Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 16

Bersukacitalah dengan Memberi Yehuwa yang Terbaik yang Anda Mampu

Bersukacitalah dengan Memberi Yehuwa yang Terbaik yang Anda Mampu

“Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri.”​—GAL. 6:4.

LAGU 37 Sembah Yehuwa dengan Segenap Jiwa

PENGENALAN a

1. Apakah yang memberi kita sukacita yang besar?

 YEHUWA mahu kita bersukacita. Kita tahu hal itu kerana sukacita merupakan salah satu sifat dalam buah kuasa suci Tuhan. (Gal. 5:22) Bible menyatakan, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” Itulah sebabnya kita meraih sukacita yang besar apabila kita bekerja keras dalam kerja penyebaran dan membantu saudara saudari kita dalam pelbagai cara.​—Kis. 20:35.

2-3. (a) Menurut Galatia 6:4, apakah dua perkara yang dapat membantu kita tetap bersukacita semasa berkhidmat kepada Yehuwa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Di Galatia 6:4, Rasul Paulus menyebut dua perkara yang dapat bantu kita tetap bersukacita. (Baca.) Pertama, matlamat kita adalah untuk memberi Yehuwa yang terbaik yang kita mampu. Jika kita sudah memberi-Nya yang terbaik yang kita mampu, kita patut bersukacita. (Mat. 22:36-38) Kedua, kita tidak harus membandingkan diri dengan orang lain. Kita mungkin ada kesihatan yang baik, berbakat, atau pernah diberi latihan yang berguna. Tidak kira apa pencapaian kita, kita patut bersyukur kepada Yehuwa kerana segala yang kita miliki berasal daripada-Nya. Namun, jika orang lain lebih mahir daripada kita semasa melakukan sesetengah kegiatan dalam kerja penyebaran, kita harus bersukacita kerana mereka sedang menggunakan bakat mereka untuk memuji Yehuwa dan bukannya menunjuk-nunjuk atau mengejar kepentingan diri. Oleh itu, kita akan menganggap mereka sebagai teladan dan bukannya pesaing.

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat mengatasi perasaan tawar hati semasa kemampuan kita terbatas. Selain itu, kita juga akan membincangkan bagaimana kita dapat menggunakan bakat yang kita ada dan apa yang dapat kita pelajari daripada teladan orang lain.

SEMASA KEMAMPUAN KITA TERBATAS

Jika kita memberi Yehuwa yang terbaik sepanjang hidup kita, kita menyenangkan hati-Nya (Lihat perenggan 4-6) b

4. Apakah situasi yang mungkin membuat kita berasa tawar hati? Berikan contoh.

4 Sesetengah hamba Yehuwa berasa tawar hati kerana usia tua atau masalah kesihatan membatasi apa yang dapat dilakukan oleh mereka untuk Yehuwa. Itulah yang terjadi kepada Carol. Dia pernah berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan dan meraih hasil yang sangat baik. Pada masa itu, dia mempunyai 35 pembelajaran Bible, dan sesetengah pelajar Biblenya telah membuat kemajuan lalu dibaptis. Namun, kesihatannya telah merosot, dan sekarang dia jarang dapat keluar dari rumah. Carol berkata, “Saya tahu saya tidak dapat melakukan sebanyak orang lain kerana saya sakit. Tapi saya masih rasa saya kurang setia berbanding mereka. Keinginan saya jauh berbeza daripada realiti, dan itu membuat saya berasa tawar hati.” Carol harus dipuji kerana dia ingin melakukan yang terbaik untuk Yehuwa. Tuhan kita yang berbelas kasihan pasti menghargai semangat yang ditunjukkannya.

5. (a) Jika kita berasa tawar hati kerana kemampuan kita terbatas, apakah yang harus kita ingat? (b) Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, bagaimanakah saudara itu memberi Yehuwa yang terbaik sepanjang hidupnya?

