Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 27

“Berharaplah kepada Yehuwa”

“Berharaplah kepada Yehuwa”

“Berharaplah kepada Yehuwa; jadilah berani dan kentalkanlah hatimu.”​—MZM. 27:14.

LAGU 128 Bertahan hingga Akhir

PENGENALAN *

1. (a) Apakah harapan yang diberikan Yehuwa kepada kita? (b) Apakah maksud ‘berharap kepada Yehuwa’? (Lihat “Maksud Ungkapan.”)

 YEHUWA telah memberikan harapan kepada semua orang yang mengasihi-Nya. Tidak lama lagi, Dia akan melenyapkan penyakit, kesedihan, dan kematian. (Why. 21:3, 4) Dia juga akan membantu “orang yang rendah hati,” iaitu mereka yang berharap kepada-Nya, untuk memulihkan bumi menjadi firdaus. (Mzm. 37:9-11) Selain itu, kita akan menikmati hubungan yang jauh lebih akrab dengan Yehuwa berbanding sekarang. Harapan yang sungguh menakjubkan, bukan? Namun, dapatkah kita percaya bahawa janji Tuhan pasti ditunaikan? Ya, kita dapat ‘berharap kepada Yehuwa’ kerana Dia tidak pernah memungkiri janji-Nya. * (Mzm. 27:14) Kita menunjukkan bahawa kita berharap kepada Yehuwa dengan menantikan-Nya dengan sabar dan sukacita.​—Yes. 55:10, 11.

2. Apakah yang sudah dilakukan oleh Yehuwa?

2 Yehuwa sudah membuktikan bahawa Dia pasti mengotakan janji-Nya. Perhatikan contoh ini: Dalam buku Wahyu, Yehuwa berjanji bahawa pada zaman kita, Dia akan mengumpulkan orang daripada setiap bangsa, kaum, dan bahasa, untuk membentuk “kumpulan besar manusia.” (Why. 7:9, 10) Walaupun kumpulan ini mempunyai lelaki, wanita, dan kanak-kanak, daripada pelbagai latar belakang, mereka merupakan sebuah keluarga sedunia yang aman, dan mereka menyembah Yehuwa dengan bersatu padu. (Mzm. 133:1; Yoh. 10:16) Orang dalam kumpulan besar ini juga merupakan penginjil yang bersemangat. Mereka sentiasa bersedia untuk mengongsi harapan tentang dunia yang lebih baik dengan sesiapa sahaja yang sudi dengar. (Mat. 28:19, 20; Why. 14:6, 7; 22:17) Jika anda sebahagian daripada kumpulan besar ini, anda tentu sangat menghargai harapan tentang masa depan yang lebih baik.

3. Syaitan mahu membuat anda percaya apa?

3 Syaitan mahu anda hilang harapan. Dia mahu membuat anda percaya bahawa Yehuwa tidak prihatin terhadap anda dan tidak akan mengotakan janji-Nya. Jika Syaitan berjaya membuat kita hilang harapan, kita akan patah semangat dan bahkan berhenti menyembah Yehuwa. Itulah yang cuba dilakukan oleh Syaitan terhadap Ayub.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? (Ayub 1:9-12)

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan taktik yang digunakan Syaitan untuk memaksa Ayub meninggalkan Yehuwa. (Baca Ayub 1:9-12.) Selain itu, kita akan belajar daripada contoh Ayub dan membincangkan sebabnya kita perlu ingat bahawa Yehuwa mengasihi kita dan pasti menunaikan janji-Nya.

SYAITAN CUBA MEMBUAT AYUB PUTUS HARAPAN

5-6. Apakah yang menimpa Ayub dalam jangka masa yang singkat?

5 Ayub menikmati kehidupan yang makmur. Dia mempunyai hubungan yang akrab dengan Yehuwa, keluarga besar yang bersatu padu, dan dia sangat kaya. (Ayb. 1:1-5) Namun dalam sehari sahaja, Ayub hampir kehilangan segala-galanya. Mula-mula, dia kehilangan hartanya. (Ayb. 1:13-17) Kemudian, semua anaknya mati. Fikirkan sejenak: Ibu bapa yang kehilangan seorang anak pun sudah sangat sedih. Jadi bayangkan betapa terkejut dan pilunya Ayub dan isterinya semasa mendapat tahu bahawa 10 orang anak mereka tiba-tiba terbunuh! Berita buruk itu membuat Ayub begitu sedih sehingga dia mengoyakkan jubahnya dan rebah ke tanah.​—Ayb. 1:18-20.

