yang terbaik dalam khidmat kita kepada-Nya. Namun untuk berbuat demikian, kita perlu menetapkan matlamat rohani seperti memupuk sifat-sifat Kristian, mempelajari kemahiran yang berguna, dan mencari cara untuk membantu orang lain. b

2. Mengapakah kita patut berusaha untuk menetapkan dan mencapai matlamat rohani?

2 Mengapakah kita ingin membuat kemajuan rohani? Sebab yang utama ialah kita ingin menggembirakan hati Bapa kita yang di syurga. Yehuwa berasa senang hati semasa Dia melihat kita menggunakan kemahiran kita dengan sepenuhnya untuk berkhidmat kepada-Nya. Satu lagi sebab kita ingin membuat kemajuan rohani adalah supaya kita dapat membantu saudara saudari kita dalam lebih banyak cara. (1 Tes. 4:9, 10) Nasihat Paulus kepada Timotius menunjukkan bahawa tidak kira berapa lama kita berada dalam kebenaran, kita semua dapat membuat kemajuan rohani. Mari kita lihat bagaimana kita dapat berbuat demikian.

3. Rasul Paulus menggalakkan Timotius untuk melakukan apa? (1 Timotius 4:12-16)

3 Semasa Rasul Paulus menulis suratnya yang pertama kepada Timotius, Timotius sudah pun merupakan seorang penatua yang berpengalaman. Namun, Paulus masih menggalakkannya untuk terus membuat kemajuan rohani. (Baca 1 Timotius 4:12-16.) Semasa membaca kata-kata Paulus kepada Timotius, anda akan mendapati bahawa dia ingin Timotius membuat kemajuan dalam dua hal. Pertama, dia ingin Timotius memupuk sifat-sifat Kristian seperti kasih, iman, dan kemurnian. Kedua, dia ingin Timotius meningkatkan kemahirannya untuk membaca di hadapan umum, memberikan nasihat, dan mengajar. Sekarang, mari kita memikirkan contoh Timotius dan membincangkan bagaimana kita dapat membuat kemajuan rohani jika kita menetapkan matlamat yang dapat dicapai. Kita juga akan membincangkan beberapa cara kita dapat meluaskan khidmat kita.

MEMUPUK SIFAT-SIFAT KRISTIAN

4. Menurut Filipi 2:19-22, mengapakah Timotius berguna bagi Yehuwa?

4 Mengapakah Timotius berguna bagi Yehuwa? Dia memiliki banyak sifat Kristian yang baik. (Baca Filipi 2:19-22.) Paulus menggambarkan Timotius sebagai seorang yang rendah hati, setia, rajin, dan boleh diharapkan. Timotius juga pengasih dan sangat mengambil berat terhadap saudara saudarinya. Itulah sebabnya Paulus mengasihi Timotius dan tidak teragak-agak untuk memberinya tugasan yang mencabar. (1 Kor. 4:17) Jika kita juga memupuk sifat-sifat yang disukai Yehuwa, kita akan dikasihi oleh Yehuwa, dan kita akan menjadi lebih berguna dalam sidang.—Mzm. 25:9; 138:6.

Pilih satu sifat Kristian untuk dipupuk (Lihat perenggan 5-6)

5. (a) Bagaimanakah anda dapat mengetahui sifat manakah yang ingin anda perbaiki? (b) Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, bagaimanakah saudari muda itu berusaha untuk menunjukkan empati dengan lebih baik lagi?

5 Pilih satu sifat untuk dipupuk. Berdoalah dan fikirkan sifat-sifat yang perlu anda perbaiki. Kemudian, pilihlah satu sifat yang ingin anda usahakan. Sebagai contoh, adakah anda ingin menunjukkan sifat empati dengan lebih baik lagi atau memupuk keinginan yang lebih kuat untuk membantu rakan seiman anda? Adakah anda ingin memupuk hubungan yang lebih baik dengan orang lain dan lebih sudi mengampuni? Anda juga boleh menanya pendapat seorang kawan rapat tentang sifat-sifat yang boleh anda perbaiki.—Ams. 27:6.

