Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 15

Adakah Anda Contoh yang Baik dari Segi Percakapan?

Adakah Anda Contoh yang Baik dari Segi Percakapan?

“Hendaklah percakapanmu . . . menjadi contoh kepada orang yang setia.”​—1 TIM. 4:12.

LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain

PENGENALAN a

1. Siapakah yang memberi kita kebolehan untuk bercakap?

 KEBOLEHAN untuk bercakap ialah kurniaan daripada Tuhan kita yang pengasih. Sebaik sahaja Adam diciptakan, dia dapat bercakap dengan Bapanya yang di syurga. Selain itu, Adam dapat menciptakan perkataan yang baharu. Dia telah menggunakan kebolehan ini untuk memberikan nama kepada semua binatang. (Kej. 2:19) Sudah pasti Adam sangat teruja semasa dia bercakap buat kali pertama dengan manusia lain, iaitu isterinya Hawa!​—Kej. 2:22, 23.

2. Bagaimanakah kebolehan untuk bercakap telah disalahgunakan pada zaman dahulu dan zaman sekarang?

2 Tidak lama kemudian, kebolehan untuk bercakap telah disalahgunakan. Syaitan Si Iblis telah menipu Hawa, dan dustanya menyebabkan manusia jatuh ke dalam dosa. (Kej. 3:1-4) Adam telah menyalahgunakan kebolehannya untuk bercakap semasa dia menyalahkan Hawa dan bahkan Yehuwa atas kesalahannya sendiri. (Kej. 3:12) Kain pula berbohong kepada Yehuwa setelah membunuh adiknya Habel. (Kej. 4:9) Kemudian, Lamekh, seorang daripada keturunan Kain, telah menggubah sebuah puisi. Kata-kata dalam puisinya menunjukkan bahawa orang pada zamannya bersikap ganas. (Kej. 4:23, 24) Keadaan dunia hari ini juga sama. Terdapat ahli politik yang suka menggunakan kata-kata kesat di hadapan umum. Selain itu, kebanyakan wayang hari ini juga menyelitkan kata-kata yang tidak senonoh. Kata-kata sebegini juga sering kedengaran di sekolah dan di tempat kerja. Semua ini menunjukkan bahawa standard moral dunia semakin merosot.

3. Kita harus berhati-hati terhadap apa? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin begitu biasa mendengar bahasa kesat sehingga percakapan kita pun mula dicemari. Sudah tentu, sebagai orang Kristian, kita ingin menyenangkan hati Yehuwa. Namun untuk berbuat demikian, sekadar menjauhi kata-kata yang tidak senonoh tidak mencukupi. Kita juga ingin menggunakan kebolehan untuk bercakap dalam cara yang betul, iaitu untuk memuji Tuhan kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara untuk berbuat demikian semasa (1) menginjil, (2) menghadiri perjumpaan, dan (3) berbual dengan orang lain. Sebelum itu, mari kita lihat sebabnya kata-kata kita penting bagi Yehuwa.

KATA-KATA KITA PENTING BAGI YEHUWA

Percakapan anda menyingkapkan apa tentang hati anda? (Lihat perenggan 4-5) d

4. Menurut Maleakhi 3:16, mengapakah kata-kata kita penting bagi Yehuwa?

4 Baca Maleakhi 3:16. Menurut ayat itu, apabila orang yang menghormati Yehuwa dan merenungkan nama-Nya bercakap sesama sendiri, Yehuwa akan memberikan perhatian dan mencatatkan nama mereka dalam sebuah “kitab peringatan.” Mengapakah Yehuwa memperhatikan tutur kata mereka? Kerana kata-kata mereka menunjukkan isi hati mereka. Yesus berkata, “Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.” (Mat. 12:34) Ya, kata-kata kita dapat menunjukkan seberapa besarnya kasih kita kepada Yehuwa. Yehuwa menghargai orang yang mengasihi-Nya dan ingin memberi mereka kehidupan kekal di dunia baharu.

5. (a) Bagaimanakah percakapan kita dapat mempengaruhi ibadat kita? (b) Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, apakah yang harus kita elakkan?

5 Percakapan kita akan menentukan sama ada Yehuwa akan menerima ibadat kita atau tidak. (Yak. 1:26) Sesetengah orang yang tidak mengasihi Yehuwa suka menggunakan bahasa kesat, menghina orang, dan bercakap besar. (2 Tim. 3:1-5) Sudah tentu kita tidak mahu menjadi seperti mereka. Sebaliknya, kita mahu tutur kata kita menggembirakan Yehuwa. Namun, jika kita menggunakan kata-kata yang sopan dan lemah lembut semasa di perjumpaan atau kerja penyebaran, tetapi menggunakan kata-kata yang kasar dan pedas semasa melayan ahli keluarga kita pula, adakah Yehuwa akan gembira?​—1 Ptr. 3:7.