5 Jika anda ada kalanya berasa tawar hati kerana kemampuan anda terbatas, tanyalah diri, “Apakah yang Yehuwa mahu daripada saya?” Ingatlah, Yehuwa mahu anda memberikan yang terbaik, yang mampu anda berikan sekarang. Fikirkan contoh ini: Seorang saudari yang berumur 80-an berasa tawar hati kerana dia tidak dapat bergiat dalam kerja penyebaran seperti yang dilakukannya semasa berumur 40-an. Dia berfikir bahawa walaupun dia sudah berusaha sedaya upaya, Yehuwa masih tidak senang hati dengan apa yang dilakukannya. Namun, adakah pandangan itu betul? Saudari ini telah memberikan yang terbaik semasa berusia 40-an, dan dia masih memberikan yang terbaik semasa berusia 80-an. Maksudnya, dia tidak pernah berhenti memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. Jika kita mula berfikir bahawa apa yang kita lakukan untuk Yehuwa tidak cukup baik bagi-Nya, kita perlu ingat bahawa Yehuwalah yang menentukan apa yang diperlukan untuk menyenangkan hati-Nya. Asalkan kita sudah berusaha untuk memberikan yang terbaik, Yehuwa akan berasa sangat puas hati!​—Bandingkan Matius 25:20-23.

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Maria?

6 Kita akan berasa lebih mudah untuk bersukacita jika kita berfokus kepada apa yang mampu kita lakukan dan bukannya apa yang tidak mampu kita lakukan. Perhatikan pengalaman seorang saudari yang bernama Maria. Akibat penyakitnya, dia tidak dapat menyertai kerja penyebaran dengan sekerap yang diingininya. Pada mulanya, hal itu membuatnya berasa murung dan tidak berguna. Namun kemudian, Maria terfikir tentang seorang saudari di sidangnya yang terlantar di katil dan memutuskan untuk membantunya. Maria berkata, “Saya menginjil bersama saudari itu menerusi telefon dan surat. Setiap kali selepas menginjil bersamanya, saya pulang ke rumah dengan puas dan gembira kerana dapat membantu saudari saya.” Seperti Maria, kita dapat meningkatkan sukacita kita jika kita bertumpu kepada apa yang dapat kita lakukan dan bukannya apa yang tidak dapat kita lakukan. Namun, apakah yang harus kita lakukan jika kita mampu membuat lebih banyak kerja untuk Yehuwa, atau jika kita sangat mahir melakukan hal-hal tertentu dalam khidmat kepada Yehuwa?

GUNAKANLAH KURNIA ANDA!

7. Apakah nasihat yang diberikan oleh Rasul Petrus kepada orang Kristian?

7 Semasa menulis suratnya yang pertama, Rasul Petrus menggesa orang Kristian untuk menggunakan bakat dan kebolehan mereka untuk menggalakkan satu sama lain. Dia menulis, “Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia daripada Tuhan. Maka gunakanlah kurnia itu untuk berkhidmat kepada satu sama lain sebagai hamba yang baik, yang menerima kebaikan hati Tuhan yang unggul.” (1 Ptr. 4:10) Oleh itu, jika kita mempunyai kurnia atau bakat tertentu, kita ingin menggunakannya dengan sepenuhnya. Janganlah menyimpan bakat kita kerana takut kita akan membuat orang lain cemburu atau tawar hati. Ingatlah, kita ingin memberi Yehuwa yang terbaik yang kita mampu.