6. Jika anda ingin memupuk suatu sifat, bagaimanakah anda dapat mencapai matlamat itu?

6 Berusaha untuk mencapai matlamat anda. Bagaimana? Kajilah dengan teliti sifat yang ingin anda perbaiki. Katakan anda ingin berusaha untuk lebih rela mengampuni. Anda boleh membaca dan merenungkan kisah Bible tentang orang yang sudi dan yang tidak sudi memaafkan orang lain. Sebagai contoh, Yesus rela mengampuni orang lain. (Luk. 7:47, 48) Dia bertumpu kepada potensi orang dan bukannya kelemahan mereka. Orang Farisi pada zaman Yesus pula “memandang hina pada orang lain.” (Luk. 18:9) Selepas merenungkan contoh-contoh ini, fikirkanlah pandangan anda terhadap orang lain, dan tanyalah diri, “Saya mahu berfokus kepada sifat mereka yang mana?” Namun, bagaimana pula jika anda berasa susah untuk memaafkan seseorang? Tuliskanlah sifat-sifat baik yang dimilikinya. Kemudian tanyalah diri, “Apakah pandangan Yesus terhadap orang ini? Adakah Yesus akan mengampuninya?” Dengan berbuat demikian, anda dapat membetulkan fikiran anda. Pada mulanya, kita mungkin perlu berusaha keras untuk memaafkan seseorang yang menyinggung perasaan kita. Namun, jika kita terus berusaha berbuat demikian, lama-kelamaan kita akan lebih sudi mengampuni.

BELAJAR KEMAHIRAN YANG BERGUNA

Tawarkan diri untuk belajar membuat kerja penyelenggaraan di Dewan Perjumpaan (Lihat perenggan 7) e

7. Dewasa ini, bagaimanakah Yehuwa menggunakan pekerja yang mahir? (Amsal 22:29)

7 Satu lagi matlamat yang dapat anda tetapkan ialah mempelajari kemahiran yang berguna. Fikirkan berapa banyak saudara saudari yang diperlukan untuk membina bangunan Bethel, Dewan Perhimpunan, dan Dewan Perjumpaan. Ramai antara mereka mempelajari kemahiran mereka dengan bekerja bersama saudara saudari yang berpengalaman. Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, saudara dan saudari sedang mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk menyelenggarakan Dewan Perhimpunan dan Dewan Perjumpaan. Tuhan Yehuwa, “Raja yang kekal,” dan Kristus Yesus, “Raja atas mereka yang memerintah sebagai raja,” sedang menggunakan pekerja yang mahir untuk melaksanakan hal yang luar biasa dalam kerja pembinaan, kerja penyelenggaraan, dan dalam kerja-kerja lain. (1 Tim. 1:17; 6:15; baca Amsal 22:29.) Maka, kita mahu berusaha keras dan menggunakan kemahiran kita untuk memuliakan Yehuwa, bukannya diri sendiri.—Yoh. 8:54.

8. Bagaimanakah anda dapat mengetahui kemahiran apa yang perlu anda pelajari?

8 Pilih satu kemahiran untuk dipelajari. Kemahiran apa? Mintalah cadangan daripada para penatua di sidang anda atau mungkin penyelia litar anda. Katakan mereka memberitahu bahawa anda boleh meningkatkan kemahiran dalam memberikan ceramah atau mengajar, tanyalah mereka hal apa yang perlu anda usahakan. Kemudian, ambillah langkah-langkah yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda. Apakah langkah-langkah itu?

9. Jika anda ingin memupuk satu kemahiran, bagaimanakah anda dapat mencapai matlamat itu?

9 Berusaha untuk mencapai matlamat anda. Sebagai contoh, jika anda ingin memperbaiki kemahiran mengajar anda, kajilah brosur Curahkan Usaha untuk Membaca dan Mengajar dengan teliti. Jika anda diberikan tugasan untuk perjumpaan pertengahan minggu, mintalah seorang saudara yang berpengalaman untuk mendengar anda berlatih dan memberikan cadangan untuk memperbaiki tugasan anda. Selain itu, buatlah persiapan awal supaya orang lain dapat melihat bahawa anda bukan sahaja mahir, tetapi juga rajin dan boleh diharapkan.—Ams. 21:5; 2 Kor. 8:22.

10. Bagaimanakah kita dapat terus meningkatkan kemahiran kita? Berikan contoh.

10 Bagaimana pula jika anda ingin mempelajari suatu kemahiran tetapi berasa sangat susah untuk membuat kemajuan? Janganlah putus asa! Seorang saudara yang bernama Garry mempunyai masalah untuk membaca. Dia masih ingat bahawa dia berasa sangat malu semasa membuat pembacaan di hadapan sidang. Namun, dia terus berusaha meningkatkan kemahirannya dan memanfaatkan latihan yang diberikan kepadanya. Kini, Garry dapat memberikan ceramah di Dewan Perjumpaan, perhimpunan litar, dan konvensyen!