6. Apakah hasil yang diraih Kimberly kerana percakapannya yang baik?

6 Apabila kita menggunakan kebolehan untuk bercakap dengan sebaik-baiknya, orang lain dapat melihat bahawa kita ialah penyembah Yehuwa, dan mereka juga dapat melihat perbezaan “antara orang yang menyembah [Tuhan] dengan yang tidak.” (Mal. 3:18) Perhatikan pengalaman seorang saudari yang bernama Kimberly. b Dia diberi projek untuk dilakukan bersama rakan sekelasnya. Setelah bekerja bersama Kimberly, rakan sekelasnya itu mendapati bahawa Kimberly berbeza daripada pelajar-pelajar lain. Contohnya, kata-kata Kimberly selalu positif, dan dia tidak bercakap buruk tentang orang lain di belakang mereka atau menggunakan bahasa kesat. Rakan sekelas itu sangat kagum dan kemudiannya setuju untuk belajar Bible dengan Kimberly. Apabila tutur kata kita membuat orang tertarik kepada kebenaran, Yehuwa tentu sangat gembira!

7. Bagaimanakah anda ingin menggunakan kebolehan untuk bercakap?

7 Kita semua ingin tutur kata kita memuliakan Yehuwa dan mendekatkan kita kepada saudara saudari. Jadi, marilah kita membincangkan beberapa cara yang berguna untuk terus menunjukkan contoh yang baik dari segi percakapan.

MENJADI CONTOH YANG BAIK SEMASA MENGINJIL

Jika kita bercakap dengan hormat dan lemah lembut kepada orang lain semasa menginjil, hal itu menyenangkan hati Yehuwa (Lihat perenggan 8-9)

8. Semasa menginjil, bagaimanakah Yesus menunjukkan contoh yang baik dari segi percakapan?

8 Bercakap dengan hormat dan lemah lembut semasa orang lain membuat anda marah. Semasa Yesus menginjil di bumi, dia dituduh sebagai seorang yang pemabuk, gelojoh, bersubahat dengan Iblis, melanggar Hukum Sabat, dan bahkan menghina Tuhan. (Mat. 11:19; 26:65; Luk. 11:15; Yoh. 9:16) Meskipun begitu, Yesus tidak membalas dengan kata-kata hinaan. Seperti Yesus, kita tidak mahu membalas dengan kata-kata yang kasar apabila orang lain bercakap kasar terhadap kita. (1 Ptr. 2:21-23) Namun, hal itu memang tidak mudah. (Yak. 3:2) Jadi, apakah yang dapat membantu kita mengawal tutur kata kita?

9. Apakah yang dapat membantu kita mengawal percakapan kita semasa menginjil?

9 Jika penghuni rumah bercakap kasar dengan anda, berusahalah untuk tidak naik marah. Seorang saudara yang bernama Sam berkata, “Saya cuba ingatkan diri bahawa penghuni rumah itu perlu dengar kebenaran Bible, dan dia mampu berubah.” Ada kalanya, penghuni rumah itu marah kerana kita mengunjunginya pada masa yang tidak sesuai. Dalam keadaan sebegini, seorang saudari yang bernama Lucia akan mengucapkan doa yang singkat dan meminta bantuan Yehuwa agar dapat tetap tenang dan tidak mengucapkan kata-kata yang pedas atau kasar. Kita juga boleh melakukan hal yang sama.

10. Menurut 1 Timotius 4:13, apakah seharusnya matlamat kita?

10 Jadilah guru yang lebih mahir. Walaupun Timotius seorang penginjil yang berpengalaman, dia masih perlu terus berusaha untuk menjadi guru yang lebih mahir. (Baca 1 Timotius 4:13.) Bagaimanakah kita dapat menjadi guru yang lebih mahir dalam kerja penyebaran? Kita perlu membuat persiapan yang baik. Untuk membantu kita berbuat demikian, organisasi Yehuwa telah menyediakan alat bantuan seperti brosur Curahkan Usaha untuk Membaca dan Mengajar dan bahagian “Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir” dalam Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita​—Lembaran Kerja. Adakah anda memanfaatkan alat-alat bantuan ini? Apabila anda membuat persiapan yang baik, anda akan berasa kurang gementar dan dapat bercakap dengan lebih yakin.

