Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 25

Yehuwa Memberkati Orang yang Sudi Mengampuni

Yehuwa Memberkati Orang yang Sudi Mengampuni

“Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.”​—KOL. 3:13.

LAGU 130 Bermaaf-maafan

PENGENALAN *

1. Apakah janji Yehuwa kepada pendosa yang bertaubat?

 WALAUPUN Yehuwa ialah Pencipta, Pemberi Hukum, dan Hakim kita, Dia juga merupakan Bapa kita yang pengasih. (Mzm. 100:3; Yes. 33:22) Apabila kita berdosa terhadap-Nya dan kemudiannya bertaubat dengan ikhlas, Yehuwa bukan sahaja dapat, malah ingin mengampuni kita. (Mzm. 86:5) Menerusi Nabi Yesaya, Tuhan kita yang penyayang memberikan janji ini: “Walaupun dosa-dosa kamu merah marak, semuanya akan menjadi putih seperti salji.”​—Yes. 1:18.

2. Jika kita ingin menjalin hubungan yang baik dengan orang lain, apakah yang mesti kita lakukan?

2 Kita semua tidak sempurna, jadi kita akan mengatakan dan melakukan hal-hal yang menyinggung perasaan orang lain. (Yak. 3:2) Namun, jika kita belajar untuk sudi mengampuni, kita masih dapat menjalin hubungan yang erat dengan orang lain. (Ams. 17:9; 19:11; Mat. 18:21, 22) Apabila kita melakukan kesilapan kecil yang menyakiti satu sama lain, Yehuwa mahu kita saling mengampuni. (Kol. 3:13) Kita mempunyai sebab yang baik untuk berbuat demikian, kerana Yehuwa pun mengampuni kita “dengan rela hati.”​—Yes. 55:7.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat meniru teladan Yehuwa dan sudi mengampuni orang lain. Kita juga akan membincangkan soalan-soalan berikut: Apakah dosa yang mesti dilaporkan kepada para penatua? Mengapakah Yehuwa menggalakkan kita untuk mengampuni orang lain? Apakah yang dapat kita pelajari daripada saudara saudari kita yang menjadi mangsa akibat dosa orang lain?

SEMASA SEORANG KRISTIAN MELAKUKAN DOSA YANG SERIUS

4. (a) Jika seorang Kristian melakukan dosa yang serius, apakah yang harus dilakukannya? (b) Apakah tanggungjawab para penatua yang berjumpa dengan seorang pendosa?

4 Dosa yang serius mesti dilaporkan kepada para penatua. Dosa yang serius merupakan perbuatan yang sangat jahat, yang melanggar hukum Tuhan. Contoh dosa sebegini terdapat di 1 Korintus 6:9, 10. Jika seorang Kristian melakukan dosa yang serius, dia mesti berdoa kepada Yehuwa untuk meminta ampun dan berjumpa dengan para penatua. (Mzm. 32:5; Yak. 5:14) Apakah tanggungjawab para penatua yang berjumpa dengannya? Hanya Yehuwa yang mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa dengan sepenuhnya atas dasar korban tebusan Yesus. * Namun, Yehuwa telah memberi para penatua tanggungjawab untuk mengkaji prinsip Bible dan menentukan sama ada pendosa itu boleh terus berada dalam sidang atau tidak. (1 Kor. 5:12) Untuk berbuat demikian, salah satu hal yang perlu dilakukan oleh mereka adalah untuk mengenal pasti hal-hal berikut: Adakah orang itu sengaja berdosa? Adakah dia cuba menyembunyikan dosanya? Adakah dia melakukan dosa itu untuk jangka masa yang lama? Yang terpenting, adakah apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa dia bertaubat dengan ikhlas dan bahawa Yehuwa sudah mengampuninya?​—Kis. 3:19.

5. Para penatua akan berjumpa dengan seseorang yang melakukan dosa serius. Apakah manfaat aturan ini?

5 Semasa para penatua berjumpa dengan pendosa itu, matlamat mereka adalah untuk membuat keputusan yang selaras dengan keputusan yang sudah dibuat oleh Yehuwa di syurga. (Mat. 18:18) Bagaimanakah aturan ini membawa manfaat kepada sidang? Apabila seorang pendosa yang enggan bertaubat disingkirkan, saudara saudari dalam sidang dapat dilindungi. (1 Kor. 5:6, 7, 11-13; Tit. 3:10, 11) Selain itu, aturan ini dapat membantu seorang pendosa untuk bertaubat dan meraih manfaat daripada pengampunan Yehuwa. (Luk. 5:32) Para penatua juga akan berdoa dan meminta Yehuwa agar membantu pendosa yang bertaubat itu berbaik semula dengan-Nya.​—Yak. 5:15.