8. Menurut 1 Korintus 4:6, 7, mengapakah kita tidak patut menunjuk-nunjuk jika kita memiliki kurnia?

8 Kita patut menggunakan kurnia kita dengan sepenuhnya, tetapi kita harus berhati-hati agar tidak menunjuk-nunjuk. (Baca 1 Korintus 4:6, 7.) Contohnya, anda mungkin sangat mahir memulakan pembelajaran Bible. Jadi, gunakanlah kurnia itu dengan sepenuhnya! Namun, janganlah menunjuk-nunjuk. Katakan baru-baru ini anda berjaya memulakan pembelajaran Bible, dan anda ingin kongsi pengalaman anda yang menarik dengan saudara saudari dalam kumpulan menginjil anda. Namun, semasa anda bertemu dengan mereka, seorang saudari sedang menceritakan bagaimana dia berjaya mengedarkan majalah. Saudari itu mengedarkan majalah, manakala anda memulakan pembelajaran Bible. Apakah yang akan anda lakukan? Anda tahu pengalaman anda akan menggalakkan saudara saudari. Namun, anda mungkin memilih untuk mengongsinya pada masa yang lain supaya tidak membuat saudari itu berasa bahawa anda lebih mahir daripadanya. Tindakan anda itu memang baik. Pada masa yang sama, janganlah berhenti menawarkan pembelajaran Bible. Itulah kurnia anda, maka teruslah menggunakannya!

9. Bagaimanakah kita harus menggunakan kurnia kita?

9 Ingatlah bahawa apa sahaja bakat yang kita ada merupakan kurniaan daripada Tuhan. Maka kita harus menggunakan kurnia kita untuk menggalakkan orang lain dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk. (Flp. 2:3) Apabila kita menggunakan tenaga dan bakat kita untuk melakukan kehendak Tuhan, kita akan berasa gembira, bukan kerana kita lebih rajin atau hebat daripada orang lain, tetapi kerana kita sedang menggunakan kurnia kita untuk memuji Yehuwa.

10. Mengapakah tidak masuk akal untuk membandingkan diri dengan orang lain?

10 Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin membandingkan kekuatan kita dengan kelemahan orang lain. Misalnya, seorang saudara mungkin sangat mahir memberikan ceramah umum. Itulah kekuatannya. Namun dalam hatinya, dia mungkin memandang rendah terhadap seorang saudara yang kurang mahir memberikan ceramah. Walaupun begitu, saudara yang kurang mahir itu mempunyai kekuatan tersendiri. Dia mungkin sangat murah hati, sangat mahir melatih anak-anaknya, atau sangat rajin menginjil. Tidakkah kita bersyukur kerana ramai saudara saudari menggunakan bakat mereka untuk menyembah Yehuwa dan membantu orang lain?

BELAJAR DARIPADA TELADAN ORANG LAIN

11. Mengapakah kita patut berusaha untuk mengikut teladan Yesus?

11 Walaupun kita tidak patut membandingkan diri dengan orang lain, kita dapat mengikut teladan hamba-hamba Yehuwa yang setia. Sebagai contoh, kita boleh mengikut teladan Yesus. Meskipun kita tidak sempurna, kita masih dapat belajar daripada sifat-sifatnya dan apa yang pernah dilakukannya. (1 Ptr. 2:21) Apabila kita berusaha untuk mengikut jejaknya dengan teliti, kita akan menjadi penyembah Yehuwa yang lebih baik dan penginjil yang lebih mahir.

12-13. Apakah yang kita pelajari daripada Raja Daud?

12 Bible mengandungi banyak contoh lelaki dan wanita yang setia. Meskipun mereka tidak sempurna, kita dapat meniru teladan mereka. (Ibr. 6:12) Fikirkan Raja Daud. Yehuwa menganggapnya sebagai ‘seorang lelaki yang menyenangkan hati-Nya.’ (Kis. 13:22) Namun, Daud tidak sempurna dan bahkan pernah melakukan dosa yang serius. Jadi, mengapakah dia teladan yang baik bagi kita? Hal ini kerana apabila dia ditegur, dia tidak cuba membela diri. Sebaliknya, dia menerima teguran itu dan bertaubat dengan ikhlas. Hasilnya, Yehuwa telah mengampuninya.​—Mzm. 51:3, 4, 10-12.