11. Apakah yang membantu sesetengah orang Kristian menjadi guru yang lebih mahir?

11 Kita juga dapat menjadi guru yang lebih mahir dengan belajar daripada saudara saudari lain. Sam, yang disebut tadi, sering menanya diri mengapa sesetengah saudara saudari begitu mahir mengajar. Dia juga memperhatikan cara mereka mengajar dan cuba meniru teknik mereka. Seorang saudari yang bernama Talia pula memperhatikan bagaimana penceramah yang berpengalaman mengembangkan isi dalam ceramah umum. Dengan itu, Talia dapat belajar cara untuk menjawab soalan-soalan yang sering ditanya orang semasa dia menginjil.

MENJADI CONTOH YANG BAIK SEMASA DI PERJUMPAAN

Kita dapat memuji Yehuwa apabila kita bernyanyi dengan sepenuh hati semasa di perjumpaan (Lihat perenggan 12-13)

12. Apakah cabaran yang dihadapi oleh sesetengah orang?

12 Kita semua dapat mengambil bahagian semasa di perjumpaan dengan bernyanyi dengan bersemangat dan memberikan komen yang baik. (Mzm. 22:22) Namun, sesetengah orang berasa susah untuk bernyanyi atau memberikan komen di perjumpaan. Adakah anda juga berasa demikian? Jika ya, cubalah belajar daripada saudara saudari yang telah berjaya mengatasi cabaran ini.

13. Apakah yang dapat membantu anda untuk bernyanyi dengan sepenuh hati semasa di perjumpaan?

13 Bernyanyi dengan sepenuh hati. Tujuan utama kita menyanyikan lagu rohani adalah untuk memuji Yehuwa. Seorang saudari yang bernama Sara berasa bahawa dia tidak begitu pandai bernyanyi. Namun, dia ingin menyanyikan pujian kepada Yehuwa. Jadi semasa membuat persiapan untuk perjumpaan, dia akan berlatih menyanyikan lagu yang akan dinyanyikan semasa perjumpaan. Selain itu, dia juga akan mencari kaitan antara lirik lagu dengan topik yang akan dibincangkan dalam perjumpaan. Dia berkata, “Dengan berbuat demikian, saya dapat lebih bertumpu pada lirik lagu dan bukannya pada nyanyian saya.”

14. Jika anda berasa takut untuk memberikan komen di perjumpaan, apakah yang dapat membantu anda?

14 Kerap memberikan komen. Bagi sesetengah orang, memberikan komen amat mencabar. Talia, yang disebut tadi, berkata, “Saya sangat gelisah semasa bercakap di depan orang ramai, jadi saya rasa susah untuk memberikan komen. Tapi orang lain tidak sedar saya ada masalah ini, kerana suara saya biasanya tenang.” Namun, Talia masih berusaha memberikan komen. Semasa membuat persiapan untuk perjumpaan, dia selalu ingat bahawa komen yang pertama haruslah singkat dan merupakan jawapan kepada soalan yang diajukan. Dia berkata, “Jika jawapan saya singkat, mudah difahami, dan tepat, maksudnya jawapan saya OK, kerana itulah yang diingini oleh saudara yang mengendalikan perbincangan.”

15. Apakah yang harus kita ingat tentang komen yang kita berikan?

15 Ada kalanya, orang Kristian yang bukan pemalu pun teragak-agak untuk memberikan komen. Mengapa? Seorang saudari yang bernama Juliet berkata, “Ada kalanya, saya berasa susah untuk memberikan komen kerana saya takut komen saya terlalu ringkas dan tidak cukup baik.” Namun, ingatlah bahawa Yehuwa hanya menginginkan komen terbaik yang mampu kita berikan. c Dia sangat senang hati apabila kita berusaha memberikan komen di perjumpaan walaupun ada kalanya kita berasa takut.

MENJADI CONTOH YANG BAIK SEMASA BERBUAL DENGAN ORANG LAIN

16. Apakah kata-kata yang harus kita elakkan?

16 Elakkan semua bentuk “kata-kata hinaan.” (Ef. 4:31) Seperti yang dibincangkan sebelum ini, orang Kristian tidak akan menggunakan kata-kata kesat. Namun, kita juga perlu menjauhi kata-kata hinaan yang tidak begitu ketara. Contohnya, kita perlu berhati-hati agar tidak bercakap buruk tentang budaya, bangsa, atau kewarganegaraan orang lain. Selain itu, kita tidak mahu menggunakan kata-kata sindiran. Seorang saudara mengaku, “Ada kalanya saya menggunakan kata-kata sindiran yang saya rasa lucu. Saya hanya ingin bergurau, namun hakikatnya, kata-kata saya menyakiti hati orang lain. Isteri saya banyak membantu saya mengatasi kelemahan ini dengan memberitahu saya secara peribadi apabila kata-kata saya kurang sopan dan menyakitinya atau orang lain.”