6. Adakah Yehuwa masih sudi mengampuni seseorang yang telah disingkirkan? Jelaskan.

6 Jika seorang pendosa tidak bertaubat semasa para penatua berjumpa dengannya, dia akan disingkirkan. Tambahan lagi, jika perbuatannya melanggar undang-undang negara, para penatua tidak akan melindunginya daripada dihukum. Yehuwa membenarkan pihak berkuasa menghakimi dan menghukum sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang, tidak kira orang itu bertaubat atau tidak. (Rm. 13:4) Namun, jika pendosa itu kemudiannya insaf, bertaubat dengan ikhlas, dan mengubah haluan hidupnya, Yehuwa sudi mengampuninya biarpun dia telah melakukan dosa yang sangat serius.​—2 Taw. 33:9, 12, 13; Luk. 15:17-24; 1 Tim. 1:15.

7. Apakah maksudnya mengampuni seseorang yang berdosa terhadap kita?

7 Kita berasa lega kerana kita tidak perlu menentukan sama ada seorang pendosa layak diampuni oleh Yehuwa atau tidak. Namun, terdapat hal lain yang perlu kita lakukan. Apakah hal itu? Ada kalanya, seseorang mungkin berdosa terhadap kita dan bahkan melukai kita dengan mendalam. Tidak kira dia meminta maaf atau tidak, kita boleh memilih untuk memaafkan orang itu dengan tidak berdendam dan tidak berasa marah lagi terhadapnya. Untuk berbuat demikian, kita mungkin memerlukan masa dan usaha, terutamanya jika perbuatan orang itu membuat kita sangat terluka. Menara Pengawal terbitan 15 September 1994 menyatakan, “Apabila anda mengampuni seseorang, hal itu tidak bermaksud bahawa anda menyetujui perbuatan dosanya. Sebaliknya, anda cuma menyerahkan hal itu ke dalam tangan Yehuwa. Dia merupakan Hakim yang adil di seluruh alam semesta, dan Dia akan menegakkan keadilan pada masa yang sesuai.” Mengapakah Yehuwa menggalakkan kita untuk mengampuni orang lain dan yakin bahawa Dia akan menghakimi dengan adil?

MENGAPA YEHUWA MENGGALAKKAN KITA UNTUK MENGAMPUNI ORANG LAIN

8. Jika kita menghargai belas kasihan Yehuwa, apakah yang akan kita lakukan?

8 Mengampuni orang lain menunjukkan bahawa kita menghargai belas kasihan Yehuwa. Dalam satu perumpamaan, Yesus menyamakan Yehuwa dengan seorang raja. Apabila salah seorang hamba kepada raja itu tidak mampu melangsaikan hutangnya yang besar, raja itu membatalkan hutangnya. Namun, hamba itu tidak berbelas kasihan terhadap seorang hamba yang lain, walaupun hamba itu hanya meminjam sedikit wang daripadanya. (Mat. 18:23-35) Apakah pengajarannya? Jika kita benar-benar menghargai belas kasihan Yehuwa terhadap kita, kita akan terdorong untuk mengampuni orang lain. (Mzm. 103:9) Majalah The Watchtower puluhan tahun yang lalu menyatakan, “Tidak kira berapa banyak kali kita mengampuni orang lain, kita tidak mungkin menandingi pengampunan dan belas kasihan yang ditunjukkan Tuhan kepada kita melalui Kristus.”

9. Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada siapa? (Matius 6:14, 15)

9 Jika kita mengampuni orang lain, Yehuwa juga akan mengampuni kita. Yehuwa menunjukkan belas kasihan terhadap mereka yang berbelas kasihan. (Mat. 5:7; Yak. 2:13) Yesus menonjolkan hal ini semasa dia mengajar pengikutnya cara untuk berdoa. (Baca Matius 6:14, 15.) Kita juga mempelajari hal yang sama daripada kata-kata Yehuwa kepada Ayub. Ayub berasa terluka dengan kata-kata yang diucapkan oleh Elifas, Bildad, dan Zofar. Namun, Yehuwa menyuruh Ayub untuk berdoa bagi mereka. Setelah Ayub berbuat demikian, barulah Yehuwa memberkatinya.​—Ayb. 42:8-10.

10. Mengapakah orang yang menyimpan dendam hanya merugikan diri? (Efesus 4:31, 32)

10 Menyimpan dendam akan merugikan diri. Rasa marah bagaikan beban yang berat, dan Yehuwa tidak mahu kita terus memikul beban itu. (Baca Efesus 4:31, 32.) Itulah sebabnya Dia menggesa kita, “Singkirkanlah kemarahan dan keberangan daripada dirimu.” (Mzm. 37:8) Nasihat Yehuwa memang bijak, kerana orang yang menyimpan dendam akan merosakkan kesihatan fizikal dan mental diri sendiri. (Ams. 14:30) Tambahan lagi, jika kita menaruh dendam terhadap orang lain, kita seperti sedang meminum racun dan berharap orang lain yang akan mati. Jadi, dengan mengampuni orang lain, kita sedang berbuat baik kepada diri sendiri. (Ams. 11:17) Hati dan minda kita akan tenang, dan kita dapat terus berkhidmat kepada Yehuwa.