6 Syaitan kemudiannya menyebabkan Ayub menghidap penyakit yang serius dan memalukan. (Ayb. 2:6-8; 7:5) Sebelum itu, Ayub sangat dihormati dalam masyarakat, dan ramai orang meminta bimbingan daripadanya. (Ayb. 31:18) Namun selepas dia jatuh sakit, orang ramai menjauhinya. Ayub dipulaukan oleh saudara kandungnya, kawan baiknya, dan bahkan hamba-hambanya!​—Ayb. 19:13, 14, 16.

Ramai saudara saudari dapat memahami keperitan Ayub (Lihat perenggan 7) *

7. (a) Ayub percaya bahawa penderitaannya disebabkan oleh siapa? Namun dia enggan melakukan apa? (b) Bagaimanakah seorang Kristian mungkin menghadapi cubaan seperti yang ditunjukkan dalam gambar?

7 Syaitan mahu Ayub percaya bahawa dia menderita kerana Yehuwa tidak lagi berkenan kepadanya. Sebagai contoh, semasa 10 orang anak Ayub sedang makan di dalam sebuah rumah, Syaitan mendatangkan angin kencang untuk membuat rumah itu roboh. (Ayb. 1:18, 19) Dia juga mendatangkan api untuk membunuh bukan sahaja ternakan Ayub, tetapi juga hamba-hamba Ayub yang menjaga ternakan itu. (Ayb. 1:16) Oleh sebab angin dan api itu turun dari langit, Ayub menyangka bahawa semua itu disebabkan oleh Tuhan Yehuwa. Jadi Ayub berfikir bahawa Yehuwa sedang marah dengannya. Meskipun begitu, Ayub enggan mengutuk Bapanya yang di syurga. Sebaliknya, dia mengaku bahawa selama bertahun-tahun dia telah menerima banyak berkat daripada Yehuwa. Dia berkata bahawa jika dia sudi menerima berkat daripada Tuhan, dia juga patut sudi menerima hukuman daripada-Nya. Maka dia berkata, “Biarlah nama Yehuwa terus dipuji!” (Ayb. 1:20, 21; 2:10) Ayub tetap setia kepada Yehuwa biarpun dia jatuh sakit dan kehilangan harta serta anak-anaknya. Namun cubaan daripada Syaitan belum berakhir.

8. Apakah satu lagi taktik yang digunakan Syaitan untuk menguji Ayub?

8 Kemudian, Syaitan menggunakan satu lagi taktik untuk menguji Ayub. Dia menggunakan tiga sahabat palsu untuk membuat Ayub berasa bahawa dirinya tidak berguna. Mereka memberitahu Ayub bahawa dia menderita kerana dia telah melakukan banyak kejahatan. (Ayb. 22:5-9) Mereka juga cuba membuat Ayub percaya bahawa biarpun dia tidak berbuat jahat, semua usahanya untuk berbuat baik tidak bernilai di mata Tuhan. (Ayb. 4:18; 22:2, 3; 25:4) Sebenarnya, mereka mahu membuat Ayub berfikir bahawa Tuhan tidak mengasihinya, tidak akan menjaganya, dan ibadatnya kepada Tuhan sia-sia sahaja. Kata-kata mereka pasti membuat Ayub patah semangat.

9. Mengapakah Ayub begitu tabah dan berani?

9 Bayangkan keadaan Ayub. Sambil duduk di atas abu dalam kesakitan, dia asyik dikritik oleh kawan-kawannya yang berkata bahawa dia tidak pernah berbuat baik. (Ayb. 2:8) Cubaan-cubaan yang dihadapinya terasa amat berat, dan hatinya pilu atas kematian anak-anaknya. Pada mulanya, Ayub diam sahaja. (Ayb. 2:13–3:1) Namun, jika kawan-kawan Ayub menganggap reaksinya sebagai tanda bahawa Ayub akan meninggalkan Penciptanya, mereka silap sama sekali. Akhirnya, Ayub mungkin telah mengangkat kepalanya, memandang kawan-kawan palsunya, dan berkata, “Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!” (Ayb. 27:5) Mengapakah Ayub begitu tabah dan berani meskipun dia sangat menderita? Bahkan pada detik yang paling gelap dalam kehidupannya, dia tidak kehilangan harapan bahawa Tuhannya akan mengakhiri penderitaannya. Dia tahu bahawa biarpun dia mati, Yehuwa pasti membangkitkannya.​—Ayb. 14:13-15.

BAGAIMANA KITA DAPAT MENIRU TELADAN AYUB

10. Apakah yang telah kita pelajari daripada kisah Ayub?

10 Kisah Ayub mengajar kita bahawa Syaitan tidak dapat memaksa kita untuk meninggalkan Yehuwa dan bahawa Yehuwa mengetahui semua perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Kisah Ayub juga membantu kita lebih memahami isu yang terlibat semasa kita menghadapi cubaan. Perhatikan beberapa hal yang dapat kita pelajari daripada Ayub.