17. Menurut Efesus 4:29, bagaimanakah kita dapat menguatkan orang lain?

17 Ucapkan kata-kata yang membina. Kita ingin mencari peluang untuk memuji orang lain dan bukannya mengkritik atau bersungut-sungut. (Baca Efesus 4:29.) Orang Israel mempunyai banyak sebab untuk bersyukur, namun mereka selalu bersungut-sungut. Sememangnya, sikap bersungut-sungut mudah berjangkit. Sebagai contoh, semasa 10 orang pengintip memberikan laporan yang negatif, hal itu menyebabkan “segenap umat Israel . . . bersungut-sungut terhadap Musa.” (Bil. 13:31–14:4) Namun, kata-kata pujian pula dapat memberikan kesan yang positif. Contohnya, anak perempuan Yefta pasti berasa digalakkan semasa rakan-rakannya memujinya, dan hal itu telah membantunya terus berkhidmat di khemah suci. (Hak. 11:40) Sara, yang disebut tadi, berkata, “Apabila kita memuji saudara saudari kita, mereka akan berasa dikasihi oleh Yehuwa dan saudara saudari lain.” Jadi, carilah peluang untuk memuji saudara saudari anda dengan ikhlas.

18. Menurut Mazmur 15:1, 2, mengapakah kita mesti bercakap benar? Untuk bercakap benar, apakah hal lain yang harus kita elakkan?

18 Bercakap benar. Kita tidak dapat menyenangkan hati Yehuwa jika kita berbohong. Hal ini kerana Yehuwa membenci segala bentuk penipuan. (Ams. 6:16, 17) Oleh itu, kita akan tetap mengikut pandangan Yehuwa walaupun ramai orang hari ini menganggap bahawa menipu itu perkara biasa. (Baca Mazmur 15:1, 2.) Sudah tentu kita tidak akan bercakap bohong, namun kita juga perlu mengelak daripada menyimpan maklumat penting dengan niat untuk memberi orang tanggapan yang salah.

Apabila kita menukar perbualan yang negatif kepada perbualan yang positif, kita akan mendapat perkenan Yehuwa (Lihat perenggan 19)

19. Apakah satu lagi hal yang harus kita jauhi?

19 Jangan mengumpat. (Ams. 25:23; 2 Tes. 3:11) Juliet, yang disebut tadi, menjelaskan perasaannya semasa mendengar orang lain mengumpat. Dia berkata, “Saya rasa sedih, dan saya berasa susah untuk percaya kepada orang yang mengumpat itu, kerana dia juga mungkin mengumpat tentang saya di depan orang lain.” Jadi, semasa berbual dengan orang lain, jika anda mendapati ada orang mula mengumpat, cakaplah sesuatu supaya perbualan itu menjadi lebih positif.—Kol. 4:6.

20. Apakah tekad anda?

20 Ramai orang di dunia sekarang menyalahgunakan kebolehan untuk bercakap. Jadi, kita mesti berusaha keras untuk memastikan percakapan kita menggembirakan Yehuwa. Ingatlah bahawa kebolehan untuk bercakap merupakan kurniaan daripada Yehuwa, dan cara kita menggunakan kurniaan ini penting bagi-Nya. Jika kita berusaha untuk menggunakan percakapan yang positif semasa menginjil, menghadiri perjumpaan, dan berbual dengan orang lain, Yehuwa akan memberkati kita. Selepas Yehuwa memusnahkan dunia jahat ini, kita akan berasa lebih mudah untuk memuliakan Yehuwa melalui percakapan kita. (Yud. 15) Sementara menantikan saat itu, bertekadlah untuk menggunakan tutur kata yang menyenangkan hati Yehuwa.​—Mzm. 19:14.

LAGU 121 Kita Memerlukan Kawalan Diri

a Yehuwa telah memberi kita suatu kurniaan yang menakjubkan, iaitu kebolehan untuk bercakap. Sedihnya, kebanyakan orang menyalahgunakan kurniaan ini. Apakah yang dapat membantu kita untuk memastikan tutur kata kita sentiasa membina dan murni dalam dunia yang semakin rosak akhlaknya? Bagaimanakah kita dapat menggunakan percakapan kita untuk menggembirakan Yehuwa semasa menginjil, semasa menghadiri perjumpaan, dan semasa berbual dengan orang lain? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut.

b Sesetengah nama telah diubah.

c Untuk maklumat lanjut tentang memberikan komen, lihat rencana “Pujilah Yehuwa dalam Sidang” dalam Menara Pengawal terbitan Januari 2019.

d KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara menjawab dengan kasar semasa penghuni rumah memarahinya; seorang saudara tidak bernyanyi bersama-sama sidang; dan seorang saudari sedang mengumpat.