11. Apakah nasihat Bible tentang membalas dendam? (Roma 12:19-21)

11 Hanya Yehuwa yang berhak menuntut pembalasan. Yehuwa tidak pernah memberi kita kuasa untuk menghukum orang yang berdosa terhadap kita. (Baca Roma 12:19-21.) Kita tidak sempurna dan pengetahuan kita terhad. Jadi kita tidak dapat menghakimi orang dengan adil seperti yang dilakukan Yehuwa. (Ibr. 4:13) Ada kalanya, emosi kita juga mungkin mengaburi penilaian kita. Yehuwa mengilhami Yakobus untuk menulis, “Seseorang yang dikuasai kemarahan tidak dapat melakukan apa yang benar di mata Tuhan.” (Yak. 1:20) Oleh itu, kita harus yakin bahawa Yehuwa akan mengambil tindakan yang sewajarnya dan menegakkan keadilan pada akhirnya.

Singkirkanlah rasa marah dan dendam. Biarlah Yehuwa yang menjadi hakim. Dia akan melenyapkan semua masalah yang disebabkan oleh dosa (Lihat perenggan 12)

12. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita yakin Yehuwa akan menegakkan keadilan?

12 Mengampuni orang menunjukkan bahawa kita yakin Yehuwa akan menegakkan keadilan. Apabila kita menyerahkan semua masalah kita ke dalam tangan Yehuwa, kita menunjukkan bahawa kita yakin Yehuwa akan menghapuskan semua masalah yang disebabkan dosa. Di dunia baharu Tuhan nanti, kenangan yang pahit “tidak akan terlintas dalam fikiran lagi, dan tidak akan dikenang sama sekali.” (Yes. 65:17) Namun, jika orang lain membuat kita sangat terluka, mungkinkah kita dapat membuang perasaan marah dan dendam terhadap mereka? Perhatikan apa yang dilakukan oleh saudara saudari kita.

DIBERKATI KERANA RELA MENGAMPUNI

13-14. Apakah yang anda pelajari tentang pengampunan daripada pengalaman Tony dan José?

13 Ramai saudara saudari kita telah memilih untuk mengampuni orang yang membuat mereka sangat terluka. Apakah berkat yang telah mereka raih kerana berbuat demikian?

14 Perhatikan pengalaman Tony, * yang tinggal di Filipina. Lama sebelum dia mempelajari kebenaran, dia mendapat tahu bahawa salah seorang abangnya telah dibunuh oleh seorang lelaki yang bernama José. Pada masa itu, Tony seorang yang sangat agresif dan ganas, jadi dia ingin membalas dendam. Kemudian, José telah ditangkap dan dipenjarakan. Apabila José dibebaskan dari penjara, Tony bersumpah bahawa dia akan mencari José dan membunuhnya, dan Tony bahkan membeli pistol untuk berbuat demikian. Namun, dia kemudiannya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia berkata, “Semasa saya belajar Bible, saya mendapati bahawa saya perlu mengubah keperibadian saya, termasuk membuang rasa marah daripada hati saya.” Tony telah dibaptis dan kemudiannya dilantik sebagai penatua. Bayangkan betapa terkejutnya Tony semasa mendapat tahu bahawa José pun sudah dibaptis! Apabila mereka berdua berjumpa, mereka berpelukan, dan Tony memberitahu José bahawa dia sudah mengampuninya. Tony berkata bahawa oleh sebab dia memaafkan José, dia merasai sukacita besar yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Ya, Yehuwa telah memberkati Tony kerana dia rela mengampuni.

Pengalaman Peter dan Sue menunjukkan bahawa kita dapat menyingkirkan rasa marah dan dendam (Lihat perenggan 15-16)

15-16. Apakah yang anda pelajari tentang pengampunan daripada pengalaman Peter dan Sue?

15 Pada tahun 1985, semasa Peter dan Sue menghadiri perjumpaan, letupan yang besar berlaku di dalam Dewan Perjumpaan. Rupa-rupanya ada orang meletakkan bom di dalam Dewan Perjumpaan! Akibatnya, Sue mengalami kecederaan serius, dan dia juga kehilangan deria baunya. * Peter dan Sue sering menanya diri, “Mengapa ada orang sanggup melakukan perkara jahat ini?” Bertahun-tahun kemudian, pengebom itu, yang bukan seorang Saksi, telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Semasa Peter dan Sue ditanya jika mereka sudah mengampuni lelaki itu, mereka berkata, “Yehuwa mengajar kami bahawa kemarahan dan rasa dendam dapat merosakkan kesihatan fizikal, emosi, dan mental. Jadi dari mula lagi, kami minta Yehuwa bantu kami membuang rasa marah dan dendam, supaya kami dapat hidup dengan tenang.”