11. Jika kita terus percaya kepada Yehuwa, kita dapat yakin akan hal apa? (Yakobus 4:7)

11 Kisah Ayub membuktikan bahawa jika kita terus percaya kepada Yehuwa, kita dapat tabah menghadapi apa sahaja cubaan dan berjaya melawan Syaitan. Apabila kita berbuat demikian, Bible menjamin bahawa Si Iblis akan lari daripada kita.​—Baca Yakobus 4:7.

12. Bagaimanakah harapan pembangkitan menguatkan Ayub?

12 Kita perlu berpegang teguh pada harapan pembangkitan. Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, Syaitan sering menggunakan rasa takut akan kematian untuk membuat kita meninggalkan Yehuwa. Dalam kisah Ayub, Syaitan mendakwa bahawa Ayub sanggup melakukan apa-apa sahaja, termasuk meninggalkan Yehuwa, supaya dapat terus hidup. Namun, tuduhan Syaitan salah sama sekali! Pada saat yang paling mencabar, iaitu semasa dia berasa bahawa dia akan mati, Ayub tetap setia kepada Yehuwa. Ayub dapat bertabah kerana dia yakin bahawa Yehuwa baik terhadapannya, dan kerana dia memiliki harapan yang teguh bahawa Yehuwa akan menyelesaikan semua masalahnya. Ayub beriman bahawa biarpun Yehuwa tidak menyelesaikan masalahnya semasa dia masih hidup, Yehuwa akan membangkitkannya pada masa depan. Harapan pembangkitan sangat nyata bagi Ayub. Jika harapan ini nyata bagi kita, kita akan tetap setia kepada Yehuwa biarpun kita diancam maut.

13. Mengapakah kita perlu mengetahui taktik yang digunakan oleh Syaitan terhadap Ayub?

13 Kita perlu mengetahui taktik yang digunakan oleh Syaitan terhadap Ayub kerana Syaitan akan menggunakan taktik yang sama untuk menyerang kita. Perhatikan tuduhan Syaitan: “Apabila nyawa seseorang terancam [bukan Ayub sahaja], dia pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup.” (Ayb. 2:4, 5) Syaitan mendakwa bahawa kasih kita kepada Yehuwa tidak ikhlas dan bahawa kita akan berpaling daripada-Nya demi menyelamatkan nyawa kita. Syaitan juga mendakwa bahawa Tuhan tidak mengasihi kita dan bahawa usaha kita untuk menyenangkan hati-Nya sia-sia sahaja. Memandangkan kita sudah mengetahui muslihat Syaitan, janganlah kita disesatkan olehnya.

14. Cubaan dapat menunjukkan apa tentang diri kita? Berikan contoh.

14 Kita patut memandang cubaan sebagai peluang untuk lebih mengenali diri kita. Cubaan yang dihadapi oleh Ayub membantunya untuk mengenal pasti dan membetulkan sesetengah kelemahannya. Sebagai contoh, dia belajar bahawa dia perlu lebih rendah hati. (Ayb. 42:3) Kita juga dapat belajar banyak hal tentang diri kita semasa menghadapi cubaan. Seorang saudara yang bernama Nikolay * dipenjarakan biarpun dia menghadapi masalah kesihatan yang serius. Dia berkata, “Bagi saya, penjara adalah seperti mesin X-ray yang menunjukkan sifat saya yang tersembunyi.” Setelah kita mengenal pasti kelemahan sendiri, barulah kita dapat mencurahkan usaha untuk membetulkannya.

15. Kita harus mendengar kata-kata siapa, dan mengapa?

15 Kita perlu mendengar kata-kata Yehuwa, bukannya kata-kata musuh. Semasa Yehuwa bercakap kepada Ayub, Ayub memberikan perhatian. Setelah menyebut tentang ciptaan-Nya, Tuhan menanya Ayub beberapa soalan untuk membantu Ayub sedar bahawa Dia sangat mengambil berat terhadapnya. Apakah reaksi Ayub? Jawapan Ayub menunjukkan bahawa dia sangat rendah hati dan menghargai kebaikan Yehuwa. Ayub berkata, “Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau, tetapi kini aku sendiri melihat Engkau.” (Ayb. 42:5) Kemungkinan besar, semasa Ayub mengucapkan kata-kata itu, dia masih duduk di atas abu, badannya masih penuh dengan bisul, dan dia masih bersedih atas kematian anak-anaknya. Biarpun begitu, Yehuwa meyakinkan Ayub bahawa Dia mengasihinya dan berkenan kepadanya.—Ayb. 42:7, 8.