11. Seperti Timotius, bagaimanakah kita dapat dilengkapi untuk melakukan lebih banyak kerja bagi Yehuwa?

11 Adakah Timotius akhirnya menjadi penceramah atau guru yang sangat mahir? Bible tidak memberitahu kita. Namun, Timotius sudah tentu dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih baik setelah mengikut nasihat Paulus. (2 Tim. 3:10) Begitu juga, jika kita berusaha meningkatkan kemahiran kita, kita akan dilengkapi untuk melakukan lebih banyak kerja bagi Yehuwa.

MENCARI CARA UNTUK MEMBANTU ORANG LAIN

12. Bagaimanakah orang lain pernah membantu anda?

12 Kita semua menghargai bantuan daripada orang lain. Contohnya, semasa kita di hospital, kita bersyukur semasa dikunjungi oleh penatua daripada Jawatankuasa Perhubungan Hospital atau Kumpulan Melawat Pesakit. Semasa kita menghadapi cabaran dalam hidup, kita berterima kasih apabila seorang penatua yang baik hati meluangkan masa untuk mendengar keluhan kita dan melegakan kita. Semasa kita memerlukan bantuan untuk mengadakan pembelajaran Bible, kita berasa gembira apabila seorang perintis yang berpengalaman menyertai pembelajaran Bible kita dan memberi kita cadangan yang berguna. Saudara saudari kita berasa gembira untuk membantu kita. Kita pun dapat merasai kegembiraan yang sama jika kita menawarkan diri untuk membantu orang lain. Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kis. 20:35) Jika anda ingin meluaskan khidmat anda dalam cara-cara yang disebut tadi atau dalam cara yang lain, apakah yang dapat anda lakukan untuk mencapai matlamat anda?

13. Semasa menetapkan matlamat, apakah yang harus kita ingat?

13 Semasa menetapkan matlamat, pastikan matlamat anda spesifik. Sebagai contoh, anda mungkin fikir, “Saya ingin buat lebih banyak kerja dalam sidang.” Namun, matlamat sebegini kurang jelas. Jadi anda mungkin tidak tahu apa yang perlu anda lakukan untuk mencapai matlamat itu, dan anda juga tidak dapat menilai sama ada anda sudah mencapainya atau belum. Maka, tetapkanlah matlamat yang spesifik. Anda juga boleh menuliskan matlamat itu dan apa yang hendak anda lakukan untuk mencapainya.

14. Mengapakah kita perlu sudi mengubah matlamat kita apabila perlu?

14 Kita juga harus sudi mengubah matlamat kita apabila perlu. Mengapa? Kerana terdapat sesetengah hal dalam hidup kita yang di luar kawalan kita. Fikirkan contoh Rasul Paulus. Dia telah membantu menubuhkan sebuah sidang di kota Tesalonika. Sudah tentu dia bermatlamat untuk terus tinggal di situ dan membantu saudara saudari yang baru dibaptis. Namun, akibat tentangan, Paulus terpaksa meninggalkan Tesalonika. (Kis. 17:1-5, 10) Jika dia terus tinggal di situ, dia akan membahayakan rakan seimannya. Meskipun begitu, Paulus masih ingin membantu mereka. Jadi, dia mengubah matlamatnya menurut situasi pada masa itu dan mengutus Timotius ke Tesalonika untuk menjaga keperluan rohani saudara saudari di situ. (1 Tes. 3:1-3) Orang Kristian di Tesalonika pasti sangat bersyukur kerana Timotius bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja dia diperlukan!

15. Bagaimanakah situasi yang di luar kawalan kita mungkin mempengaruhi matlamat yang kita tetapkan? Berikan contoh.

15 Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Paulus di Tesalonika? Kita mungkin sudah menetapkan matlamat tertentu, namun kita tidak dapat mencapainya disebabkan situasi yang di luar kawalan kita. (Pkh. 9:11) Jika hal itu berlaku kepada anda, pilihlah matlamat lain yang dapat anda capai. Inilah yang dilakukan oleh sepasang suami isteri yang bernama Ted dan Hiedi. Disebabkan masalah kesihatan, mereka perlu meninggalkan Bethel. Namun kasih mereka terhadap Yehuwa telah mendorong mereka untuk meluaskan khidmat mereka dalam cara yang lain. Jadi, mula-mulanya, mereka berkhidmat sebagai perintis biasa. Kemudian, mereka dilantik sebagai perintis khas, dan Ted dilatih sebagai pengganti penyelia litar. Namun, apabila had umur untuk penyelia litar diubah, Ted dan Hiedi sedar bahawa mereka tidak lagi dapat melakukan kerja lawatan. Walaupun mereka berasa kecewa, mereka tahu bahawa mereka masih dapat berkhidmat kepada Yehuwa dalam cara yang lain. Ted berkata, “Kami belajar bahawa terdapat lebih daripada satu cara untuk berkhidmat kepada Yehuwa.”

16. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Galatia 6:4?

16 Sesetengah hal dalam kehidupan kita memang di luar kawalan kita. Maka, kita tidak patut berfikir bahawa kita mesti diberi tugasan tertentu barulah kita akan bernilai bagi Yehuwa, dan kita tidak patut membandingkan tugasan kita dengan tugasan orang lain. Hiedi berkata, “Jika kita membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain, hati kita tidak akan tenteram.” (Baca Galatia 6:4.) Jadi, adalah lebih baik jika kita mencari cara untuk membantu orang lain dan berkhidmat kepada Yehuwa. c

17. Apakah yang perlu anda buat supaya dapat melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa?

17 Anda dapat melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa jika anda hidup sederhana dan mengelakkan hutang yang tidak perlu. Anda juga boleh menetapkan matlamat kecil yang dapat membantu anda mencapai matlamat besar. Contohnya, jika matlamat besar anda adalah untuk menjadi perintis biasa, cubalah berkhidmat sebagai perintis sokongan secara berterusan sekarang. Jika matlamat besar anda adalah untuk menjadi pembantu sidang, cubalah meluangkan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran dan melawat saudara saudari yang sakit dan lanjut usia. Pengalaman yang anda peroleh sekarang akan membuka lebih banyak peluang untuk anda berkhidmat pada masa depan. Jadi, bertekadlah untuk memberikan yang terbaik dalam apa sahaja tugasan yang anda terima.​—Rm. 12:11.

Pilih matlamat spesifik yang mampu anda capai (Lihat perenggan 18) f

18. Apakah yang anda pelajari daripada contoh Beverley? (Lihat juga gambar.)

18 Tidak kira kita tua atau muda, kita dapat menetapkan dan mencapai matlamat rohani. Perhatikan contoh Beverley, seorang saudari yang berumur 75 tahun. Dia menghidap penyakit serius yang menyebabkannya susah untuk berjalan. Tetapi dia ingin menyokong kempen Peringatan dengan sepenuhnya. Jadi, dia menetapkan matlamat yang spesifik. Apabila Beverley mencapai matlamatnya untuk menyokong kempen Peringatan, dia berasa sangat gembira. Selain itu, usahanya telah mendorong saudara saudari lain untuk lebih berusaha dalam kerja penyebaran. Ya, Yehuwa menghargai kerja keras saudara saudari kita yang tua, walaupun kemampuan mereka terbatas.​—Mzm. 71:17, 18.

19. Apakah sesetengah matlamat rohani yang dapat kita tetapkan?

19 Sebagai kesimpulan, tetapkanlah matlamat yang mampu anda capai. Pupuklah sifat-sifat yang disukai oleh Yehuwa, dan belajarlah kemahiran yang akan membolehkan anda melakukan lebih banyak kerja untuk Tuhan dan organisasi-Nya. Carilah lebih banyak cara untuk membantu saudara saudari anda. d Dengan itu, anda akan diberkati oleh Yehuwa seperti Timotius, dan “kemajuanmu [akan] dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang.”​—1 Tim. 4:15.

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

a Timotius merupakan seorang penginjil yang mahir. Namun, Rasul Paulus masih menggalakkannya untuk terus membuat kemajuan rohani. Oleh sebab Timotius mengikut nasihat Paulus, Yehuwa telah memberinya lebih banyak tanggungjawab, dan Timotius dapat membantu saudara saudarinya dalam lebih banyak cara. Adakah anda juga ingin melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa dan rakan seiman anda? Sudah tentu. Apakah matlamat yang dapat membantu anda mencapai hasrat ini? Bagaimanakah anda dapat menetapkan dan mencapai matlamat itu?

b MAKSUD UNGKAPAN: Matlamat rohani ialah hal-hal yang kita usahakan agar dapat melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa dan menggembirakan hati-Nya.

c Lihat “Berkhidmat Di Tempat yang Lebih Memerlukan Bantuan” dalam buku Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa, bab 10, per. 6-9.

d Lihat pelajaran 60, “Terus Membuat Kemajuan Rohani,” dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!

e KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara melatih dua orang saudari untuk membuat kerja penyelenggaraan. Dua orang saudari itu menggunakan kemahiran yang dipelajari mereka dengan sebaik-baiknya.

f KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari yang tidak dapat keluar dari rumah menikmati kesaksian menerusi telefon. Dia menjemput orang untuk menghadiri Peringatan.