16 Adakah mudah bagi mereka untuk mengampuni pengebom itu? Mereka berkata, “Ada kalanya, apabila Sue menderita akibat kecederaannya, kami rasa marah. Namun, kami tidak asyik berfikir tentang hal itu. Jadi, rasa marah itu dapat reda dengan cepat. Sejujurnya, jika pengebom itu menjadi saudara kita suatu hari nanti, kami akan mengalu-alukannya. Pengalaman ini mengajar kami bahawa kebenaran Bible dapat membebaskan kita, bahkan dalam cara yang tidak kami jangkakan. Kami juga dilegakan kerana mengetahui bahawa tidak lama lagi, Yehuwa akan menghilangkan segala kesan buruk yang kami alami.”

17. Apakah yang anda pelajari tentang pengampunan daripada pengalaman Myra?

17 Myra mempelajari kebenaran selepas dia berkahwin dan mempunyai dua orang anak kecil. Namun, suaminya tidak menerima kebenaran. Kemudian, suaminya berzina dan meninggalkan keluarga mereka. Myra berkata, “Semasa suami saya meninggalkan saya dan dua orang anak kami, saya mengalami perasaan yang dialami oleh banyak orang yang dikhianati oleh pasangan mereka. Saya berasa terkejut dan tidak percaya hal itu berlaku. Saya berasa sedih, menyesal, marah, dan saya menyalahkan diri.” Walaupun perkahwinan Myra berakhir, dia masih berasa sangat terluka kerana dikhianati oleh pasangannya. Dia berkata, “Emosi saya kacau-bilau selama berbulan-bulan, sehingga mempengaruhi hubungan saya dengan Yehuwa dan orang lain.” Namun sekarang, Myra tidak lagi marah atau berdendam terhadap bekas suaminya. Sebaliknya, dia berharap agar bekas suaminya akan menghampiri Yehuwa suatu hari nanti. Hasilnya, Myra dapat bertumpu kepada berkat-berkat yang dijanjikan Yehuwa. Walaupun Myra seorang ibu tunggal, dia telah membantu dua orang anaknya untuk menjadi penyembah Yehuwa. Kini, Myra sangat gembira kerana dapat menyembah Yehuwa bersama anak-anaknya dan keluarga mereka.

YEHUWA IALAH HAKIM YANG SEMPURNA

18. Kita yakin Yehuwa akan melakukan apa selaku Hakim yang Tertinggi?

18 Tidakkah kita berasa lega kerana tidak perlu memikul tanggungjawab berat untuk menghakimi orang? Sebagai Hakim yang Tertinggi, Yehuwalah yang akan melakukan kerja penting itu. (Rm. 14:10-12) Kita yakin sepenuhnya bahawa penghakiman Yehuwa sentiasa akan selaras dengan standard-Nya tentang apa yang betul dan salah. (Kej. 18:25; 1 Raj. 8:32) Standard-Nya sempurna, dan Dia pasti bertindak dengan adil!

19. Apakah yang akan berlaku apabila Yehuwa menegakkan keadilan dengan sepenuhnya?

19 Kita menanti-nantikan masanya apabila Yehuwa melenyapkan semua kesan buruk yang disebabkan oleh ketidaksempurnaan dan dosa manusia. Pada masa itu, semua luka fizikal dan emosi kita akan disembuhkan dengan sepenuhnya dan tidak akan diingat lagi. (Mzm. 72:12-14; Why. 21:3, 4) Sementara menunggu masa itu tiba, marilah kita bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia telah memberi kita kebolehan untuk meniru sifat-Nya yang suka mengampuni.

LAGU 18 Bersyukur atas Kurniaan Tebusan

^ Yehuwa ingin mengampuni pendosa yang bertaubat. Sebagai orang Kristian, kita ingin meniru teladan Yehuwa semasa orang lain menyinggung perasaan kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tentang dosa apa yang boleh kita ampuni dan dosa apa yang mesti kita laporkan kepada para penatua. Kita juga akan membincangkan sebabnya Yehuwa mahu kita saling mengampuni dan berkat yang akan kita raih apabila kita berbuat demikian.

^ Lihat Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 15 April 1996, “Pertanyaan Pembaca.”

^ Sesetengah nama telah diubah.

^ Lihat Sedarlah! bahasa Indonesia terbitan Januari 1992, ms. 22-26. Lihat juga video di Siaran JW yang bertajuk Saudara dan Saudari Schulz: Trauma Dapat Diatasi.