16. Menurut Yesaya 49:15, 16, apakah yang harus kita ingat semasa menghadapi cubaan?

16 Hari ini, orang mungkin menghina atau melayan kita dengan buruk. Mereka mungkin cuba merosakkan nama baik kita atau organisasi kita dengan “mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah” kita. (Mat. 5:11) Namun, kisah Ayub mengajar kita bahawa Yehuwa yakin kita akan tetap setia kepada-Nya semasa menghadapi cubaan. Yehuwa mengasihi kita dan tidak akan meninggalkan orang yang berharap kepada-Nya. (Baca Yesaya 49:15, 16.) Jadi, janganlah bertumpu kepada fitnah yang diucapkan oleh musuh Tuhan! Perhatikan pengalaman James dan keluarganya, yang berasal dari Turki. Mereka pernah menghadapi cubaan yang berat. James berkata, “Kami tahu jika kami bertumpu kepada dusta tentang umat Tuhan, kami akan tawar hati. Jadi kami bertumpu kepada harapan Kerajaan Tuhan dan tetap aktif dalam khidmat kepada Yehuwa. Hasilnya, kami dapat terus bersukacita.” Seperti Ayub, marilah kita mendengarkan Yehuwa dan tidak membenarkan dusta musuh untuk memadamkan api harapan kita!

HARAPAN DAPAT MENGUATKAN ANDA

Ayub diberkati kerana kesetiaannya. Dia dan isterinya menikmati hidup yang bahagia dan umur yang panjang (Lihat perenggan 17) *

17. Apakah yang anda pelajari setelah merenungkan contoh lelaki dan wanita yang setia yang disebut di Ibrani bab 11?

17 Ayub bukan satu-satunya hamba Yehuwa yang tetap tabah dan berani di bawah cubaan yang berat. Dalam buku Ibrani, Paulus menulis bahawa terdapat “banyak saksi yang bagaikan awan di sekeliling kita.” Mereka tetap setia kepada Yehuwa sepanjang hayat mereka meskipun dilanda cubaan yang berat. (Ibr. 11:36-40; 12:1) Adakah usaha dan ketabahan mereka sia-sia? Sama sekali tidak! Biarpun mereka tidak melihat semua janji Yehuwa ditunaikan semasa mereka masih hidup, mereka percaya bahawa janji itu akan ditunaikan pada masa depan. Mereka yakin bahawa mereka sudah mendapat perkenan Yehuwa, dan mereka terus berharap kepada-Nya. (Ibr. 11:4, 5) Dengan merenungkan teladan mereka, kita akan lebih bertekad untuk terus berharap kepada Yehuwa.

18. Apakah tekad anda? (Ibrani 11:6)

18 Dunia hari ini semakin hari semakin teruk, dan Syaitan sedang melipatgandakan usahanya untuk menguji umat Tuhan. (2 Tim. 3:13) Oleh sebab “kita telah menaruh harapan pada Tuhan yang hidup,” tidak kira apa sahaja cabaran yang dilontarkan terhadap kita, kita bertekad untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa. (1 Tim. 4:10) Ingatlah, berkat yang diberikan oleh Tuhan kepada Ayub membuktikan bahawa Dia “berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yak. 5:11) Semoga kita juga terus setia kepada Yehuwa dan yakin bahawa Dia akan “memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.”​—Baca Ibrani 11:6.

LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan

^ Semasa kita menyebut tentang orang yang tabah menghadapi cubaan yang berat, kita sering berfikir tentang Ayub. Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Ayub? Kita belajar bahawa (1) Syaitan tidak dapat memaksa kita untuk meninggalkan Yehuwa, (2) Yehuwa sentiasa sedar akan apa yang berlaku dalam kehidupan kita, dan (3) sepertimana Yehuwa menamatkan penderitaan Ayub, Dia juga akan menamatkan penderitaan kita pada suatu hari nanti. Jika kita menunjukkan melalui perbuatan kita bahawa kita yakin sepenuhnya akan tiga hal ini, kita akan tergolong antara orang yang ‘berharap kepada Yehuwa.’

^ MAKSUD UNGKAPAN: Perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “berharap” membawa maksud menantikan sesuatu dengan sabar. Perkataan itu juga bererti mempercayai atau bergantung pada seseorang.​—Mzm. 25:2, 3; 62:5.

^ Sesetengah nama telah diubah.

^ KETERANGAN GAMBAR: Ayub dan isterinya kehilangan semua anak mereka secara tiba-tiba.

^ KETERANGAN GAMBAR: Ayub bertabah sampai akhir. Dia dan isterinya merenungkan berkat yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka sekeluarga.