13 Untuk belajar daripada teladan Daud, kita boleh menanya diri, “Apakah reaksi saya semasa ditegur? Adakah saya segera mengakui kesilapan saya, atau adakah saya cuba membela diri? Adakah saya cenderung menyalahkan orang lain? Adakah saya berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan saya?” Semasa membaca tentang kisah lelaki dan wanita setia dalam Bible, anda juga boleh memikirkan soalan seperti, “Adakah saya sedang menghadapi masalah yang sama dengan mereka? Apakah sifat-sifat baik mereka?” Tidak kira kisah siapa yang sedang anda kaji, tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat meniru teladan hamba Yehuwa yang setia ini?”

14. Bagaimanakah kita dapat belajar daripada teladan saudara saudari lain?

14 Kita juga dapat belajar daripada teladan saudara saudari kita, baik yang tua mahupun yang muda. Contohnya, dapatkah anda memikirkan seseorang di sidang anda yang bertabah menghadapi cubaan seperti tekanan rakan sebaya, tentangan daripada ahli keluarga, atau masalah kesihatan? Dapatkah anda melihat sifat-sifat baik orang itu yang ingin anda teladani? Dengan memperhatikan teladannya, anda mungkin dapat belajar sesuatu yang berguna, yang dapat membantu anda menghadapi cubaan dengan tabah. Tidakkah kita gembira dan bersyukur kerana memiliki saudara saudari yang beriman dan merupakan contoh baik bagi kita?​—Ibr. 13:7; Yak. 1:2, 3.

TERUS BERKHIDMAT KEPADA YEHUWA DENGAN SUKACITA

15. Apakah nasihat Rasul Paulus yang dapat membantu kita terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita?

15 Untuk menyumbang kepada perpaduan dan kedamaian dalam sidang, kita masing-masing harus memberikan yang terbaik yang kita mampu. Fikirkan contoh orang Kristian abad pertama. Mereka mempunyai bermacam-macam kurnia dan tugasan. (1 Kor. 12:4, 7-11) Namun hal itu tidak membuat mereka bersaing atau berpecah belah. Sebaliknya, mereka mengikut nasihat Paulus untuk melakukan apa yang diperlukan “untuk menguatkan tubuh Kristus.” Dalam suratnya kepada sidang di Efesus, Paulus menulis, “Apabila setiap anggota tubuh memainkan peranannya dengan baik, hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan tubuh supaya tubuh itu terus menjadi kuat dalam kasih.” (Ef. 4:1-3, 11, 12, 16) Sudah pasti, orang Kristian yang berusaha untuk mengikut nasihat Paulus telah menyumbang kepada perpaduan dan kedamaian dalam sidang, baik dahulu mahupun sekarang.

16. Apakah seharusnya tekad kita? (Ibrani 6:10)

16 Bertekadlah agar tidak membandingkan diri dengan orang lain. Sebaliknya, belajarlah daripada Yesus dan tirulah sifat-sifatnya. Selain itu, belajarlah daripada contoh baik pada zaman Bible dan zaman moden. Seraya anda terus memberikan yang terbaik yang anda mampu, yakinlah bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang adil, dan ‘Dia tidak melupakan kerja yang telah anda lakukan.’ (Baca Ibrani 6:10.) Teruslah berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita, dan percayalah bahawa Dia menghargai usaha anda yang sepenuh hati.

LAGU 65 Maralah ke Depan!

a Kita semua dapat meraih manfaat daripada teladan saudara saudari kita. Namun, kita harus berhati-hati supaya tidak membandingkan diri dengan orang lain. Rencana ini akan membantu kita untuk tetap bersukacita dan mengelak daripada menjadi sombong atau tawar hati kerana membandingkan kebolehan kita dengan kebolehan orang lain.

b KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara berkhidmat di Bethel semasa muda. Kemudian, dia berkahwin dan merintis bersama isterinya. Selepas mereka mendapat anak, dia melatih anak-anaknya untuk menginjil. Kini dia sudah tua tetapi dia terus memberikan yang terbaik dengan memberikan kesaksian menerusi surat.